Isnin, 6 April 2020

5:78-81 Tafsir Surah Al Maidah, ayat 78-81.

لُعِنَ الَّذِينَ كَفَرُوا مِنْ بَنِي إِسْرَائِيلَ عَلَى لِسَانِ دَاوُدَ وَعِيسَى ابْنِ مَرْيَمَ ذَلِكَ بِمَا عَصَوْا وَكَانُوا يَعْتَدُونَ (٧٨) كَانُوا لا يَتَنَاهَوْنَ عَنْ مُنْكَرٍ فَعَلُوهُ لَبِئْسَ مَا كَانُوا يَفْعَلُونَ (٧٩) تَرَى كَثِيرًا مِنْهُمْ يَتَوَلَّوْنَ الَّذِينَ كَفَرُوا لَبِئْسَ مَا قَدَّمَتْ لَهُمْ أَنْفُسُهُمْ أَنْ سَخِطَ اللَّهُ عَلَيْهِمْ وَفِي الْعَذَابِ هُمْ خَالِدُونَ (٨٠) وَلَوْ كَانُوا يُؤْمِنُونَ بِاللَّهِ وَالنَّبِيِّ وَمَا أُنْزِلَ إِلَيْهِ مَا اتَّخَذُوهُمْ أَوْلِيَاءَ وَلَكِنَّ كَثِيرًا مِنْهُمْ فَاسِقُونَ (٨١) 

Allah s.w.t. berfirman memberitahukan bahawa Dia telah melaknat orang-orang kafir dari kaum Bani Israil dalam masa yang cukup lama, iaitu melalui apa yang Dia turunkan kepada nabiNya, iaitu Daud a.s.; dan melalui lisan Isa putera Maryam.

"78. Telah dilaknat orang-orang yang kafir dari Bani Israil melalui lisan Daud" 

Orang-orang kafir dari Bani Israil telah dilaknat melalui lisan (ucapan) Daud, iaitu dengan doa Daud a.s., mereka dirubah rupanya menjadi kera. Mereka ini adalah penduduk Ailah.

"dan Isa putera Maryam." 

Dan Isa putera Maryam, iaitu dengan doa Isa a.s., mereka dirubah rupanya menjadi babi. Mereka ini adalah orang-orang yang meminta diturunkan hidangan langsung dari langit.

"Demikian itu disebabkan mereka derhaka dan mereka melampaui batas." 

Yang demikian itu kerana mereka derhaka kepada Allah dan selalu melampaui batas dengan menzalimi hamba-hamba Allah atau bertindak sewenang-wenang terhadap makhlukNya.

Mereka dilaknat dalam Taurat, Injil, Zabur, dan Al Furqan (Al Qur'an). Kemudian Allah menjelaskan perihal yang biasa mereka lakukan di masanya. Untuk itu Allah s.w.t. berfirman,

"79. Mereka tidak saling melarang dari kemungkaran mereka lakukan." 

Mereka satu sama lain tidak saling mencegah perbuatan dosa dan haram yang selalu mereka kerjakan, sehingga mereka sama seperti pelaku kemungkaran itu kerana mendiamkan kemungkaran padahal mampu mencegahnya.

Hal ini menunjukkan sikap remeh mereka terhadap perintah Allah dan anggapan ringan bermaksiat kepada Allah oleh mereka. Sekiranya mereka memiliki rasa ta'zhim (pengagungan) kepada Allah, tentu mereka akan cemburu kerana laranganNya dikerjakan, dan mereka akan marah keranaNya.

Mendiamkan kemungkaran dapat berakibat banyak mafsadat, di antaranya:

- Mendiamkan kemungkaran itu sendiri merupakan kemaksiatan, walaupun dia tidak mengerjakannya.

- Menunjukkan bahawa dirinya meremehkan maksiat.

- Membuat pelaku maksiat dan kefasikan berani melakukan banyak maksiat, sehingga kejahatan bertambah, dan lama kelamaan banyak yang mengikutinya sehingga pelakunya menjadi majoriti, sedangkan orang-orang yang baik menjadi minoriti serta tidak mampu mencegah kemungkaran itu.

- Meninggalkan kemungkaran dapat membuat ilmu agama menjadi hilang dan kebodohan melanda. Hal itu, kerana maksiat jika berulang kali dilakukan dan tidak diingkari akan mengakibatkan persangkaan bahawa yang demikian bukan maksiat, bahkan orang yang tidak tahu boleh mengiranya sebagai perkara baik, padahal kerosakan apa yang lebih besar daripada anggapan halal terhadap apa yang diharamkan Allah?

- Mendiamkan kemungkaran, boleh menjadikan orang lain memandang baik perbuatan itu sehingga diikuti.

"Sungguh amat buruk apa yang mereka perbuat." 

Sesungguhnya amat buruklah apa yang selalu mereka perbuat itu. Allah mencela mereka atas perbuatan itu agar dijadikan pelajaran dan peringatan bagi yang lainnya untuk tidak melakukan perbuatan yang serupa.

"80. Kamu melihat kebanyakan dari mereka menjadikan pemimpin orang-orang yang kafir."

Kamu melihat kebanyakan dari orang-orang Yahudi tolong-menolong dengan kaum musyrik Mekah kerana benci kepada Nabi Muhammad s.a.w. Ada yang mengatakan bahawa mereka adalah orang-orang munafik.

"Sungguh, amat buruk apa yang dilakukan bagi mereka diri mereka," 

Sesungguhnya amat buruklah apa yang mereka sediakan untuk diri mereka. Mereka berpihak kepada orang-orang kafir dan meninggalkan orang-orang mukmin, yang akibatnya hati mereka menjadi munafik.

"bahawa kemurkaan Allah atas mereka, dan di dalam azab mereka kekal." 

Iaitu kemurkaan Allah kepada mereka yang terus-menerus sampai hari mereka dikembalikan kepadaNya, dan mereka akan kekal dalam siksaan kelak di hari kiamat.

"81. Dan sekiranya mereka beriman kepada Allah, dan nabi, dan apa yang diturunkan kepadanya, tidak mereka mengambil mereka pemimpin," 

Sekiranya mereka beriman kepada Allah, kepada Nabi Muhammad s.a.w. dan Al Qur’an, nescaya mereka tidak akan  terjerumus ke dalam perbuatan menjadikan orang-orang kafir sebagai penolong-penolong atau teman setia mereka dalam batinnya, dan memusuhi orang-orang yang beriman kepada Allah, Nabi, dan Al Qur'an yang diturunkan kepadanya.

"akan tetapi kebanyakan di antara mereka orang-orang fasik." 

Kebanyakan dari mereka adalah orang-orang yang keluar dari jalan ketaatan kepada Allah dan RasulNya serta menentang ayat-ayat wahyu yang diturunkan kepada RasulNya. Termasuk perbuatan fasik mereka adalah berwalaa' (bersikap setia) kepada musuh-musuh Allah.

Tiada ulasan:

KANDUNGAN.

JUZUK 1. Isti'adzah.    Al Fatihah 1 , 2 , 3 , 4 , 5 , 6 , 7 . Al Baqarah 1-5 , 6-7 , 8-9 , 10-16 , 17-20 , 21-25 , 26-27 , 28-29 , 3...