Ahad, 31 Mei 2020

108:1-3 Tafsir Surah Al Kautsar, ayat 1-3.

بِسْمِ اللَّهِ الرَّحْمَنِ الرَّحِيمِ

Dengan menyebut nama Allah Yang Maha Pemurah lagi Maha Penyayang.

إِنَّا أَعْطَيْنَاكَ الْكَوْثَرَ (١) فَصَلِّ لِرَبِّكَ وَانْحَرْ (٢) إِنَّ شَانِئَكَ هُوَ الأبْتَرُ (٣)

Anas ibnu Malik mengatakan bahawa ketika Rasulullah s.a.w. berada di hadapan kami di masjid, tiba-tiba Beliau menundukkan kepalanya sejenak, kemudian mengangkat kepalanya sambil tersenyum. Maka kami bertanya, "Wahai Rasulullah, apakah yang menyebabkan engkau tertawa?" Rasulullah s.a.w. menjawab, "Sesungguhnya diturunkan kepadaku baru saja suatu surah." Maka Beliau s.a.w. membaca firmanNya, "Dengan nama Allah Yang Maha Pemurah lagi Maha Penyayang. Sungguh Kami telah memberi padamu Al Kautsar. Maka dirikanlah solat kerana Tuhanmu dan berkorbanlah. Sungguh, orang yang membencimu dia yang terputus. (Al Kautsar 108:1-3) Kemudian Beliau s.a.w. bersabda, "Tahukah kamu, apakah Al Kautsar itu?” Kami menjawab, "Allah dan RasulNya lebih mengetahui.” Rasulullah s.a.w. bersabda, "Sesungguhnya Al Kautsar adalah sebuah sungai (telaga) yang telah dijanjikan oleh Tuhanku untukku, padanya terdapat kebaikan yang banyak. Al Kautsar merupakan telaga yang akan didatangi oleh umatku kelak di hari kiamat, jumlah bejananya sama dengan bilangan bintang-bintang di langit, maka diusirlah darinya seorang hamba dari mereka, lalu aku berkata, "Ya Tuhanku, sesungguhnya dia dari kalangan umatku.” Maka Dia berfirman, "Sesungguhnya kamu tidak mengetahui apa yang telah dibuat-buatnya sesudahmu." 

Sebahagian besar ulama ahli qiraat mengatakan berdasarkan dalil ayat ini, bahawa surah ini adalah surah Madaniyah. Dan kebanyakan ulama fiqih mengatakan bahawa Basmalahnya merupakan bahagian dari surah dan diturunkan bersama-sama dengan surah ini.

"1. Sungguh Kami telah memberi padamu Al Kautsar."

Sesungguhnya Kami telah memberimu (Muhammad) kebaikan atau nikmat yang banyak seperti kenabian, Al Qur’an, pahala di akhirat, syafaat, dan sebagainya.

Al Kautsar juga bererti sungai di syurga yang dijanjikan Allah s.w.t. untuk Beliau. Kedua tepinya dari emas dan perak, mengalir di atas yaqut dan mutiara, airnya lebih putih daripada salju, dan rasanya lebih manis daripada madu. 

Syaikh As Sa’diy berkata, “Allah s.w.t. berfirman kepada NabiNya memberikan nikmat kepadanya, “Sungguh, Kami telah memberimu (Muhammad) nikmat yang banyak.” Iaitu kebaikan yang banyak dan kurnia yang melimpah yang di antaranya adalah apa yang Allah berikan kepada NabiNya s.a.w. pada hari Kiamat berupa sungai yang disebut dengan Al Kautsar, dan telaga yang panjangnya selama sebulan, lebarnya selama sebulan, airnya lebih putih daripada susu, lebih manis daripada madu, bejananya seperti bintang-bintang di langit kerana banyak dan bersinarnya. Barang siapa yang meminumnya, maka dia tidak akan haus setelahnya selama-lamanya.”

Setelah Allah s.w.t. menyebutkan nikmatNya, maka Allah s.w.t. memerintahkan Beliau s.a.w. untuk mensyukurinya dengan firmanNya, 

"2. Maka dirikanlah solat kerana Tuhanmu" 

Sebagaimana Kami telah memberimu kebaikan yang banyak di dunia dan akhirat, maka laksanakanlah solat kerana Tuhanmu. Kerjakanlah solat fardu dan solat sunatmu dengan ikhlas kerana Allah dan juga dalam semua gerakmu. Sembahlah Dia semata, tiada sekutu bagiNya. Ada yang menafsirkan dengan solat ‘Idul Adha.

"dan berkorbanlah."

Wanhar atau berkorban di sini bermaksud menyembelih haiwan Qurban dan mensyukuri nikmat Allah. Sembelihlah korbanmu dengan menyebut namaNya semata, tiada sekutu bagiNya.

Kerana itulah maka Rasulullah s.a.w. seusai solat Idul Adha segera menyembelih korbannya, lalu bersabda, "Barang siapa yang solat seperti solat kami dan menyembelih korban seperti kami menyembelih korban, maka sesungguhnya dia telah menunaikan korbannya. Dan barang siapa yang menyembelih korban sebelum solat (hari raya) maka tiada korban baginya." Maka Abu Burdah Nayyar bertanya, "Wahai Rasulullah, sesungguhnya aku telah menyembelih kambingku sebelum solat, dan aku mengetahui bahawa hari ini adalah hari yang semua orang menyukai daging padanya" Rasulullah s.a.w. menjawab, "Kambingmu itu adalah daging kambing biasa (bukan korban)." Abu Burdah berkata, "Wahai Rasulullah, sesungguhnya aku mempunyai seekor anak kambing kacang yang lebih aku sukai daripada dua ekor kambing biasa, apakah itu cukup untuk korbanku?" Rasulullah s.a.w. menjawab, "Cukup untukmu, tetapi tidak cukup untuk orang lain sesudahmu."

Disebutkan secara khusus solat dan korban kerana keduanya termasuk ibadah yang paling utama dan pendekatan diri yang paling mulia. Dalam solat terdapat ketundukan hati dan anggota badan kepada Allah s.w.t. dan mengalihkannya kepada ibadah-ibadah lainnya, sedangkan dalam korban terdapat pendekatan diri kepada Allah s.w.t. dengan haiwan korban yang terbaik miliknya dan mengeluarkan harta yang dicintainya.

Jadikanlah solatmu semuanya tulus ikhlas hanya untuk Tuhanmu, bukan untuk berhala atau sembahan selainNya. Begitu juga korbanmu, jadikanlah hanya untuk Dia, bukan untuk berhala-berhala, sebagai ungkapan rasa syukurmu terhadapNya atas kemuliaan dan kebaikan tiada taranya yang dikhususkanNya buatmu sebagai anugerah dariNya.

"3. Sungguh, orang yang membencimu dia yang terputus."

Sesungguhnya orang-orang yang memusuhimu, mencelamu, merendahkanmu, benci kepada petunjuk, kebenaran, bukti yang jelas, dan cahaya terang yang kamu sampaikan; dialah yang terputus dari rahmat Allah, terputus dari semua kebaikan, terhina, direndahkan dan terputus sebutannya, terputus namanya atau terputus keturunannya.

Adapun Nabi s.a.w., maka Beliau adalah seorang yang sempurna; yang memimiliki kesempurnaan yang mungkin pada makhluk berupa nama yang tinggi, banyak pembela dan pengikut.

Ada yang mengatakan bahawa ayat ini diturunkan berkenaan dengan Al-As ibnu Wa-il yang menyebut Nabi s.a.w. sebagai abtar (yang terputus keturunannya) ketika wafat putera Beliau, iaitu Al Qasim. Apabila disebutkan nama Rasulullah s.a.w., dia mengatakan, "Biarkanlah dia, kerana sesungguhnya dia adalah seorang lelaki yang terputus, tidak mempunyai keturunan. Apabila dia mati, maka terputuslah sebutannya." Maka Allah menurunkan surah ini.

Ada yang mengatakan bahawa surah ini diturunkan berkenaan dengan Uqbah ibnu Abu Mu'it. Ada yang mengatakan bahawa surah ini diturunkan berkenaan dengan Ka'b ibnul Asyraf dan sejumlah orang-orang kafir Quraisy.

Ka'b ibnul Asyraf datang ke Mekah, maka orang-orang Quraisy berkata kepadanya, "Engkau adalah pemimpin mereka. Tidakkah engkau melihat kepada lelaki yang terusir lagi terputus dari kaumnya itu (maksudnya Nabi s.a.w.)? Dia mengira bahawa dirinya lebih baik daripada kami, padahal kami adalah ahli (pelayan) jemaah haji, ahli sadanah (pelayan Ka'bah) dan ahli Siqayah (pelayan minuman air zamzam)," Maka Ka'b Ibnul Asyraf berkata, "Kalian lebih baik daripadanya." Maka turunlah firman Allah s.w.t., "Sesungguhnya orang-orang yang membenci kamu, dialah yang terputus." (Al Kautsar 108:3)

Ada yang mengatakan bahawa ayat ini diturunkan berkenaan dengan Abu Jahal. Ada yang mengatakan bahawa surah ini diturunkan berkenaan dengan Abu Lahab. Demikian itu terjadi ketika putera Rasulullah s.a.w. meninggal dunia, maka Abu Lahab pergi menemui orang-orang musyrik dan berkata kepada mereka, "Tadi malam Muhammad terputus (keturunannya)." Maka Allah s.w.t. menurunkan firmanNya sehubungan dengan peristiwa tersebut, "Sungguh, orang yang membencimu dia yang terputus." (Al Kautsar 108:3)

Abtar bermaksud sebatang kara. Dahulu mereka apabila meninggal dunia keturunannya lelaki mereka, maka mereka mengatakannya abtar (terputus keturunannya). Ketika putera-putera Nabi s.a.w. semuanya meninggal dunia, maka mereka mengatakan, "Muhammad telah terputus." Maka Allah s.w.t. menurunkan firmanNya, "Sungguh, orang yang membencimu dia yang terputus. (Al Kautsar 108:3)

Abtar juga bermaksud orang yang tidak mempunyai keturunan lelaki. Maka orang-orang kafir Quraisy itu mengira bahawa seseorang itu apabila anak-anak lelakinya mati, maka terputuslah sebutannya.

Padalah tidaklah demikianlah kenyataannya, bahkan sebenarnya Allah mengekalkan sebutan Nabi s.a.w. di hadapan para saksi dan mewajibkan syariat yang dibawanya di atas bahu hamba-hambaNya, yang akan terus berlangsung selamanya sampai hari mereka dihimpunkan untuk mendapat pembalasan. Semoga salawat dan salamNya terlimpahkan kepadanya selama-lamanya sampai hari kiamat.

Selesai tafsir surah Al Kautsar dengan pertolongan Allah dan taufiqNya, walhamdulillahi Rabbil ‘aalamiin.

Tiada ulasan:

KANDUNGAN.

JUZUK 1. Isti'adzah.    Al Fatihah 1 , 2 , 3 , 4 , 5 , 6 , 7 . Al Baqarah 1-5 , 6-7 , 8-9 , 10-16 , 17-20 , 21-25 , 26-27 , 28-29 , 3...