Jumaat, 8 Mei 2020

2:228-230 Tafsir Surah Al Baqarah, ayat 228-230.

وَالْمُطَلَّقَاتُ يَتَرَبَّصْنَ بِأَنْفُسِهِنَّ ثَلاثَةَ قُرُوءٍ وَلا يَحِلُّ لَهُنَّ أَنْ يَكْتُمْنَ مَا خَلَقَ اللَّهُ فِي أَرْحَامِهِنَّ إِنْ كُنَّ يُؤْمِنَّ بِاللَّهِ وَالْيَوْمِ الآخِرِ وَبُعُولَتُهُنَّ أَحَقُّ بِرَدِّهِنَّ فِي ذَلِكَ إِنْ أَرَادُوا إِصْلاحًا وَلَهُنَّ مِثْلُ الَّذِي عَلَيْهِنَّ بِالْمَعْرُوفِ وَلِلرِّجَالِ عَلَيْهِنَّ دَرَجَةٌ وَاللَّهُ عَزِيزٌ حَكِيمٌ (٢٢٨) الطَّلاقُ مَرَّتَانِ فَإِمْسَاكٌ بِمَعْرُوفٍ أَوْ تَسْرِيحٌ بِإِحْسَانٍ وَلا يَحِلُّ لَكُمْ أَنْ تَأْخُذُوا مِمَّا آتَيْتُمُوهُنَّ شَيْئًا إِلا أَنْ يَخَافَا أَلا يُقِيمَا حُدُودَ اللَّهِ فَإِنْ خِفْتُمْ أَلا يُقِيمَا حُدُودَ اللَّهِ فَلا جُنَاحَ عَلَيْهِمَا فِيمَا افْتَدَتْ بِهِ تِلْكَ حُدُودُ اللَّهِ فَلا تَعْتَدُوهَا وَمَنْ يَتَعَدَّ حُدُودَ اللَّهِ فَأُولَئِكَ هُمُ الظَّالِمُونَ (٢٢٩) فَإِنْ طَلَّقَهَا فَلا تَحِلُّ لَهُ مِنْ بَعْدُ حَتَّى تَنْكِحَ زَوْجًا غَيْرَهُ فَإِنْ طَلَّقَهَا فَلا جُنَاحَ عَلَيْهِمَا أَنْ يَتَرَاجَعَا إِنْ ظَنَّا أَنْ يُقِيمَا حُدُودَ اللَّهِ وَتِلْكَ حُدُودُ اللَّهِ يُبَيِّنُهَا لِقَوْمٍ يَعْلَمُونَ (٢٣٠) 

Allah s.w.t. berfirman,

"228. Dan wanita-wanita yang ditalak hendaklah mereka menahan dengan diri mereka tiga quru'." 

Isteri-isteri yang diceraikan, iaitu yang masih mengalami haid dan sudah dicampuri (kerana wanita yang belum sempat dicampuri tidak menjalani masa 'iddah) hendaklah menunggu atau menahan diri dari menikah tiga kali quru'. Kemudian dia boleh menikah jika dia menghendaki.

Quru' dapat diertikan suci atau haidh, namun yang rajih menurut sebahagian ulama, bahawa maksud quru' di sini adalah haidh. Tujuan menunggu tiga kali quru' adalah agar rahim dapat dipastikan benar-benar kosong, dengan begitu tidak terjadi percampuran nasab.

Oleh kerana itu, Allah s.w.t. mewajibkan wanita untuk memberitahukan keadaan rahimnya, apakah hamil ataukah haid. Di antara hikmah lainnya menunggu (biasa disebut 'iddah) adalah untuk memberikan kesempatan kepada suami yang mungkin menyesali perbuatannya mentalak isterinya.

Adapun wanita yang sudah monopos (berhenti haid) dan wanita kecil yang belum mengalami haid, maka 'iddahnya adalah tiga bulan. Sedangkan wanita yang hamil, 'iddahnya sampai melahirkan. Adapun hamba wanita, maka 'iddahnya adalah dua kali quru'.

Adanya syari'at 'iddah menunjukkan kecintaan Allah terhadap kerukunan antara suami isteri dan dibenciNya talak walaupun halal.

"Dan tidak halal bagi mereka bahawa mereka menyembunyikan apa yang Allah ciptakan dalam rahim mereka" 

Tidak boleh bagi mereka menyembunyikan kehamilan atau masa haid mereka. Menyembunyikan kehamilan dalam rahimnya dapat menimbulkan banyak mafsadat (kerosakan), di antaranya: boleh mengakibatkan penisbatan anak kepada yang bukan bapanya sehingga silaturrahim terputus, kekacauan dalam hal warisan, mahram dan kerabatnya menjadi berhijab terhadap anak tersebut.

Bahkan boleh sampai menikahi mahramnya dan mafsadat lainnya yang begitu banyak yang tidak diketahui selain oleh Allah s.w.t. Kalau pun mafsadatnya hanya dianggap batal menikah dengan anak yang lahir itu, di mana dalam perbuatan tersebut terdapat dosa besar, iaitu zina, itu pun sudah cukup.

Adapun menyembunyikan haid atau memberitakan secara dusta juga terdapat banyak mafsadat. Antaranya ialah menghilangkan hak suami untuk merujuknya dan membolehkan kepada lelaki lain menikahinya. Jika si wanita memberitakan belum nampak haid mengakibatkan 'iddahnya lama padahal seharusnya sudah selesai, oleh kerana itu nafkah yang didapat dari suaminya adalah suht (harta haram) kerana sudah selesai haidnya.

Jika si wanita dirujuk oleh suaminya padahal sudah selesai masa 'iddahnya (hanya kerana si wanita berdusta), maka menjadi zina. Oleh kerana itu, Allah s.w.t. melarang dengan tegas wanita menyembunyikan keadaan rahimnya jika mereka memang betul-betul beriman kepada Allah dan hari akhir.

Dalam ayat ini terdapat dalil diterimanya berita wanita tentang keadaan dirinya, iaitu dalam masalah yang tidak diketahui oleh orang lain selain dirinya, seperti haid, hamil dan sebagainya.

"jika mereka beriman kepada Allah dan hari akhir." 

Ayat ini mengandung makna ancaman yang ditujukan kepada mereka jika mereka menentang perkara yang hak. Segala sesuatunya dalam masalah ini dikembalikan kepada pihak wanita, kerana hal ini hanya dapat diketahui dari pihak mereka sendiri; dan sulit untuk menegakkan bayyinah (bukti) pada kebanyakannya untuk membuktikan hal tersebut.

Mereka diancam oleh ayat ini agar mereka memberitahukan hanya kebenaran belaka, kerana adakalanya pihak wanita berkeinginan mempercepat masa idahnya atau memperpanjang masa idahnya kerana ada maksud-maksud tertentu. Kerana itulah seorang isteri diperintahkan agar menceritakan hal yang sebenarnya dalam hal ini tanpa menambah-nambahi atau mengurangi.

"Dan suami-suami mereka lebih berhak merujuki mereka pada yang demikian itu, jika mereka menghendaki islah." 

Para suami mereka lebih berhak rujuk (kembali) kepada mereka dalam 'iddah atau masa menanti itu, jika para suami menghendaki perbaikan. Iaitu hendaknya rujuk itu niatnya islah atau menginginkan kebaikan, dan tidak bermaksud memadharatkan.

Jika suami merujuk isterinya dengan maksud memadharatkan, jumhur ulama berpendapat bahawa suami tetap memiliki hak rujuk, namun ada yang mengatakan bahawa suami tidak memilikinya jika berniat memadharatkan sebagaimana ditunjukkan oleh zahir ayat.

"Dan bagi mereka seperti orang-orang yang atas mereka dengan cara yang ma'ruf" 

Dan para wanita mempunyai hak yang seimbang dengan kewajibannya menurut cara yang ma'ruf atau baik. Iaitu para wanita mempunyai hak atas suami mereka seimbang dengan hak yang ada pada para lelaki atas diri mereka.

Hak-hak antara suami dan isteri kembali kepada uruf atau adat yang berlaku pada daerah setempat, dan hal ini berbeda-beda tergantung waktu, tempat, keadaan, orang dan adat kebiasaan. Hendaklah masing-masing pihak dari keduanya menunaikan apa yang wajib dia tunaikan kepada pihak lain dengan cara yang makruf.

"dan bagi para suami atas mereka kelebihan." 

Akan tetapi, para suami mempunyai suatu tingkatan kelebihan daripada isterinya, misalnya wajibnya taat bagi isteri kepada suami. Hal ini disebabkan kerana suami bertanggung jawab terhadap keselamatan dan kesejahteraan rumah tangga sekaligus yang menafkahinya.

Para suami mempunyai keutamaan dalam hal pembawaan, akhlak, kedudukan, taat pada perintah, berinfak, mengerjakan semua kepentingan, dan keutamaan di dunia serta akhirat.

Ayat ini menunjukkan bahawa lelaki berada di atas wanita dan haknya berada di atas hak wanita. Oleh kerana itu, kenabian, jawatan hakim, kepemimpinan baik dalam lingkup kecil maupun besar hanya dipegang lelaki.

"Dan Allah Maha Perkasa Maha Bijaksana."

Allah Mahaperkasa dalam pembalasanNya terhadap orang yang derhaka kepadaNya dan menentang perintahNya, lagi Mahabijaksana dalam perintah, syariat, dan takdirNya.

Talak di zaman jahiliyyah dan berlanjut sampai pada masa awal-awal Islam tidak ada batasannya. Oleh kerana itu, ketika seorang suami hendak memadharatkan isteri, dia mentalaknya, sehingga ketika masa 'iddah hampir habis, dia merujuknya, lalu mentalak lagi. Dengan begitu, isteri menjadi menderita, maka Allah s.w.t. menerangkan bahawa talak yang masih boleh dirujuk hanya dua kali.

"229. Talak dua kali, maka menahan dengan cara yang ma'ruf atau atau menceraikan dengan cara yang baik." 

Talak yang boleh dirujuki itu hanya dua kali. Setelah itu suami boleh rujuk kembali dengan cara yang patut, iaitu tidak memadharatkan isteri dan bergaul dengan isteri secara baik, atau menceraikan dengan cara yang baik. Termasuk dengan cara yang baik adalah tidak mengambil harta yang telah diberikan kepada wanita yang dicerai dan tidak menyebutkan keburukannya.

"Dan tidak halal bagi kalian bahawa kalian mengambil dari apa yang kalian telah berikan kepada mereka sesuatu, melainkan keduanya khuatir bahawa keduanya tidak melaksanakan hukum-hukum Allah."

Tidak halal bagi kalian mengambil kembali sesuatu dari yang telah kalian berikan kepada mereka seperti mahar dan semisalnya, kecuali kalau keduanya khuatir tidak akan dapat menjalankan hukum-hukum Allah, iaitu memenuhi hak-hak suami dan isteri.

"Maka jika kalian khuatir bahawa keduanya tidak melaksanakan hukum-hukum Allah, maka tidak ada dosa bagi keduanya tentang apa yang dia membayar tebusan dengannya." 

Jika kalian (wali) khuatir bahawa keduanya (suami isteri) tidak mampu menjalankan hukum-hukum Allah, maka keduanya tidak berdosa atas bayaran yang harus diberikan oleh isteri untuk menebus dirinya.

Ayat inilah yang menjadi dasar hukum khulu' dan penerimaan 'iwadh. Khulu' iaitu permintaan cerai kepada suami kerana fizikal suami, akhlak atau kurang agamanya, sedangkan si wanita khuatir tidak dapat mentaati perintah Allah dengan pembayaran yang disebut 'iwadh. Suami boleh mengambil 'iwadh terebut.

"Itulah hukum-hukum Allah, maka janganlah kalian melanggarnya. Dan barang siapa yang melanggar hukum-hukum Allah, maka mereka itulah mereka orang-orang yang zalim."

Syariat-syariat yang telah ditetapkanNya bagi kalian merupakan hukum-hukumNya, maka janganlah kalian melanggarnya. Barang siapa yang melanggar hukum-hukum Allah, mereka itulah orang-orang yang zalim kerana menyerahkan dirinya kepada azab Allah.

Kezaliman terbahagi tiga:

1. Kezaliman yang terjadi antara seorang hamba dengan Allah, yang terbesarnya adalah perbuatan syirik. Perbuatan syirik tidak diampuni Allah kecuali jika seorang bertobat sebelum meninggalnya. Adapun jika di bawah syirik, maka dosa tersebut terserah kehendak Allah, jika Dia menghendaki, Dia memaafkannya dan jika Dia menghendaki, Dia akan menyiksanya.

2. Kezaliman yang terjadi antara seorang hamba dengan sesamanya. Dalam hal ini, hak hamba yang dirampas harus dikembalikan.

3. Kezaliman yang terjadi antara seorang hamba dengan dirinya sendiri, yaitu dengan mengerjakan perbuatan maksiat dan dosa.

Pada hakikatnya, kezaliman yang dilakukan seseorang meskipun ditujukan kepada yang lain, namun kembalinya kepada diri sendiri, karena sama saja menyerahkan dirinya kepada azab Allah.

"230. Maka jika dia menalaknya, maka tidak halal baginya setelahnya hingga dia menikah suami selainnya." 

Kemudian jika si suami menalaknya sesudah talak yang kedua, maka perempuan itu tidak halal lagi baginya hingga dia menikah dengan suami yang lain, dengan nikah yang sesungguhnya, bukan bermaksud menghalalkan kepada suami pertama, dan telah dijima'inya.

Iaitu apabila seorang lelaki menceraikan isterinya dalam talak yang ketiga, sesudah dua talak yang mendahuluinya jauh sebelum itu, maka si isteri tidak halal lagi bagi suaminya sebelum kahwin dengan lelaki yang lain, iaitu hingga suaminya yang baru menyetubuhinya dalam perkahwinan yang benar.

Seandainya si isteri disetubuhi oleh lelaki yang lain bukan dalam nikah, sekalipun si isteri adalah milkul yamin (hamba perempuan), maka si isteri tetap tidak halal bagi suaminya yang pertama, kerana bukan suami. Begitu juga seandainya kahwin dengan suami yang baru, tetapi belum disetubuhi oleh suami yang baru, maka si isteri tetap tidak halal bagi suaminya yang pertama.

"Maka jika dia menalaknya, maka tidak ada dosa atas keduanya keduanya rujuk, jika keduanya mengira bahawa keduanya melaksanakan hukum-hukum Allah." 

Kemudian jika suami yang lain itu menceraikannya sesudah menggaulinya atau ditinggal wafat olehnya, maka tidak ada dosa bagi bekas suami pertama dan isteri untuk menikah kembali, dengan akad dan mahar yang baru setelah habis masa 'iddah dari suami kedua, jika keduanya berpendapat akan dapat menjalankan hukum-hukum Allah.

Iaitu kembali membangun rumah tangga secara makruf. Ada yang mengatakan bahawa maksudnya ialah jika keduanya menduga bahawa perkawinan mereka kali ini bukanlah palsu.

Kesimpulan dari ayat ini ialah, hendaknya seseorang ketika akan menyelami suatu urusan, melihat dirinya (berkaca kepada diri). Jika dia melihat dirinya sanggup memikul amanah tersebut dan merasa yakin, dia boleh maju dan jika tidak, dia menahan diri.

"Dan itulah hukum-hukum Allah, Dia menerangkannya bagi kaum mereka mengetahui."

Itulah syariat-syariat dan ketentuan-ketentuan Allah yang diterangkanNya kepada orang-orang yang mahu mengetahui. Merekalah yang dapat mengambil manfaat daripadanya dan memberi manfaat kepada yang lain.

Dalam ayat ini terdapat dalil keutamaan ahli ilmu, kerana Allah Ta'ala menerangkan hukum-hukumNya kepada mereka, dan menunjukkan bahawa Allah s.w.t. menyukai orang yang mengetahui hukum-hukumNya dan mendalaminya.

Tiada ulasan:

KANDUNGAN.

JUZUK 1. Isti'adzah.    Al Fatihah 1 , 2 , 3 , 4 , 5 , 6 , 7 . Al Baqarah 1-5 , 6-7 , 8-9 , 10-16 , 17-20 , 21-25 , 26-27 , 28-29 , 3...