Khamis, 14 Mei 2020

39:1-5 Tafsir Surah Az Zumar, ayat 1-5.

بِسْمِ اللَّهِ الرَّحْمَنِ الرَّحِيمِ

Dengan menyebut nama Allah Yang Maha Pemurah lagi Maha Penyayang.

تَنْزِيلُ الْكِتَابِ مِنَ اللَّهِ الْعَزِيزِ الْحَكِيمِ (١) إِنَّا أَنْزَلْنَا إِلَيْكَ الْكِتَابَ بِالْحَقِّ فَاعْبُدِ اللَّهَ مُخْلِصًا لَهُ الدِّينَ (٢) أَلا لِلَّهِ الدِّينُ الْخَالِصُ وَالَّذِينَ اتَّخَذُوا مِنْ دُونِهِ أَوْلِيَاءَ مَا نَعْبُدُهُمْ إِلا لِيُقَرِّبُونَا إِلَى اللَّهِ زُلْفَى إِنَّ اللَّهَ يَحْكُمُ بَيْنَهُمْ فِي مَا هُمْ فِيهِ يَخْتَلِفُونَ إِنَّ اللَّهَ لا يَهْدِي مَنْ هُوَ كَاذِبٌ كَفَّارٌ (٣) لَوْ أَرَادَ اللَّهُ أَنْ يَتَّخِذَ وَلَدًا لاصْطَفَى مِمَّا يَخْلُقُ مَا يَشَاءُ سُبْحَانَهُ هُوَ اللَّهُ الْوَاحِدُ الْقَهَّارُ (٤) خَلَقَ السَّمَاوَاتِ وَالأرْضَ بِالْحَقِّ يُكَوِّرُ اللَّيْلَ عَلَى النَّهَارِ وَيُكَوِّرُ النَّهَارَ عَلَى اللَّيْلِ وَسَخَّرَ الشَّمْسَ وَالْقَمَرَ كُلٌّ يَجْرِي لأجَلٍ مُسَمًّى أَلا هُوَ الْعَزِيزُ الْغَفَّارُ (٥)

Allah s.w.t. berfirman memberitahukan bahawa penurunan Kitab ini (iaitu Al Qur'an) adalah dari sisiNya.

"1. Turunnya Al Kitab dari Allah Yang Maha Perkasa Maha Bijaksana." 

Al Qur'an ini diturunkan oleh Allah Yang Mahaperkasa lagi Mahabijaksana. Al Qur'an adalah Kitab yang benar yang tiada kebimbangan dan keraguan padanya.

"2. Sungguh Kami menurunkan kepadamu Al Kitab dengan kebenaran, maka sembahlah Allah dengan ikhlas kepadaNya agama." 

Sesungguhnya Kami menurunkan kepadamu Al Qur'an dengan membawa kebenaran. Maka sembahlah Allah dengan memurnikan ketaatan kepadanyaNya. Iaitu sembahlah Dia semata, tiada sekutu bagiNya, dan serulah makhluk untuk menyembahNya, dan beri tahukanlah kepada mereka bahawa tidak ada Tuhan yang patut disembah selain hanya Dia semata. Dan bahawa tiada sekutu bagiNya, tiada saingan, serta tiada tandingan bagiNya.

"3. Ingatlah! Milik Allah agama yang murni." 

Hanya kepunyaan Allahlah agama yang bersih dari syirik. Tiada suatu amal pun yang diterima kecuali yang dikerjakan oleh pelakunya dengan niat ikhlas hanya kerana Allah semata, tiada sekutu bagiNya. Kemudian Allah s.w.t. memberitahukan tentang alasan orang-orang musyrik yang menyembah berhala-berhala. 

"Dan orang-orang yang menjadikan dari selain Dia pelindung-pelindung, "Kami tidak menyembah mereka, kecuali supaya mereka mendekatkan kami kepada Allah lebih dekat." 

Orang-orang yang mengambil pelindung selain Allah berkata, "Kami tidak menyembah mereka, melainkan supaya mereka mendekatkan diri kami kepada Allah dengan sedekat-dekatnya.” Iaitu sesungguhnya hal yang mendorong mereka menyembah berhala-berhala itu hanyalah kerana berhala-berhala tersebut mereka pahat dengan rupa malaikat-malaikat yang terdekat (dengan Allah) menurut dugaan mereka. 

Lalu mereka sembah patung-patung itu yang mereka anggap sebagai malaikat-malaikat yang terdekat, agar malaikat-malaikat tersebut mahu meminta pertolongan bagi mereka di sisi Allah s.w.t. untuk menolong mereka, memberi mereka rezeki, melepaskan dari mereka perkara duniawi yang menimpa diri mereka dan mendekatkan mereka kepada Allah s.w.t. Adapun terhadap hari kemudian, maka mereka mengingkari dan kafir terhadapnya.

Kerana itulah mereka mengatakan dalam talbiyahnya bila melakukan ibadah haji di masa Jahiliah, "labbaika la syarikalaka illa syar'ikan huwa laka tamlikuhu wama malak.” (Kupenuhi seruanMu, tiada sekutu bagiMu kecuali sekutu yang kepunyaanMu, Engkau memilikinya, sedangkan sekutu-sekutu itu tidak memiliki).

Kekeliruan semacam inilah yang sengaja dilakukan oleh orang-orang musyrik di masa silam dan masa sekarang. Lalu datanglah kepada mereka para rasul yang menolak keyakinan seperti ini, melarangnya, serta menyeru mereka untuk memurnikan penyebaran hanya kepada Allah semata, tiada sekutu bagiNya. 

Hal tersebut merupakan sesuatu yang dibuat-buat oleh orang-orang musyrik dari diri mereka sendiri. Allah tidak mengizinkan hal itu, tidak merestuinya, bahkan murka terhadapnya dan melarangnya.

Para malaikat yang ada di langit, iaitu para malaikat yang terdekat dan juga malaikat lainnya, semuanya ialah hamba-hamba Allah yang tunduk patuh kepadaNya; mereka tidak mahu meminta syafaat di sisiNya kecuali dengan seizinNya terhadap orang yang direstuiNya. 

Para malaikat di sisiNya tidaklah seperti keadaan para amir di hadapan raja-raja mereka yang dapat memberikan syafaat (pertolongan) di sisi raja-raja mereka tanpa restu dari raja-raja mereka; raja mereka setuju ataukah tidak, syafaat tetap dilakukan. Mahasuci lagi Mahatinggi Allah dari hal tersebut dengan ketinggian yang setinggi-tingginya.

"Sesungguhnya Allah memutuskan di antara mereka pada apa yang mereka di dalamnya perselisihan."

Sesungguhnya Allah akan memutuskan di antara mereka kelak di hari kiamat tentang apa yang mereka berselisih padanya. Iaitu kelak Allah akan memutuskan perkara di antara semua makhlukNya pada hari mereka dikembalikan, dan Dia akan membalas setiap orang sesuai dengan amal perbuatannya masing-masing.

"Sungguh Allah tidak memberi petunjuk orang yang pendusta sangat ingkar."

Sesunggguhnya Allah tidak menunjuki orang-orang yang pendusta dan sangat ingkar. Maksudnya, Allah tidak menunjuki mereka ke jalan hidayah, iaitu orang-orang yang tujuannya dusta dan mengada-adakan kebohongan terhadap Allah s.w.t. serta hatinya kafir kepada ayat-ayatNya, juga ingkar kepada hujah-hujah dan bukti-bukti yang jelas dariNya.

Kemudian Allah s.w.t. menjelaskan bahawa Dia tidak beranak, tidak seperti apa yang dikira oleh orang-orang yang bodoh dari kalangan kaum musyrik yang menyangka bahawa malaikat-malaikat itu adalah anak-anak perempuan Allah, juga tidak seperti yang diduga oleh orang-orang Yahudi dan orang-orang Nasrani terhadap Uzair dan Isa.

"4. Jika Allah menghendaki bahawa Dia menjadikan anak, tentu Dia memilih dari apa yang Dia ciptakan apa yang Dia kehendaki." 

Kalau sekiranya Allah hendak mengambil anak, tentu Dia akan memilih apa yang dikehendakiNya di antara ciptaan-ciptaannya yang telah diciptakanNya. iaitu tentulah kejadiannya tidak seperti apa yang diduga oleh mereka. 

Hal ini semata-mata syarat yang tidak mengharuskan kejadiannya dan tidak pula membolehkannya, bahkan merupakan suatu hal yang mustahil. Dan sesungguhnya tujuan utama dari ungkapan ini hanyalah semata-mata menggambarkan tentang kebodohan mereka dalam dakwaan dan perkiraannya. 

"Maha Suci Dia. Dialah Allah Yang Maha Esa Maha Perkasa." 

Mahasuci Allah. Dialah Allah Yang Maha Esa lagi Maha Mengalahkan. Iaitu Mahatinggi lagi Mahasuci bila dikatakan Allah mempunyai anak, kerana sesungguhnya Dia Maha Esa, Tuhan Yang Satu lagi Tunggal, bergantung kepadaNya segala sesuatu, segala sesuatu merupakan hambaNya dan berhajat kepadaNya, sedangkan Dia Mahakaya dari yang lainNya.

Segala sesuatu kalah, tunduk, dan hina di hadapanNya serta patuh kepadaNya. Mahasuci Allah lagi Mahatinggi dari apa yang dikatakan oleh orang-orang yang zalim lagi ingkar dengan ketinggian yang setinggi-tingginya.

"5. Dia telah menciptakan langit dan bumi dengan benar;"

Dia menciptakan langit dan bumi dengan tujuan yang benar; Dia menutupkan malam atas siang dan menutupkan siang atas malam dan menundukkan matahari dan bulan, masing-masing berjalan menurut waktu yang ditentukan. Ingatlah, Dialah Yang Mahaperkasa lagi Maha Pengampun. 

Allah s.w.t. memberitahukan bahawa Dialah Yang menciptakan langit, bumi, dan segala sesuatu yang ada di antara keduanya. Dan bahawa Dia adalah Raja Yang mengaturnya, Dia jadikan malam dan siang hari silih berganti.

"Dia menutupkan malam atas siang dan Dia menutupkan siang atas malam" 

Iaitu Allahlah Yang menundukkan malam dan siang hari hingga keduanya berputar silih berganti tiada henti-hentinya, masing-masing dari keduanya mengejar yang lain dengan cepat.

"dan Dia menundukkan matahari dan bulan, masing-masing berjalan menurut waktu yang telah ditentukan." 

Iaitu masa yang telah diketahui di sisi Allah s.w.t., kemudian masa itu habis pada hari kiamat nanti.

"Ingatlah! Dia Yang Maha Perkasa Maha Pengampun."

Dialah Yang Mahaperkasa lagi Maha Pengampun. Walaupun Allah Mahaperkasa, Mahabesar, dan Mahaagung. tetapi Dia Maha Pengampun terhadap orang yang derhaka kepadaNya, lalu bertaubat dan taat kepadaNya.

Tiada ulasan:

KANDUNGAN.

JUZUK 1. Isti'adzah.    Al Fatihah 1 , 2 , 3 , 4 , 5 , 6 , 7 . Al Baqarah 1-5 , 6-7 , 8-9 , 10-16 , 17-20 , 21-25 , 26-27 , 28-29 , 3...