Selasa, 19 Mei 2020

100:1-11 Tafsir Surah Al ‘Adiyat, ayat 1-11.

 بِسْمِ اللَّهِ الرَّحْمَنِ الرَّحِيمِ

Dengan menyebut nama Allah Yang Maha Pemurah lagi Maha Penyayang.

وَالْعَادِيَاتِ ضَبْحًا (١) فَالْمُورِيَاتِ قَدْحًا (٢) فَالْمُغِيرَاتِ صُبْحًا (٣) فَأَثَرْنَ بِهِ نَقْعًا (٤) فَوَسَطْنَ بِهِ جَمْعًا (٥) إِنَّ الإنْسَانَ لِرَبِّهِ لَكَنُودٌ (٦) وَإِنَّهُ عَلَى ذَلِكَ لَشَهِيدٌ (٧) وَإِنَّهُ لِحُبِّ الْخَيْرِ لَشَدِيدٌ (٨) أَفَلا يَعْلَمُ إِذَا بُعْثِرَ مَا فِي الْقُبُورِ (٩) وَحُصِّلَ مَا فِي الصُّدُورِ (١٠) إِنَّ رَبَّهُمْ بِهِمْ يَوْمَئِذٍ لَخَبِيرٌ (١١) 

Allah s.w.t. bersumpah. 

"1. Demi yang berlari kencang terengah-engah." 

Demi kuda perang yang berlari kencang terengah-engah. Allah s.w.t. bersumpah dengan menyebut kuda apabila dilarikan di jalan Allah (jihad), maka ia lari dengan kencangnya dan bunyi dengus nafasnya yang kuat semasa berlari.

Allah s.w.t. bersumpah dengan kuda kerana di dalamnya terdapat tanda-tanda kekuasaan Allah yang jelas dan nikmat-nikmatNya yang tampak jelas. Dia bersumpah dengan kuda-kuda itu ketika kuda-kuda itu melakukan sesuatu yang tidak dilakukan oleh haiwan lainnya.

"2. Dan yang memercikkan api." 

Dan kuda yang mencetuskan bunga api dengan pukulan kuku kakinya ketika berbenturan atau berlaga dengan batu. Iaitu bunyi detak teracaknya ketika menginjak batu-batuan, lalu keluarlah percikan api darinya.

"3. Dan yang menyerang pada waktu subuh." 

Dan kuda yang menyerang dengan tiba-tiba pada waktu pagi, iaitu mengadakan serangan di waktu pagi hari di jalan Allah, sebagaimana yang pernah dilakukan oleh Rasulullah s.a.w. Beliau mengadakan serangan di waktu subuh. 

Maka apabila Beliau mendengar suara azan di kabilah yang akan diperanginya, Beliau mengurungkan niatnya. Dan apabila Beliau s.a.w. tidak mendengar suara azan di kabilah tersebut, maka dilangsungkanlah niatnya.

"4. Sehingga ia menerbangkan dengannya debu." 

Maka ia menerbangkan debu. Maksudnya, debu di tempat kuda-kuda mereka sedang beraksi di kancah peperangan. 

"5. Lalu ia menyerbu ke tengah dengannya kumpulan." 

Lalu menyerbu ke tengah-tengah kumpulan musuh yang kafir. Iaitu kuda-kuda tersebut berada di tengah-tengah kancah peperangan (menghuru-harakan barisan musuh).

"6. Sesungguhnya manusia kepada Tuhannya sangat ingkar." 

Sesungguhnya manusia itu sangat ingkar, tidak berterima kasih kepada Tuhannya. Al kanud bermaksud pengingkar. Ada yang mengatakan orang yang mengingat-ingat musibah dan melupakan nikmat-nikmat Allah yang diberikan kepadanya.

Inilah isi sumpahnya, dengan pengertian bahawa sesungguhnya manusia itu benar-benar mengingkari nikmat-nikmat Tuhannya. Mereka benar-benar berat melakukan kebaikan yang menjadi kewajibannya kepada Tuhannya.

Tabi’atnya berat memenuhi hak-hak secara sempurna yang menjadi kewajibannya, bahkan malas dan enggan mengeluarkan kewajibannya baik yang terkait dengan harta maupun perbuatan, kecuali orang yang Allah berikan hidayah, sehingga dia keluar dari sifat itu kepada sifat senang memenuhi hak-hak.

"7. Dan sesungguhnya dia atas demikian itu benar-benar menyaksikan." 

Sesungguhnya manusia menyaksikan sendiri keingkarannya, iaitu manusia mengakui sikapnya itu melalui tindakannya, iaitu kelihatan jelas hal itu dari ucapan dan perbuatannya. 

Boleh juga kata “hu” di ayat tesebut kembalinya kepada Allah s.w.t., sehingga ertinya, “Sesungguhnya manusia itu sangat ingkar, (tidak berterima kasih) kepada Tuhannya, padahal Allah s.w.t. menyaksikannya.” Sehingga di dalamnya terdapat ancaman bagi orang yang ingkar kepada nikmat Tuhannya.

"8. Dan sesungguhnya dia kecintaannya harta sungguh sangat." 

Sesungguhnya cintanya kepada harta benar-benar berat dan berlebihan sehingga dia menjadi bakhil dan membuatnya tidak memenuhi kewajibannya, mengutamakan hawa nafsunya daripada memenuhi hak Tuhannya. 

Ini semua tidak lain kerana terbatas pandangannya hanya nampak dunia saja dan lalai terhadap akhirat. Oleh kerana itulah, di ayat selanjutnya Allah s.w.t. mendorongnya agar takut kepada hari akhirat.

"9. Maka apakah dia tidak mengetahui apabila dibangkitkan apa yang di dalam kubur." 

Maka tidakkah orang yang tertipu ini mengetahui apabila apa yang di dalam kubur dikeluarkan, iaitu orang-orang yang telah mati untuk dibangkitkan dan dikumpulkan.

"10. Dan dilahirkan apa yang di dalam dada." 

Dilahirkan dan ditampakkan kekufuran dan keimanan, niat yang buruk dan niat yang baik yang yang selama itu mereka sembunyikan dalam diri dan hati mereka.

"11. Sesungguhnya Tuhan mereka pada mereka pada hari itu benar-benar Maha Teliti." 

Sesungguhnya Tuhan mereka pada hari itu Mahateliti terhadap keadaan mereka. Dia melihat amal mereka yang tampak maupun yang tersembunyi, yang samar maupun yang jelas. Dia benar-benar mengetahui semua yang diperbuat dan yang dikerjakan oleh mereka. 

Dia kelak akan membalaskannya terhadap mereka dengan balasan yang sempurna dan tidak akan berbuat aniaya barang seberat zarrah pun terhadap seseorang.

Dikhususkan dengan ‘pada hari itu’ walaupun sesungguhnya Allah s.w.t. mengetahui mereka di setiap waktu, kerana yang dimaksud dengannya adalah pembalasan terhadap amal yang tegak atas pengetahuan Allah s.w.t. dan penglihatanNya.

Selesai tafsir surat Al 'Adiyat dengan pertolongan Allah dan taufiqNya, walhamdulillahi Rabbil' aalamiin.

Tiada ulasan:

KANDUNGAN.

JUZUK 1. Isti'adzah.    Al Fatihah 1 , 2 , 3 , 4 , 5 , 6 , 7 . Al Baqarah 1-5 , 6-7 , 8-9 , 10-16 , 17-20 , 21-25 , 26-27 , 28-29 , 3...