Jumaat, 17 April 2020

4:113 Tafsir Surah An Nisa, ayat 113.

وَلَوْلا فَضْلُ اللَّهِ عَلَيْكَ وَرَحْمَتُهُ لَهَمَّتْ طَائِفَةٌ مِنْهُمْ أَنْ يُضِلُّوكَ وَمَا يُضِلُّونَ إِلا أَنْفُسَهُمْ وَمَا يَضُرُّونَكَ مِنْ شَيْءٍ وَأَنْزَلَ اللَّهُ عَلَيْكَ الْكِتَابَ وَالْحِكْمَةَ وَعَلَّمَكَ مَا لَمْ تَكُنْ تَعْلَمُ وَكَانَ فَضْلُ اللَّهِ عَلَيْكَ عَظِيمًا (١١٣) 

Para mufassir banyak yang menyebutkan (namun tidak diketahui apakah kisah ini sahih atau tidak), bahawa sebab turun ayat di atas adalah kerana salah satu keluarga yang tinggal di Madinah melakukan pencurian.

Saat pencurian yang dilakukan itu diketahui, maka kerana mereka takut aibnya terbuka, mereka pun menjaga pencurinya dan menuduhkan tindak pencurian itu kepada sebuah keluarga yang tidak bersalah.

Pencuri tersebut meminta bantuan kepada kaumnya agar mendatangi Rasulullah s.a.w.; meminta Beliau agar membebaskan dirinya dari kesalahan di hadapan manusia. Kaumnya mengatakan, "Dia tidaklah mencuri, yang mencuri adalah orang yang di rumahnya terdapat barang curian tersebut."

Hampir saja Rasulullah s.a.w. membebaskan orang yang bersalah tersebut, maka Allah s.w.t. pun menurunkan ayat ini untuk mengingatkan Beliau s.a.w. agar tidak membela orang-orang yang berkhianat. Hal itu, kerana membela orang yang batil adalah sebuah kesesatan.

Allah s.w.t. berfirman kepada Nabi Muhammad s.a.w.,

"113. Dan sekiranya tidak kurnia Allah atasmu dan rahmatNya, tentulah bermaksud segolongan dari mereka untuk menyesatkan kamu." 

Kalau bukan kerana kurnia Allah dan rahmatNya kepada Beliau s.a.w. berupa penjagaanNya dari kesesatan, tentulah segolongan dari mereka berkeinginan keras untuk menyesatkan Beliau, iaitu memalingkan Beliau dari memutuskan secara adil.

"Dan tidaklah mereka menyesatkan melainkan diri mereka sendiri," 

Tetapi mereka hanya menyesatkan dirinya sendiri, kerana akibat dari usaha mereka untuk menyesatkan kembalinya kepada diri mereka sendiri. Demikian juga kerana tidak ada yang mereka dapatkan selain kekecewaan, tidak tercapai tujuan, mendapatkan dosa dan kerugian.

Kesesatan terbahagi dua, iaitu kesesatan dalam ilmu dan kesesatan dalam amal. Kesesatan dalam ilmu adalah ketidaktahuan teradap kebenaran, sedangkan kesesatan dalam amal adalah mengamalkan hal yang tidak benar. Allah menjaga Nabi Muhammad s.a.w. dari kedua kesesatan tersebut.

"dan tidaklah mereka memudaratkan kamu sedikit pun." 

Mereka tidak dapat memberi mudarat atau membahayakanmu sedikit pun.

Ada yang mengatakan bahawa yang dimaksudkan dengan "mereka" adalah Usaid ibnu Urwah dan kawan-kawannya. Ketika Usaid ibnu Urwah dan kawan-kawannya memuji tindakan Bani Ubairiq dan mencela Qatadah ibnu Nu'man kerana dia menuduh mereka yang mereka anggap sebagai orang baik-baik dan tidak bersalah, padahal duduk perkaranya tidaklah seperti apa yang mereka sampaikan kepada Rasulullah s.a.w. Kerana itulah maka Allah menurunkan penyelesaian masalah tersebut dan membukakannya kepada Rasulullah s.a.w.

Kemudian Allah menganugerahkan kepada Beliau s.a.w. dukunganNya dalam semua keadaan dan memelihara dirinya. Allah menganugerahkan juga kepada Beliau Al Qur'an dan hikmah.

"Dan Allah menurunkan atasmu kitab dan hikmah"

Dan juga kerana Allah telah menurunkan Al Qur'an dan As Sunnah. Ada juga yang mengatakan bahawa hikmah adalah mengetahui rahsia syari'at di samping mengetahui hukum-hukum serta menempatkan sesuatu pada tempatnya.

"dan mengajarkanmu apa yang tidak kamu ketahui."

Dan telah mengajarkan kepadamu apa yang belum kamu ketahui, iaitu sebelum hal tersebut diturunkan kepadamu, iaitu tentang hukum dan perkara ghaib.

Termasuk ke dalamnya juga semua yang diajarkan Allah kepadanya, kerana Beliau s.a.w. sebagaimana disifatkan Allah sebelum diangkat menjadi nabi tidak mengetahui apa itu kitab (Al Quran) dan tidak mengetahui apa itu iman.

Setelah itu, Allah s.w.t. senantiasa memberi wahyu, mengajarkannya dan menyempurnakannya sehingga Beliau mencapai pada darjat yang sulit dicapai oleh orang-orang yang hidup di zaman dahulu maupun yang datang kemudian, Beliau pun menjadi manusia paling berilmu dan paling sempurna.

Hal ini, iaitu diturunkan Al Qur'an, hikmah dan diajarkan ilmu merupakan nikmat besar bagi Nabi Muhammad s.a.w. setelah nikmat taufiq untuk mengerjakan kewajiban dan terpeliharanya dari setiap perkara yang haram.

"Dan adalah kurnia Allah atasmu sangat besar."

Kurnia Allah yang dilimpahkan kepadamu itu sangat besar.

Tiada ulasan:

KANDUNGAN.

JUZUK 1. Isti'adzah.    Al Fatihah 1 , 2 , 3 , 4 , 5 , 6 , 7 . Al Baqarah 1-5 , 6-7 , 8-9 , 10-16 , 17-20 , 21-25 , 26-27 , 28-29 , 3...