Ahad, 10 Mei 2020

20:128-135 Tafsir Surah Thaha, ayat 128-135.

أَفَلَمْ يَهْدِ لَهُمْ كَمْ أَهْلَكْنَا قَبْلَهُمْ مِنَ الْقُرُونِ يَمْشُونَ فِي مَسَاكِنِهِمْ إِنَّ فِي ذَلِكَ لآيَاتٍ لأولِي النُّهَى (١٢٨) وَلَوْلا كَلِمَةٌ سَبَقَتْ مِنْ رَبِّكَ لَكَانَ لِزَامًا وَأَجَلٌ مُسَمًّى (١٢٩) فَاصْبِرْ عَلَى مَا يَقُولُونَ وَسَبِّحْ بِحَمْدِ رَبِّكَ قَبْلَ طُلُوعِ الشَّمْسِ وَقَبْلَ غُرُوبِهَا وَمِنْ آنَاءِ اللَّيْلِ فَسَبِّحْ وَأَطْرَافَ النَّهَارِ لَعَلَّكَ تَرْضَى (١٣٠) وَلا تَمُدَّنَّ عَيْنَيْكَ إِلَى مَا مَتَّعْنَا بِهِ أَزْوَاجًا مِنْهُمْ زَهْرَةَ الْحَيَاةِ الدُّنْيَا لِنَفْتِنَهُمْ فِيهِ وَرِزْقُ رَبِّكَ خَيْرٌ وَأَبْقَى (١٣١) وَأْمُرْ أَهْلَكَ بِالصَّلاةِ وَاصْطَبِرْ عَلَيْهَا لا نَسْأَلُكَ رِزْقًا نَحْنُ نَرْزُقُكَ وَالْعَاقِبَةُ لِلتَّقْوَى (١٣٢) وَقَالُوا لَوْلا يَأْتِينَا بِآيَةٍ مِنْ رَبِّهِ أَوَلَمْ تَأْتِهِمْ بَيِّنَةُ مَا فِي الصُّحُفِ الأولَى (١٣٣) وَلَوْ أَنَّا أَهْلَكْنَاهُمْ بِعَذَابٍ مِنْ قَبْلِهِ لَقَالُوا رَبَّنَا لَوْلا أَرْسَلْتَ إِلَيْنَا رَسُولا فَنَتَّبِعَ آيَاتِكَ مِنْ قَبْلِ أَنْ نَذِلَّ وَنَخْزَى (١٣٤) قُلْ كُلٌّ مُتَرَبِّصٌ فَتَرَبَّصُوا فَسَتَعْلَمُونَ مَنْ أَصْحَابُ الصِّرَاطِ السَّوِيِّ وَمَنِ اهْتَدَى (١٣٥) 

Allah s.w.t. berfirman,

"128. Maka apakah tidak menjadi petunjuk bagi mereka berapa banyak Kami telah binasakan sebelum mereka dari umat-umat,"

Maka tidakkah menjadi petunjuk bagi mereka (kaum musyrik) yang mendustakan apa yang disampaikan olehmu, hai Muhammad, bahawa sudah berapa banyak Kami binasakan umat-umat atau generasi yang mendustakan rasul-rasul sebelum mereka kerana mendustakan rasul?

Umat-umat terdahulu itu dibinasakan dan tidak ada lagi bekas-bekasnya, seperti yang kalian saksikan sendiri di tempat-tempat bekas mereka yang sekarang kalian melaluinya dalam keadaan kosong.

"mereka berjalan di tempat tinggal mereka."

Padahal mereka melalui bekas-bekas tempat tinggal umat-umat itu, iaitu ketika mereka bepergian ke Syam dan lainnya yang seharusnya mereka ambil pelajaran darinya.

"Sungguh pada yang demikian, sungguh ada ayat-ayat bagi yang mempunyai fikiran."

Sesungguhnya pada yang demikian itu terdapat tanda-tanda kekuasaan Allah bagi orang-orang yang berakal. Ada juga yang menafsirkan, “Terdapat pelajaran-pelajaran” atau “Terdapat tanda-tanda yang menunjukkan kebenaran risalah para rasul dan batilnya sikap mereka selama ini, iaitu menolak seruan para rasul.”

Ulin nuha bermaksud orang yang berakal sihat dan berhati lurus. Hanya merekalah yang dapat mengambil manfaat dari peristiwa-peristiwa yang menimpa orang-orang terdahulu.

Allah s.w.t. berfirman menghibur Nabi Muhammad s.a.w.,

"129. Dan sekiranya tidak ada perkataan telah lewat dari Tuhanmu, sungguh adalah pasti menimpa, dan ajal yang telah ditentukan."

Kalaulah tidak ada suatu ketetapan terdahulu dari Tuhanmu, serta tidak ada batas (ajal) yang telah ditentukan, pasti azab atau siksaan itu telah menimpa mereka.

Iaitu seandainya tidak ada ketetapan Allah yang terdahulu, bahawa Dia tidak akan mengazab seseorang melainkan sesudah tegaknya hujah Allah atas dirinya dan berdasarkan ketetapan masa yang telah ditentukan oleh Allah s.w.t. terhadap orang-orang yang mendustakanNya itu, tentulah mereka akan ditimpa oleh azab Allah secara tiba-tiba.

"130. Maka bersabarlah atas apa yang mereka katakan, dan bertasbihlah dengan memuji Tuhanmu sebelum terbit matahari dan sebelum terbenamnya."

Maka bersabarlah kamu atas apa yang mereka katakan. Janganlah kamu meminta disegerakan azab untuk orang-orang yang mendustakanmu. Ambilah gantinya dan jadikanlah sebagai pembantumu, iaitu bertasbih dengan memuji Tuhanmu di waktu-waktu yang utama, iaitu sebelum matahari terbit, iaitu solat Fajar atau Subuh, dan sebelum matahari terbenam, iaitu solat ‘Asar.

"Dan dari bahagian malam maka bertasbihlah, dan di hujung siang,"

Bertasbih jugalah pada waktu-waktu di malam hari, iaitu kerjakanlah solat tahajud di waktu-waktu malam hari. Akan tetapi, sebahagian ulama menakwilkannya sebagai solat Maghrib dan Isya. Bertasbih jugalah pada hujung atau waktu-waktu di siang hari untuk mengimbangi waktu-waktu di malam hari tadi, iaitu solat Zuhur. Ketika itu matahari sudah condong ke barat.

"agar kamu rela."

Dengan begitu kamu menjadi ridha, senang dan gembira dengan pemberian Allah berupa pahala di dunia dan di akhirat, hatimu tenteram dan puas dengan beribadah kepada Allah serta merasa terhibur dari gangguan mereka sehingga bersabar terasa ringan bagimu.

"131. Dan jangan kamu tujukan kedua matamu kepada apa yang Kami beri kesenangan dengannya golongan-golongan di antara mereka"

Azwajan minhum bermaksud orang-orang kaya dan para hartawan. Janganlah kamu merasa kagum kepada kemewahan dan kenikmatan yang telah Kami berikan kepada beberapa golongan yang hidup senang dan mewah dari mereka, seperti makanan dan minuman yang enak, pakaian yang indah, harta yang banyak, rumah yang besar, wanita yang cantik, dan sebagainya.

"kembang kehidupan dunia, agar Kami fitnah mereka padanya"

Sesungguhnya semua itu tiada lain merupakan bunga kehidupan dunia, perhiasan yang fana dan nikmat yang pasti lenyapnya, Kami mencobai dan menguji mereka dengan kesenangan itu. Orang-orang yang tertipu akan bersenang-senang dengannya, begitu juga orang-orang zalim. Mereka berbuat melampaui batas. Amatlah sedikit orang yang banyak bersyukur di antara hamba-hambaKu.

Perhiasan itu akan hilang dan ditinggalkan, menyakitkan hati pencintanya dan mereka akan menyesal pada hari kiamat serta akan mereka ketahui bahawa Allah menjadikannya sebagai ujian dan cobaan agar Dia mengetahui siapa yang tergoda dan siapa yang tidak tergoda, iaitu tetap baik perbuatannya.

"dan rezeki Tuhanmu lebih baik dan lebih kekal."

Sesungguhnya kamu telah diberi apa yang lebih baik daripada apa yang diberikan kepada mereka. Kurnia Tuhanmu baik yang segera (di dunia) maupun yang ditunda (di akhirat) adalah lebih baik dan lebih kekal dari kenikmatan yang diberikan kepada mereka di dunia.

Rezeki yang segera berupa ilmu, iman dan hakikat-hakikat amal soleh, sedangkan rezeki yang ditunda berupa kenikmatan yang kekal dan kehidupan yang sejahtera di dekat Ar Rahman (iaitu Syurga). Seorang hamba apabila melihat dirinya tergiur oleh perhiasan dunia, maka hendaknya dia ingat kenikmatan akhirat dan membandingkan keduanya.

Rasulullah s.a.w. adalah orang yang paling zuhud terhadap duniawi, padahal Beliau mampu menguasainya. Apabila Beliau memperoleh harta benda, maka dinafkahkan dan dibahagi-bahagikannya ke sana dan ke sini, kepada semua hamba Allah dan Beliau tidak pernah menyimpan sesuatu pun darinya untuk keperluan dirinya di esok hari.

"132. Dan suruhlah keluargamu dengan solat"

Perintahkanlah kepada keluargamu mendirikan solat, baik yang fardhu maupun yang sunat. Iaitu selamatkanlah mereka dari azab Allah dengan mengerjakan solat.

Perintah kepada sesuatu, bererti perintah juga kepada semua yang menjadikan solat sempurna. Termasuk juga perintah mengajarkan keluarga tentang solat, seperti yang wajib dalam solat dan yang sunahnya, begitu juga yang membatalkan solat dan yang makruh dalam solat.

"dan berteguhlah atasnya."

Bersabarlah kamu dalam mengerjakannya. Iaitu sabar dengan menegakkannya, mengerjakan rukun-rukun, adab-adab dan khusyu’nya. Hal ini memang berat bagi jiwa, akan tetapi perlu dipaksa dan dikerahkan kemampuan sehingga terbiasa.

Apabila seseorang sudah mengerjakan solat sesuai yang diperintahkan dan menjaganya, maka terhadap perintah-perintah agama yang lain, maka dia akan mampu menjaganya. Jika solatnya tidak diperhatikan bahkan ditinggalkan, maka perintah-perintah agama yang lain tentu akan ditinggalkan.

Selanjutnya Allah s.w.t. menjamin tentang masalah rezeki, iaitu janganlah hal itu terlalu difikirkan sampai kurang memberikan perhatian terhadap perintah-perintah agama.

"Kami tidak memintamu rezeki."

Kami tidak meminta rezeki kepadamu, iaitu Kami tidak membebanimu agar kamu memberikan rezeki untuk dirimu dan untuk selainmu. Ada yang manfsirkan, Kami tidak membebankan kepadamu suatu permintaan.

"Kamilah memberi rezeki kalian"

Kamilah yang memberi rezeki kepadamu. Semua makhluk sudah ditanggung rezekinya, orang-orang yang menegakkan perintah-perintahNya dan sibuk mengingatNya tentu akan lebih ditanggung Allah rezekinya. Apabila kamu mengerjakan solat, nescaya rezeki akan datang kepadamu dari arah yang tidak kamu duga-duga.

Rasulullah s.a.w. bersabda, "Tuhanmu berfirman, “Wahai anak Adam! Sempatkanlah beribadah kepadaKu, nescaya Aku akan penuhi hatimu dengan rasa cukup dan Aku akan memenuhi tanganmu dengan rezeki. Wahai anak Adam! Janganlah menjauh dariKu. Jika demikian, Aku akan memenuhi hatimu dengan kefakiran dan Aku akan memenuhi tanganMu dengan kesibukan.”"

"Dan akibat bagi orang yang bertakwa."

Akibat yang baik, baik di dunia dan di akhirat, iaitu syurga hanyalah bagi orang yang bertakwa kepada Allah. Rezeki Allah merata ke semua orang, baik yang bertakwa maupun yang tidak, oleh kerana itu, perlu lebih memperhatikan sesuatu yang mendatangkan kebahagiaan abadi, iaitu takwa.

"133. Dan mereka berkata, "Mengapa tidak dia datang pada kami dengan ayat dari Tuhannya?" 

Orang-orang kafir, musyrik atau orang-orang yang mendustakan Rasulullah s.a.w. berkata, "Mengapa Muhammad tidak membawa tanda (bukti) kepada kami dari Tuhannya yang membenarkan bahawa dia adalah seorang utusan Allah?"

Iaitu sesuai yang mereka usulkan. Usul mereka merupakan usul yang menyusahkan diri, pembangkangan dan kezaliman. Kata-kata mereka itu menunjukkan bahawa Allah tidak menurunkan bukti kebenarannya. Hal ini adalah dusta, padahal Alah s.w.t. telah mendatangkan mukjizat dan ayat-ayat yang tujuan tersebut sudah tercapai dengan sebahagian ayat-ayat itu.

Sesungguhnya Rasulullah s.a.w. adalah manusia seperti mereka, tidak patut diminta bukti sesuai hawa nafsu mereka, bahkan bukti kerasulannya sudah Allah turunkan dan Allah pilih sesuai hikmah (kebijaksanaan)Nya. Allah s.w.t. berfirman menjawab perkataan mereka,

"Atau apakah tidak datang pada mereka penjelasan apa yang dalam kitab-kitab yang pertama?" 

Jika mereka benar ucapannya dan bahawa mereka mencari yang hak dengan dalilnya, bukankah telah datang kepada mereka bukti yang nyata dari apa yang tersebut di dalam kitab-kitab yang dahulu, iaitu Al Qur'anul Karim yang disebutkan di dalamnya kisah-kisah umat terdahulu?

Al Qur'an itu diturunkan oleh Allah kepada Nabi Muhammad seorang ummi (tidak pandai menulis) dan belum pernah belajar dari kaum Ahli Kitab. Di antaranya disebutkan kisah-kisah orang terdahulu yang sesuai dengan apa yang termaktub di dalam kitab-kitab terdahulu yang masih murni, asli dan benar.

Sesungguhnya Al Qur'an merupakan batu ujian bagi kitab-kitab terdahulu, Al Qur'an membenarkan apa yang benar darinya, menjelaskan apa yang keliru dan yang dibuat-buat darinya (kitab-kitab terdahulu). Ayat-ayat Al Qur’an hanyalah bermanfaat bagi orang-orang mukmin. Dengannya keimanan dan keyakinan mereka bertambah.

"134. Dan sekiranya sungguh Kami, Kami membinasakan mereka dengan azab sebelumnya, mereka berkata," 

Kalau Kami binasakan orang-orang yang mendustakan itu dengan suatu siksaan sebelum Al Qur’an diturunkan dan sebelum Kami utus Nabi Muhammad s.a.w., tentulah pada hari kiamat mereka akan berkata,

"Tuhan kami, mengapa tidak Engkau utus kepada kami rasul, maka kami akan ikuti ayat-ayat Engkau sebelum bahawa kami hina dan kami bernoda."

Ya Tuhan kami, mengapa tidak Engkau utus seorang rasul kepada kami sebelum Engkau binasakan kami, agar kami dapat beriman kepadanya dan mengikutinya sebelum kami menjadi hina di hari kiamat dan rendah dengan masuk ke neraka Jahanam?

Mereka adalah orang-orang yang mendustakan, lagi membangkang dan mengingkariNya, selamanya mereka tidak akan beriman walaupun datang kepada mereka segala macam keterangan, hingga mereka menyaksikan azab yang pedih. Disampaikan ayat-ayat itu kepada mereka adalah untuk menegakkan hujjah ke atas mereka. Allah s.w.t. memerintahkan Nabi Muhammad s.a.w.,

"135. Katakanlah, "Masing-masing menunggu, maka tunggulah oleh kalian!" 

Katakanlah kepada orang-orang yang mendustakanmu dan menentangmu serta terus-menerus dalam kekafiran dan keingkarannya, yang menunggu-tunggu kecelakaan menimpamu, "Masing-masing kita menanti." Iaitu antara kami dan kalian sama-sama menanti.

Maka nantikanlah saatnya oleh kalian! Iaitu nantikanlah kematianku oleh kalian, dan aku menanti azab untuk kalian. Tidak ada yang kalian nantikan dariku selain dua kebaikan; kemenangan atau syahid. Sedangkan kami menantikan untuk kalian azab dari sisi Allah atau melalui tangan kami.

"Maka kalian akan mengetahui siapa penghuni jalan yang lurus dan siapa yang mendapat petunjuk."

As siratus sawiyyu bermaksud jalan yang lurus. Maka pada hari kiamat, kalian kelak akan mengetahui siapa yang mempunyai jalan yang lurus dan siapa yang telah mendapat bimbingan ke jalan yang benar dan jalan kejayaan itu, aku atau kalian.

Orang yang menempuhnya adalah orang yang berjaya, selamat dan beruntung, sedangkan orang yang menyimpang darinya akan rugi, kecewa dan tersiksa. Jelas, orang yang berada di atas jalan yang lurus adalah Rasulullah s.a.w. dan para pengikutnya, sedangkan musuh-musuhnya tidak berada di atasnya.

Selesai tafsir surah Thaha dengan pertolongan Allah dan taufiqNya dan al hamdulillah di awal dan di akhirnya.

Akhir juz 16.

Tiada ulasan:

KANDUNGAN.

JUZUK 1. Isti'adzah.    Al Fatihah 1 , 2 , 3 , 4 , 5 , 6 , 7 . Al Baqarah 1-5 , 6-7 , 8-9 , 10-16 , 17-20 , 21-25 , 26-27 , 28-29 , 3...