Sabtu, 16 Mei 2020

2:233 Tafsir Surah Al Baqarah, ayat 233.

وَالْوَالِدَاتُ يُرْضِعْنَ أَوْلادَهُنَّ حَوْلَيْنِ كَامِلَيْنِ لِمَنْ أَرَادَ أَنْ يُتِمَّ الرَّضَاعَةَ وَعَلَى الْمَوْلُودِ لَهُ رِزْقُهُنَّ وَكِسْوَتُهُنَّ بِالْمَعْرُوفِ لا تُكَلَّفُ نَفْسٌ إِلا وُسْعَهَا لا تُضَارَّ وَالِدَةٌ بِوَلَدِهَا وَلا مَوْلُودٌ لَهُ بِوَلَدِهِ وَعَلَى الْوَارِثِ مِثْلُ ذَلِكَ فَإِنْ أَرَادَا فِصَالا عَنْ تَرَاضٍ مِنْهُمَا وَتَشَاوُرٍ فَلا جُنَاحَ عَلَيْهِمَا وَإِنْ أَرَدْتُمْ أَنْ تَسْتَرْضِعُوا أَوْلادَكُمْ فَلا جُنَاحَ عَلَيْكُمْ إِذَا سَلَّمْتُمْ مَا آتَيْتُمْ بِالْمَعْرُوفِ وَاتَّقُوا اللَّهَ وَاعْلَمُوا أَنَّ اللَّهَ بِمَا تَعْمَلُونَ بَصِيرٌ (٢٣٣) 

Allah s.w.t. berfirman, 

"233. Dan para ibu menyusui anak-anak mereka dua tahun sempurna, bagi siapa yang menghendaki menyempurnakan penyusuan."

Para ibu hendaklah menyusukan anak-anaknya selama dua tahun penuh. Iaitu bagi yang ingin menyusui secara sempurna. Sesudah itu penyusuan tidak berpengaruh lagi terhadap kemahraman.

Kebanyakan para imam berpendapat bahawa masa penyusuan tidak dapat menjadikan mahram kecuali bila si bayi yang disusui berusia di bawah dua tahun. Untuk itu seandainya ada anak yang menyusu kepada seorang wanita, sedangkan usianya di atas dua tahun, maka penyusuan itu tidak menjadikan mahram baginya.

Rasulullah s.a.w. bersabda, "Persusuan tidak menjadikan mahram kecuali susuan yang dilakukan langsung pada tetek lagi mengenyangkan perut dan terjadi sebelum masa penyapihan."

Hal inilah yang diamalkan di kalangan kebanyakan ahlul ilmi dari kalangan sahabat Rasulullah s.a.w. dan lain-lainnya. Iaitu bahawa penyusuan tidak menjadi mahram kecuali bila dilakukan dalam usia di bawah dua tahun, sedangkan penyusuan yang dilakukan sesudah usia genap dua tahun, hal ini tidak menjadikan mahram sama sekali. 

Rasulullah s.a.w. bersabda, "Tiada penyusuan lagi sesudah masa penyapihan, dan tiada status yatim sesudah usia baligh." 

Ada yang mengatakan bahawa masa penyusuan itu adalah dua tahun dua bulan. Ada yang mengatakan, dua tahun tiga bulan. Ada yang mengatakan, dua setengah tahun. Ada yang mengatakan bahawa selagi si anak masih mahu tetap menyusu, maka batas maksimalnya adalah tiga tahun. 

"Dan dibebankan kepada seorang ayah rezeki mereka dan pakaian mereka dengan cara yang ma'ruf." 

Diwajibkan atas bapa si anak memberi makan dan pakaian, iaitu upah menyusui kepada para ibu dengan cara yang ma'ruf, iaitu dengan cara yang dianggap baik oleh syara' maupun 'uruf, menurut tradisi yang berlaku bagi semisal mereka di negeri yang bersangkutan tanpa berlebih-lebihan, juga tidak terlalu kurang, selama bekas isterinya itu masih menyusukan anaknya. 

"Tidak dibebani seseorang melainkan menurut kesanggupannya."

Seseorang tidak dibebani melebihi kemampuannya. Hal ini disesuaikan dengan kemampuan pihak suami dalam hal kemampuan ekonominya, kerana ada yang kaya, ada yang pertengahan, ada juga yang miskin.

"Janganlah merasa menderita seorang ibu kerana anaknya," 

Janganlah seorang ibu menderita kesengsaraan kerana anaknya, misalnya ibu dipaksa menyusukan anaknya tanpa diberi nafkah dan pakaian atau upah. Ada yang menafsirkan, misalnya pihak ibu menyerahkan bayi itu kepada pihak bapa si bayi untuk menimpakan kemudaratan terhadap pihak bapa si bayi kerana diharuskan memeliharanya. 

Pihak ibu tidak boleh menyerahkan si bayi yang telah dilahirkannya (kepada suaminya) sebelum menyusukannya yang pada kebanyakan si bayi tidak dapat hidup melainkan dengan susu ibunya. Setelah masa penyusuan telah habis, maka pihak ibu si bayi baru diperbolehkan menyerahkan bayinya itu kepada bapa si bayi jika pihak ibu berkenan. 

Walaupun demikian, jika hal tersebut mengakibatkan pihak bapa si bayi menderita kesengsaraan kerana harus memelihara bayinya, maka pihak ibu tidak boleh menyerahkan bayinya itu kepada ayah si bayi. 

"dan tidak seorang ayah kerana anaknya" 

Janganlah seorang bapa menderita kesengsaraan kerana anaknya, misalnya dibebani melebihi kemampuannya. Ada yang menafsirkan, misalnya pihak bapa si bayi merampas bayi dari tangan ibunya hanya semata-mata untuk menimpakan kesengsaraan kepada pihak ibu si bayi. 

"dan atas ahli waris seperti demikian." 

Ahli waris juga berkewajiban demikian. Iaitu jika bapa meninggal, maka ahli waris berkewajiban seperti bapa sebelum wafatnya, iaitu memberi nafkah, makan dan pakaian kepada ibu si bayi, memenuhi semua hak-haknya, dan tidak menimpakan mudarat kepadanya.

Ada yang menafsirkan, tidak boleh menimpakan mudarat kepada ahli waris (kaum kerabat) pihak bapa si bayi. 

"Maka jika keduanya ingin menyapih dengan kerelaan dari keduanya dan musyawarah, maka tidak ada dosa atas keduanya." 

Apabila pihak bapa dan ibu si bayi sepakat untuk menyapih bayinya sebelum si bayi berusia dua tahun, dan keduanya memandang bahawa keputusan inilah yang mengandung maslahat bagi diri si bayi, serta keduanya bermusyawarah terlebih dahulu untuk itu dan membuahkan kesepakatan, maka tidak ada dosa atas keduanya untuk melakukan hal tersebut.

"Dan jika kalian menginginkan menyusukan anak-anak kalian, maka tidak ada dosa atas kalian apabila kalian menyerahkan apa yang kalian berikan dengan cara yang patut." 

Jika kalian (bapa) ingin anak kalian disusukan oleh wanita lain, maka tidak ada dosa bagi kalian apabila kalian memberikan pembayaran menurut yang patut. 

Apabila ibu dan bapa si bayi sepakat bahawa masalah persusuan si bayi diserahkan kepada pihak bapa, adakalanya kerana pihak ibu si bayi berhalangan menyusukannya atau adakalanya halangan dari pihak bayinya, maka tidak ada dosa bagi keduanya dalam masalah penyerahan bayi mereka. 

Bukan merupakan suatu keharusan bagi pihak bapa untuk menerima penyerahan itu bilamana dia telah menyerahkan kepada pihak ibu upah penyusuan si bayi dengan cara yang lebih baik, lalu si bayi disusukan wanita lain dengan upah tersebut. 

"Dan bertakwalah kalian kepada Allah" 

Bertakwalah kalian kepada Allah dalam semua keadaan kalian.

"dan ketahuilah kalian bahawasanya Allah dengan apa yang kalian kerjakan Maha Melihat."

Ketahuilah bahawa Allah Maha Melihat apa yang kalian kerjakan. Tiada sesuatu pun yang samar bagiNya dari semua tindakan dan ucapan kalian.

Tiada ulasan:

KANDUNGAN.

JUZUK 1. Isti'adzah.    Al Fatihah 1 , 2 , 3 , 4 , 5 , 6 , 7 . Al Baqarah 1-5 , 6-7 , 8-9 , 10-16 , 17-20 , 21-25 , 26-27 , 28-29 , 3...