Sabtu, 11 April 2020

36:1-12 Tafsir Surah Yasin, ayat 1-12.

بِسْمِ اللَّهِ الرَّحْمَنِ الرَّحِيمِ

Dengan menyebut nama Allah Yang Maha Pemurah lagi Maha Penyayang.

يس (١) وَالْقُرْآنِ الْحَكِيمِ (٢) إِنَّكَ لَمِنَ الْمُرْسَلِينَ (٣) عَلَى صِرَاطٍ مُسْتَقِيمٍ (٤) تَنْزِيلَ الْعَزِيزِ الرَّحِيمِ (٥) لِتُنْذِرَ قَوْمًا مَا أُنْذِرَ آبَاؤُهُمْ فَهُمْ غَافِلُونَ (٦) لَقَدْ حَقَّ الْقَوْلُ عَلَى أَكْثَرِهِمْ فَهُمْ لا يُؤْمِنُونَ (٧) إِنَّا جَعَلْنَا فِي أَعْنَاقِهِمْ أَغْلالا فَهِيَ إِلَى الأذْقَانِ فَهُمْ مُقْمَحُونَ (٨) وَجَعَلْنَا مِنْ بَيْنِ أَيْدِيهِمْ سَدًّا وَمِنْ خَلْفِهِمْ سَدًّا فَأَغْشَيْنَاهُمْ فَهُمْ لا يُبْصِرُونَ (٩) وَسَوَاءٌ عَلَيْهِمْ أَأَنْذَرْتَهُمْ أَمْ لَمْ تُنْذِرْهُمْ لا يُؤْمِنُونَ (١٠) إِنَّمَا تُنْذِرُ مَنِ اتَّبَعَ الذِّكْرَ وَخَشِيَ الرَّحْمَنَ بِالْغَيْبِ فَبَشِّرْهُ بِمَغْفِرَةٍ وَأَجْرٍ كَرِيمٍ (١١) إِنَّا نَحْنُ نُحْيِي الْمَوْتَى وَنَكْتُبُ مَا قَدَّمُوا وَآثَارَهُمْ وَكُلَّ شَيْءٍ أحْصَيْنَاهُ فِي إِمَامٍ مُبِينٍ (١٢)

Allah s.w.t. berfirman,

"1. Ya Sin."

"2. Demi Al Qur’an yang penuh hikmah."

Allah s.w.t. bersumpah dengan Al Qur'an sifatnya yang penuh dengan hikmah (bijaksana), iaitu yang muhkam, tidak datang kepadanya kebatilan, baik dari depan maupun dari belakangnya, menempatkan sesuatu pada tempatnya, perintah dan larangannya tepat, memberikan balasan pada tempatnya, hukum-hukum syar’i dan jaza’i(balasan)nya juga penuh dengan hikmah.

Di antara kebijaksanaan Al Qur’an adalah menggabung antara menyebutkan hukum dengan hikmahnya, mengingatkan akal terhadap hal-hal yang sesuai dan sifat-sifat yang menghendaki untuk dihukumi.

Ayat ini sebagai bantahan terhadap orang-orang kafir yang mengatakan kepada Beliau, “Engkau bukan seorang rasul.”

"3. Sungguh, kamu benar-benar termasuk para rasul."

Ini adalah isi dari sumpah di atas. Sesungguhnya kamu (Muhammad) adalah salah seorang dari rasul-rasul. Apa yang Beliau s.a.w. bawa sama dengan yang dibawa para rasul sebelumnya seperti dalam masalah-masalah usul/pokok.

Barang siapa yang memperhatikan keadaan para rasul dan sifat mereka, maka dia akan mengetahui bahawa Beliau termasuk rasul pilihan kerana sifat-sifat sempurna yang Beliau miliki dan akhlak utama.

"4. Atas jalan yang lurus."

Kamu berada pada suatu tuntunan, agama yang benar, dan syariat yang lurus. Jalan yang lurus itu diturunkan Tuhan Yang Mahaperkasa lagi Maha Penyayang ke dalam kitabNya dan diturunkanNya sebagai jalan bagi hamba-hambaNya. Jalan yang lurus itu dapat menyampaikan mereka kepadaNya dan kepada syurgaNya.

Jalan yang lurus tersebut mencakup ilmu (pengetahuan terhadap yang hak) dan amal, di mana amal tersebut adalah amal yang soleh; yang memperbaiki hati dan badan, dunia dan akhirat. Termasuk ke dalam amal soleh adalah akhlak yang utama yang membersihkan jiwa dan menyucikan hati serta mengembangkan pahala.

Jalan yang lurus merupakan sifat bagi Rasulullah s.a.w. dan sifat bagi agama yang Beliau bawa. Maka perhatikanlah keagungan Al Qur’an ini, di mana Allah s.w.t. menggabung antara bersumpah dengan sesuatu yang paling mulia dipakai bersumpah dan hal agung yang disumpahkan (iaitu kerasulan Muhammad s.a.w.).

Memang berita Allah saja yang menunjukkan kerasulan Beliau sudah cukup, akan tetapi Dia menegakkan dalil-dalil yang jelas dan bukti-bukti yang nyata di sini untuk menunjukkan kebenaran yang disumpahkan itu serta mengisyaratkan kepada kita untuk mengikuti jalannya.

"5. Diturunkan Mahaperkasa Maha Penyayang."

Sebagai wahyu yang diturunkan oleh Allah Yang Mahaperkasa lagi Maha Penyayang. Iaitu jalan, tuntunan dan agama yang kamu sampaikan ini diturunkan keterangannya dari Tuhan Yang Mahaperkasa lagi Maha Penyayang untuk hamba-hambaNya yang beriman.

Dengan keperkasaanNya, Dia menjaga jalan itu dari perubahan dan dengan jalan itu, Dia merahmati hamba-hambaNya dengan rahmat yang mengena kepada mereka sehingga dapat menyampaikan mereka ke tempat rahmatNya (syurga).

"6. Agar kamu beri peringatan kaum tidak diberi peringatan nenek moyang mereka, maka mereka orang-orang yang lalai."

Agar kamu memberi peringatan kepada suatu kaum yang nenek moyangnya belum pernah diberi peringatan, iaitu berada di zaman fatrah (terputus pengiriman rasul). Kerana itu mereka lalai dari iman dan petunjuk atau dari tauhid.

Mereka ini adalah orang-orang Arab yang ummiy (buta huruf), mereka sebelumnya selalu kosong dari kitab dan rasul, kebodohan dan kesesatan telah merata menimpa mereka. Maka Allah s.w.t. mengutus kepada mereka seorang rasul dari kalangan mereka yang menyucikan mereka dan mengajarkan kepada mereka Al Qur’an dan hikmah (As Sunnah).

Padahal mereka sebelumnya berada dalam kesesatan yang nyata, maka Beliau memberi peringatan kepada orang-orang Arab yang ummi dan orang-orang yang bertemu mereka, serta mengingatkan Ahli Kitab terhadap kitab yang ada pada mereka, maka dengan diutusnya Beliau merupakan nikmat dari Allah kepada bangsa Arab secara khusus dan kepada semua manusia secara umum.

Akan tetapi, mereka yang didatangi rasul itu terbahagi menjadi dua golongan: (1) Golongan yang menolak apa yang Beliau bawa dan tidak menerima peringatan itu, di mana tentang mereka Allah s.w.t. berfirman, “Sungguh, pasti berlaku perkataan (hukuman) terhadap kebanyakan mereka, kerana mereka tidak beriman.” (2) Golongan yang menerima peringatan sebagaimana yang disebutkan pada ayat 11 dalam surah Yasin ini.

"7. Sungguh pasti berlaku perkataan atas kebanyakan mereka, maka mereka tidak beriman."

Sesungguhnya telah pasti berlaku ketentuan Allah terhadap kebanyakan mereka, kerana mereka tidak beriman kepada Allah dan tidak membenarkan rasul-rasulNya.

Iaitu berlaku pada mereka qadha’ dan kehendakNya, bahawa mereka senantiasa dalam kekafiran dan kemusyrikan, dan dijatuhkan kepada mereka perkataan (hukuman) kerana sebelumnya mereka telah disodorkan kebenaran, lalu mereka menolaknya, maka sebagai hukumannya hati mereka dicap.

"8. Sungguh, Kami telah menjadikan pada leher-leher mereka belenggu, lalu ia sampai ke dagu, maka mereka bertengadah."

Sungguh, Kami telah memasang belenggu di leher mereka, lalu tangan mereka diangkat ke dagu, kerana itu mereka tertengadah. Iaitu mengangkat kepalanya dan tidak mampu menundukkannya. Al muqmah bermaksud orang yang terangkat kepalanya.

Menurut sebahagian ahli tafsir, ayat ini merupakan tamsil (perumpamaan) yang maksudnya adalah bahawa mereka tidak mahu tunduk beriman. Ada yang mengatakan tangan mereka terikat ke leher mereka sebagai kata kiasan yang menunjukkan bahawa tangan mereka tidak mahu dihulurkan untuk memberi kebaikan.

"9. Dan Kami jadikan dari hadapan mereka dinding dan dari belakang mereka dinding," 

Kami adakan di hadapan mereka sekat dan di belakang mereka juga sekat. Dinding itu menutupi mereka dari kebenaran sehingga mereka kebingungan atau kesesatan.

"lalu Kami tutup mereka, maka mereka tidak melihat."

Kami tutup mata mereka dari kebenaran sehingga mereka tidak dapat melihat, iaitu tidak dapat mengambil manfaat dari kebaikan dan tidak mendapat petunjuk untuk menempuh jalan kebaikan.

Ayat ini juga menurut sebahagian ahli tafsir merupakan tamsil yang menunjukkan tertutupnya jalan bagi mereka untuk beriman.

Abu Jahal pernah berkata, "Sekiranya aku melihat Muhammad, sungguh aku akan melakukan ini dan ini." Maka turunlah firman Allah s.w.t., "Sungguh, Kami telah menjadikan pada leher-leher mereka belenggu," (Yasin: 8) sampai dengan firmanNya, maka mereka tidak melihat." (Yasin: 9). Mereka mengatakan, "Inilah Muhammad." Tetapi Abu Jahal bertanya, Mana dia, mana dia?" Ternyata dia tidak dapat melihatnya.

"10. Dan sama saja atas mereka, apakah kamu beri mereka peringatan, atau tidak kamu beri mereka peringatan, mereka tidak beriman."

Sama saja bagi mereka, samada kamu memberi peringatan kepada mereka, atau kamu tidak memberi peringatan kepada mereka, mereka tidak juga akan beriman. Hati mereka telah dicap, maka mereka nampak yang hak sebagai kebatilan dan yang batil sebagai hak.

Allah telah memastikan kesesatan atas diri mereka, kerananya tidak ada faedahnya lagi peringatan untuk mereka dan mereka tidak akan terpengaruh oleh peringatan.

"11. Sesungguhnya kamu beri peringatan orang yang mengikuti peringatan" 

Sesungguhnya kamu hanya memberi peringatan kepada orang-orang yang mahu mengikuti peringatan. Iaitu orang-orang yang mengambil manfaat dari peringatan dan nasihat yang diberikan oleh Nabi Muhammad s.a.w. hanyalah orang-orang yang beriman, iaitu mereka yang mahu mengikuti peringatan itu, iaitu Al Qur'an. Iaitu mereka yang niatnya mengikuti kebenaran.

"dan takut Ar Rahman, walaupun tidak melihatNya." 

Peringatan itu hanyalah berguna bagi orang yang takut kepada Tuhan Yang Maha Pemurah, walaupun mereka tidak melihatNya. Iaitu manakala tiada seorang pun yang melihatnya selain hanya Allah s.w.t., kerana dia mengetahui bahawa Allah s.w.t. Maha Melihat kepadanya dan Maha Mengetahui segala yang diperbuatnya

"Maka berilah dia khabar gembira dengan ampunan dan pahala yang mulia."

Maka berilah mereka khabar gembira terhadap amal mereka yang soleh dan niatnya yang baik dengan ampunan dari dosa-dosanya, dan pahala yang banyak, luas, baik, dan indah, iaitu syurga.

"12. Sungguh Kami, Kami menghidupkan yang mati" 

Sungguh, Kamilah yang membangkitkan orang-orang yang telah mati kelak di hari kiamat untuk diberikan balasan terjadap amal mereka.

Di dalam ayat ini terdapat isyarat yang menunjukkan bahawa Allah s.w.t. dapat menghidupkan hati orang yang dikehendakiNya dari kalangan orang-orang kafir yang hatinya telah mati kerana kesesatan, maka Allah memberinya petunjuk kepada jalan yang benar sesudah itu.

"dan Kami tulis apa yang mereka kerjakan" 

Kamilah yang mencatat dalam Lauh Mahfuzh semua amal perbuatan yang telah mereka kerjakan dalam hidup mereka; perbuatan baik atau buruk untuk diberikan balasan.

"dan bekas-bekas mereka." 

Dan bekas-bekas yang mereka tinggalkan. Baik atau buruk bekas yang mereka tinggalkan, di mana mereka menjadi sebab ada tidaknya perbuatan itu baik di masa hidup mereka maupun setelah mati mereka, demikian pula amalan yang dilakukan kerana ucapan, perbuatan dan keadaan mereka.

Oleh kerana itu, setiap kebaikan yang dikerjakan oleh seseorang disebabkan pengetahuannya, pengajarannya, dan nasihatnya, atau amar ma’ruf dan nahi mungkarnya atau ilmu yang dia tanamkan ke dalam diri siswa atau ia tulis dalam beberapa kitab yang kemudian dimanfaatkan baik pada masa hidupnya maupun setelah matinya, atau mengerjakan kebaikan, seperti solat, zakat, sedekah dan berbuat ihsan, lalu diikuti oleh orang lain.

Atau dia membangun masjid atau membuat suatu tempat yang kemudian dimanfaatkan oleh manusia dan sebagainya. Maka hal itu termasuk bekas peninggalan yang dicatat juga, sebagaimana peninggalan buruk juga dicatat.

Oleh kerana itu, Rasulullah s.a.w. bersabda, “Barang siapa mencontohkan dalam Islam contoh yang baik, maka dia akan mendapatkan pahalanya dan pahala orang yang mengamalkan setelahnya. Barang siapa yang mencontohkan sunnah yang buruk, maka dia akan menanggung dosanya dan dosa orang yang mengamalkan setelahnya tanpa dikurangi sedikit pun dari dosa-dosa mereka.”

Hal ini juga menunjukkan betapa tingginya kedudukan dakwah kepada Alah; membimbing manusia ke jalanNya dengan berbagai sarana dan jalan yang dapat mencapai kepadanya, dan menunjukkan rendahnya kedudukan orang yang mengajak kepada keburukan atau menjadi imam dalam hal ini, dan bahawa dia adalah makhluk paling hina, paling besar kejahatan dan dosanya.

"Dan segala sesuatu Kami kumpulkan dalam kitab yang nyata."

Imamim Mubin dalam ayat ini bermaksud induk dari kitab (Ummul Kitab). Segala sesuatu baik amal, niat dan selainnya, Kami catatkan secara rinci lagi tepat dalam kitab induk yang jelas, iaitu di Lauh Mahfuz.

Tiada ulasan:

KANDUNGAN.

JUZUK 1. Isti'adzah.    Al Fatihah 1 , 2 , 3 , 4 , 5 , 6 , 7 . Al Baqarah 1-5 , 6-7 , 8-9 , 10-16 , 17-20 , 21-25 , 26-27 , 28-29 , 3...