Selasa, 14 April 2020

74:32-48 Tafsir Surah Al Muddassir, ayat 32-48.

كَلَّا وَالْقَمَرِ (٣٢) وَاللَّيْلِ إِذْ أَدْبَرَ (٣٣) وَالصُّبْحِ إِذَا أَسْفَرَ (٣٤) إِنَّهَا لإحْدَى الْكُبَرِ (٣٥) نَذِيرًا لِلْبَشَرِ (٣٦) لِمَنْ شَاءَ مِنْكُمْ أَنْ يَتَقَدَّمَ أَوْ يَتَأَخَّرَ (٣٧) كُلُّ نَفْسٍ بِمَا كَسَبَتْ رَهِينَةٌ (٣٨) إِلا أَصْحَابَ الْيَمِينِ (٣٩) فِي جَنَّاتٍ يَتَسَاءَلُونَ (٤٠) عَنِ الْمُجْرِمِينَ (٤١) مَا سَلَكَكُمْ فِي سَقَرَ (٤٢) قَالُوا لَمْ نَكُ مِنَ الْمُصَلِّينَ (٤٣) وَلَمْ نَكُ نُطْعِمُ الْمِسْكِينَ (٤٤) وَكُنَّا نَخُوضُ مَعَ الْخَائِضِينَ (٤٥) وَكُنَّا نُكَذِّبُ بِيَوْمِ الدِّينِ (٤٦) حَتَّى أَتَانَا الْيَقِينُ (٤٧) فَمَا تَنْفَعُهُمْ شَفَاعَةُ الشَّافِعِينَ (٤٨)

Allah s.w.t. berfirman,

"32. Sekali-kali tidak!" 

Maksud ‘tidak’ adalah bantahan terhadap ucapan orang-orang musyrik yang mengingkari hal-hal tersebut sebelumnya. Ada juga yang mengatakan, bahawa kata “Kallaa” di ayat ini ertinya “Alaa,” iaitu Ingatlah!

"Demi bulan." 

"33. Dan malam ketika telah berlalu." 

Adbara ertinya berpaling, maksudnya berlalu.

"34. Dan subuh ketika terang." 

Dan demi Subuh apabila mulai terang, iaitu mulai bersinar memancarkan cahayanya.

Allah s.w.t. bersumpah dengan bulan, dengan malam ketika berlalu dan dengan Subuh ketika semakin terang kerana semuanya (bulan, malam dan Subuh) mengandung ayat-ayat Allah yang agung yang menunjukkan kesempurnaan Allah dan kebijaksanaanNya, luasnya keperkasaanNya, meratanya rahmatNya dan meliputnya ilmuNya.

"35. Sungguh ia benar-benar salah satu sangat besar." 

Yang disumpahi adalah neraka Saqar yang merupakan salah satu bencana atau azab yang sangat besar.

"36. Peringatan bagi manusia." 

Sebagai peringatan atau ancaman bagi manusia. Allah telah memberitahukan tentangnya dan kalian pun sudah mengetahuinya dengan jelas.

"37. Bagi siapa yang menghendaki di antara kalian bahawa akan menuju atau akan mundur." 

Iaitu bagi siapa di antara kalian yang berkehendak akan maju menerima peringatan, menempuh jalan petunjuk yang hak, mengerjakan amal yang mendekatkan kepada Tuhannya, meraih keridhaanNya dan mendapatkan syurganya. Atau mundur darinya, tidak mahu menerima peringatan, berpaling, menolak, mengerjakan maksiat dan mendekatkan dirinya ke neraka.

"38. Setiap jiwa dengan apa yang dia usahakan terikat." 

Setiap diri atau orang bertanggungjawab atas apa yang telah dilakukannya. Masing-masing bergantung kepada amal perbuatannya sendiri kelak di hari kiamat. Orang yang perbuatannya buruk, dia terikat dengan perbuatannya itu dan telah dikalungkan ke lehernya serta berhak masuk neraka.

"39. Kecuali golongan kanan." 

"40. Dalam syurga mereka saling bertanya." 

Sesungguhnya mereka berada di dalam syurga, mereka saling menanyakan di antara sesama mereka.

"41. Tentang orang-orang yang berdosa." 

Tentang keadaan orang-orang yang berdosa yang berada di tengah dan dasar neraka, sedangkan mereka sendiri berada di bangunan-bangunan syurga yang tinggi-tinggi. Sebahagian mereka berkata kepada yang lain, “Mahukah kalian melihat orang-orang yang berdosa itu?” Maka mereka pun melihat orang-orang yang berdosa sambil bertanya,

"42. Apa yang memasukkan kalian dalam neraka Saqar?" 

Apa yang menyebabkan kalian masuk ke dalam neraka Saqar? Iaitu dosa apa yang menyebabkan kalian masuk ke neraka itu?

"43. Mereka berkata, "Tidak kami termasuk orang yang mengerjakan solat."" 

Mereka menjawab, "Kami dahulu tidak termasuk orang-orang yang mengerjakan solat." Iaitu dahulu mereka tidak solat.

"44. Dan tidak kami memberi makan orang-orang miskin." 

Kami juga tidak memberi makan orang-orang miskin.

Dengan demikian, mereka tidak berbuat ikhlas kepada Allah dengan melaksanakan solat dan tidak berbuat ihsan kepada manusia yang memerlukan. Mereka tidak pernah menyembah Tuhan dan tidak pernah berbuat baik kepada makhlukNya dari sejenis mereka.

"45. Dan kami mencela bersama orang-orang yang mencela." 

Bahkan kami biasa membicarakan atau berbincang untuk tujuan yang batil, iaitu untuk menolak yang hak atau kebenaran bersama dengan orang-orang yang membicarakannya. Iaitu kami membicarakan hal-hal yang tidak kami ketahui. Setiap ada orang yang sesat berbicara, maka ramai yang ikut sesat bersamanya.

"46. Dan kami mendustakan dengan hari pembalasan." 

Kami tidak percaya adanya hari pembalasan. Ini merupakan pengaruh dari berbincang untuk tujuan yang batil, iaitu mendustakan kebenaran, dan kebenaran yang paling benar adalah hari pembalasan, hari dimana amal manusia diberikan balasan dan tampak kerajaan Allah dan hukumNya yang adil kepada semua makhluk.

"47. Hingga datang pada kami kepastian." 

Sampai datang kepada kami kematian, sedangkan kami tetap di atas sikap dan keyakinan seperti itu.

"48. Maka tidak berguna bagi mereka syafaat orang-orang yang memberi syafaat." 

Orang yang mempunyai sifat demikian, tiada manfaat baginya pertolongan dari yang memberi pertolongan di hari kiamat nanti, seperti para malaikat, para nabi dan orang-orang soleh. Kerana sesungguhnya syafaat itu hanya berhasil dilakukan terhadap orang yang berhak menerimanya, iaitu orang-orang yang diridhai Allah.

Adapun jika orang yang mati dalam keadaan kafir, maka kelak di hari kiamat baginya hanyalah neraka, tiada jalan lain baginya dan dia kekal di dalamnya untuk selama-lamanya.

Tiada ulasan:

KANDUNGAN.

JUZUK 1. Isti'adzah.    Al Fatihah 1 , 2 , 3 , 4 , 5 , 6 , 7 . Al Baqarah 1-5 , 6-7 , 8-9 , 10-16 , 17-20 , 21-25 , 26-27 , 28-29 , 3...