Ahad, 5 April 2020

4:17-18 Tafsir Surah An Nisa, ayat 17-18.

إِنَّمَا التَّوْبَةُ عَلَى اللَّهِ لِلَّذِينَ يَعْمَلُونَ السُّوءَ بِجَهَالَةٍ ثُمَّ يَتُوبُونَ مِنْ قَرِيبٍ فَأُولَئِكَ يَتُوبُ اللَّهُ عَلَيْهِمْ وَكَانَ اللَّهُ عَلِيمًا حَكِيمًا    (١٧) وَلَيْسَتِ التَّوْبَةُ لِلَّذِينَ يَعْمَلُونَ السَّيِّئَاتِ حَتَّى إِذَا حَضَرَ أَحَدَهُمُ الْمَوْتُ قَالَ إِنِّي تُبْتُ الآنَ وَلا الَّذِينَ يَمُوتُونَ وَهُمْ كُفَّارٌ أُولَئِكَ أَعْتَدْنَا لَهُمْ عَذَابًا أَلِيمًا (١٨) 

Allah s.w.t. berfirman,

"17. Sungguh, hanyalah taubat atas Allah bagi orang-orang yang mengerjakan kejahatan kerana kejahilan," 

Sesungguhnya Allah hanya menerima taubat dari orang yang berbuat kejahatan atau keburukan lantaran kejahilannya, kebodohannya, ketidaktahuannya atau tidak mengerti, kemudian dia bertaubat, walaupun sesudah menyaksikan kedatangan malaikat maut yang akan mencabut nyawanya sampai di tenggorokan.

Taubat dari Allah kepada hamba-hambaNya terbahagi dua: berupa taufiq dari Allah untuk bertaubat dan menerimanya.

Termasuk kejahilan, kebodohan, ketidaktahuan atau tidak mengerti adalah:

1. Orang yang berbuat maksiat dengan tidak mengetahui bahawa perbuatan itu adalah maksiat kecuali setelah difikirkan lebih dahulu.

2. Orang yang derhaka kepada Allah baik dengan sengaja atau tidak.

3. Orang yang melakukan kejahatan kerana kurang kesedaran disebabkan kerana sangat marah atau kerana dorongan hawa nafsu.

4. Kerana tidak mengerti akibatnya dan bahawa perbuatan tersebut dapat mendatangkan kemurkaan Allah serta siksaNya,

5. Kerana tidak mengerti bahawa Allah menyaksikan dan melihatnya,

6. Kerana tidak mengerti bahawa perbuatan tersebut akan mengakibatkan imannya lemah atau bahkan hilang.

Dengan demikian, setiap orang berbuat maksiat adalah orang yang jahil (tidak mengerti) berdasarkan pertimbangan tersebut walaupun mengetahui keharamannya. Bahkan mengetahui suatu hal haram merupakan syarat perbuatan tersebut disebut maksiat yang dikenakan siksa.

"kemudian mereka bertaubat dengan segera," 

Kemudian mereka segera bertaubat, iaitu sebelum ajal di kerongkongan atau sebelum menyaksikan maut dan sebelum menyaksikan azab. Boleh juga maksudnya mereka segera bertaubat setelah melakukan dosa tersebut, sehingga maksud ayat ini adalah, "Barang siapa yang segera berhenti ketika melakukan dosa, lalu kembali kepada Allah dan menyesalinya, maka sesungguhnya Allah menerima taubatnya."

Rasulullah s.a.w. bersabda, "Tidak sekali-kali seorang hamba yang mukmin bertaubat sebelum dia mati dalam jarak satu bulan, melainkan Allah menerimanya dalam jarak yang lebih pendek dari itu, dan (tidak sekali-kali seorang hamba yang mukmin bertaubat) sebelum matinya dalam jarak satu hari. Allah mengetahui taubat yang dilakukannya dan Allah menerimanya."

Empat orang sahabat Nabi s.a.w. berkumpul, lalu seseorang dari mereka mengatakan bahawa ia pernah mendengar Rasulullah s.a.w. bersabda, "Sesungguhnya Allah menerima taubat seorang hamba yang dilakukannya sehari sebelum dia mati." Sahabat lainnya bertanya, "Apakah kamu mendengar hal ini dari Rasulullah Saw.?" Dia menjawab, "Ya." Sahabat yang kedua mengatakan kalau dirinya pernah mendengar Rasulullah s.a.w. Bersabda, "Sesungguhnya Allah menerima taubat seeorang hamba yang dilakukannya setengah hari sebelum dia mati." Sahabat yang ketiga bertanya, "Apakah kamu mendengarnya dari Rasulullah s.a.w.?" Dia menjawab, "Ya." Lalu sahabat yang ketiga mengatakan bahawa dirinya pernah mendengar Rasulullah s.a.w. bersabda, "Sesungguhnya Allah menerima taubat seeorang hamba yang dilakukannya beberapa saat sebelum dia mati." Sahabat yang keempat bertanya.”Apakah engkau mendengarnya dari Rasulullah s.a.w.?" Dia menjawab, ”Ya." Sahabat yang keempat mengatakan bahawa dirinya pernah mendengar Rasulullah s.a.w. bersabda, "Sesungguhnya Allah menerima taubat seorang hamba selagi nafasnya belum sampai ke tenggorokannya."

Rasulullah s.a.w. bersabda, "Sesungguhnya Allah menerima taubat hambaNya selagi nyawa si hamba belum sampai ke tenggorokannya."

Nabi s.a.w. bersabda, "Iblis berkata, "Wahai Tuhanku, demi keagunganMu, aku akan terus-menerus menyesatkan mereka (Bani Adam) selagi roh mereka masih ada dalam tubuhnya." Maka Allah s.w.t. berfirman, "Demi keagungan dan kebesaranKu, Aku akan terus memberikan ampunan bagi mereka selagi mereka meminta ampun kepadaKu."

Barang siapa bertaubat kepada Allah s.w.t.. sedangkan dia berharap masih dapat hidup, maka sesungguhnya taubatnya diterima. Kerana itulah Allah s.w.t. berfirman,

"maka mereka itulah Allah menerima taubat atas mereka;" 

Mereka itulah yang diterima Allah taubatnya. Berbeda dengan orang yang terus-menerus berbuat dosa dan berada di atas cacatnya sehingga sifat itu menancap dalam dirinya, maka sulit baginya mewujudkan taubat yang sempurna, bahkan biasanya dia tidak diberi taufiq untuk bertaubat dan tidak dipermudah sebab-sebabnya.

Contohnya orang yang mengerjakan keburukan atas dasar pengetahuan yang yakin dan meremehkan perhatian Allah, maka sesungguhnya dia sama saja menutup pintu rahmat bagi dirinya.

Namun terkadang Allah memberikan taufiq untuk bertaubat kepada orang yang selalu berbuat dosa atas dasar kesengajaan, di mana dengan taubat itu perbuatan jahatnya yang telah lalu terhapus, tetapi rahmat dan taufiq lebih dekat kepada yang pertama tadi. Oleh kerananya, Allah s.w.t. mengakhirinya ayat dengan firmanNya,

"dan Allah Maha Mengetahui Maha Bijaksana." 

Allah Maha Mengetahui lagi Maha Bijaksana. Termasuk ilmuNya adalah Dia mengetahui orang yang benar-benar bertaubat dengan yang dusta, sehingga Dia membalas masing-masingnya sesuai kebijksanaanNya. Termasuk kebijaksanaanNya adalah Dia memberi taufiq untuk bertaubat orang yang dikehendaki oleh kebijaksanaan dan rahmatNya.

Bila seseorang merasa putus harapan untuk dapat hidup dan menyaksikan kedatangan malaikat pencabut nyawa, roh telah sampai di tenggorokannya, dadanya terasa sesak, dan roh mencapai halqamnya, nafasnya mulai naik ke atas lebih dari itu sampai di galasim. Maka tiada taubat yang diterima saat itu, dan pintu taubat telah tertutup baginya. Kerana itulah Allah s.w.t. berfirman,

"18. Dan tidaklah taubat bagi orang-orang yang mengerjakan kejahatan-kejahatan hingga apabila datang kepada salah seorang di antara mereka kematian dia berkata, "Sesungguhnya aku bertaubat sekarang." 

Ayat ini diturunkan berkenaan dengan orang-orang musyrik. Taubat itu tidaklah diterima Allah dari mereka yang melakukan kejahatan, yang hingga apabila datang ajal kepada seseorang di antara mereka, saat hendak dicabut nyawanya (sekarat), barulah dia mengatakan, "Aku benar-benar bertaubat sekarang." Hal itu, kerana taubat dalam keadaan seperti ini merupakan taubat kerana terpaksa.

"Dan tidaklah orang-orang yang mati dan mereka kafir." 

Tidak juga diterima taubat dari orang-orang yang meninggal sedang mereka di dalam kekafiran, iaitu ketika mereka bertaubat di akhirat saat menyaksikan azab.

Pintu taubat bagi penduduk bumi juga ditutup apabila mereka melihat matahari terbit dari arah barat.

Rasulullah s.a.w. bersabda, "Sesungguhnya Allah masih menerima taubat hambaNya (atau masih memberikan ampunan bagi hambaNya) selagi hijab belum diturunkan." Ketika ditanyakan kepada Beliau mengenai makna hijab tersebut. maka Beliau s.a.w. menjawab," (Iaitu di saat) roh (akan) keluar, sedangkan dia dalam keadaan musyrik."

"Mereka itulah Kami sediakan bagi mereka azab yang pedih."

Bagi orang-orang itu telah Kami sediakan siksa yang pedih, iaitu siksaan yang pedih, sangat keras, lagi abadi.

Tiada ulasan:

KANDUNGAN.

JUZUK 1. Isti'adzah.    Al Fatihah 1 , 2 , 3 , 4 , 5 , 6 , 7 . Al Baqarah 1-5 , 6-7 , 8-9 , 10-16 , 17-20 , 21-25 , 26-27 , 28-29 , 3...