Rabu, 27 Mei 2020

2:126-129 Tafsir Surah Al Baqarah, ayat 126-129.

وَإِذْ قَالَ إِبْرَاهِيمُ رَبِّ اجْعَلْ هَذَا بَلَدًا آمِنًا وَارْزُقْ أَهْلَهُ مِنَ الثَّمَرَاتِ مَنْ آمَنَ مِنْهُمْ بِاللَّهِ وَالْيَوْمِ الآخِرِ قَالَ وَمَنْ كَفَرَ فَأُمَتِّعُهُ قَلِيلا ثُمَّ أَضْطَرُّهُ إِلَى عَذَابِ النَّارِ وَبِئْسَ الْمَصِيرُ (١٢٦) وَإِذْ يَرْفَعُ إِبْرَاهِيمُ الْقَوَاعِدَ مِنَ الْبَيْتِ وَإِسْمَاعِيلُ رَبَّنَا تَقَبَّلْ مِنَّا إِنَّكَ أَنْتَ السَّمِيعُ الْعَلِيمُ (١٢٧) رَبَّنَا وَاجْعَلْنَا مُسْلِمَيْنِ لَكَ وَمِنْ ذُرِّيَّتِنَا أُمَّةً مُسْلِمَةً لَكَ وَأَرِنَا مَنَاسِكَنَا وَتُبْ عَلَيْنَا إِنَّكَ أَنْتَ التَّوَّابُ الرَّحِيمُ (١٢٨) رَبَّنَا وَابْعَثْ فِيهِمْ رَسُولا مِنْهُمْ يَتْلُو عَلَيْهِمْ آيَاتِكَ وَيُعَلِّمُهُمُ الْكِتَابَ وَالْحِكْمَةَ وَيُزَكِّيهِمْ إِنَّكَ أَنْتَ الْعَزِيزُ الْحَكِيمُ (١٢٩) 

Allah s.w.t. berfirman, 

"126. Dan ketika berkata Ibrahim, "Ya Tuhanku, jadikanlah ini negeri yang aman dan berilah rezeki penduduknya dari buah-buahan, orang yang beriman di antara mereka kepada Allah dan hari akhir." 

Ingatlah ketika Ibrahim a.s. berdoa, "Ya Tuhanku, Jadikanlah negeri ini, negeri yang aman dan berikanlah rezeki berupa buah-buahan kepada penduduknya, iaitu yang beriman di antara mereka kepada Allah dan hari kemudian." 

Do'a awalnya mutlak untuk semua penduduknya, namun kemudian Ibrahim a.s. membatasinya untuk orang-orang mukmin saja sebagai adabnya kepada Allah s.w.t.

"Dia berfirman, "Dan barang siapa yang kafir, maka Aku beri dia kesenangan sebentar, kemudian Aku paksa dia kepada azab neraka dan seburuk-buruk tempat kembali.""

Allah s.w.t. berfirman, "Dan kepada orang yang kafir akan aku beri juga kesenangan sementara, kemudian aku paksa dia menjalani siksa neraka dan itulah seburuk-buruk tempat kembali".

Rezeki yang Allah berikan adalah untuk semua makhluk baik yang mukmin maupun yang kafir, yang soleh maupun yang bermaksiat. Orang mukmin menggunakan rezeki itu untuk beribadah kepada Allah dan dia akan masuk ke dalam syurga, sedangkan orang kafir menggunakannya untuk bersenang-senang saja, dan dia akan dipaksa masuk neraka.

"127. Dan ketika meninggikan Ibrahim dasar-dasar dari Baitullah dan Ismail, "Ya Tuhan kami, terimalah dari kami.""

Ingatlah ketika Ibrahim a.s. meninggikan asas Baitullah bersama Ismail a.s. sambil berdoa, "Ya Tuhan kami, terimalah amal dari kami." 

Dari tindakan dan ucapan Ibrahim dan Isma'il a.s. dapat diketahui tingginya rasa khauf (takut) dan rajaa' (harap) serta jauh dari ujub (bangga diri). Amal mereka berdua yang begitu mulia dan agung dianggap kurang oleh mereka berdua, sehingga mereka berdo'a kepada Allah agar amal mereka diterima sehingga bermanfa'at, dan seperti inilah kesempurnaan. 

Mereka berdua juga berdo'a untuk diri mereka dan anak cucu mereka agar tetap di atas Islam; yang hakikatnya adalah ketundukan hati dan patuh kepada Allah Azza wa jalla yang mencakup ketundukan anggota badan.

"Sungguh Engkau Maha Mendengar Maha Mengetahui."

Sesungguhnya Engkau Maha Mendengar ucapan lagi Maha Mengetahui keadaan hamba-hambaMu. 

"128. Ya Tuhan kami, dan jadikanlah kami dua orang yang berserah diri kepadaMu dan dari keturunan kami umat yang berserah diri kepadaMu, dan tunjukkanlah kami manasik kami, dan terimalah taubat atas kami."

Ya Tuhan Kami, Jadikanlah kami berdua orang yang tunduk patuh kepadaMu, dan jadikanlah di antara anak cucu kami umat yang tunduk patuh kepadaMu serta tunjukkanlah kepada kami cara-cara melakukan ibadah kami, dan terimalah taubat kami. 

Kata "manasik" pada ayat ini boleh maksudnya semua pekerjaan haji, dan boleh maksudnya lebih umum lagi iaitu agama yang benar dan tata cara ibadah semuanya kerana erti nusuk adalah ibadah, namun biasanya dipakai untuk pelaksanaan ibadah haji. Kesimpulannya, mereka berdua berdo'a agar diberi taufiq kepada ilmu yang bermanfa'at serta amal yang soleh.

"Sesungguhnya Engkau Engkau Maha Penerima Taubat Maha Pengasih."

Sesungguhnya Engkaulah yang Maha Penerima Taubat lagi Maha Penyayang. Seorang hamba betapa pun banyak ibadahnya, namun tetap tidak lepas dari kekurangan dan perlunya dia kepada taubat, dan pada pengakuan ini terdapat ubat dari penyakit ujub.

"129. Ya Tuhan kami dan utuslah pada mereka seorang rasul dari mereka yang akan membacakan kepada mereka ayat-ayat Engkau, dan mengajarkan kepada mereka Al Kitab dan Al Hikmah," 

Ya Tuhan Kami, utuslah di tengah mereka sesorang rasul dari kalangan mereka, yang akan membacakan kepada mereka ayat-ayat Engkau, dan mengajarkan Al kitab (Al Quran) dan Al Hikmah (As Sunnah). Ada yang mengertikan hikmah dengan tafsirnya. Diertikan dengan Sunnah juga tepat, kerana Sunnah merupakan penjelas Al Qur'an, dan di dalamnya terdapat hikmah.

"dan menyucikan mereka." 

Iaitu menyucikan mereka dari syirik dan akhlak yang buruk. Ayat ini menjadi dalil tasfiyah dan tarbiyah dalam berdakwah, iaitu dibersihkan segala yang bukan dari Islam dan dibina kaum muslim dengan Tarbiyah Islamiyyah yang bersumber dari ajaran Islam yang murni.

Tasfiyah dan Tarbiyah harus dilakukan, terlebih di zaman sekarang, zaman di mana umat Islam tidak mampu membedakan mana ajaran Islam dan mana yang bukan ajaran Islam, maka seorang da'i hendaknya dalam dakwahnya membersihkan ajaran Islam yang dicampuri oleh berbagai bid'ah serta menerangkan ajaran Islam yang sesungguhnya.

"Sungguh Engkau Engkau Maha Perkasa Maha Bijaksana." 

Sesungguhnya Engkaulah yang Mahaperkasa. Tidak ada sesuatu pun yang dapat menghalangiMu. Engkau Mahabijaksana. Iaitu menempatkan sesuatu tepat sesuai dengan tempatnya.

Allah s.w.t. mengabulkan permohonan keduanya dan mengutus setelah mereka seorang nabi yang mulia, iaitu Nabi Muhammad s.a.w.

Tiada ulasan:

KANDUNGAN.

JUZUK 1. Isti'adzah.    Al Fatihah 1 , 2 , 3 , 4 , 5 , 6 , 7 . Al Baqarah 1-5 , 6-7 , 8-9 , 10-16 , 17-20 , 21-25 , 26-27 , 28-29 , 3...