Sabtu, 9 Mei 2020

4:118-121 Tafsir Surah An Nisa, ayat 118-121.

لَعَنَهُ اللَّهُ وَقَالَ لأتَّخِذَنَّ مِنْ عِبَادِكَ نَصِيبًا مَفْرُوضًا (١١٨) وَلأضِلَّنَّهُمْ وَلأمَنِّيَنَّهُمْ وَلآمُرَنَّهُمْ فَلَيُبَتِّكُنَّ آذَانَ الأنْعَامِ وَلآمُرَنَّهُمْ فَلَيُغَيِّرُنَّ خَلْقَ اللَّهِ وَمَنْ يَتَّخِذِ الشَّيْطَانَ وَلِيًّا مِنْ دُونِ اللَّهِ فَقَدْ خَسِرَ خُسْرَانًا مُبِينًا (١١٩) يَعِدُهُمْ وَيُمَنِّيهِمْ وَمَا يَعِدُهُمُ الشَّيْطَانُ إِلا غُرُورًا (١٢٠) أُولَئِكَ مَأْوَاهُمْ جَهَنَّمُ وَلا يَجِدُونَ عَنْهَا مَحِيصًا (١٢١)

Allah s.w.t. berfirman,

"118. Allah telah melaknatnya," 

Yang dilaknati Allah, iaitu diusir dan dijauhkan dari rahmat Allah, dan dikeluarkannya dari sisiNya.

"dan ia berkata, "Sungguh aku akan menjadikan dari hamba-hambaMu bahagian yang ditentukan.""

Syaitan itu mengatakan, "Aku benar-benar akan mengambil dari hamba-hambaMu bahagian yang sudah ditentukan untukku." Iaitu jumlah tertentu dan telah dimaklumi. Menurut Qatadah, jumlah tersebut ialah setiap seribu orang sebanyak sembilan ratus sembilan puluh sembilan dimasukkan ke dalam neraka, sedangkan yang seorang dimasukkan ke dalam syurga.

Pada setiap manusia ada potensi untuk baik dan ada potensi untuk jahat, syaitan akan mempergunakan potensi untuk jahat dalam mencelakakan manusia.

Ada juga yang mengatakan bahawa maksudnya, syaitan yang terlaknat ini mengetahui bahawa dirinya tidak mampu menyesatkan semua hamba Allah, dan bahawa mereka tidak berkuasa apa-apa terhadap hamba-hamba Allah yang ikhlas, dia hanyalah berkuasa terhadap orang-orang yang menjadikannya sebagai kawannya, menaatinya dan meninggalkan ketaatan Ar Rahman.

Syaitan mengambil bahagian mereka, dia akan menyesatkan mereka dari jalan yang lurus; baik sesat dalam hal ilmu maupun amal.

"119. Dan sungguh akan aku sesatkan mereka, dan akan aku bangkitkan khayalan mereka"

Aku benar-benar akan kusesatkan mereka dari jalan yang benar, dan akan membangkitkan angan-angan kosong pada mereka, iaitu menaruh dalam hati mereka rasa lamanya hidup di dunia dan tidak adanya kebangkitan serta hisab.

Ada yang menafsirkan, ia akan menghiaskan pada mereka agar mereka tidak bertaubat, dan ia bangkitkan angan-angan kosong mereka, menganjurkan kepada mereka untuk menangguh-nangguhkannya, dan menipu diri mereka melalui hawa nafsu mereka sendiri.

Ada juga yang menafsirkan, bahawa di samping menyesatkan manusia, ia juga akan menghias kesesatan itu, sehingga manusia menyangka bahawa yang demikian merupakan kebaikan. Hal ini merupakan keburukan ditambah keburukan, mereka mengerjakan amalan penghuni neraka, namun mereka menyangka bahawa amalan itu memasukkan ke syurga sebagaimana yang menimpa orang-orang Yahudi, Nasrani dan munafik.

"dan akan aku suruh mereka, maka mereka akan memotong telinga binatang ternak" 

Akan kusuruh mereka memotong telinga-telinga binatang ternak, lalu mereka benar-benar memotongnya. Menurut kepercayaan Arab jahiliyah, binatang-binatang yang akan dipersembahkan kepada patung-patung berhala, harus dipotong telinganya lebih dahulu, dan binatang yang seperti ini tidak boleh dikendarai dan tidak dipergunakan lagi, serta harus dilepaskan saja.

Termasuk juga dalam hal ini unta Bahirah, Sa'ibah, Wasilah dan Ham. Semua ini termasuk penyesatan syaitan, di mana yang demikian menghendaki mengharamkan apa yang Allah halalkan atau menghalalkan apa yang Allah haramkan.

Termasuk juga kepercayaan-kepercayaan lain dan adat istiadat yang bertentangan dengan ajaran Islam. Mereka melakukan berbagai acara dengan adanya keyakinan-keyakinan tertentu, di mana di dalamnya banyak kemusyrikan.

"dan akan aku suruh mereka, maka mereka akan mengubah ciptaan Allah." 

Akan kusuruh mereka mengubah ciptaan Allah, lalu mereka benar-benar mengubahnya. Ada yang mengatakan, mengubah ciptaan Allah dalam ayat ini ialah mengebiri binatang ternak.

Imam Thabari meriwayatkan dengan sanadnya yang sampai kepada Ibnu Abbas, bahawa dia membenci melakukan pengebirian, dia berkata, "Tentang hal ini turunlah ayat, "dan akan kusuruh mereka mengubah ciptaan Allah." (Hadis ini sahih sesuai syarat Muslim)

Ada yang mengatakan, mengubah ciptaan Allah bermaksud mengubah agama Allah dan menggantinya dengan kekafiran, menghalalkan apa yang diharamkan Allah dan mengharamkan apa yang dihalalkanNya.

Ada juga yang menafsirkan dengan "mengubah penampilan fizikal" untuk kecantikan, seperti melakukan tato, menipiskan gigi, mencabut alis, merenggangkan gigi dan sebagainya. Hal itu, kerana di dalamnya terdapat sikap tidak suka dengan ciptaan Allah, mengkritik kebijaksanaanNya, menganggap bahawa apa yang mereka buat dengan tangan mereka lebih baik daripada ciptaan Allah.

Ada juga yang menafsirkan dengan "Mengubah fitrah yang tertanam dalam jiwa manusia", iaitu kerana Allah s.w.t. menciptakan hamba-hambaNya dalam keadaan hanif (lurus), diciptakan dalam keadaan mahu menerima yang hak dan lebih mengutamakannya, lalu syaitan pun datang dan menarik mereka dari akhlak yang mulia ini serta menghias keburukan, kesyirikan, kekafiran, kefasikan dan kemaksiatan kepada mereka.

Allah s.w.t. menciptakan manusia di atas fitrah Islam, namun kedua orang tuanya yang mengubahnya menjadi Yahudi, Nasrani atau Majusi. Allah s.w.t. menciptakan manusia di atas tauhid, rasa cinta dan mengenalNya, namun syaitan menyerang mereka bagaikan serigala yang yang menyerang kambing yang sedang sendiri.

"Dan barang siapa yang menjadikan syaitan pelindung dari selain Allah, maka sungguh dia telah rugi kerugian yang nyata."

Barang siapa menjadikan syaitan sebagai pelindung selain Allah, maka sesungguhnya dia menderita kerugian yang nyata. Dia benar-benar merugi di dunia dan akhiratnya, kerugian seperti ini tidak dapat diubati dan tidak dapat diganti bagi yang telah terlanjur.

"120. Ia menjanjikan mereka" 

Syaitan itu memberikan janji-janji kepada mereka seperti janji akan berumur panjang dan sebagainya. Janji atau wa'd boleh juga bererti wa'id (ancaman) sebagaimana syaitan menjanjikan kemiskinan jika manusia bersedekah dan berinfak, iaitu mengancam akan mendapatkan kemiskinan. Syaitan juga menakut-nakuti manusia, jika mereka berjihad akan terbunuh.

Begitu juga syaitan menakut-nakuti manusia ketika mereka mencari keridhaan Allah dengan was-was yang dimasukkan ke dalam fikiran mereka sehingga mereka menjadi malas mengerjakan ibadah, dan menggantinya dengan angan-angan kosong, seperti akan hidup lama di dunia sehingga mengalihkan pandangan manusia yang sebelumnya tertuju kepada akhirat menjadi tertuju kepada dunia.

"dan membangkitkan khayalan mereka," 

Syaitan membangkitkan angan-angan kosong pada mereka yang mereka sangka akan memperolehnya serta disingkirkan keyakinan terhadap kebangkitan dan pembalasan.

Demikianlah akhir dari apa yang dijanjikan oleh syaitan pada kenyataannya, kerana sesungguhnya syaitan selalu menjanjikan kepada para penyokongnya dan membangkitkan angan-angan kosong mereka, bahawa merekalah orang-orang yang beruntung di dunia dan akhirat.

"dan tidaklah menjanjikan pada mereka syaitan kecuali tipuan." 

Padahal syaitan itu tidak menjanjikan kepada mereka selain dari tipuan belaka. Sesungguhnya syaitan berdusta dalam janji yang dibuat-buatnya itu, seperti fatamorgana yang dari kejauhan nampak seperti ada air, namun ketika didekati ternyata tidak ada.

"121. Mereka itu tempat kembali mereka neraka Jahannam." 

Mereka yang tertipu itu, yang tunduk kepada syaitan, yang menganggap baik syaitan dalam janji dan apa yang diangan-angankannya kepada mereka, yang berpaling dari Ar Rahman dan menjadi pengikut Iblis dan rombongannya, tempat kembali mereka kelak di hari kiamat adalah neraka Jahannam.

"Dan mereka tidak akan mendapat dari padanya tempat lari." 

Mereka tidak akan mendapat tempat lain untuk lari darinya. Mereka tidak mempunyai jalan selamat dari neraka, tiada tempat untuk menghindarkan diri darinya.

Tiada ulasan:

KANDUNGAN.

JUZUK 1. Isti'adzah.    Al Fatihah 1 , 2 , 3 , 4 , 5 , 6 , 7 . Al Baqarah 1-5 , 6-7 , 8-9 , 10-16 , 17-20 , 21-25 , 26-27 , 28-29 , 3...