Jumaat, 10 April 2020

33:21-25 Tafsir Surah Al Ahzab, ayat 21-25.

لَقَدْ كَانَ لَكُمْ فِي رَسُولِ اللَّهِ أُسْوَةٌ حَسَنَةٌ لِمَنْ كَانَ يَرْجُو اللَّهَ وَالْيَوْمَ الآخِرَ وَذَكَرَ اللَّهَ كَثِيرًا (٢١) وَلَمَّا رَأَى الْمُؤْمِنُونَ الأحْزَابَ قَالُوا هَذَا مَا وَعَدَنَا اللَّهُ وَرَسُولُهُ وَصَدَقَ اللَّهُ وَرَسُولُهُ وَمَا زَادَهُمْ إِلا إِيمَانًا وَتَسْلِيمًا (٢٢) مِنَ الْمُؤْمِنِينَ رِجَالٌ صَدَقُوا مَا عَاهَدُوا اللَّهَ عَلَيْهِ فَمِنْهُمْ مَنْ قَضَى نَحْبَهُ وَمِنْهُمْ مَنْ يَنْتَظِرُ وَمَا بَدَّلُوا تَبْدِيلا (٢٣) لِيَجْزِيَ اللَّهُ الصَّادِقِينَ بِصِدْقِهِمْ وَيُعَذِّبَ الْمُنَافِقِينَ إِنْ شَاءَ أَوْ يَتُوبَ عَلَيْهِمْ إِنَّ اللَّهَ كَانَ غَفُورًا رَحِيمًا (٢٤) وَرَدَّ اللَّهُ الَّذِينَ كَفَرُوا بِغَيْظِهِمْ لَمْ يَنَالُوا خَيْرًا وَكَفَى اللَّهُ الْمُؤْمِنِينَ الْقِتَالَ وَكَانَ اللَّهُ قَوِيًّا عَزِيزًا (٢٥)

Allah s.w.t. berfirman kepada orang-orang yang merasa khuatir, gelisah, dan goncang dalam menghadapi urusan mereka dalam Perang Ahzab,

"21. Sungguh ada bagi kalian pada Rasulullah teladan yang baik," 

Sesungguhnya telah ada pada diri Rasulullah s.a.w. itu suri teladan yang baik bagi kalian. Beliau berani berperang dan terjun ke dalam kancah pertempuran. Beliau tidak kikir mengorbankan jiwanya. Maka janganlah kalian kikir mengorbankan jiwa kalian. Ikutilah dan tirulah jejak sifat-sifat Beliau dalam semua ucapan, perbuatan dan tindakannya.

Allah s.w.t. memerintahkan kepada kaum mukmin agar meniru sikap Nabi s.a.w. dalam Perang Ahzab, iaitu dalam hal kesabaran, keteguhan hati, kesiagaan, dan perjuangannya, serta tetap menanti jalan keluar dari Allah s.w.t. Semoga salawat dan salamNya terlimpahkan kepada Beliau sampai hari kiamat.

Para ahli usul berdalil dengan ayat ini tentang kehujjahan perbuatan Rasulullah shallallahu 'alaihi wa sallam. Demikian pula, bahawa hukum asalnya, umat Beliau mengikuti juga dalam hal hukum, kecuali ada dalil syar’i yang mengkhususkan untuk Beliau.

"bagi orang yang ada mengharap Allah dan hari akhir, dan dia mengingat Allah banyak." 

Iaitu orang-orang yang beruswah (meneladani) Beliau s.a.w. dan diberi taufik kepadanya hanyalah orang yang berharap rahmat Allah dan kedatangan hari kiamat, di mana iman yang ada padanya, rasa takutnya kepada Allah, berharapnya kepada pahalaNya serta takut kepada siksaNya mendorongnya untuk mengikuti Rasulullah s.a.w. Ada yang menafsirkan, bagi orang yang takut kepada Allah dan hari akhir. Dan dia banyak menyebut Allah.

"22. Dan tatkala melihat orang-orang mukmin golongan-golongan mereka berkata, "Ini apa yang Allah janjikan kepada kami dan RasulNya.""

Ketika orang-orang yang beriman melihat golongan-golongan yang bersekutu itu, mereka berkata, "Inilah yang dijanjikan Allah dan RasulNya kepada kita.” Iaitu cobaan dan ujian yang berakhir dengan kemenangan yang dekat.

"Dan benarlah Allah dan RasulNya." 

Benarlah Allah dan RasulNya dalam berjanji kerana kami menyaksikan apa yang Dia beritakan kepada kami.

"Dan tidak menambah mereka kecuali keimanan dan penyerahan diri."

Kesempitan, keadaan gawat, dan situasi yang demikian itu menambah menambah keimanan dalam hati mereka kepada Allah dan keislaman mereka, iaitu ketundukan kepada perintah-perintahNya, serta taat kepada RasulNya.

Hal ini menunjukkan bertambahnya iman dan kekuatan mereka bila dibandingkan dengan orang lain dan keadaannya. Dan iman itu dapat bertambah dan berkurang.

Anas menceritakan bahawa pakciknya (iaitu Anas ibnun Nadr r.a. yang namanya sama dengannya) tidak ikut dengan Rasulullah s.a.w. dalam Perang Badar, sehingga dia mengalami tekanan batin kerananya. Kemudian Anas ibnun Nadr mengatakan, "Aku tidak ikut perang dengan Rasulullah s.a.w. dalam permulaan perang yang diikuti olehnya. Sesungguhnya jika Allah s.w.t. memberikan kesempatan kepadaku dalam perang lain sesudah perang ini, aku akan ikut dengan Rasulullah s.a.w. dan sungguh Allah akan menyaksikan apa yang akan kuperbuat dalam perang tersebut." Dia tidak berani mengatakan hal yang lebih banyak dari itu. Dalam Perang Uhud dia ikut dengan Rasulullah s.a.w. dan dia berpapasan dengan Mu'az ibnu Jabal r.a., lalu dia berkata kepadanya, "Hai Abu Amr (nama gelaran Mu'az), ke manakah engkau lari? Sesungguhnya aku benar-benar mengendus angin syurga dari arah Bukit Uhud ini." Maka Anas ibnun Nadr maju memasuki barisan musuh hingga ia gugur dijalan Allah. Ternyata di dalam tubuhnya ditemukan lapan puluh luka lebih kerana sabetan pedang, tusukan tombak, dan lemparan anak panah. Saudara perempuannya (iaitu Ar-Rabi' bintin Nadr, makcik Anas ibnu Malik r.a.) mengatakan, "Aku tidak mengenal saudara lelakiku melainkan melalui jari telunjuknya (kerana semua tubuhnya penuh dengan luka hingga sulit dikenali)." Selanjutnya Anas ibnu Malik r.a. mengatakan bahawa berkenaan dengan peristiwa ini turunlah firman Allah s.w.t.,

"23. Di antara orang-orang mukmin ada orang-orang lelaki mereka menepati apa yang mereka telah janjikan pada Allah atasnya;" 

Di antara orang-orang yang beriman itu ada orang-orang yang menepati apa yang telah mereka janjikan kepada Allah; iaitu tetap teguh bersama Nabi s.a.w. Mereka tetap berpegang teguh kepada ikrar dan janji mereka, dan menyempurnakannya serta mengorbankan jiwa raga mereka untuk mencari keridhaanNya.

"maka di antara mereka ada orang yang telah sampai waktu kematiannya" 

Nahbahu bermaksud ajalnya. Ada yang mengatakan janjinya. Di antara mereka ada yang gugur, iaitu mati dalam keadaan hendak memenuhi hakNya atau terbunuh di jalan Allah.

"dan di antara mereka ada orang yang menunggu." 

Di antara mereka ada juga yang menunggu-nunggu, iaitu berusaha untuk memenuhi janjinya itu.

"dan tidak mereka mengubah perubahan."

Mereka sama sekali tidak mengubah janji mereka kepada Allah, tidak merosaknya, tidak menggantinya dan tidak mengkhianatinya, bahkan mereka tetap berpegang teguh kepada janji mereka kepada Allah. Mereka inilah lelaki yang sejati. Tidak seperti orang-orang munafik, mereka hanya berpenampilan lelaki, tetapi sifatnya tidak demikian.

"24. Kerana Allah hendak memberi balasan orang-orang yang benar dengan kebenaran mereka," 

Supaya atau agar Allah memberikan balasan kepada orang-orang yang benar itu kerana kebenarannya dalam ucapannya, dalam keadaannya, serta hubungan mereka dengan Allah, dan samanya keadaan luar dan dalam mereka.

"dan Dia menyiksa orang-orang yang munafik" 

Dan mengazab orang munafik yang hati dan amal mereka berubah ketika terjadi fitnah, serta tidak memenuhi janji mereka kepada Allah.

"jika Dia menghendaki" 

Iaitu dengan mencabut nyawanya di atas kemunafikan dan tidak memberinya hidayah, kerana Dia mengetahui tidak ada lagi kebaikan dalam hati mereka.

"atau Dia menerima taubat atas mereka." 

Atau menerima taubat mereka, iaitu dengan memberi mereka taufik untuk bertaubat dan kembali. Inilah yang biasa terjadi dalam kepemurahan Allah s.w.t.

"Sesungguhnya Allah adalah Maha Pengampun Maha Penyayang." 

Sesungguhnya Allah Maha Pengampun. Dia mengampuni dosa orang yang melampaui batas walaupun banyak dosanya, jika mereka bertaubat. Dia Maha Penyayang. Dia memberi mereka taufik untuk bertaubat, lalu menerimanya dan menutupi dosa yang mereka lakukan.

"25. Dan Allah menolak orang-orang yang kafir dengan kemarahan mereka tidak memperoleh kebaikan." 

Allah menghalau orang-orang yang kafir itu yang keadaan mereka penuh kejengkelan, kerana mereka tidak mendapat keuntungan apa pun.

Allah mengembalikan mereka dalam keadaan kecewa, apa yang mereka harapkan tidak tercapai walaupun mereka telah menyiapkan segala sesuatunya, mereka dibuat bangga dengan pasukannya serta bergembira dengan perlengkapan dan jumlahnya.

Allah mengirimkan kepada mereka angin kencang (iaitu angin timur) yang menggoncang markas mereka, merobohkan khemah-khemah mereka, membalikkan periuk mereka, membuat mereka cemas, dan Allah masukkan ke dalam hati mereka rasa ketakutan sehingga mereka pun pulang dalam keadaan jengkel. Ini termasuk pertolongan Allah kepada hamba-hambaNya.

Imam Nasa’i meriwayatkan dengan sanadnya yang sampai kepada Abdurrahman bin Abi Sa’id dari bapanya, (dia berkata), “Kaum musyrik membuat kami sibuk pada perang Khandaq sehingga (kami) tidak sempat solat Zuhur hingga tenggelam matahari.

Hal itu sebelum turun apa yang Allah ‘Azza wa Jalla turunkan tentang perang (iaitu), “Dan cukuplah Allah (yang menolong menghindarkan) orang-orang mukmin (dalam) peperangan,” maka Rasulullah s.a.w. Bilal untuk iqamat, dia pun iqamat, kemudian Beliau solat sebagaimana solat pada waktunya, lalu Bilal iqamat untuk solat Asar, maka Beliau solat sebagaimana solat pada waktunya. Kemudian Bilal mengumandangkan azan Maghrib, lalu solat sebagaimana solat pada waktunya.”

"Dan cukuplah Allah orang-orang mukmin peperangan." 

Cukuplah Allah yang menolong menghindarkan orang-orang mukmin dalam peperangan. Kaum muslim tidak perlu perang tanding dan kontak senjata dengan-golongan-golongan yang bersekutu itu untuk mengusir mereka dari Madinah, tetapi Allah sendirilah yang menolong hambaNya, dan memenangkan bala tenteraNya.

Ayat ini mengandung isyarat yang menunjukkan tidak adanya lagi peperangan di antara kaum muslim dan kabilah Quraisy. Dan memang demikianlah kejadian sesudahnya, kaum musyrik tidak lagi menyerang kaum muslim, bahkan sebaliknya kaum muslimlah yang menyerang mereka di negeri mereka (Mekah).

"Dan Allah Mahakuat Mahaperkasa." 

Adalah Allah Mahakuat untuk mewujudkan apa yang Dia inginkan. Dia Mahaperkasa, iaitu berkuasa terhadap perintahNya.

Dengan usaha dan kekuatanNya Dia mengembalikan golongan yang bersekutu itu ke negeri mereka dalam keadaan kecewa, tidak meraih suatu kebaikan pun. Allah memenangkan Islam dan para pemeluknya; Dia membenarkan janjiNya, menolong Rasul dan hambaNya. Segala puji bagi Allah yang telah mengurniakan semua kurnia itu.

Oleh kerana itu, orang-orang yang memiliki kekuatan dan keperkasaan tidaklah bermanfaat kekuatan dan keperkasaannya itu jika Allah tidak menolong mereka dengan kekuatan dan keperkasaanNya.

Tiada ulasan:

KANDUNGAN.

JUZUK 1. Isti'adzah.    Al Fatihah 1 , 2 , 3 , 4 , 5 , 6 , 7 . Al Baqarah 1-5 , 6-7 , 8-9 , 10-16 , 17-20 , 21-25 , 26-27 , 28-29 , 3...