Sabtu, 4 April 2020

93:1-11 Tafsir Surah Adh Dhuha, ayat 1-11.

بِسْمِ اللَّهِ الرَّحْمَنِ الرَّحِيمِ

Dengan menyebut nama Allah Yang Maha Pemurah lagi Maha Penyayang.

وَالضُّحَى (١) وَاللَّيْلِ إِذَا سَجَى (٢) مَا وَدَّعَكَ رَبُّكَ وَمَا قَلَى (٣)وَلَلآخِرَةُ خَيْرٌ لَكَ مِنَ الأولَى (٤) وَلَسَوْفَ يُعْطِيكَ رَبُّكَ فَتَرْضَى (٥) أَلَمْ يَجِدْكَ يَتِيمًا فَآوَى (٦) وَوَجَدَكَ ضَالا فَهَدَى     (٧) وَوَجَدَكَ عَائِلا فَأَغْنَى (٨) فَأَمَّا الْيَتِيمَ فَلا تَقْهَرْ (٩) وَأَمَّا السَّائِلَ فَلا تَنْهَرْ (١٠) وَأَمَّا بِنِعْمَةِ رَبِّكَ فَحَدِّثْ (١١)

Ibnu Katsir berkata, “Dianjurkan bertakbir dari akhir surah Adh Dhuha sampai akhir surah An Nas. Para ahli qiraa’at menyebutkan, bahawa hal itu termasuk sunnah yang ada riwayatnya, dan mereka menyebutkan alasan mengucapkan takbir dari awal surah Adh Dhuha, iaitu bahawa ketika wahyu terlambat turun kepada Rasulullah s.a.w. dan terputus selama waktu tersebut, kemudian malaikat datang dan menyampaikan wahyu kepada Beliau, “Wadh Dhuhaa-Wallaili bidzaa sajaa.” iaitu surah Adh Dhuha sampai akhirnya, maka Beliau bertakbir kerana gembira dan senang.” Ibnu Katsir berkata lagi, “Riwayat tersebut tidak diriwayatkan dengan isnad yang dapat dihukumi sahih maupun dha’if, wallahu a’lam.”

Jundub menceritakan bahawa Nabi s.a.w. mengalami sakit selama satu atau dua malam hingga Beliau tidak melakukan qiyamul lail. Maka datanglah kepadanya seorang wanita dan berkata, "Hai Muhammad, menurut hematku syaitanmu itu tiada lain telah meninggalkanmu," maksudnya malaikat yang membawa wahyu kepadanya. Maka Allah s.w.t. menurunkan firmanNya: Demi waktu matahari sepenggalah naik, dan demi malam apabila telah sunyi. Tuhanmu tiada meninggalkan kamu dan tiada (pula) benci kepadamu. (Adh Dhuha: 1-3)

Jundub mengatakan bahawa Malaikat Jibril datang terlambat kepada Rasulullah s.a.w., maka orang-orang musyik mengatakan, "Muhammad ditinggalkan oleh Tuhannya." Maka Allah menurunkan firmanNya, "Demi waktu matahari sepenggalah naik, dan demi malam apabila telah sunyi. Tuhanmu tiada meninggalkan kamu dan tiada (pula) benci kepadamu." (Adh-Dhuha: 1-3)

"1. Demi waktu dhuha." 

Allah s.w.t. bersumpah dengan waktu dhuha, iaitu ketika matahari naik sepenggalahan.

"2. Dan demi malam apabila telah sunyi." 

Allah s.w.t. bersumpah dengan waktu malam ketika telah sunyi, iaitu bila telah tenang dan gelap gulita. Hal ini menunjukkan akan kekuasaan Tuhan Yang Maha Pencipta, dan merupakan bukti yang jelas lagi gamblang.

Setelah diturunkan kepada Nabi s.a.w. permulaan wahyu Al Qur'an, maka Jibril datang terlambat beberapa hari dari Nabi s.a.w. sehingga roman muka Beliau s.a.w. berubah sedih kerananya. Dan orang-orang musyrik mengatakan, "Dia telah ditinggalkan oleh Tuhannya dan dibenci."  Maka Allah s.w.t. menurunkan firmanNya,

"3. Tidak meninggalkan kamu Tuhanmu" 

Tuhanmu tidak meninggalkanmu (Muhammad). Allah s.w.t. tidaklah meninggalkan Beliau dan membiarkannya sejak Dia mengurus dan mendidik Beliau, bahkan Dia senantiasa mengurus dan mendidik Beliau dengan pendidikan yang sebaik-baiknya serta meninggikan Beliau sedarjat demi sedarjat.

"dan tidak benci." 

Dia tidak membencimu sejak Dia mencintaimu. Inilah keadaan Rasulullah s.a.w. yang dahulu dan yang sekarang; iaitu keadaan yang paling sempurna; kecintaan Allah untuk Beliau dan tetap terus seperti itu serta diangkatnya Beliau kepada kesempurnaan, dan tetap terusnya mendapatkan perhatian dari Allah s.w.t.

Ini merupakan sumpah dari Allah s.w.t. dengan menyebut waktu dhuha dan cahaya yang Dia ciptakan padanya. Adapun keadaan Beliau pada masa mendatang, maka sebagaimana firmanNya,

"4. Dan sungguh, yang kemudian lebih baik bagimu dari yang permulaan." 

Di akhir perjuangan Beliau s.a.w. itu akan menjumpai kemenangan-kemenangan walaupun permulaannya penuh dengan kesulitan-kesulitan. Allah s.w.t. menguatkan agamanya, memenangkannya terhadap musuh-musuhnya serta memperbaiki keadaannya sehingga Beliau mencapai keadaan yang tidak dapat dicapai oleh orang-orang terdahulu maupun yang datang kemudian, baik dalam hal keutamaan, kebanggaan maupun kegembiraan. Sedangkan di akhirat, maka keadaan Beliau penuh dengan berbagai kemuliaan dan kenikmatan.

Di antara mufassir ada yang menafsirkan ‘akhirat’ dengan kehidupan akhirat beserta segala kenikmatannya, dan ‘ula’ dengan kehidupan dunia. Sesungguhnya akhirat itu lebih baik bagimu daripada dunia ini. Kerana itu, Rasulullah s.a.w. adalah orang yang paling zuhud terhadap perkara dunia dan paling menjauhinya serta paling tidak menyukainya.

Sebagaimana yang telah dimaklumi dari perjalanan hidup Beliau s.a.w. ketika Beliau disuruh memilih di usia senjanya antara hidup kekal di dunia sampai akhir usia dunia (kemudian ke syurga) dan antara kembali ke sisi Allah s.w.t. Maka Beliau s.a.w. memilih apa yang ada di sisi Allah daripada dunia yang rendah ini.

Ditampakkan kepada Rasulullah s.a.w. apa yang bakal dibukakan buat umatnya sesudah Beliau tiada perbendaharaan demi perbendaharaan. Maka beliau merasa senang dengan hal tersebut, lalu Allah s.w.t. menurunkan firmanNya,

"5. Dan sungguh, kelak memberimu Tuhanmu, maka kamu jadi puas." 

Sungguh, kelak Tuhanmu pasti memberikan kurniaNya kepadamu, sehingga hati kamu menjadi puas. Iaitu kelak di akhirat Allah akan memberinya hingga Beliau merasa puas tentang umatnya dan juga kemuliaan yang telah disediakan oleh Allah untuk dirinya.

Antara lain ialah Telaga Kautsar yang kedua tepinya berupa kubah-kubah dari mutiara yang berongga, sedangkan tanahnya bibit minyak kesturi. Allah s.w.t. memberikan kepada Beliau s.a.w. di dalam syurga sejuta bangunan, dalam tiap bangunan terdapat isteri-isteri dan para pelayan yang layak baginya. Untuk memuaskan hati Nabi Muhammad s.a.w., Allah tidak akan memasukkan seorang pun dari kalangan ahli baitnya ke dalam neraka.

Rasulullah s.a.w. bersabda, "Sesungguhnya kami adalah suatu ahli bait, Allah telah memilihkan akhirat di atas dunia bagi kami. Dan kelak Tuhanmu pasti memberikan kurniaNya kepadamu, lalu (hati) kamu menjadi puas."

"6. Bukankah Dia mendapati kamu seorang yatim, lalu Dia melindungi." 

Bapa Beliau s.a.w. wafat sejak Beliau masih berada dalam kandungan ibunya. Menurut pendapat yang lain, bapa Beliau wafat ketika Beliau baru dilahirkan. Kemudian ibunya (Aminah binti Wahb) wafat pula saat Beliau berusia enam tahun. Sesudah itu beliau berada dalam pemeliharaan datuknya (Abdul Muttalib) hingga datuknya wafat saat Beliau masih berusia lapan tahun.

Kemudian Beliau dipelihara oleh pakciknya yang bernama Abu Talib, yang terus-menerus melindunginya, menolongnya, meninggikan kedudukannya, dan mengagungkannya serta membentenginya dari gangguan kaumnya sesudah Allah mengangkatnya menjadi seorang rasul dalam usia empat puluh tahun.

Namun, Abu Talib adalah pengikut agama kaumnya yang menyembah berhala-berhala, tetapi Nabi s.a.w. tidak terpengaruh. Hal ini tiada lain berkat takdir Allah dan pengaturanNya yang baik. Abu Talib meninggal dunia tidak lama sebelum Nabi s.a.w. akan melakukan hijrah.

Maka orang-orang yang kurang akal dan bodoh dari kalangan kaum Quraisy mulai berani mengganggunya. Maka Allah s.w.t. memilihkan hijrah baginya dari kalangan mereka menuju negeri kaum Aus dan Khazraj, sebagaimana yang telah digariskan oleh suratan takdirNya yang lengkap lagi sempurna.

Ketika Beliau s.a.w. sampai di negeri mereka, mereka memberinya tempat, menolongnya, melindunginya, dan membelanya dengan jiwa dan harta mereka; semoga Allah melimpahkan ridhaNya kepada mereka semuanya. Dan semuanya itu berkat pemeliharaan dan penjagaan serta perhatian dari Allah kepada Nabi s.a.w.

"7. Dan Dia mendapati kamu sesat, lalu Dia memberi petunjuk." 

Sesat di sini bermaksud kebingungan untuk mendapatkan kebenaran yang tidak dapat dicapai oleh akal. Beliau sebelumnya tidak tahu apa itu kitab dan apa itu iman, lalu Allah s.w.t. mengajarkan kepada Beliau apa yang Beliau tidak ketahui; menurunkan wahyu kepada Beliau dan memberikan Beliau taufiq kepada amal dan akhlak yang paling baik.

"8. Dan Dia mendapati kamu miskin, lalu Dia memberi kecukupan." 

Dia mendapatimu sebagai seorang yang kekurangan, lalu Dia memberikan kecukupan, iaitu membuatmu qana’ah (puas dan menerima seadanya). Iaitu pada mulanya kamu hidup dalam keadaan fakir lagi ramai anak, lalu Allah memberimu kecukupan dari selainNya.

Dengan demikian, bererti Allah menghimpunkan baginya antara kedudukan orang fakir yang sabar dan orang kaya yang bersyukur, semoga salawat dan salamNya terlimpahkan kepadanya.

Rasulullah s.a.w. bersabda, "Bukanlah orang kaya itu kerana banyak memiliki harta benda, tetapi orang yang kaya itu adalah orang yang jiwanya kaya." Iaitu kecukupan atau kepuasan jiwa.

Rasulullah s.a.w. bersabda, "Sesungguhnya beruntunglah orang yang Islam dan diberi rezeki secukupnya serta Allah telah menjadikannya menerima seadanya menurut apa yang diberikan olehNya (diberi sifat qana'ah)."

Atau maksudnya, Allah s.w.t. mencukupkan Beliau dengan menaklukkan berbagai negeri untuk Beliau, dimana harta dan hasilnya diperuntukkan kepada Beliau. Oleh kerana Dia (Allah) telah melimpahkan berbagai kenikmatan itu, maka hadapilah nikmatNya itu dengan disyukuri.

"9. Maka adapun anak yatim, maka jangan kamu berlaku sewenang-wenang." 

Sebagaimana kamu dahulu seorang yang yatim, lalu Allah melindungimu, maka janganlah kamu berlaku sewenang-wenang terhadap anak yatim. Iaitu janganlah kamu bergaul secara buruk terhadapnya, janganlah dadamu merasa sempit terhadapnya, janganlah menghina, membentak dan merendahkannya.

Tetapi perlakukanlah dia dengan baik, muliakanlah dia, kasihanilah dia, berikanlah kemudahan untuknya dan berbuatlah terhadapnya sesuatu yang kamu suka jika anakmu diperlakukan seperti itu. Jadilah kamu terhadap anak yatim sebagai seorang ayah yang penyayang.

"10. Dan adapun orang minta-minta, maka jangan kamu herdik." 

Terhadap orang yang meminta-minta, janganlah kamu mengherdiknya. Iaitu janganlah kamu bersikap sewenang-wenang, jangan sombong, jangan berkata kotor, dan jangan bersikap kasar terhadap orang-orang yang lemah dari hamba-hamba Allah.

Jangan sampai keluar dari mulutmu ucapan yang mengandung penolakan terhadap permintaannya dengan bentakan dan sikap yang buruk, bahkan berikanlah kepadanya apa yang mudah bagimu atau tolaklah dengan cara yang baik, ihsan, kasih sayang dan lemah lembut.

Kata saa’il (meminta) termasuk juga yang meminta harta dan yang meminta ilmu. Sebagaimana kamu dahulu dalam keadaan kebingungan, lalu Allah memberimu petunjuk, maka janganlah kamu mengherdik orang yang meminta ilmu yang benar kepadamu dengan permintaan yang sesungguhnya.

Oleh kerana itu, pengajar diperintahkan berakhlak mulia kepada penuntut ilmu, memuliakannya dan menaruh rasa kasihan kepadanya, kerana yang demikian dapat membantu maksudnya serta memuliakan orang yang berniat menyebarkan manfaat bagi hamba dan dunia.

"11. Dan adapun dengan nikmat Tuhanmu, maka hendaklah kamu ceritakan." 

Terhadap nikmat Tuhanmu, baik nikmat agama maupun nikmat dunia, hendaklah engkau nyatakan atau menyebut-nyebutnya, iaitu dengan bersyukur. Sebagaimana kamu dahulu orang yang kekurangan lagi banyak tanggungannya, lalu Allah menjadikanmu berkecukupan, maka syukurilah nikmat Allah yang diberikan kepadamu itu.

Pujilah Allah terhadapnya dan sebutlah nikmat itu jika ada maslahatnya. Hal itu, kerana menyebut-nyebut nikmat Allah dapat membantu untuk bersyukur, membuat hati mencintai yang memberikannya, iaitu Allah s.w.t., kerana hati itu dijadikan cinta kepada yang berbuat baik kepadanya.

Disebutkan dalam doa yang dima’sur dari Nabi s.a.w. seperti berikut, "Dan jadikanlah kami orang-orang yang mensyukuri nikmatMu dan memanjatkan pujian kepadaMu kerananya serta menerimanya, dan sempurnakanlah nikmat itu kepada kami."

Rasulullah s.a.w. bersabda, "Menyebut-nyebut nikmat Allah adalah bersyukur, meninggalkannya adalah kufur. Barang siapa tidak bersyukur terhadap yang sedikit, maka dia tidak akan bersyukur kepada yang banyak. Barang siapa yang tidak bersyukur kepada manusia, maka dia tidak akan bersyukur kepada Allah. Berjamaah adalah berkah, sedangkan berpecah adalah azab.”

Selesai tafsir surah Adh Dhuha dengan pertolongan Allah, taufiqNya dan kemudahanNya, walhamdulillahi Rabbil ‘aalamiin.

Tiada ulasan:

KANDUNGAN.

JUZUK 1. Isti'adzah.    Al Fatihah 1 , 2 , 3 , 4 , 5 , 6 , 7 . Al Baqarah 1-5 , 6-7 , 8-9 , 10-16 , 17-20 , 21-25 , 26-27 , 28-29 , 3...