Sabtu, 11 April 2020

38:41-44 Tafsir Surah Sad, ayat 41-44.

وَاذْكُرْ عَبْدَنَا أَيُّوبَ إِذْ نَادَى رَبَّهُ أَنِّي مَسَّنِيَ الشَّيْطَانُ بِنُصْبٍ وَعَذَابٍ (٤١) ارْكُضْ بِرِجْلِكَ هَذَا مُغْتَسَلٌ بَارِدٌ وَشَرَابٌ (٤٢)وَوَهَبْنَا لَهُ أَهْلَهُ وَمِثْلَهُمْ مَعَهُمْ رَحْمَةً مِنَّا وَذِكْرَى لأولِي الألْبَابِ (٤٣) وَخُذْ بِيَدِكَ ضِغْثًا فَاضْرِبْ بِهِ وَلا تَحْنَثْ إِنَّا وَجَدْنَاهُ صَابِرًا نِعْمَ الْعَبْدُ إِنَّهُ أَوَّابٌ (٤٤)

Allah s.w.t. berfirman,

"41. Dan ingatlah hamba Kami Ayyub ketika dia menyeru Tuhannya," 

Ingatlah akan hamba Kami Ayyub ketika dia menyeru Tuhannya. Iaitu ketika Beliau tertimpa musibah, lalu Beliau bersabar dan tidak mengadu selain kepada Allah Tuhannya dan tidak kembali selain kepadaNya. Kepada Allahlah Beliau mencurahkan isi hatinya.

Allah s.w.t. menyebutkan tentang hamba dan RasulNya Ayyub a.s., cobaanNya kepadanya berupa musibah yang mengena kepada jasadnya, hartanya dan anaknya, bahkan mengena ke sekujur tubuhnya selain hatinya dan lisannya yang digunakan untuk berzikir.

Tidak seorang pun yang membantu dan merawatnya ketika menderita sakit tersebut selain isterinya yang tetap menjaganya kerana beriman kepada Allah dan RasulNya, dia sampai rela bekerja kepada orang lain dengan mendapatkan upah untuk memberi makan suaminya dan tetap melayaninya selama lapan belas tahun.

Padahal sebelumnya Ayyub a.s. memiliki harta dan anak yang ramai, namun semuanya telah tiada sampai Beliau diletakan di tempat sampah di antara tempat sampah di negeri itu dalam waktu yang lama itu.

Orang ramai menjauhinya baik orang dekatnya maupun orang yang jauh selain isterinya yang tetap menemaninya di pagi dan petang kecuali pada saat sedang bekerja, setelah itu isterinya segera kembali menemuinya.

Setelah berlalu waktu yang cukup lama, keadaan semakin parah dan sudah mencapai puncaknya dan batas waktu yang telah ditetapkan sudah tiba, maka Ayyub a.s. dengan merendahkan diri berdoa kepada Allah s.w.t.,

"Bahawasanya disentuh syaitan dengan kepayahan dan azab."

Sesungguhnya aku diganggu syaitan dengan kepayahan atau penderitaan, dan siksaan atau bencana. Iaitu syaitan diberikan kekuasaan untuk menguasai jasadnya lalu ia (syaitan) meniupnya sehingga keluar bisul lalu bengkak dan bernanah, kemudian keadaannya pun semakin parah.

Maka Allah s.w.t. memperkenankan doanya dan memerintahkan agar dia bangun dan menghentakkan kakinya ke bumi.

"42. Hentakkanlah dengan kakimu, ini untuk mandi sejuk dan minum."

Ayyub a.s. menaati perintah itu, maka keluarlah air dari bekas kakinya atas petunjuk Allah, Ayyub pun mandi dan minum dari air itu, sehingga sembuhlah badannya dari penyakitnya.

Selanjutnya, Allah s.w.t. memerintahkan lagi untuk menghentakkan lagi kakinya ke bumi di bahagian yang lain, maka memancarlah air lagi, lalu Allah memerintahkannya meminum airnya sehingga hilanglah penyakit yang menimpa badannya bahagian dalam, dan Beliau pun dapat berkumpul kembali dengan keluarganya.

Rasulullah s.a.w. bercerita, "Sesungguhnya Nabi Allah Ayyub a.s. menjalani masa cobaannya selama lapan belas tahun. Semua orang menolaknya, baik yang dekat maupun yang jauh, terkecuali dua orang lelaki yang sejak semula merupakan teman terdekatnya. Keduanya biasa mengunjunginya di setiap pagi dan petang hari.

Salah seorang dari keduanya berkata kepada temannya, "Tahukah kamu, demi Allah, sesungguhnya Ayyub telah melakukan suatu dosa yang belum pernah dilakukan oleh seorang manusia pun." Teman bicaranya bertanya, "Dosa apakah itu?"

Dia menjawab, "Selama lapan belas tahun dia tidak dikasihani oleh Allah s.w.t. dan tidak dibebaskan dari cobaan yang menimpanya." Ketika keduanya mengunjungi Ayyub, maka salah seorang temannya itu tidak dapat menahan rasa keingintahuannya, lalu ia menceritakan hal itu kepada Ayyub.

Maka Nabi Ayyub berkata, "Saya tidak mengerti apa yang kamu bicarakan itu, hanya saja Allah s.w.t. mengetahui bahawa sesungguhnya dahulu aku bersua dengan dua orang lelaki yang sedang bersengketa, lalu keduanya menyebut-nyebut nama Allah s.w.t. (dalam sumpahnya). Maka aku pulang ke rumahku, lalu membayar kifarat untuk kedua orang itu kerana tidak suka nama Allah s.w.t. disebut-sebut dalam perkara yang hak (benar)."

Disebutkan bahawa Nabi Ayyub apabila menunaikan hajatnya (buang air) selalu dituntun oleh isterinya; dan apabila telah selesai, isterinya kembali menuntunnya ke tempat dia berada. Pada suatu hari isterinya datang terlambat, maka Allah menurunkan wahyu kepada Ayyub a.s., "Hentakkanlah kakimu; inilah air yang sejuk untuk mandi dan untuk minum."

Ketika isterinya tiba di tempat Nabi Ayyub dia mencari-cari suaminya sedangkan Ayyub a.s. menghampirinya dalam keadaan telah pulih seperti sediakala kerana Allah telah melenyapkan semua penyakitnya.

Ketika menyaksikan kedatangannya, isterinya bertanya, "Semoga Allah memberkatimu, apakah engkau melihat Nabi Allah yang sedang mengalami cobaan yang tadi ada di sini? Maka demi Allah Yang Mahakuasa atas segalanya, aku belum pernah melihat lelaki yang lebih mirip dengan suamiku itu di masa dia masih sihat." Nabi Ayyub menjawab, "Sesungguhnya aku sendirilah Ayyub itu."

Disebutkan bahawa Nabi Ayyub mempunyai dua buah peti, yang satu untuk wadah gabah gandum, dan yang satunya lagi untuk wadah gabah jewawut. Maka Allah s.w.t. mengirimkan dua kumpulan awan; ketika salah satunya telah berada di atas wadah gabah gandum, awan tersebut menuangkan emas yang dikandungnya ke dalam wadah itu hingga melimpah. Awan yang lainnya menuangkan emas juga ke dalam wadah gabah jewawut hingga melimpah.

Rasulullah s.a.w. bersabda, "Ketika Ayyub sedang mandi telanjang, berjatuhanlah kepadanya belalang-belalang emas, maka Ayyub a.s. mengambilnya dan memasukkannya ke dalam pakaiannya. Maka Tuhannya berfirman menyerunya, "Hai Ayyub, bukankah Aku telah memberimu kecukupan hingga kamu tidak memerlukan apa yang kamu saksikan itu?” Ayyub a.s. menjawab, "Memang benar, ya Tuhanku, tetapi aku masih belum merasa cukup dengan berkah dariMu."

"43. Dan Kami anugerahkan kepadanya keluarganya dan serupa itu beserta mereka rahmat dari Kami" 

Kami anugerahi dia dengan mengumpulkan kembali keluarganya dan Kami lipat-gandakan atau tambahkan jumlah mereka sebanyak mereka juga sebagai rahmat dari Kami, iaitu berkat kesabarannya, keteguhan hatinya, ketaatannya, kembalinya kepada Allah, tawadhu’ (rendah dirinya), ketenangannya dan penyerahan dirinya kepada Allah ‘Azza wa Jalla.

Ada yang mengatakan bahawa Allah menghidupkan kembali anak-anaknya dan melipatgandakannya.

"dan peringatan bagi orang yang mempunyai akal." 

Juga sebagai pelajaran bagi orang-orang yang berfikiran sihat, iaitu agar mereka mengetahui, bahawa buah atau akhir dari kesabaran adalah kelonggaran, keselamatan, jalan keluar dan kesejahteraan.

Isteri Nabi Ayyub telah menjual rambut kepangannya, lalu menukarnya dengan roti untuk makan Ayyub a.s. Maka Beliau marah dan mencela perbuatan isterinya itu, bahkan sampai bersumpah bahawa jika Allah memberinya kesembuhan, Beliau benar-benar akan memukul isterinya dengan seratus kali dera pukulan.

Setelah Allah s.w.t. menyembuhkannya dan menjadikannya sihat seperti sediakala. Beliau teringat terhadap sumpahnya, tetapi Beliau merasakan bahawa tidaklah patut jika isterinya yang telah berjasa memberikan pelayanan dan kasih sayang serta kebaikan kepadanya dibalas dengan pukulan.

Timbul dalam hatinya rasa kasihan dan sayang kepada isterinya yang solehah sehingga dia tidak dapat memenuhi sumpahnya. Maka Allah s.w.t. memberikan petunjuk kepada Ayyub a.s.,

"44. Dan ambillah dengan tanganmu seikat rumput, maka pukullah dengannya dan janganlah kamu melanggar." 

Ambillah seikat rumput dengan tanganmu, lalu pukullah dengannya dan janganlah kamu melanggar sumpah. Allah s.w.t. memerintahkan Ayyub a.s. untuk mengambil lidi sebanyak seratus batang yang semuanya dijadikan satu, lalu dipukulkan kepada isterinya sekali pukul.

Dengan demikian, bererti Ayyub a.s. telah memenuhi sumpahnya dan tidak melanggarnya serta menunaikan nazarnya itu. Namun tidak menyakitkan isterinya. Hal ini adalah merupakan jalan keluar dan pemecahan masalah bagi orang yang bertakwa kepada Allah dan taat kepadanya.

"Sungguh Kami mendapati dia sabar. Sebaik-baik hamba." 

Sesungguhnya Kami dapati Ayyub seorang yang sabar. Dialah sebaik-baik hamba. Maksudnya, telah sempurna darjat kehambaannya baik ketika senang maupun susah, lapang maupun sempit. Ayat ini merupakan pujian Allah s.w.t. kepada NabiNya Ayyub a.s. atas kesabarannya.

"Sungguh dia orang yang kembali." 

Sesungguhnya Ayyub a.s. sangat taat kepada Tuhannya. Iaitu Beliau banyak kembali dan mengadu kepada Allah dalam mengatasi berbagai masalah baik yang terkait dengan agama maupun dunia. Beliau banyak berzikir dan berdoa, mencintaiNya dan beribadah kepadaNya.

Kebanyakan ulama fiqih menyimpulkan dalil dari ayat yang mulia ini dalam memecahkan masalah-masalah sumpah dan masalah lainnya. Mereka mengambilnya sesuai dengan makna yang tersurat padanya; hanya Allahlah Yang Maha Mengetahui.

Tiada ulasan:

KANDUNGAN.

JUZUK 1. Isti'adzah.    Al Fatihah 1 , 2 , 3 , 4 , 5 , 6 , 7 . Al Baqarah 1-5 , 6-7 , 8-9 , 10-16 , 17-20 , 21-25 , 26-27 , 28-29 , 3...