بِسْمِ اللَّهِ الرَّحْمَنِ الرَّحِيمِ
Dengan menyebut nama Allah yang Maha Pemurah lagi Maha Penyayang.
الر كِتَابٌ أُحْكِمَتْ آيَاتُهُ ثُمَّ فُصِّلَتْ مِنْ لَدُنْ حَكِيمٍ خَبِيرٍ (١) أَلا تَعْبُدُوا إِلا اللَّهَ إِنَّنِي لَكُمْ مِنْهُ نَذِيرٌ وَبَشِيرٌ (٢) وَأَنِ اسْتَغْفِرُوا رَبَّكُمْ ثُمَّ تُوبُوا إِلَيْهِ يُمَتِّعْكُمْ مَتَاعًا حَسَنًا إِلَى أَجَلٍ مُسَمًّى وَيُؤْتِ كُلَّ ذِي فَضْلٍ فَضْلَهُ وَإِنْ تَوَلَّوْا فَإِنِّي أَخَافُ عَلَيْكُمْ عَذَابَ يَوْمٍ كَبِيرٍ (٣) إِلَى اللَّهِ مَرْجِعُكُمْ وَهُوَ عَلَى كُلِّ شَيْءٍ قَدِيرٌ (٤) أَلا إِنَّهُمْ يَثْنُونَ صُدُورَهُمْ لِيَسْتَخْفُوا مِنْهُ أَلا حِينَ يَسْتَغْشُونَ ثِيَابَهُمْ يَعْلَمُ مَا يُسِرُّونَ وَمَا يُعْلِنُونَ إِنَّهُ عَلِيمٌ بِذَاتِ الصُّدُورِ (٥)
Allah s.w.t. berfirman,
"1. Alif Lam Ra. Kitab disusun dengan rapi ayat-ayatNya kemudian dijelaskan terperinci"
Inilah suatu kitab yang ayat-ayatnya disusun dengan rapi kemudian dijelaskan secara terperinci. Lafaznya tersusun rapi, sedangkan maknanya terinci. Iaitu diperinci atas beberapa macam, ada yang berbicara mengenai aqidah, ibadah, hukum, kisah, akhlak, ilmu pengetahuan, janji dan peringatan, nasihat, perumpamaan dan lain-lain. Dengan demikian, Al Quran menjadi sempurna ditinjau dari segi bentuk dan maknanya.
"dari sisi Maha Bijaksana Maha Mengetahui."
Yang diturunkan dari sisi Allah Yang Mahabijaksana dalam semua ucapan dan hukumNya, lagi Mahawaspada mengenai akibat segala urusan. Dia meletakkan sesuatu pada tempatnya, menempatkan sesuatu pada posisinya, tidak memerintah dan melarang kecuali sesuai kebijaksanaanNya.
Dia Maha Mengetahui, Maha Teliti dan Maha Mengenal. Dia mengetahui yang nampak maupun yang tersembunyi. Oleh kerana berasal dari sisi Allah yang Mahabijaksana lagi Maha Teliti, maka tidak perlu ditanyakan lagi tentang keagungan kitab itu serta kandungannya yang penuh hikmah dan rahmat.
"2. Agar tidak kalian menyembah kecuali Allah."
Agar kalian tidak menyembah selain Allah. Iaitu Al Qur'an yang muhkam dan mufassal ini diturunkan untuk mengembalikan manusia kepada fitrahnya, iaitu menyembah hanya kepada Allah, tiada sekutu bagiNya, dan sebagai pedoman bagi mereka dalam meniti hidup di dunia yang fana ini.
"Sesungguhnya aku kepada kalian dariNya pemberi peringatan dan pembawa khabar gembira."
Sesungguhnya aku (Muhammad) kepada kalian dariNya adalah pemberi peringatan dengan azab Allah jika kalian kafir dan menentangNya, dan pembawa berita gembira dengan pahala yang berlimpah jika kalian beriman dan taat kepadaNya.
"3. Dan hendaklah kalian memohon ampun Tuhan kalian,"
Hendaklah kalian meminta ampun kepada Tuhan kalian dari perbuatan syirik dan dosa-dosa lainnya.
"kemudian bertaubatlah kalian kepadaNya,"
Bertaubatlah kalian kepadaNya dengan kembali menaatiNya dan mengerjakan perbuatan yang dicintaiNya. Jika kalian terus-menerus memohon ampun kepada Allah dari segala dosa dan bertaubat darinya kepada Allah s.w.t. di masa mendatang,
"Dia akan beri nikmat pada kalian kenikmatan yang baik"
Nescaya Dia akan memberi kenikmatan yang baik kepada kalian, iaitu penghidupan yang baik dan rezeki yang banyak di dunia ini.
"sampai waktu yang ditentukan"
Yang terus-menerus kepada kalian sampai kepada waktu yang telah ditentukan, iaitu kematian.
"dan Dia akan berikan setiap mempunyai keutamaan kurniaNya."
Dia akan memberikan kepada setiap orang yang mempunyai keutamaan (balasan) keutamaannya di akhirat nanti. Dia akan memberikan kurnia atau balasanNya kepada setiap orang yang berbuat baik.
"Dan jika kalian berpaling, maka sungguh aku khuatir atas kalian siksaan hari yang besar."
Jika kalian berpaling dari seruanku, maka sesungguhnya aku takut kalian akan ditimpa azab di hari kiamat. Hari di mana Allah s.w.t. mengumpulkan makhluk yang dahulu maupun yang datang kemudian, lalu memberikan balasan terhadap amal mereka. Jika amalnya baik, maka akan diberi balasan yang baik, dan jika buruk, maka akan diberi balasan yang buruk.
"4. Kepada Allah tempat kembali kalian. Dan Dia atas segala sesuatu Mahakuasa."
Kalian akan dikembalikan hanya kepada Allah di hari kiamat kelak. Dia Maha Kuasa atas segala sesuatu. Iaitu Dia Mahakuasa terhadap apa yang dikehendakiNya, seperti berbuat baik kepada kekasih-kekasihNya dan menyiksa musuh-musuhNya; juga Mahakuasa untuk menghidupkan semua makhluk di hari kiamat kelak.
Tentang sebab turunnya ayat seterusnya ini disebutkan dalam hadis riwayat Imam Bukhari dari Muhammad ibnu Abbad ibnu Ja'far, bahawa Ibnu Abbas membaca firmanNya, "Ingatlah, sungguh mereka, mereka memalingkan dada mereka." (Hud 11:5), hingga akhir ayat. Lalu aku bertanya, "Hai Ibnu Abbas, apakah yang dimaksud dengan memalingkan dada mereka?" Ibnu Abbas menjawab, "Lelaki yang sedang menyetubuhi isterinya, lalu dia merasa malu; atau dia sedang membuang hajatnya, lalu merasa malu," maka turunlah firmanNya, "Ingatlah, sungguh mereka, mereka memalingkan dada mereka." (Hud 11:5)
Menurut lafaz yang lain, Ibnu Abbas mengatakan bahawa dahulu ada orang-orang yang merasa malu bila membuang hajatnya kerana akan kelihatan dari langit, begitu juga bila mereka menyetubuhi isteri-isteri mereka dengan menghadap ke arah langit. Maka turunlah ayat ini berkenaan dengan mereka.
Ada juga yang berpendapat, bahawa ayat ini turun berkenaan dengan orang-orang munafik, wallahu a’lam.
"5. Ingatlah, sungguh mereka, mereka memalingkan dada mereka untuk menyembunyikan diri dari dia."
Ingatlah, sesungguhnya mereka memalingkan atau membongkokkan dada mereka untuk menyembunyikan diri dari dia.
Jika ayat ini turun berkenaan dengan orang-orang munafik, maka maksudnya bahawa mereka menyembunyikan perasaan permusuhan dan kemunafikan mereka terhadap Nabi Muhammad s.a.w.
Tetapi jika turun berkenaan orang-orang yang merasa malu ketika buang hajat atau menjima’i isterinya, maka kata “dia” di sana kembalinya kepada Allah, iaitu mereka cuba menyembunyikan diri dengan membongkokkan dadanya agar Allah tidak nampak mereka, padahal Dia mengetahui segalanya termasuk apa yang disembunyikan dalam hati mereka.
Ada juga yang menafsirkan, bahawa orang-orang yang mendustakan Rasulullah s.a.w. kerana sangat berpalingnya mereka dari dakwah Beliau sampai membongkokkan dadanya ketika nampak Rasulullah s.a.w. agar Beliau tidak nampak mereka dan tidak mendakwahi mereka.
"Ingatlah, pada waktu mereka menyelimuti diri pakaian mereka Dia mengetahui apa yang mereka menyembunyikan dan apa yang mereka tampakkan."
Ingatlah, sewaktu mereka menyelimuti dirinya dengan kain, Allah mengetahui apa yang mereka sembunyikan dan apa yang mereka lahirkan atau nyatakan. Usaha mereka untuk bersembunyi tidaklah berguna.
"Sungguh Dia Maha Mengetahui dengan apa yang ada dalam dada."
Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui segala isi hati.
Akhir juz 11.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan