Isnin, 25 Mei 2020

103:1-3 Tafsir Surah Al ‘Asr, ayat 1-3.

بِسْمِ اللَّهِ الرَّحْمَنِ الرَّحِيمِ

Dengan menyebut nama Allah Yang Maha Pemurah lagi Maha Penyayang.

وَالْعَصْرِ (١) إِنَّ الإنْسَانَ لَفِي خُسْرٍ (٢) إِلا الَّذِينَ آمَنُوا وَعَمِلُوا الصَّالِحَاتِ وَتَوَاصَوْا بِالْحَقِّ وَتَوَاصَوْا بِالصَّبْرِ (٣) 

Allah s.w.t. bersumpah, 

"1. Demi masa."

Al Asr bermaksud zaman atau masa yang padanya Bani Adam bergerak melakukan perbuatan baik dan buruk. Kata ‘Asr’ di ayat ini boleh juga bermaksud waktu ‘Asar atau solat Asar. Tetapi pendapat yang terkenal adalah yang pertama. 

Allah s.w.t. bersumpah dengan masa yang mencakup malam dan siang; yang merupakan tempat terjadinya perbuatan hamba dan amal mereka. 

"2. Sesungguhnya manusia benar-benar dalam kerugian." 

Allah s.w.t. bersumpah bahawa manusia itu benar-benar berada dalam kerugian, iaitu rugi, binasa dan tidak beruntung. Kerugian ada beberapa jenis; ada kerugian yang mutlak dan ada kerugian yang hanya sebahagiannya saja.

Kerugian yang mutlak adalah kerugian di dunia dan akhirat; di dunia mendapatkan kesengsaraan, kebingungan dan tidak mendapatkan petunjuk, sedangkan di akhirat mendapatkan neraka Jahannam. 

Dia meratakan kerugian kepada semua manusia kecuali orang yang memiliki empat sifat yang akan disebutkan di ayat-ayat selanjutnya. 

"3. Kecuali orang-orang yang beriman" 

Mereka itu beriman hatinya kepada apa yang diperintahkan Allah untuk diimani, dan iman tidak dapat terwujud kecuali dengan ilmu (belajar), sehingga ia merupakan bahagian yang menyempurnakannya. Dalam ayat ini terdapat dalil untuk mendahulukan ilmu sebelum beramal.

"dan mengerjakan amal soleh" 

Mereka itu anggota tubuhnya mengerjakan kebajikan. Amal soleh atau kebajikan mencakup semua perbuatan yang baik yang tampak maupun yang tersembunyi; yang terkait dengan hak Allah maupun hak manusia, yang wajib maupun yang sunat.

"dan mereka saling menasihati dengan kebenaran" 

Mereka itu saling nasihat-menasihati supaya menaati kebenaran, iaitu iman dan amal soleh, iaitu saling menasihati untuk melakukan hal itu, mendorongnya, menunaikannya dan meninggalkan semua yang diharamkan.

"dan mereka saling menasihati dengan kesabaran." 

Mereka juga saling nasihat-menasihati supaya menetapi kesabaran, iaitu tabah dalam menaati Allah, menjauhi laranganNya, menghadapi taqdirNya yang pedih, menghadapi musibah, malapetaka dan gangguan yang menyakitkan dari orang-orang yang dia perintah melakukan kebajikan dan dia larang melakukan kemungkaran.

Kedua hal yang sebelumnya, iaitu iman dan amal soleh dapat menyempurnakan diri seseorang, sedangkan kedua hal yang setelahnya dapat menyempurnakan orang lain.

Dengan keempat perkara itulah seseorang akan selamat dari kerugian dan mendapat keberuntungan.

Surah ini menerangkan kewajiban seorang muslim, iaitu ilmu, amal, dakwah dan sabar.

Selesai tafsir surah surah Al ‘Asr dengan pertolongan Allah, taufiqNya dan kemudahanNya, walhamdulillahi Rabbil ‘aalamiin.

Tiada ulasan:

KANDUNGAN.

JUZUK 1. Isti'adzah.    Al Fatihah 1 , 2 , 3 , 4 , 5 , 6 , 7 . Al Baqarah 1-5 , 6-7 , 8-9 , 10-16 , 17-20 , 21-25 , 26-27 , 28-29 , 3...