Selasa, 14 April 2020

94:1-8 Tafsir Surah Al Insyirah, ayat 1-8.

بِسْمِ اللَّهِ الرَّحْمَنِ الرَّحِيمِ

Dengan menyebut nama Allah Yang Maha Pemurah lagi Maha Penyayang.

أَلَمْ نَشْرَحْ لَكَ صَدْرَكَ (١) وَوَضَعْنَا عَنْكَ وِزْرَكَ (٢) الَّذِي أَنْقَضَ ظَهْرَكَ (٣) وَرَفَعْنَا لَكَ ذِكْرَكَ (٤) فَإِنَّ مَعَ الْعُسْرِ يُسْرًا (٥) إِنَّ مَعَ الْعُسْرِ يُسْرًا (٦) فَإِذَا فَرَغْتَ فَانْصَبْ (٧) وَإِلَى رَبِّكَ فَارْغَبْ (٨)

Allah s.w.t. berfirman menyebutkan nikmatNya kepada RasulNya, Nabi Muhammad s.a.w.

"1. Bukankah kami melapangkan bagi kamu dadamu." 

Bukankah Kami telah melapangkan untukmu dadamu? Iaitu Kami telah melapangkan dadamu dengan kenabian dan lainnya. Kami telah menjadikannya bercahaya dan luas lagi lapang.

Allah s.w.t. telah meluaskan dada Beliau s.a.w. untuk menerima syariat agama dan berdakwah kepada Allah, memiliki sifat berakhlak mulia, menghadap hati kepada akhirat dan memudahkan kebaikan, sehingga tidak menjadi sempit dan berat yang keadaannya tidak tunduk kepada kebaikan dan hampir tidak ditemukan kelapangan.

Sebagaimana Allah s.w.t. telah melapangkan dada Rasulullah s.a.w., begitu juga Allah telah menjadikan syariatnya luas, lapang, toleran, lagi mudah, tiada kesulitan dan tiada beban serta tiada kesempitan padanya.

Menurut pendapat lain, Allah s.w.t. telah melapangkan dada Beliau s.a.w. di malam Isra. Jika memang hal itu terjadi di malam Isra, maka pada hakikatnya tidaklah bertentangan dengan pendapat di atas. Kerana sesungguhnya akibat dari pengaruh yang dilakukan terhadap dada Beliau di malam Isra, terjadi juga pengaruh yang sama setelah dilapangkan oleh Allah s.w.t. secara maknawi. Hanya Allah-lah Yang Maha Mengetahui.

"2. Dan Kami turunkan darimu beban kamu." 

Kami juga telah menurunkan atau menghilangkan bebanmu darimu. Wizr di ayat ini boleh diertikan dengan ‘dosa’, iaitu “Kami telah menggugurkan dosamu?" Ada juga yang berpendapat, bahawa beban di sini bermaksud kesusahan-kesusahan yang diderita Nabi Muhammad s.a.w. dalam menyampaikan risalah.

"3. Yang memberatkan punggung kamu." 

Al inqad ertinya suara atau bunyi (tulang punggung bila memikul beban berat). Yang memberatkan punggung kamu bermaksud membebanimu dengan beban yang berat.

"4. Dan Kami tinggikan bagi kamu sebutan kamu." 

Kami tinggikan bagimu sebutan namamu. Iaitu meninggikan darjat dan mengikutkan nama Nabi Muhammad s.a.w. dengan nama Allah s.w.t. dalam kalimat syahadat, azan dan iqamat, tasyahhud dalam solat, khutbah dan lain-lain serta menjadikan taat kepada Nabi s.a.w. termasuk taat kepada Allah. Di samping itu, Beliau sangat dicintai, dimuliakan dan dibesarkan di hati umatnya setelah Allah s.w.t.

"5. Maka sungguh beserta kesulitan kemudahan." 

Allah s.w.t. memberitakan bahawa bersama kesulitan pasti ada kemudahan. Ini merupakan khabar gembira untuk Nabi Muhammad s.a.w., iaitu bahawa setiap kali Beliau mendapatkan kesulitan, maka Beliau akan mendapatkan kemudahan setelahnya, dan bahawa betapa pun besar kesusahan yang Beliau alami, maka setelahnya Beliau akan merasakan kemudahan.

"6. Sesungguhnya beserta kesulitan kemudahan." 

Kemudian berita ini diulangiNya lagi, sesungguhnya bersama kesulitan itu ada kemudahan. Oleh kerana itu, sebelumnya Nabi s.a.w. merasakan kesulitan dan penderitaan dari orang-orang kafir, selanjutnya Beliau mendapatkan kemudahan dengan diberiNya kemenangan atas mereka.

Selanjutnya Allah s.w.t. memerintahkan RasulNya, begitu juga kaum mukmin untuk bersyukur kepadaNya dan mengerjakan kewajiban dari nikmat itu.

"7. Maka apabila kamu telah selesai, tetap bekerja keras." 

Maka apabila engkau telah selesai dari suatu urusan, tetaplah bekerja keras atau dengan sungguh-sungguh untuk urusan yang lain.

Sebahagian mufassir menafsirkan, bahawa apabila kamu (Muhammad) telah selesai berdakwah, maka beribadahlah kepada Allah; apabila kamu telah selesai mengerjakan urusan dunia, maka kerjakanlah urusan akhirat, atau apabila kamu telah selesai dari kesibukan dunia, maka bersungguh-sungguhlah dalam beribadah dan berdoa.

Ada juga yang berpendapat, bahawa maksudnya adalah, apabila kamu telah selesai mengerjakan solat, maka berdoalah. Orang yang berpendapat demikian, berdalih dengan pendapat tafsir ini, bahawa disyariatkan berdoa dan berzikir setelah solat fardu.

"8. Dan kepada Tuhanmu maka kamu berharap." 

Hanya kepada Tuhanmulah hendaknya kamu berharap. Jadikanlah niatmu dan harapanmu hanya tertuju kepada Allah s.w.t. semata. Perbesarlah harapanmu agar doamu dikabulkan dan ibadahmu diterima.

Janganlah kamu termasuk orang yang apabila telah selesai melakukan sesuatu, dia malah bermain-main dan berpaling dari Tuhan mereka dan dari mengingatNya sehingga kamu termasuk orang-orang yang rugi.

Selesai tafsir surah Al Insyirah dengan pertolongan Allah, taufiqNya dan kemudahanNya, walhamdulillahi Rabbil ‘aalamiin.

Tiada ulasan:

KANDUNGAN.

JUZUK 1. Isti'adzah.    Al Fatihah 1 , 2 , 3 , 4 , 5 , 6 , 7 . Al Baqarah 1-5 , 6-7 , 8-9 , 10-16 , 17-20 , 21-25 , 26-27 , 28-29 , 3...