Isnin, 4 Mei 2020

96:1-5 Tafsir Surah Al ‘Alaq, ayat 1-5.

بِسْمِ اللَّهِ الرَّحْمَنِ الرَّحِيمِ

Dengan menyebut nama Allah Yang Maha Pemurah lagi Maha Penyayang.

اقْرَأْ بِاسْمِ رَبِّكَ الَّذِي خَلَقَ (١) خَلَقَ الإنْسَانَ مِنْ عَلَقٍ (٢) اقْرَأْ وَرَبُّكَ الأكْرَمُ (٣) الَّذِي عَلَّمَ بِالْقَلَمِ (٤) عَلَّمَ الإنْسَانَ مَا لَمْ يَعْلَمْ (٥)

Permulaan wahyu yang disampaikan kepada Rasulullah s.a.w. berupa mimpi yang benar dalam tidurnya. Dan Beliau tidak sekali-kali melihat suatu mimpi, melainkan datangnya mimpi itu bagaikan sinar pagi hari.

Kemudian dijadikan baginya suka menyendiri, dan Beliau sering datang ke Gua Hira, lalu melakukan ibadah di dalamnya selama beberapa malam yang berbilang dan untuk itu Beliau membawa perbekalan secukupnya. Kemudian Beliau pulang ke rumah Khadijah (isterinya) dan mengambil bekal lagi untuk melakukan hal yang sama.

Pada suatu hari Beliau dikejutkan dengan datangnya wahyu saat berada di Gua Hira. Malaikat pembawa wahyu masuk ke dalam gua menemuinya, lalu berkata, "Bacalah!" Beliau menjawabnya, "Aku bukanlah orang yang pandai membaca."

Maka malaikat itu memegang dan mendakapnya sehingga Beliau benar-benar kepayahan olehnya, setelah itu malaikat melepaskan Beliau dan berkata lagi, "Bacalah!" Nabi s.a.w. menjawab, "Aku bukanlah orang yang pandai membaca."

Malaikat itu kembali mendakapnya untuk kedua kalinya hingga benar-benar Beliau kepayahan, lalu melepaskannya dan berkata, "Bacalah!" Aku menjawab, "Aku bukanlah orang yang pandai membaca."

Malaikat itu kembali mendakapnya untuk ketiga kalinya hingga Beliau benar-benar kepayahan, lalu malaikat melepaskan Beliau dan berkata, "Bacalah dengan nama Tuhanmu yang menciptakan." (Al 'Alaq 96:1) sampai dengan firmanNya, "Dia ajarkan manusia apa yang tidak dia ketahui." (Al 'Alaq 96:5)

Maka setelah itu Nabi s.a.w. pulang dengan hati yang gemetar hingga masuk menemui Khadijah, lalu bersabda, "Selimutilah aku, selimutilah aku!" Maka mereka menyelimutinya hingga rasa takutnya lenyap. Lalu setelah rasa takutnya lenyap, Khadijah bertanya, "Mengapa engkau?" Maka Nabi s.a.w. menceritakan kepadanya kejadian yang baru dialaminya dan bersabda, "Sesungguhnya aku merasa takut terhadap (keselamatan) diriku."

Khadijah berkata, "Tidak demikian, bergembiralah engkau, maka demi Allah, Dia tidak akan mengecewakanmu selama-lamanya. Sesungguhnya engkau adalah orang yang suka bersilaturahim, benar dalam berbicara, suka menolong orang yang kesusahan, gemar menghormati tetamu, dan membantu orang-orang yang tertimpa musibah."

Kemudian Khadijah membawanya kepada Waraqah ibnu Naufal ibnu Asad ibnu Abdul Uzza ibnu Qusay. Waraqah adalah saudara sepupu Khadijah dari pihak ayahnya, dan dia adalah seorang yang telah masuk agama Nasrani di masa Jahiliah dan pandai menulis Arab, lalu dia menterjemahkan kitab Injil ke dalam bahasa Arab seperti apa yang telah ditakdirkan oleh Allah, dan dia adalah seorang yang telah lanjut usia dan tuna netra (cacat penglihatan).

Khadijah bertanya, "Hai anak pakcikku, dengarlah apa yang dikatakan oleh anak saudaramu ini." Waraqah bertanya, "Hai anak saudaraku, apakah yang telah engkau lihat?" Maka Nabi s.a.w. menceritakan kepadanya apa yang telah dialami dan dilihatnya.

Setelah itu Waraqah berkata, "Dialah Namus (Malaikat Jibril) yang pernah turun kepada Musa. Aduhai, sekiranya diriku masih muda. Dan aduhai, sekiranya diriku masih hidup di saat kaummu mengusirmu."

Rasulullah s.a.w. memotong pembicaraan, "Apakah benar mereka akan mengusirku?" Waraqah menjawab, "Ya, tidak sekali-kali ada seseorang lelaki yang mendatangkan hal seperti apa yang engkau sampaikan, melainkan dia pasti dimusuhi. Dan jika aku dapat menjumpai harimu itu, maka aku akan menolongmu dengan pertolongan yang sekuat-kuatnya."

Tidak lama kemudian Waraqah wafat, dan wahyu pun terhenti untuk sementara waktu hingga Rasulullah s.a.w. merasa sangat sedih. Kerana kesedihannya yang sangat, maka berulang kali Beliau mencoba untuk menjatuhkan dirinya dari puncak bukit yang tinggi.

Akan tetapi, setiap kali Beliau sampai di puncak bukit untuk menjatuhkan dirinya dari atasnya, maka Jibril menampakkan dirinya dan berkata kepadanya, "Hai Muhammad, sesungguhnya engkau adalah utusan Allah yang sebenarnya," maka tenanglah hati beliau kerana berita itu, lalu kembali pulang ke rumah keluarganya.

Dan manakala wahyu datang terlambat lagi, maka Beliau berangkat untuk melakukan hal yang sama. Tetapi bila telah sampai di puncak bukit, kembali Malaikat Jibril menampakkan diri kepadanya dan mengatakan kepadanya hal yang sama.

Allah s.w.t. berfirman,

"1. Bacalah dengan nama Tuhanmu yang menciptakan."

Bacalah dengan menyebut nama Tuhanmu Yang menciptakan, iaitu yang menciptakan semua makhluk. Pada ayat selanjutnya disebutkan secara khusus manusia di antara sekian ciptaanNya.

"2. Dia menciptakan manusia dari segumpal darah."

Dia telah menciptakan manusia dari 'alaqah atau segumpal darah. Oleh kerana itu, yang telah menciptakan manusia dan memperhatikannya dengan mengurusnya, tentu akan mengaturnya dengan perintah dan larangan, iaitu dengan diutusNya rasul dan diturunkanNya kitab.

"3. Bacalah, dan Tuhanmu yang sangat mulia."

Bacalah, dan Tuhanmulah Yang Maha Mulia. Iaitu banyak dan luas sifatNya, banyak kemuliaan dan ihsanNya, luas kepemurahanNya, dimana di antara kemurahanNya adalah mengajarkan berbagai ilmu kepada manusia.

"4. Yang mengajar dengan qalam."

Yang mengajar manusia dengan perantaraan pena. Maksudnya, Allah mengajar manusia dengan perantaraan tulis baca.

"5. Dia ajarkan manusia apa yang tidak dia ketahui."

Dia mengajarkan kepada manusia apa yang tidak diketahuinya. Hal itu, kerana manusia dikeluarkanNya dari perut ibunya dalam keadaan tidak tahu apa-apa, lalu Dia menjadikan untuknya pendengaran, penglihatan dan hati serta memudahkan sebab-sebab ilmu kepadanya.

Dia mengajarkan kepadanya Al Qur’an, mengajarkan kepadanya hikmah dan mengajarkan kepadanya dengan perantaraan pena, dimana dengannya terjaga ilmu-ilmu. Maka segala puji bagi Allah yang telah mengurniakan nikmat-nikmat itu yang tidak dapat mereka balas kerana banyaknya.

Di dalam sebuah asar disebutkan, "Ikatlah ilmu dengan tulisan." Dan masih disebutkan pula dalam asar, bahawa barang siapa yang mengamalkan ilmu yang dikuasainya, maka Allah akan memberikan kepadanya ilmu yang belum diketahuinya.

Tiada ulasan:

KANDUNGAN.

JUZUK 1. Isti'adzah.    Al Fatihah 1 , 2 , 3 , 4 , 5 , 6 , 7 . Al Baqarah 1-5 , 6-7 , 8-9 , 10-16 , 17-20 , 21-25 , 26-27 , 28-29 , 3...