بِسْمِ اللَّهِ الرَّحْمَنِ الرَّحِيمِ
Dengan menyebut nama Allah Yang Maha Pemurah lagi Maha Penyayang.
وَيْلٌ لِكُلِّ هُمَزَةٍ لُمَزَةٍ (١) الَّذِي جَمَعَ مَالًا وَعَدَّدَهُ (٢) يَحْسَبُ أَنَّ مَالَهُ أَخْلَدَهُ (٣) كَلَّا لَيُنْبَذَنَّ فِي الْحُطَمَةِ (٤) وَمَا أَدْرَاكَ مَا الْحُطَمَةُ (٥) نَارُ اللَّهِ الْمُوقَدَةُ (٦) الَّتِي تَطَّلِعُ عَلَى الْأَفْئِدَةِ (٧) إِنَّهَا عَلَيْهِمْ مُؤْصَدَةٌ (٨) فِي عَمَدٍ مُمَدَّدَةٍ (٩)
Allah s.w.t. berfirman,
"1. Celakalah bagi setiap pengumpat pencela."
Kecelakaanlah bagi setiap pengumpat lagi pencela. Kata ‘wail’ merupakan kata siksaan, ancaman dan kerasnya azab, atau sebuah lembah di neraka Jahannam.
Menurut penyusun tafsir Al Jalaalain, ayat ini turun berkenaan dengan orang-orang yang sering menggunjing Nabi s.a.w. dan kaum mukmin, seperti Umayyah bin Khalaf, Walid bin Mughirah dan lain-lain, wallahu a’lam.
Humazah bermaksud yang mencela manusia dengan isyarat dan perbuatannya, sedangkan lumazah adalah yang mencela dengan ucapannya. Ada yang mengatakan bahawa al hammaz dan al lammaz, bedanya: Kalau yang pertama melalui ucapan, sedangkan yang kedua melalui perbuatan. Makna yang dimaksud ialah tukang mencela orang lain dan menjatuhkan mereka.
Ada yang mengatakan bahawa humazah lumazah bermaksud tukang menjatuhkan orang lain lagi pencela. Ada yang mengatakan bahawa humazah mengejek di hadapan, sedangkan lumazah mengejek dari belakang.
Ada yang mengatakan bahawa humazah lumazah mencela orang lain dengan lisan dan matanya, dan suka mengumpat serta menjatuhkan orang lain. Ada yang mengatakan bahawa humazah dengan tangan dan mata, sedangkan lumazah dengan lisan.
Ada yang mengatakan bahawa maksudnya ialah memakan daging orang lain, iaitu mengumpat. Kemudian sebahagian dari ulama mengatakan bahawa orang yang dimaksud ialah Al Akhnas ibnu Syuraiq, dan pendapat yang lain mengatakan selain dia. Ada yang mengatakan bahawa makna ayat ini umum.
Di antara sifat para pengumpat (penggunjing) lagi pencela adalah seperti yang disebutkan dalam ayat selanjutnya,
"2. Yang mengumpulkan harta dan dia menghitungnya."
Mengumpulkan dan menghitung-hitung harta yang membuatnya menjadi kikir dan tidak mahu menginfakkannya di jalan Allah. Tidak ada maksud mereka selain mengumpulkan harta dan menghitung-hitung jumlahnya, tidak suka berinfak di jalur-jalur kebaikan, menyambung tali silaturrahim, dan sebagainya.
"3. Dia mengira bahawasanya hartanya mengekalkannya."
Dia (manusia) menyangka kerana kebodohannya bahawa dengan mengumpulkan harta, maka hidupnya di dunia ini akan kekal dan tidak mati. Oleh kerana itulah, usaha kerasnya hanya untuk mengembangkan hartanya. Dia tidak menyedari bahawa kebakhilan dapat mengurangi umur dan merobohkan tempat tinggalnya, sedangkan kebaikan dapat menambah umur.
"4. Sekali-kali tidak! Sungguh dia akan dilemparkan dalam Huthamah."
Iaitu perkara yang sebenarnya tidaklah seperti yang mereka kira dan mereka dugakan. Sesungguhnya orang yang menghimpun harta dan yang menghitung-hitungnya itu benar-benar akan dicampakkan ke dalam Huthamah.
"5. Dan apakah kamu tahu apakah Huthamah itu?"
Kalimat ini untuk memperbesar perkaranya. Huthamah adalah nama lain dari neraka, dinamakan demikian kerana ia meremukredamkan orang yang dimasukkan ke dalamnya dan memecahkan segala sesuatu yang dilempar ke dalamnya.
"6. Api Allah yang dinyalakan."
Iaitu api azab Allah yang dinyalakan yang bahan bakarnya adalah manusia dan batu.
"7. Yang sampai ke hati."
Yang membakar tembus sampai ke hati sehingga rasa sakitnya demikian pedih, sedangkan mereka dalam keadaan tetap hidup. Dan bilamana azab mencapai puncaknya, maka mereka hanya dapat menjerit dan menangis merasakan sakitnya yang tiada terperikan.
Ada yang mengatakan bahawa api neraka Huthamah membakar semua anggota tubuh penghuninya; dan apabila api itu sampai ke hatinya dan mencapai batas kerongkongannya, maka kembalilah api itu ke tubuhnya.
"8. Sungguh, ia atas mereka ditutup rapat."
Sesungguhnya api itu ditutup rapat atas diri mereka. Iaitu bila mereka semua telah berada di dalamnya, maka pintunya ditutup rapat.
"9. Pada tiang-tiang yang panjang."
Sedangkan mereka itu diikat pada tiang-tiang yang panjang. Tiang-tiang itu dari besi. Ada yang mengatakan dari api. Boleh juga diertikan ‘dalam tiang-tiang yang panjang’ iaitu tiang-tiang di balik pintu yang panjang, agar mereka tidak dapat keluar darinya.
Ada yang mengatakan bahawa tiang-tiang yang panjang bermaksud pintu-pintu yang diberi palang. Ada yang mengatakan bahawa sesungguhnya mereka di dalamnya dikunci semua pintunya dengan palang-palang yang panjang.
Ada yang mengatakan bahawa mereka dimasukkan ke dalam pasungan, sedangkan di leher mereka ada belenggunya, lalu ditutup rapatlah semua pintunya. Ada yang mengatakan bahawa mereka itu diikat pada belenggu-belenggu yang berat.
Selesai tafsir surah Al Humazah dengan pertolongan Allah, taufiqNya dan kemudahanNya, walhamdulillahi Rabbil ‘aalamiin.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan