وَوَهَبْنَا لِدَاوُدَ سُلَيْمَانَ نِعْمَ الْعَبْدُ إِنَّهُ أَوَّابٌ (٣٠) إِذْ عُرِضَ عَلَيْهِ بِالْعَشِيِّ الصَّافِنَاتُ الْجِيَادُ (٣١) فَقَالَ إِنِّي أَحْبَبْتُ حُبَّ الْخَيْرِ عَنْ ذِكْرِ رَبِّي حَتَّى تَوَارَتْ بِالْحِجَابِ (٣٢) رُدُّوهَا عَلَيَّ فَطَفِقَ مَسْحًا بِالسُّوقِ وَالأعْنَاقِ (٣٣) وَلَقَدْ فَتَنَّا سُلَيْمَانَ وَأَلْقَيْنَا عَلَى كُرْسِيِّهِ جَسَدًا ثُمَّ أَنَابَ (٣٤) قَالَ رَبِّ اغْفِرْ لِي وَهَبْ لِي مُلْكًا لا يَنْبَغِي لأحَدٍ مِنْ بَعْدِي إِنَّكَ أَنْتَ الْوَهَّابُ (٣٥) فَسَخَّرْنَا لَهُ الرِّيحَ تَجْرِي بِأَمْرِهِ رُخَاءً حَيْثُ أَصَابَ (٣٦) وَالشَّيَاطِينَ كُلَّ بَنَّاءٍ وَغَوَّاصٍ (٣٧)وَآخَرِينَ مُقَرَّنِينَ فِي الأصْفَادِ (٣٨) هَذَا عَطَاؤُنَا فَامْنُنْ أَوْ أَمْسِكْ بِغَيْرِ حِسَابٍ (٣٩) وَإِنَّ لَهُ عِنْدَنَا لَزُلْفَى وَحُسْنَ مَآبٍ (٤٠)
Allah s.w.t. menceritakan bahawa Dia telah menganugerahkan anak kepada Daud a.s. (iaitu Sulaiman a.s.) yang menjadi seorang nabi, sebagaimana firmanNya, "Dan Sulaiman telah mewarisi Daud," (An Naml: 16) iaitu dalam hal kenabian, kerana sesungguhnya saat itu Daud a.s. mempunyai anak yang ramai selain Sulaiman a.s. dan seratus orang isteri yang semuanya dari wanita merdeka.
"30. Dan Kami kurniakan kepada Daud, Sulaiman, sebaik-baik hamba."
Kami kurniakan kepada Daud anak bernama Sulaiman, dia adalah sebaik-baik hamba. Ini adalah pujian bagi Sulaiman a.s. kerana Beliau sangat taat, banyak beribadah, dan kembali kepada Allah ‘Azza wa Jalla.
"Sesungguhnya dia orang yang sangat taat."
Sesungguhnya dia amat taat kepada Tuhannya, Allah. Ini merupakan pujian yang ditujukan kepada Sulaiman, bahawa dia adalah seorang yang sangat taat, banyak beribadah dan suka bertaubat kepada Allah s.w.t.
"Awwab" boleh juga diertikan sangat sering kembali kepada Allah dalam semua keadaannya, baik dengan beribadah, kembali, mencintai, berzikir, berdoa dan bertadharru' (merendahkan diri) serta berusaha mencari keridhaan Allah dan mengedepankannya di atas segala sesuatu.
"31. Ketika ditunjukkan kepadanya pada waktu petang beberapa kuda yang tenang yang cepat berlari."
Ingatlah ketika ditampilkan di hadapan Sulaiman a.s. yang duduk di atas singgasana kerajaannya pada waktu petang kuda-kuda yang jinak di waktu berhenti, tetapi sangat cepat di waktu larinya.
Safinat ialah kuda yang bila berdiri di atas ketiga kakinya, sedangkan kaki yang keempatnya hanya menginjakkan hujung teracaknya saja; inilah ciri khas kuda yang kencang larinya. Semuanya berjumlah dua puluh ekor kuda yang semuanya memiliki sayap.
Ada yang mengatakan bahawa kuda yang menyibukkan Sulaiman a.s. dari mengingat Allah berjumlah dua puluh ribu ekor, akhirnya Sulaiman a.s. menyembelih semuanya. Riwayat ini lebih mendekati kebenaran: hanya Allahlah Yang Maha Mengetahui.
Ketika kuda itu berhenti salah satu kakinya diangkat, dan lagi pemandangan kuda-kudanya cukup indah dan menarik terlebih bagi orang yang memerlukannya seperti raja, dan pertunjukan itu terus ditampilkan sampai matahari tenggelam sehingga Beliau lupa tidak solat Asar dan menyesal.
"32. Maka dia berkata, "Sesungguhnya aku menyukai kesenangan yang baik, dari mengingat tuhanku, sehingga tertutup dengan tabir."
Sulaiman a.s. berkata, "Sesungguhnya aku menyukai kesenangan terhadap barang yang baik (kuda) hingga melalaikan diriku dari mengingat Tuhanku, sampai kuda itu tertutup dari pandangan.” Atau sampai matahari terbenam.
Sulaiman a.s. disibukkan oleh penampilan kuda-kuda itu hingga terlewatkan darinya solat Asar. Tetapi yang pasti Beliau tidak meninggalkannya dengan sengaja, melainkan lupa, seperti kesibukan yang pernah dialami oleh Nabi s.a.w. pada hari penggalian parit hingga solat Asar terlewatkan olehnya dan baru mengerjakannya sesudah mentari tenggelam.
"33. "Bawalah ia kembali kepadaku." Lalu dia mulai berbuat mengusap-usap pada kaki dan leher."
Sulaiman a.s. berkata, "Bawalah semua kuda itu kembali kepadaku." Lalu dia mengusap-usap kaki dan leher kuda itu. Ada yang menafsirkan, lalu dia menebas kaki dan leher kuda itu.
Al Hasan Al Basri mengatakan, "Tidak," Sulaiman berkata, "Demi Allah, janganlah engkau melalaikanku dari menyembah Tuhanku, sekarang engkau harus menerima pembalasannya?" Kemudian Sulaiman a.s. memerintahkan agar kuda-kuda itu ditangkap, lalu disembelih.
Hal yang sama dikatakan oleh Qatadah. As Saddi mengatakan bahawa Sulaiman a.s. menebas batang leher dan pergelangan kaki kuda-kuda itu.
Ali ibnu Abu Talhah meriwayatkan dari Ibnu Abbas r.a. bahawa Sulaiman a.s. mengusap-usap leher dan kaki kuda itu. Pendapat ini dipilih oleh Ibnu Jarir. Beliau mengatakan, tidaklah mungkin Sulaiman a.s. menyiksa haiwan dengan menyembelihnya, yang bererti dia telah memusnahkan sebahagian dari hartanya tanpa penyebab. Hanya kerana alasan harta tersebut dia lalai dari solatnya kerana keasyikan memandangnya, sedangkan kuda itu tidak mempunyai dosa.
Pendapat yang diperkuat oleh Ibnu Jarir ini masih perlu diteliti kebenarannya, kerana barangkali hal seperti itu diperbolehkan menurut syariat mereka, terlebih lagi jika marah yang diakibatkannya adalah demi kerana Allah s.w.t. disebabkan kuda tersebut menjadi penyebab dia lupa dari salatnya hingga waktu solat habis.
Oleh kerana itulah setelah Sulaiman a.s. membebaskan dirinya dari kuda-kuda itu, maka Allah s.w.t. menggantinya dengan kenderaan yang jauh lebih baik daripada kuda-kuda itu. Iaitu angin yang dapat membawanya pergi ke mana pun yang dia perintahkan, yang perjalanannya di waktu pagi sama dengan perjalanan satu bulan; dan perjalanannya di waktu petang hari sama dengan perjalanan satu bulan. Hal ini jelas jauh lebih baik dari kuda.
Imam Ahmad meriwayatkan dari Abu Qatadah dan Abud Dahma yang keduanya sering melakukan perjalanan ke Baitullah. Keduanya mengatakan bahawa kami mendatangi seorang lelaki Badui, lalu lelaki Badui itu berkata kepada kami bahawa Rasulullah s.a.w. pernah memegang tangannya, kemudian mengajarinya apa yang telah diajarkan oleh Allah kepadanya. Lalu Beliau s.a.w. bersabda, "Sesungguhnya kamu tidak sekali-kali meninggalkan sesuatu kerana takut kepada Allah, melainkan Allah s.w.t. akan memberimu (sebagai gantinya) hal yang lebih baik dari itu."
"34. Dan sungguh Kami telah menguji Sulaiman"
Sesungguhnya Kami telah menguji Sulaiman dengan mencabut kerajaan dari tangannya.
"dan Kami jatuhkan atas kursinya tubuh,"
Kami jadikan dia tergeletak di atas kursinya sebagai tubuh yang lemah kerana sakit. Ayat ini juga boleh diertikan sebagai berikut, “Dan sungguh, Kami telah menguji Sulaiman dan Kami letakkan sebuah jasad di atas kursinya, kemudian dia bertaubat.” Ada yang mengatakan bahawa sosok tubuh itu adalah syaitan yang merupakan dirinya dengan Sulaiman a.s.
Allah s.w.t. tidak menerangkan hakikat jasad yang Dia letakkan di atas kursinya. Kita mengimani bahawa Allah menguji Beliau dengan meletakkan sebuah jasad di atas kursinya, dan kita tidak mengetahui tentang jasad itu. Semua perkataan yang membicarakan tentang hal itu berasal dari cerita Israiliyyat; kita tidak mengetahui benar dan dustanya, wallahu a’lam.
Sebahagian ahli tafsir ada mengatakan bahawa yang dimaksud dengan ujian ini ialah kehilangan kerajaan Sulaiman disebabkan aib yang biasa terjadi pada manusia sehingga orang lain duduk di atas singgasananya.
"kemudian dia kembali."
Mereka menyebutkan bahawa makna anaba ialah kembali, iaitu kemudian kerajaan, pengaruh, dan wibawanya kembali kepada Sulaiman a.s. seperti semula. Ada yang mengatakan bahawa setelah ujian itu, Beliau bertaubat kepada Allah s.w.t., berdoa dan meminta ampunanNya, serta meminta kerajaan yang tidak layak dimiliki seorang pun setelahnya.
"35. Dia berkata, "Tuhan, ampunilah aku dan anugerahkanlah untukku kerajaan tidak layak bagi seorang sesudahku. Sesungguhnya Engkau, Engkau Maha Pemberi.""
Sulaiman a.s. berdoa, "Ya Tuhanku, ampunilah aku dan anugerahkanlah kepadaku kerajaan yang tidak dimiliki oleh siapa pun setelahku. Sungguh, Engkaulah Yang Maha Pemberi.” Sulaiman a.s. memohon kepada Allah suatu kerajaan yang tidak dimiliki oleh seorang manusia pun sesudahnya.
"36. Maka Kami tundukkan baginya angin berhembus dengan perintahnya lembut ke mana saja dia kehendaki."
Kemudian Kami tundukkan kepadanya angin yang berhembus dengan baik menurut perintahnya ke mana saja yang dikehendakinya, iaitu menurut tujuan yang dikehendaki Sulaiman a.s. ke negeri mana pun.
Setelah Sulaiman a.s. menyembelih semua kuda miliknya kerana marah demi Allah s.w.t, maka Allah menggantinya dengan sesuatu yang jauh lebih baik dan jauh lebih cepat daripada kuda-kuda itu. Iaitu angin yang perjalanannya di waktu pagi sama dengan perjalanan satu bulan, dan perjalanannya di waktu petang sama dengan perjalanan satu bulan.
"37. Dan syaitan semuanya ahli bangunan dan penyelam."
Kami tundukkan juga kepadanya syaitan-syaitan, semuanya ahli bangunan dan penyelam. Iaitu di antara syaitan-syaitan itu ada yang dipekerjakan membangun bangunan-bangunan raksasa, seperti membuat mihrab-mihrab, patung-patung, kuali-kuali yang besarnya seperti gunung, dan pekerjaan lainnya yang berat-berat yang tidak mampu dilakukan oleh manusia.
Segolongan dari syaitan-syaitan itu ada yang dipekerjakan sebagai para penyelam di kedalaman lautan untuk mengeluarkan apa yang terkandung di dalamnya berupa mutiara-mutiara, permata-permata, dan berbagai macam permata yang tidak dijumpai kecuali di kedalaman laut.
"38. Dan yang lain yang terikat dalam belenggu."
Syaitan yang lain, iaitu yang derhaka kepadanya terikat dalam belenggu, iaitu dengan disatukan tangan mereka dengan leher. Mereka dibelenggu dan diikat kerana membangkang, derhaka dan tidak mahu bekerja, atau kerana berbuat buruk dalam pekerjaannya dan menimbulkan kerosakan.
"39. Ini anugerah Kami, maka berikanlah atau tahanlah tanpa perhitungan."
Inilah anugerah Kami; maka berikanlah kepada orang lain atau tahanlah untuk dirimu sendiri dengan tiada pertanggung-jawaban.
Iaitu apa yang telah Kami berikan kepadamu berupa kerajaan yang lengkap dan kekuasaan yang sempurna, sesuai dengan apa yang kamu minta, maka kamu boleh memberikannya kepada siapa yang kamu kehendaki, dan kamu boleh haramkan ia atas siapa yang kamu kehendaki.
Apa saja yang kamu lakukan terhadapnya diperbolehkan: putuskanlah menurut yang kamu kehendaki, maka itu adalah yang benar. Kamu tidak akan dihisab terhadapnya. Yang demikian kerana Allah s.w.t. mengetahui keadilan Beliau dan baiknya keputusannya.
Kenikmatan itu bukan sahaja diberikan kepada Sulaiman a.s. di dunia, bahkan di akhirat Beliau juga memperoleh kebaikan yang besar.
"40. Dan sungguh, baginya di sisi Kami sungguh dekat dan baik tempat kembali."
Sesungguhnya Sulaiman a.s. mempunyai kedudukan yang dekat pada sisi Allah s.w.t. dan tempat kembali yang baik, iaitu di akhirat nanti.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan