Rabu, 15 April 2020

2:94-96 Tafsir Surah Al Baqarah, ayat 94-96.

قُلْ إِنْ كَانَتْ لَكُمُ الدَّارُ الآخِرَةُ عِنْدَ اللَّهِ خَالِصَةً مِنْ دُونِ النَّاسِ فَتَمَنَّوُا الْمَوْتَ إِنْ كُنْتُمْ صَادِقِينَ (٩٤) وَلَنْ يَتَمَنَّوْهُ أَبَدًا بِمَا قَدَّمَتْ أَيْدِيهِمْ وَاللَّهُ عَلِيمٌ بِالظَّالِمِينَ (٩٥) وَلَتَجِدَنَّهُمْ أَحْرَصَ النَّاسِ عَلَى حَيَاةٍ وَمِنَ الَّذِينَ أَشْرَكُوا يَوَدُّ أَحَدُهُمْ لَوْ يُعَمَّرُ أَلْفَ سَنَةٍ وَمَا هُوَ بِمُزَحْزِحِهِ مِنَ الْعَذَابِ أَنْ يُعَمَّرَ وَاللَّهُ بَصِيرٌ بِمَا يَعْمَلُونَ (٩٦) 

Allah s.w.t. berfirman kepada Nabi Muhammad s.a.w.,

"94. Katakanlah, "Jika ada bagi kalian kampung akhirat di sisi Allah khusus dari selain manusia, berharaplah kalian kematian jika kalian orang-orang yang benar."

Jika kalian menganggap bahawa negeri akhirat di sisi Allah, iaitu syurga khusus untuk kalian saja, bukan untuk orang lain, maka berdoalah kalian meminta agar kalian dimatikan sekarang juga, jika kalian orang yang benar.

Hal ini kerana anggapan bahawa mereka adalah para wali Allah, merekalah yang akan masuk syurga dan bahawa mereka tidak akan disentuh api neraka kecuali beberapa hari saja.

Khitab ini ditujukan kepada kedua belah pihak, iaitu orang-orang Yahudi dan kaum Muslim. Iaitu manakah di antara kedua golongan itu yang berdusta. Ternyata mereka menolak hal tersebut di hadapan Rasulullah s.a.w.

"95. Dan tidak akan mereka mengharapkannya selamanya kerana apa yang diperbuat tangan-tangan mereka." 

Tetapi mereka tidak akan menginginkan kematian itu sama sekali, kerana dosa-dosa yang telah dilakukan oleh tangan-tangan mereka sendiri. Allah s.w.t. memberitahukan kepada NabiNya perihal pengetahuan mereka mengenai kesalahan-kesalahan yang dilakukan oleh diri mereka sendiri, bahkan mereka mengetahui kekufuran diri mereka terhadap agamanya sendiri.

Perbuatan yang mereka lakukan adalah kekafiran dan kemaksiatan, ditambah lagi kerana mereka mengetahui kebenaran Nabi Muhammad s.a.w. Oleh kerana itu, sesuatu yang paling mereka takuti adalah kematian.

Seandainya mereka benar-benar menginginkan kematian di saat Allah berfirman demikian terhadap mereka, nescaya tiada seorang pun dari kalangan Yahudi di muka bumi ini melainkan pasti binasa saat itu juga.

"Dan Allah Maha Mengetahui terhadap orang-orang yang zalim." 

Allah Maha mengetahui orang-orang yang aniaya.

"96. Dan sungguh, kamu akan mendapati mereka paling serakah manusia atas kehidupan," 

Sungguh, kamu akan mendapati orang-orang Yahudi, manusia yang paling tamak kepada kehidupan dunia. Mereka adalah orang-orang yang paling menginginkan usia panjang, kerana mereka mengetahui bahawa tempat kembali mereka sangat buruk dan akibat dari amal perbuatan mereka di hadapan Allah sangat merugi.

Dunia ini bagaikan penjara bagi orang mukmin, dan bagaikan syurga bagi orang kafir. Mereka sangat menginginkan seandainya ditangguhkan dari kepastian hari akhirat, untuk itu mereka berupaya ke arah itu dengan semua kemampuan yang mereka kuasai.

Akan tetapi, apa yang mereka takutkan dan mereka hindari itu pasti akan menimpa diri mereka; hingga mereka lebih tamak kepada kehidupan di dunia berbanding orang-orang musyrik, iaitu orang-orang yang tidak memiliki suatu kitab pun.

"dan dari orang-orang yang musyrik." 

Bahkan orang-orang Yahudi lebih loba atau tamak dari orang-orang musyrik. Yang dimaksud dengan orang-orang musyrik adalah orang-orang Ajam, iaitu selain orang Arab. Ada yang mengatakan bahawa orang munafik adalah orang yang paling tamak kepada kehidupan dunia dan lebih tamak lagi daripada orang musyrik.

"Menginginkan tiap-tiap mereka sekiranya diberi umur seribu tahun," 

Masing-masing dari orang-orang Yahudi menginginkan agar diberi umur seribu tahun. Ada yang mengatakan bahawa mereka adalah orang-orang Majusi.

"dan tidak ia akan menjauhkannya dari azab sekiranya dipanjangkan umurnya."

Padahal umur panjang itu tidak akan menjauhkan atau mengelamatkan mereka dari azab. Demikian itu kerana orang musyrik tidak mengharapkan akan dibangkitkan kembali sesudah matinya, dia selalu mencintai hidup di dunia dalam usia yang panjang.

Sedangkan seorang Yahudi telah mengetahui kehinaan apa yang bakal diterimanya kelak di akhirat, kerana dia telah menyia-nyiakan ilmu yang ada pada dirinya. Ada yang mengatakan bahawa mereka yang berharap demikian adalah orang-orang Yahudi yang memusuhi Malaikat Jibril.

Seandainya mereka diberi usia sebagaimana iblis, nescaya hal tersebut tiada manfaatnya bagi diri mereka, kerana mereka adalah orang-orang kafir.

"Dan Allah Maha Melihat dengan apa yang mereka kerjakan."

Allah Maha melihat apa yang mereka kerjakan. Dia Maha Mengetahui, Mahawaspada lagi Maha Melihat semua yang dilakukan oleh hamba-hambaNya, baik amal baik atau pun amal buruk. Kelak setiap orang yang beramal akan menerima balasan yang setimpal kerana perbuatannya. Oleh kerana itu, Dia akan memberikan balasan terhadap amal yang mereka kerjakan.

Tiada ulasan:

KANDUNGAN.

JUZUK 1. Isti'adzah.    Al Fatihah 1 , 2 , 3 , 4 , 5 , 6 , 7 . Al Baqarah 1-5 , 6-7 , 8-9 , 10-16 , 17-20 , 21-25 , 26-27 , 28-29 , 3...