Rabu, 6 Mei 2020

20:124-127 Tafsir Surah Thaha, ayat 124-127.

وَمَنْ أَعْرَضَ عَنْ ذِكْرِي فَإِنَّ لَهُ مَعِيشَةً ضَنْكًا وَنَحْشُرُهُ يَوْمَ الْقِيَامَةِ أَعْمَى (١٢٤) قَالَ رَبِّ لِمَ حَشَرْتَنِي أَعْمَى وَقَدْ كُنْتُ بَصِيرًا (١٢٥) قَالَ كَذَلِكَ أَتَتْكَ آيَاتُنَا فَنَسِيتَهَا وَكَذَلِكَ الْيَوْمَ تُنْسَى (١٢٦) وَكَذَلِكَ نَجْزِي مَنْ أَسْرَفَ وَلَمْ يُؤْمِنْ بِآيَاتِ رَبِّهِ وَلَعَذَابُ الآخِرَةِ أَشَدُّ وَأَبْقَى (١٢٧) 

Allah s.w.t. berfirman,

"124. Dan barang siapa yang berpaling dari peringatanKu," 

Barang siapa yang berpaling dari Al Qur’an, iaitu menentang perintahKu, menentang apa yang Kuturunkan kepada rasul-rasulKu, tidak mahu mengamalkannya, tidak beriman kepadanya, mendustakannya, berpaling darinya, melupakannya dan mengambil petunjuk dari selainnya.

"maka sungguh, baginya penghidupan sempit" 

Maka sungguh dia akan menjalani kehidupan yang sempit di dunia, tidak tenang, tidak tenteram, dadanya tidak lapang, bahkan sentiasa terasa sempit dan sesak kerana kesesatannya, walaupun keadaan luarnya mendapat kenikmatan, memakai pakaian mewah, memakan makanan yang enak dan tinggal di mana saja yang dia kehendaki.

Namun hatinya jika tidak di atas keyakinan yang benar dan petunjuk, maka tetap dalam kegelisahan, keraguan, kebingungan dan kebimbangan. Hal ini termasuk ke dalam kehidupan yang sempit. Ada yang mengatakan bahawa kehidupan yang sempit adalah kesengsaraan.

Ada yang mengatakan, apabila segala sesuatu yang Allah berikan kepada seorang hamba, sedikit atau banyak, dia tidak bertakwa kepada Allah kerananya, maka tiada kebaikan pada sesuatu itu.

Kehidupan yang sempit juga apabila ada suatu kaum yang sesat, mereka berpaling dari kebenaran, padahal kehidupan mereka makmur dan mudah lagi bersikap sombong. Mereka memandang bahawa tidaklah Allah menentang prinsip kehidupan mereka yang berburuk sangka kepada Allah dan mendustakanNya. Apabila seorang hamba mendustakan Allah dan berburuk sangka terhadapNya serta tidak percaya kepadaNya, maka kehidupannya menjadi keras.

Ada yang mengatakan, pekerjaan yang buruk dan rezeki yang kotor. Ada yang mengatakan azab kubur. Ada yang mengatakan bahawa kuburannya menjepitnya (mengimpitnya) sehingga tulang-tulang rusuknya berantakan (bila dia telah mati nanti).

"dan Kami akan mengumpulkannya hari kiamat buta." 

Kami akan menghimpunkannya pada hari kiamat dalam keadaan buta. Ada yang mengatakan bahawa maksunya, orang yang bersangkutan tidak mempunyai alasan kelak di hari kiamat untuk membela dirinya.

Ada yang mengatakan bahawa orang kafir dibutakan matanya dari segala sesuatu, kecuali neraka Jahanam. Boleh juga ditakwilkan bahawa maksudnya ialah orang kafir dibangkitkan atau digiring ke neraka dalam keadaan buta penglihatan, juga buta hatinya.

"125. Dia berkata, "Tuhanku mengapa Engkau kumpulkan aku buta, dan sungguh aku seorang yang melihat?""

Dia berkata kerana hina, merasa berat menerimanya dan bosan dengan keadaan yang dialaminya, "Ya Tuhanku, mengapa Engkau kumpulkan aku dalam keadaan buta, padahal dahulu aku ketika di dunia dan ketika dibangkitkan dapat melihat?" Maka Allah menjawab melalui firmanNya,

"126. Berfirman, "Demikianlah, telah datang kepadamu ayat-ayat Kami, maka kamu melupakannya, dan demikianlah hari ini kamu dilupakan.""

Demikianlah, telah disampaikan kepadamu ayat-ayat Kami, maka kamu berpaling darinya, mengabaikannya, meninggalkannya dan tidak beriman kepadanya, kamu pura-pura melupakannya, berpaling darinya, serta melalaikannya, jadi begitu jugalah pada hari ini kamu diabaikan atau dibiarkan dalam azab.

Kami memperlakukan kamu sebagaimana perlakuan orang yang melupakanmu. Sesungguhnya pembalasan itu disesuaikan dengan jenis perbuatannya sebagai tindakan yang adil.

"127. Dan demikianlah Kami membalas orang yang melampaui batas" 

Demikianlah Kami membalas orang-orang yang sikapnya melampaui batasan yang ditetapkan, mengerjakan perbuatan yang diharamkan, seperti halnya yang dilakukan orang-orang kafir dan musyrik.

"dan tidak beriman kepada ayat-ayat Tuhannya." 

Iaitu mendustakan atau tidak percaya kepada petunjuk yang diturunkanNya untuk kebaikan dirinya. Oleh kerana itu, Allah tidaklah berbuat zalim dan tidak mungkin meletakkan hukuman yang bukan pada tempatnya.

"Dan sungguh azab akhirat lebih keras dan lebih kekal." 

Sesungguhnya azab di akhirat itu jauh lebih berat, lebih menyakitkan dan lebih kekal daripada azab di dunia dan dari azab kubur. Mereka terus-menerus diazab untuk selama-lamanya.

Tiada ulasan:

KANDUNGAN.

JUZUK 1. Isti'adzah.    Al Fatihah 1 , 2 , 3 , 4 , 5 , 6 , 7 . Al Baqarah 1-5 , 6-7 , 8-9 , 10-16 , 17-20 , 21-25 , 26-27 , 28-29 , 3...