Ahad, 19 April 2020

20:114 Tafsir Surah Thaha, ayat 114.

فَتَعَالَى اللَّهُ الْمَلِكُ الْحَقُّ وَلا تَعْجَلْ بِالْقُرْآنِ مِنْ قَبْلِ أَنْ يُقْضَى إِلَيْكَ وَحْيُهُ وَقُلْ رَبِّ زِدْنِي عِلْمًا (١١٤) 

Setelah Allah s.w.t. menyebutkan hukum jaza’i(pembalasan)Nya terhadap hamba-hambaNya, hukum syar’iNya yang ada dalam kitabNya, di mana hal ini termasuk kerajaanNya, Dia berfirman,

"114. Maka Mahatinggi Allah," 

Mahasuci Allah dari apa yang dikatakan orang-orang musyrik atau dari segala kekurangan.

"Raja yang sebenarnya;" 

Raja yang sebenar-benarnya. Kerajaan adalah sifatNya, semua makhluk adalah milikNya, hukum-hukum kerajaan, baik yang qadari (terhadap alam semesta) maupun yang syar’i berlaku pada mereka. WujudNya, kerajaanNya, kesempurnaanNya, janjiNya, ancamanNya, rasul-rasulNya, syurga, neraka dan segala sesuatu yang datang dariNya adalah hak (benar) belaka.

Sifat-sifat kesempurnaan tidak ada yang hakiki kecuali bagi Allah Yang Memiliki Keagungan. Contohnya adalah kerajaan, walaupun di antara makhlukNya ada yang menjadi raja pada sebahagian waktu dan terhadap orang-orang tertentu, namun kerajaannya terbatas dan akan sirna. Adapun Allah, maka Dia senantiasa sebagai Raja, Mahahidup, Maha Berdiri Sendiri lagi Maha Mulia.

Sifat Mahaadil Allah ialah Dia tidak mengazab seseorang sebelum memberikan peringatan dan mengutus rasul-rasulNya dan sebagai alasanNya kepada makhlukNya, agar tidak ada lagi hujah dan keraguan bagi seorang pun terhadap apa yang telah diputuskan olehNya kelak.

Rasulullah s.a.w. sangat bersemangat bila menerima wahyu. Apabila Beliau s.a.w. kedatangan Malaikat Jibril membawa wahyu, setiap kali Jibril mengatakan suatu ayat, Beliau s.a.w. ikut membacanya bersama Jibril, kerana keinginannya yang keras untuk menghafal Al Qur'an dengan cepat. Maka Allah s.w.t. memberinya petunjuk kepada cara yang lebih mudah dan lebih ringan bagi Nabi s.a.w. agar Beliau tidak berat.

"dan janganlah kamu tergesa-gesa dengan Al Qur’an sebelum bahawa diselesaikan kepadamu mewahyukannya," 

Janganlah kamu (Muhammad) tergesa-gesa membaca Al Qur'an sebelum selesai diwahyukan kepadamu. Dengarlah dengan penuh perhatian. Apabila malaikat telah selesai membacakannya kepadamu, mulailah kamu membacanya.

Nabi Muhammad s.a.w. dilarang Allah menirukan bacaan Jibril a.s. kalimat demi kalimat, sebelum Jibril a.s. selesai membacakannya, kerana Allah menjamin untuk mengumpulkan Al Qur’an di dalam dadanya dan membacakannya.

Oleh kerana tergesa-gesanya Beliau untuk segera menghafal wahyu itu menunjukkan kecintaan yang sempurna kepada ilmu, maka Allah memerintahkan kepadanya agar meminta kepada Allah tambahan ilmu kerana ilmu adalah kebaikan, dan banyaknya kebaikan perlu dicari, dan hal itu berasal dari Allah.

"dan katakanlah, "Tuhanku, tambahkan padaku ilmu."" 

Katakanlah, "Ya Tuhanku, tambahkanlah kepadaku pengetahuan.” Iaitu berilah aku tambahan ilmu atau pengetahuan kepadaku dengan Al Qur’an.

Cara untuk memperolehnya adalah dengan bersungguh-sungguh, rindu kepada ilmu, memintanya kepada Allah, meminta pertolonganNya serta perlu kepadanya di setiap waktu. Oleh kerana itu, setiap kali diturunkan ayat Al Qur’an, maka bertambahlah ilmu Beliau. Beliau terus-menerus mendapat tambahan ilmu hingga Allah s.w.t. mewafatkannya.

Di dalam sebuah hadis telah disebutkan, "Sesungguhnya Allah menurunkan wahyu kepada RasulNya secara berturut-turut, sehingga wahyu banyak diturunkan di hari-hari beliau menjelang wafatnya."

Dari ayat ini dapat diambil kesimpulan tentang adab mencari ilmu, iaitu bahawa orang yang mendengarkan ilmu sepatutnya bersabar tidak langsung mencatat sampai pengajar menyelesaikan kata-katanya yang masih berkaitan.

Jika telah selesai, dia boleh bertanya jika ia memiliki pertanyaan dan tidak segera bertanya dan memotong pembicaraan guru, kerana hal itu merupakan sebab terhalangnya ilmu. Begitu juga orang yang ditanya, sebaiknya meminta dijabarkan pertanyaan dan mengetahui maksudnya terlebih dahulu sebelum menjawab, kerana hal itu merupakan sebab agar menjawab benar.

Tiada ulasan:

KANDUNGAN.

JUZUK 1. Isti'adzah.    Al Fatihah 1 , 2 , 3 , 4 , 5 , 6 , 7 . Al Baqarah 1-5 , 6-7 , 8-9 , 10-16 , 17-20 , 21-25 , 26-27 , 28-29 , 3...