Selasa, 5 Mei 2020

2:226-227 Tafsir Surah Al Baqarah, ayat 226-227.

لِلَّذِينَ يُؤْلُونَ مِنْ نِسَائِهِمْ تَرَبُّصُ أَرْبَعَةِ أَشْهُرٍ فَإِنْ فَاءُوا فَإِنَّ اللَّهَ غَفُورٌرَحِيمٌ (٢٢٦) وَإِنْ عَزَمُوا الطَّلاقَ فَإِنَّ اللَّهَ سَمِيعٌ عَلِيمٌ (٢٢٧)

Allah s.w.t. berfirman,

"226. Bagi orang-orang yang bersumpah tidak menggauli isteri-isteri mereka menunggu empat bulan." 

Kepada orang-orang yang mengila' isterinya diberi tangguh selama empat bulan. Ila' ialah sumpah seorang suami terhadap isterinya bahawa dia tidak akan menggaulinya atau menyetubuhinya selama suatu masa.

Adakalanya mutlak (selamanya) dan adakalanya muqayyad (kurang dari empat bulan atau lebih). Jika jangka waktunya kurang dari empat bulan, maka pihak suami harus menunggu habisnya masa yang disumpahkannya, setelah itu baru boleh menyetubuhi kembali isterinya.

Jika dilanggar, dia wajib membayar kaffarat. Jika tidak dilanggar, maka dia tidak wajib melakukan apa-apa. Pihak isteri harus bersabar, pihaknya tidak boleh meminta dijimak dalam masa tersebut.

Aisyah r.a. menceritakan, "Bahawa Rasulullah s.a.w. pernah mengila' isteri-isterinya selama satu bulan. Maka Beliau baru turun setelah dua puluh sembilan hari, lalu bersabda, "Bulan ini bilangannya dua puluh sembilan hari.”

Namun jika lamanya sumpah adalah selama-lamanya atau lebih dari empat bulan, maka ditetapkan masa empat bulan baginya apabila isterinya menuntut, kerana hal itu adalah haknya.

Pihak isteri boleh meminta kepada pihak suami agar menggaulinya setelah habis masa empat bulan.

Dengan sumpah ini seorang wanita menderita, kerana tidak disetubuhi dan tidak juga diceraikan. Dengan turunnya ayat ini, maka suami setelah empat bulan harus memilih antara kembali menjima'i isterinya lagi dengan membayar kafarat sumpah atau menceraikan.

Jika tidak mahu menceraikan, maka dipaksa bercerai. Jika tetap tidak mahu, maka hakim turun tangan dengan menceraikannya. Pihak hakim boleh menekan pihak suami untuk melakukan hal tersebut.

Demikian itu agar pihak isteri tidak mendapat mudarat kerananya. Akan tetapi kembali kepada isterinya lebih dicintai Allah daripada mentalak.

"Maka jika mereka kembali," 

Kemudian jika mereka kembali kepada isterinya, iaitu hubungan mereka berdua kembali seperti semula sebagai suami isteri secara utuh. Kalimat ini merupakan kata sindiran yang menunjukkan pengertian bersetubuh.

"maka sesungguhnya Allah Maha Pengampun Maha Penyayang." 

Allah Maha Pengampun lagi Maha Penyayang atas semua kelalaian yang dilakukan terhadap hak para isteri disebabkan sumpah ila'.

"227. Dan jika mereka ber'azam bertalak," 

Jika mereka berniat keras atau bertetap hati untuk talak, maka segeralah menjatuhkan talak. Hal ini menunjukkan bahawa suami sudah tidak suka kepada isterinya dan sudah tidak berkeinginan lagi kepada mereka.

"maka sesungguhnya Allah Maha Mendengar Maha Mengetahui." 

Dalam kata-kata "maka sesungguhnya Allah Maha mendengar lagi Maha mengetahui" terdapat ancaman bagi orang yang bersumpah dengan maksud memadharatkan isterinya.

Tiada ulasan:

KANDUNGAN.

JUZUK 1. Isti'adzah.    Al Fatihah 1 , 2 , 3 , 4 , 5 , 6 , 7 . Al Baqarah 1-5 , 6-7 , 8-9 , 10-16 , 17-20 , 21-25 , 26-27 , 28-29 , 3...