وَلَقَدْ أَنْزَلْنَا إِلَيْكَ آيَاتٍ بَيِّنَاتٍ وَمَا يَكْفُرُ بِهَا إِلا الْفَاسِقُونَ (٩٩) أَوَكُلَّمَا عَاهَدُوا عَهْدًا نَبَذَهُ فَرِيقٌ مِنْهُمْ بَلْ أَكْثَرُهُمْ لا يُؤْمِنُونَ (١٠٠) وَلَمَّا جَاءَهُمْ رَسُولٌ مِنْ عِنْدِ اللَّهِ مُصَدِّقٌ لِمَا مَعَهُمْ نَبَذَ فَرِيقٌ مِنَ الَّذِينَ أُوتُوا الْكِتَابَ كِتَابَ اللَّهِ وَرَاءَ ظُهُورِهِمْ كَأَنَّهُمْ لا يَعْلَمُونَ (١٠١)
Ibnu Suria Al Qatwaini berkata kepada Rasulullah s.a.w., "Hai Muhammad, engkau tidak mendatangkan kepada kami sesuatu yang kami kenal, dan Allah tidak menurunkan kepadamu suatu ayat pun yang jelas yang menyebabkan kami mengikutimu." Maka Allah s.w.t. menurunkan firmanNya,
"99. Dan sungguh Kami telah menurunkan kepadamu ayat-ayat yang jelas;"
Sesungguhnya Kami telah menurunkan kepadamu ayat-ayat yang jelas dan penuh dengan kebenaran.
Sesungguhnya Allah s.w.t. menurunkan kepada Nabi Muhammad s.a.w. alamat-alamat yang jelas yang menunjukkan akan kenabiannya. Tanda-tanda tersebut adalah terkandung di dalam Kitabullah (Al Qur'an) menyangkut rahsia ilmu-ilmu Yahudi dan rahsia-rahsia berita mereka yang disimpan rapi oleh mereka.
Juga mengandung berita nenek moyang mereka, berita tentang apa yang terkandung di dalam kitab-kitab mereka yang hanya diketahui oleh para rahib dan ulama mereka saja, dan hal-hal yang telah diubah oleh para pendahulu dan generasi penerus mereka yang berani mengubah hukum-hukum yang ada di dalam kitab Tauratnya.
Maka Allah s.w.t. memperlihatkan hal tersebut kepada Nabi Muhammad s.a.w. melalui kitab (Al Qur'an) yang diturunkan kepadanya. Maka sesungguhnya hal tersebut seharusnya merupakan tanda-tanda yang jelas bagi orang yang menyedari keadaan dirinya dan tidak membiarkan dirinya termakan oleh rasa dengki dan kesombongan yang membinasakannya.
Setiap orang yang memiliki fitrah yang sihat nescaya membenarkan semisal apa yang didatangkan oleh Nabi Muhammad s.a.w., iaitu berupa ayat-ayat yang jelas. Bukti-bukti tersebut mempunyai ciri khas dihasilkan oleh Beliau s.a.w. tanpa melalui proses belajar yang dituntutnya dari seorang manusia; tidak mengambil sesuatu dari manusia.
Beliau s.a.w. membacakan Al Qur'an kepada mereka dan memberitahukannya kepada mereka di setiap pagi dan petang di antara keduanya, sedangkan di kalangan mereka diketahui sebagai orang yang ummi (buta huruf), tetapi Beliau memberitahukan kepada mereka semua hal yang ada di kalangan mereka sesuai dengan keadaan yang sesungguhnya.
Allah s.w.t. berfirman kepada mereka yang di dalamnya terkandung pelajaran dan penjelasan. Dengan ayat-ayat tersebut orang yang mencari petunjuk akan memperolehnya dan hujjah tegak kepada orang-orang yang tetap kafir.
"dan tidak mengingkari terhadapnya melainkan orang-orang yang fasik."
Tidak ada yang menolaknya kecuali orang-orang yang fasik, keluar dari keta'atan kepada Allah Azza wa Jalla dan bersikap sombong.
Malik ibnu Sad (seorang Yahudi) mengatakan ketika Rasulullah s.a.w. telah menjadi utusan Allah dan memperingatkan kepada mereka perjanjian yang diambil oleh Allah atas diri mereka dan apa yang dijanjikan Allah s.w.t. kepada mereka sehubungan dengan perkara Nabi Muhammad s.a.w., "Allah tidak menjanjikan kepada kami tentang Muhammad, dan Dia tidak mengambil janji apa pun atas diri kami." Maka Allah s.w.t. menurunkan firmanNya,
"100. Dan apakah setiap kali mereka berjanji sebuah janji, melemparkannya segolongan dari mereka?"
Patutkah mereka ingkar kepada ayat-ayat Allah, dan mengapa setiap kali mereka mengikat janji, segolongan orang dari kalangan mereka melemparkan atau merosakkan perjanjian itu?
Dalam ayat ini terdapat kesan ta'ajjub, iaitu aneh sekali dan sangat menghairankan. Tiada suatu perjanjian pun di muka bumi ini yang mereka lakukan melainkan mereka pasti melanggar dan merosaknya. Mereka mengadakan perjanjian di hari ini, dan besoknya mereka pasti merosaknya.
"Bahkan kebanyakan mereka tidak beriman."
Bahkan sebahagian besar dari mereka tidak beriman. Inilah sebab mereka mengingkari janji, iaitu kerana tidak beriman. Ada yang mengatakan bahawa mereka tidak beriman dengan apa yang diturunkan kepada Nabi Muhammad s.a.w.
Kaum yang disebut dalam ayat ini dicela oleh Allah s.w.t. kerana mereka merosak perjanjian mereka dengan Allah, iaitu mereka bersedia memegangnya dan mengamalkannya sesuai dengan apa yang sebenarnya.
Lebih ironisnya lagi mereka mengiringi hal tersebut dengan kedustaan terhadap Rasul s.a.w. yang diutus kepada mereka, juga kepada seluruh umat manusia, padahal perihal Rasul tersebut telah termaktub di dalam kitab mereka sifat-sifat dan ciri-ciri khasnya serta berita-beritanya; dan mereka diperintahkan di dalamnya agar mengikuti Rasul itu, menyokong, dan menolongnya.
"101. Dan setelah datang kepada mereka rasul dari sisi Allah membenarkan terhadap apa yang ada pada mereka,"
Setelah datang kepada mereka seorang rasul dari sisi Allah yang membenarkan kitab yang ada pada mereka. Nabi Muhammad s.a.w. datang kepada mereka membawa kitab yang membenarkan apa yang ada pada mereka.
"melemparkan segolongan dari orang-orang yang mereka diberi kitab, kitab Allah di belakang punggung mereka,"
Sebahagian dari orang-orang yang diberi kitab Taurat melemparkan kitab Allah ke belakangnya. Ketika Nabi Muhammad s.a.w. datang kepada mereka, mereka menentangnya dengan kitab Taurat dan mendebatnya, tetapi pada akhirnya kitab Taurat sefaham dengan Al Qur'an.
Mereka tinggalkan kitab Taurat yang ada di tangan mereka kerana sesuai dengan apa yang dibawa oleh Nabi Muhammad s.a.w. Di dalamnya terkandung berita gembira kedatangan Nabi Muhammad s.a.w. Mereka meninggalkannya seakan-akan mereka tidak mengetahui apa isinya.
Sebagai gantinya mereka memusatkan perhatiannya untuk mempelajari sihir serta menjadi pengikutnya. Lalu mereka dan mengambil kitab Asif serta sihir Harut dan Marut, kerana tidak setuju dengan AI Qur'an.
Kerana itu, mereka bermaksud mencelakakan Rasulullah s.a.w. Lalu mereka menyihirnya melalui sisir, karung secarik kain, dan tandan kering pohon kurma yang disimpan di bawah batu di pinggir sumur Arwan.
Orang yang melakukan hal ini dari kalangan mereka ada]ah seorang lelaki yang dikenal dengan nama Labid ibnul A'sam, semoga laknat Allah menimpa dirinya, dan semoga Allah memburukkannya. Allah memperlihatkan hal tersebut kepada Rasulullah s.a.w. dan menyembuhkannya serta menyelamatkannya dari sihir tersebut.
"seakan-akan mereka tidak mengetahui."
Seolah-olah mereka tidak mengetahui bahawa itu adalah kitab Allah. Mereka seperti orang-orang yang jahil yang tidak mengetahui isi al kitab.
Sesungguhnya kaum yang berkenaan adalah orang-orang yang mengetahui bahawa Al Qur'an itu adalah kitab Allah, tetapi mereka menjauhi pengetahuan mereka dan menyembunyikannya serta mengingkarinya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan