Rabu, 20 Mei 2020

2:238-239 Tafsir Surah Al Baqarah, ayat 238-239.

حَافِظُوا عَلَى الصَّلَوَاتِ وَالصَّلاةِ الْوُسْطَى وَقُومُوا لِلَّهِ قَانِتِينَ (٢٣٨)فَإِنْ خِفْتُمْ فَرِجَالا أَوْ رُكْبَانًا فَإِذَا أَمِنْتُمْ فَاذْكُرُوا اللَّهَ كَمَا عَلَّمَكُمْ مَا لَمْ تَكُونُوا تَعْلَمُونَ (٢٣٩) 

Zaid ibnu Sabit menceritakan, "Rasulullah s.a.w. melakukan solat Zuhur di waktu hajir (panas matahari sangat terik), tiada suatu solat pun yang dirasakan amat berat oleh sahabat-sahabat Rasul s.a.w. selain dari solat Zuhur. Maka turunlah firmanNya, "Peliharalah kalian atas semua solat dan solat wustha. Dan laksanakanlah kerana Allah dengan khusyuk." (Al Baqarah 2:238). Beliau mengatakan bahawa sebelum solat Zuhur terdapat dua solat lain, dan sesudahnya terdapat pula dua solat lainnya.

"238. Peliharalah kalian atas semua solat" 

Peliharalah semua solat kalian dan peliharalah solat wustha. Memelihara di ayat ini adalah mengerjakannya pada waktunya masing-masing, terpenuhi syarat, rukun, khusyu', hal yang wajib maupun sunahnya. 

Ibnu Mas'ud menceritakan, "Aku pernah bertanya kepada Rasulullah s.a.w., "Amal apakah yang paling utama?" Beliau menjawab, "Mengerjakan solat pada waktunya." Aku berkata lagi, "Kemudian apa lagi?" Beliau menjawab, "Berjihad di jalan Allah." Aku bertanya lagi, "Lalu apa lagi?" Beliau menjawab, "Berbakti kepada kedua orang tua." Ibnu Mas'ud mengatakan, "Semua itu diceritakan oleh Rasulullah s.a.w. kepadaku. Seandainya aku meminta keterangan yang lebih lanjut, nescaya Beliau akan menambahkannya."

Ummu Farwah termasuk salah seorang sahabat wanita yang ikut berbaiat kepada Rasulullah s.a.w. bahawa dia pernah mendengar Rasulullah s.a.w. menyebut tentang berbagai amal perbuatan. Beliau s.a.w. bersabda, "Sesungguhnya amal perbuatan yang paling disukai Allah ialah menyegerakan solat pada awal waktunya." 

Ayat ini menekankan agar semua solat itu dikerjakan dengan sebaik-baiknya. Menjaga solat dapat membantu menjaga ibadah yang lain serta dapat mencegah diri dari perbuatan keji dan munkar, terlebih apabila seseorang mengerjakannya dengan sempurna.

"dan solat wustha." 

Solat wustha ialah solat yang di tengah-tengah dan yang paling utama. Menurut suatu pendapat, solat wusta itu adalah solat Subuh. Ada yang berpendapat bahawa solat ini dinamakan wustha kerana tidak dapat diqasar dan terletak di antara dua solat ruba'iyyah yang dapat diqasar. 

Menurut pendapat lain, solat wustha adalah solat Maghrib, kerana letak waktunya di antara dua solat jahriyyah di malam hari dan dua solat siang yang sirri (perlahan bacaannya). Menurut pendapat yang lain, solat wusta adalah solat Zuhur. 

Zahrah (Ibnu Ma'bad) menceritakan, "Ketika kami sedang berada di dalam majlis sahabat Zaid ibnu Sabit, mereka (jamaah yang hadir) mengirimkan utusan kepada sahabat Usamah untuk menanyakan kepadanya tentang solat wustha. Maka dia berkata, "Solat wustha adalah solat Zuhur, dahulu Rasulullah s.a.w. selalu mengerjakannya di waktu hajir (panas matahari terik sekali)'."

Menurut pendapat yang lain, solat wusta itu adalah solat Asar. Hal inilah yang dikatakan oleh kebanyakan ulama dari kalangan sahabat, dari kalangan tabi'in, kebanyakan ahli asar. 

Rasulullah s.a.w. bersabda dalam Perang Ahzab, "Mereka menyibukkan kami dari solat wustha, iaitu solat Asar. Semoga Allah memenuhi hati dan rumah mereka dengan api." Kemudian Rasulullah s.a.w. mengerjakannya di antara solat Maghrib dan Isya.

Rasulullah s.a.w. bersabda, "Solat wusta adalah solat Asar." 

Rasulullah s.a.w. bersabda, "Barang siapa yang meninggalkan solat Asarnya, maka seakan-akan ia seperti orang yang kehilangan keluarga dan harta bendanya." 

Nabi s.a.w. bersabda, "Bersegeralah dalam melakukan solat (iaitu di awal waktunya) pada hari yang berawan; kerana sesungguhnya barang siapa yang meninggalkan solat Asar, nescaya amal perbuatannya dihapuskan." 

"Dan laksanakanlah kerana Allah dengan khusyuk." 

Berdirilah untuk Allah dalam solatmu dengan khusyuk. Iaitu laksanakanlah solat kerana Allah dengan khusyuk, rendah diri, dan tenang berada di hadapanNya. Perintah ini mengharuskan tidak boleh berbicara dalam solat, kerana berbicara dalam solat bertentangan dengan hal tersebut. 

Kerana itulah Rasulullah s.a.w. tidak menjawab salam yang diucapkan oleh Ibnu Mas'ud kepadanya ketika Beliau sedang solat. Setelah Beliau s.a.w. selesai dari solatnya, barulah Beliau bersabda, "Sesungguhnya di dalam solat benar-benar ada kesibukan."

Nabi s.a.w. bersabda kepada Mu'awiyah ibnu Hakam As-Sulami ketika berbicara dalam solatnya, "Sesungguhnya solat ini tidak layak dilakukan padanya sesuatu pun dari pembicaraan manusia, melainkan solat itu adalah tasbih, takbir, dan zikrullah."

Zaid ibnu Arqam menceritakan bahawa di zaman Nabi s.a.w. seorang lelaki biasa berbicara dengan temannya untuk suatu keperluan di dalam solat, hingga turunlah firmanNya, "Dan laksanakanlah kerana Allah dengan khusyuk." (Al Baqarah 2:238) Kemudian kami diperintahkan agar diam. 

Ibnu Mas'ud menceritakan, "Kami dahulu biasa mengucapkan salam kepada Nabi s.a.w. sebelum kami hijrah ke negeri Habsyah, sedangkan Beliau dalam solatnya. Maka Beliau s.a.w. selalu menjawab salam kami." Ibnu Mas'ud melanjutkan kisahnya, bahawa setelah dia tiba (dari Habsyah), lalu dia mengucapkan salam kepadanya, tetapi ternyata Beliau tidak menjawab salamnya. Maka hati Ibnu Mas'ud dipenuhi oleh berbagai macam perasaan yang mengkhuatirkan. Tetapi setelah Beliau s.a.w. bersalam, Beliau bersabda, "Sesungguhnya aku tidak menjawab kamu tiada lain kerana aku sedang dalam solat, dan sesungguhnya Allah memperbarui perintahNya menurut apa yang dikehendakiNya; dan sesungguhnya di antara perintah yang diperbaruiNya ialah janganlah kalian berbicara di dalam solat."

Thabrani meriwayatkan dalam Al Kabir dari Simak dari dari Ikrimah dari Ibnu Abbas tentang firman Allah Ta'ala, "Dan laksanakanlah kerana Allah dengan khusyuk" dia berkata, "Dahulu para sahabat berbicara ketika solat, ada pembantu seseorang yang datang ketika dia sedang solat lalu membicarakan keperluannya, kemudian mereka pun dilarang berbicara."

"239. Maka jika kalian takut, maka solatlah sambil berjalan atau berkenderaan." 

Jika kalian dalam keadaan takut (bahaya) misalnya ada musuh, ada banjir besar atau ada binatang buas, maka solatlah sambil berjalan atau berkendaraan, iaitu semampunya; bagaimana pun bentuknya, walaupun dengan isyarat atau sampai tidak menghadap kiblat. 

Dalam ayat ini, terdapat dalil perintah untuk melaksanakan solat pada waktunya walaupun sebahagian syarat dan rukun solat hilang dan tidak boleh menundanya sampai lewat dari waktunya.

"Maka apabila kalian telah aman, maka ingatlah kepada Allah," 

Kemudian apabila kalian telah aman, maka sebutlah Allah, iaitu salatlah dengan cara asalnya. Dirikanlah solat kalian seperti yang diperintahkan kepada kalian. Sempurnakanlah rukuk, sujud, qiyam, duduk, khusyuk, dan bangunnya.

"sebagaimana Dia telah mengajarkan kalian apa-apa yang tidak kalian ketahui." 

Allah telah mengajarkan kepada kalian apa yang belum kalian ketahui. Dia telah melimpahkan nikmat dan memberi petunjuk iman serta mengajarkan kepada kalian hal-hal yang bermanfaat di dunia dan akhirat, seperti ibadah dan hukum-hukum yang sebelumnya tidak kalian ketahui. Hal ini merupakan nikmat besar yang sepatutnya disikapi dengan zikrullah dan bersyukur agar nikmat itu tetap ada dan bertambah.

Tiada ulasan:

KANDUNGAN.

JUZUK 1. Isti'adzah.    Al Fatihah 1 , 2 , 3 , 4 , 5 , 6 , 7 . Al Baqarah 1-5 , 6-7 , 8-9 , 10-16 , 17-20 , 21-25 , 26-27 , 28-29 , 3...