وَإِذِ ابْتَلَى إِبْرَاهِيمَ رَبُّهُ بِكَلِمَاتٍ فَأَتَمَّهُنَّ قَالَ إِنِّي جَاعِلُكَ لِلنَّاسِ إِمَامًا قَالَ وَمِنْ ذُرِّيَّتِي قَالَ لا يَنَالُ عَهْدِي الظَّالِمِينَ (١٢٤) وَإِذْ جَعَلْنَا الْبَيْتَ مَثَابَةً لِلنَّاسِ وَأَمْنًا وَاتَّخِذُوا مِنْ مَقَامِ إِبْرَاهِيمَ مُصَلًّى وَعَهِدْنَا إِلَى إِبْرَاهِيمَ وَإِسْمَاعِيلَ أَنْ طَهِّرَا بَيْتِيَ لِلطَّائِفِينَ وَالْعَاكِفِينَ وَالرُّكَّعِ السُّجُودِ (١٢٥)
Allah s.w.t. menyebutkan tentang hamba dan kekasihNya, iaitu Ibrahim a.s., seorang yang telah diakui kepemimpinan dan kemuliaannya oleh semua golongan ahlul kitab, bahkan oleh kaum musyrik.
"124. Dan ketika menguji Ibrahim Tuhannya dengan beberapa kalimat,"
Ingatlah ketika Ibrahim a.s. diuji Tuhannya dengan beban beberapa perintah dan larangan. Contohnya: membangun Ka'bah, membersihkan ka'bah dari kemusyrikan, mengorbankan anaknya Ismail, menghadapi raja Namrudz dan lain-lain.
Hal yang sudah menjadi kebiasaan, Allah s.w.t. menguji hamba-hambaNya agar diketahui siapa di antara mereka yang dusta dan siapa di antara mereka yang jujur. Orang yang dusta tidak teguh ketika mendapatkan ujian dan cobaan, sedangkan orang yang jujur tetap teguh pendirian, tidak goyang walaupun banyak rintangan dan hambatan.
Dengan ujian tersebut, orang yang jujur semakin tinggi darjatnya, bertambah tinggi kedudukannya, semakin bersih amalnya serta semakin kelihatan keistimewaannya, dan di antara contoh terdepan orang yang jujur imannya adalah Ibrahim a.s.
"maka dia menyempurnakannya."
Lalu Ibrahim a.s. menunaikannya. Semasa Beliau mendapat ujian, Beliau mampu memenuhinya, maka Allah s.w.t. bersyukur kepadanya, dan Dia senantiasa Maha mensyukuri.
"Dia berfirman, "Sungguh Aku menjadikanmu bagi manusia imam.""
Allah s.w.t. berfirman, "Sesungguhnya Aku akan menjadikan kamu imam bagi seluruh manusia." Iaitu sebagai teladan dan panutan dalam hal petunjuk bagi manusia, mereka yang mengikutinya akan memperoleh petunjuk dan berbahagia, dan Beliau akan memperoleh pujian yang kekal, pahala yang besar serta penghormatan dari semua orang. Hal ini merupakan kedudukan yang paling tinggi dan paling utama.
"Dia berkata, "Dan dari keturunanku.""
Ketika Beliau telah menerima kedudukan ini, Beliau meminta kepada Allah agar kedudukan ini diperoleh pula oleh keturunannya. Ibrahim a.s. berkata, "Dan saya mohon juga dari keturunanku." Permintaan ini menunjukkan keimamannya, dan sikap nasihat (tulus) kepada hamba-hamba Allah, kecintaannya agar di antara mereka ramai yang mendapat petunjuk.
Maka Allah s.w.t. telah mengabulkan doa Ibrahim a.s., kerana ramai di antara rasul-rasul itu adalah keturunan Ibrahim a.s.
"Dia berfirman, "Tidak berlaku janjiKu orang-orang yang aniaya.""
Allah s.w.t. berfirman, "Benar, tetapi janjiKu ini tidak mengenai atau tidak berlaku bagi orang-orang yang zalim." Iaitu kedudukan itu tidak akan diperoleh oleh orang-orang yang zalim. Dengan demikian imamah fid din (kepemimpinan dalam agama) tidak akan diperoleh oleh mereka yang zalim, kerana kedudukan tersebut hanyalah dapat diraih dengan sabar dan yakin.
Dengannya seseorang dapat memiliki iman yang besar dan dapat beramal soleh yang banyak, berakhlak mulia, berkeperibadian lurus, memiliki rasa takut yang tinggi kepada Allah dan inabah (kembali) kepadaNya.
Kemudian Allah s.w.t. menyebutkan contoh tetap yang menunjukkan keimaman Ibrahim a.s., iaitu Baitullah Al Haram, di mana pergi berhaji ke tempat itu merupakan salah satu rukun Islam yang dapat menghapuskan dosa-dosa dan kesalahan.
Di sana terdapat bekas-bekas peninggalan Al Khalil (Ibrahim a.s.) dan anak cucunya yang menunjukkan keimamannya dan dapat dikenang keadaannya.
"125. Dan ketika Kami jadikan Baitullah tempat ziarah bagi manusia"
Ingatlah ketika Kami menjadikan rumah (Ka'bah) tempat berkumpul bagi manusia seperti untuk hajji, umrah, solat dan tawaf.
"dan tempat kalian yang aman."
Iaitu setiap orang yang berada di sana aman, bahkan haiwan dan pepohonan juga aman. Oleh kerana itu, orang-orang dahulu di zaman Jahiliyyah sangat memuliakan sekali tempat itu. Bahkan ketika seseorang berjumpa dengan pembunuh ayahnya di tanah haram, dia tidak berani bangkit menyerangnya. Ketika Islam datang, maka ditambah lagi kehormatan dan kemuliaannya.
"Dan jadikanlah dari maqam Ibrahim tempat solat."
Maqam Ibrahim ialah tempat berdiri Ibrahim a.s. semasa membangun Ka'bah. Maqam di sini ada dua makna, boleh maksudnya maqam yang menghadap ke pintu Ka'bah, sehingga perintah menjadikannya sebagai tempat solat adalah anjuran untuk mengerjakan dua rak'at tawaf yang dilakukan di belakang Maqam Ibrahim (inilah pendapat majoriti para mufassir).
Boleh juga maksud maqam adalah semua maqam (tempat berdiri) Ibrahim a.s. dalam ibadah hajji, iaitu semua syia'r haji, seperti tawaf, sa'i, wuquf di 'Arafah dan Muzdalifah, melempar jumrah, berkorban dan perbuatan lainnya yang termasuk ibadah haji. Sehingga perintah menjadikan musalla maksudnya adalah perintah menjadikan tempat beribadah.
Umar r.a. berkata, "Aku sesuai dengan keputusan Tuhanku dalam tiga hal. Aku pernah berkata, "Wahai Rasulullah, apa tidak sebaiknya kita jadikan maqam Ibrahim sebagai tempat solat," maka turunlah ayat "Dan jadikanlah dari maqam Ibrahim tempat solat". Pada ayat hijab, aku pernah berkata, "Wahai Rasulullah, tidakkah engkau perintahkan isteri-isterimu berhijab? Kerana yang berbicara dengan mereka ada orang yang baik dan ada orang yang buruk," sehingga turunlah ayat hijab. Demikian juga ketika isteri-isteri Nabi s.a.w. berkumpul kerana cemburu kepada Beliau, maka aku berkata kepada mereka, "Jika Beliau menceraikan kamu, boleh jadi Allah akan memberi ganti kepadanya dengan isteri-isteri yang lebih baik dari kamu," sehingga turunlah ayat tersebut (At Tahrim 66:4).
Di dalam riwayat lain, Umar r.a. berkata, "Aku sesuai dengan keputusan Tuhanku dalam tiga hal; dalam hal maqam Ibrahim, dalam hal hijab dan dalam hal pemberian keputusan kepada para tawanan perang Badar."
"Dan telah Kami perintahkan kepada Ibrahim dan Ismail agar, "Bersihkanlah oleh kalian berdua rumahKu bagi orang-orang yang tawaf, dan orang-orang yang 'itikaf, dan orang-orang yang ruku', dan orang-orang yang sujud."
Iaitu wahyu dan perintah kepada keduanya untuk membersihkan Baitullah dari kemusyrikan, dari kekafiran dan kemaksiatan. Demikian juga membersihkan dari kotoran dan najis.
Diidhafatkan/dihubungkan rumah tersebut kepada Allah menjadi "Rumah Allah" kerana beberapa fa'idah:
1. Agar mendapat perhatian dari Nabi Ibrahim dan Isma'il, kerana rumah itu adalah rumahNya, sehingga keduanya semangat dalam melakukannya.
2. Diidhafatkan menghendaki agar dimuliakan dan dihormati.
3. Diidhafatkan dengan Allah adalah memiliki daya tarik yang dalam terhadap hati agar kembali kepadaNya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan