Sabtu, 30 Mei 2020

107:1-7 Tafsir Surah Al Ma'un, ayat 1-7.

بِسْمِ اللَّهِ الرَّحْمَنِ الرَّحِيمِ

Dengan menyebut nama Allah Yang Maha Pemurah lagi Maha Penyayang.

أَرَأَيْتَ الَّذِي يُكَذِّبُ بِالدِّينِ (١) فَذَلِكَ الَّذِي يَدُعُّ الْيَتِيمَ (٢) وَلا يَحُضُّ عَلَى طَعَامِ الْمِسْكِينِ (٣) فَوَيْلٌ لِلْمُصَلِّينَ (٤) الَّذِينَ هُمْ عَنْ صَلاتِهِمْ سَاهُونَ (٥) الَّذِينَ هُمْ يُرَاءُونَ (٦) وَيَمْنَعُونَ الْمَاعُونَ (٧) 

Allah s.w.t. berfirman kepada Nabi Muhammad s.a.w., 

"1. Tahukah kamu orang yang dia mendustakan dengan agama." 

Tahukah kamu orang yang mendustakan agama? Addiin di ayat ini boleh juga diertikan dengan pembalasan dan hisab. Maksudnya, tahukah kamu orang yang mendustakan hari pembalasan? Jika kamu belum tahu, 

"2. Maka itulah orang yang dia mengherdik anak yatim." 

Iaitu orang yang berlaku sewenang-wenang terhadap anak yatim, menganiaya haknya, mencegah haknya dengan keras, tidak memberinya makan, tidak memperlakukannya dengan perlakuan yang baik, tidak mempunyai rasa kasihan terhadapnya kerana keras hatinya, tidak mengharap pahala dan tidak takut kepada siksa.

"3. Dan tidak menganjurkan untuk memberi makan orang miskin." 

Dia tidak mendorong dirinya maupun orang lain untuk memberi makan orang miskin, iaitu orang fakir yang tidak mempunyai sesuatu pun untuk menutupi keperluan dan kecukupannya. 

"4. Maka celakalah bagi orang-orang yang solat." 

Maka kecelakaanlah bagi orang-orang yang solat. 

"5. Orang-orang yang mereka dari solat mereka lalai." 

Iaitu orang-orang yang lalai dari solatnya. Mereka sudah berkewajiban mengerjakan solat dan menetapinya, kemudian mereka melalaikannya. Atau mereka menunda solat hingga lewat waktunya atau menyia-nyiakannya. 

Atau mengerjakannya bukan pada waktu yang telah ditetapkan baginya menurut syara'; bahkan mengerjakannya di luar waktunya. Atau tidak mengerjakannya sama sekali. Atau orang-orang yang tidak mengerjakan rukun-rukun solat dalam solatnya. Atau mengerjakannya dengan tidak khusyuk dan tidak merenungkan maknanya. 

Orang yang menyandang sesuatu dari sifat-sifat tersebut bererti dia mendapat bahagian dari apa yang diancamkan oleh ayat ini. Barang siapa yang menyandang semua sifat tersebut, bererti telah sempurnalah baginya bahagiannya dan jadilah dia seorang munafik dalam amal perbuatannya.

Orang-orang munafik mengerjakan solatnya terang-terangan, sedangkan dalam kesendiriannya mereka tidak solat. 

Rasulullah s.a.w. bersabda, "Itu adalah solat orang munafik, itu adalah solat orang munafik, itu adalah solat orang munafik. Dia duduk menunggu matahari; dan manakala matahari telah berada di antara kedua tanduk syaitan (iaitu akan tenggelam), maka bangkitlah dia (untuk solat) dan mematuk (solat dengan cepat) sebanyak empat kali, tanpa menyebut Allah di dalamnya melainkan hanya sedikit."

Ini merupakan gambaran solat Asar di waktu yang terakhirnya, solat Asar sebagaimana yang disebutkan dalam nas hadis lain disebut solat wusta, dan yang digambarkan oleh hadis adalah batas terakhir waktunya, iaitu waktu yang dimakruhkan. Kemudian seseorang mengerjakan solatnya di waktu itu dan mematuk sebagaimana burung gagak mematuk, maksudnya dia mengerjakan solatnya tanpa tumaninah dan tanpa khusyuk. 

Kerana itulah maka dikecam oleh Nabi s.a.w. bahawa orang tersebut tidak menyebut Allah dalam solatnya, melainkan hanya sedikit (sebentar). Barangkali hal yang mendorongnya melakukan solat kerana pamer kepada orang lain, dan bukan kerana mengharap ridha Allah. Orang yang seperti itu sama kedudukannya dengan orang yang tidak mengerjakan solat sama sekali.

Sa'd ibnu Abu Waqqas bertanya kepada Rasulullah s.a.w. tentang orang-orang yang lalai dari solatnya. Maka Beliau s.a.w. menjawab, "Mereka adalah orang-orang yang mengakhirkan solat dari waktunya."

Pengertian mengakhirkan solat dari waktunya bermaksud meninggalkan solat secara keseluruhan, juga bermaksud mengerjakannya di luar waktu syar'inya, atau mengakhirkannya dari awal waktunya. Kerana lalai dari solatnya hingga waktunya terbuang. 

Hal ini tidak lain kerana kurang perhatiannnya mereka terhadap perkara solat sehingga sampai meremehkannya dan menyia-nyiakanya, padahal solat merupakan ketaatan yang paling agung dan ibadah yang paling utama. Oleh kerana itu, Allah s.w.t. menyifati mereka dengan sifat riya’, kerasnya hati dan tidak punya rasa kasihan.

"6. Orang-orang yang mereka berbuat riya'."

Orang-orang yang berbuat riya', iaitu melakukan suatu amal bukan untuk mencari keridhaan Allah, akan tetapi untuk mencari pujian atau kemasyhuran di masyarakat. Mereka tidak menyembah Tuhan mereka dengan baik. 

Nabi s.a.w. bersabda, "Sesungguhnya di dalam neraka Jahanam benar-benar terdapat sebuah lembah yang neraka Jahanam sendiri meminta perlindungan kepada Allah dari (keganasan) lembah itu setiap harinya sebanyak empat ratus kali. Lembah itu disediakan bagi orang-orang yang riya' (pamer)dari kalangan umat Muhammad yang hafal Kitabullah dan suka bersedekah, tetapi bukan kerana Zat Allah, dan juga bagi orang yang berhaji ke Baitullah dan orang yang keluar untuk berjihad (tetapi bukan kerana Allah s.w.t.)."

Rasulullah s.a.w. bersabda, "Barang siapa yang pamer kepada orang lain dengan perbuatannya, maka Allah akan memamerkannya di hadapan makhlukNya dan menjadikannya terhina dan direndahkan." 

Namun, barang siapa yang melakukan suatu perbuatan kerana Allah, lalu orang lain melihatnya (nampak) dan membuatnya merasa takjub dengan perbuatannya, maka sesungguhnya hal ini bukan termasuk perbuatan riya'.

"7. Dan enggan pertolongan." 

Mereka juga tidak mahu berbuat baik dengan sesama makhlukNya hingga mereka enggan menolong atau memberikan bantuan dengan barang-barang berguna yang jika dipinjamkan atau diberikannya tidaklah merugikannya kerana murah dan ringannya seperti jarum, gayung, timba, kapak, paku, periuk, piring, pena, buku, dan sebagainya.

Jika barang-barang yang ringan itu pun berat untuk diberikan, maka apalagi dengan barang-barang yang di atasnya, yang lebih besar dan lebih berat. 

Sebahagian mufassirin mengatakan bahawa al ma'un bermaksud zakat. Orang-orang yang bersifat demikian benar-benar lebih enggan atau menolak untuk menunaikan zakat dan berbagai macam amal kebajikan untuk mendekatkan diri kepada Allah s.w.t.

Dalam surah yang mulia ini terdapat anjuran untuk memuliakan anak yatim, orang-orang miskin, mendorong diri atau orang lain untuk memberi makan orang miskin, memperhatikan perkara solat, menjaganya, dan berlaku ikhlas dalam semua amalan. Terdapat juga anjuran mengerjakan perkara yang ma’ruf dan memberikan harta-harta yang ringan yang bermanfaat, dan sebagainya.

Selesai tafsir surah Al Maa’un dengan pertolongan Allah, taufiqNya dan kemudahanNya, walhamdulillahi Rabbil ‘aalamiin.

Tiada ulasan:

KANDUNGAN.

JUZUK 1. Isti'adzah.    Al Fatihah 1 , 2 , 3 , 4 , 5 , 6 , 7 . Al Baqarah 1-5 , 6-7 , 8-9 , 10-16 , 17-20 , 21-25 , 26-27 , 28-29 , 3...