Khamis, 7 Mei 2020

51:15-23 Tafsir Surah Az Zariyat, ayat 15-23.

إِنَّ الْمُتَّقِينَ فِي جَنَّاتٍ وَعُيُونٍ (١٥) آخِذِينَ مَا آتَاهُمْ رَبُّهُمْ إِنَّهُمْ كَانُوا قَبْلَ ذَلِكَ مُحْسِنِينَ (١٦) كَانُوا قَلِيلا مِنَ اللَّيْلِ مَا يَهْجَعُونَ (١٧) وَبِالأسْحَارِ هُمْ يَسْتَغْفِرُونَ (١٨) وَفِي أَمْوَالِهِمْ حَقٌّ لِلسَّائِلِ وَالْمَحْرُومِ (١٩) وَفِي الأرْضِ آيَاتٌ لِلْمُوقِنِينَ (٢٠) وَفِي أَنْفُسِكُمْ أَفَلا تُبْصِرُونَ (٢١) وَفِي السَّمَاءِ رِزْقُكُمْ وَمَا تُوعَدُونَ (٢٢) فَوَرَبِّ السَّمَاءِ وَالأرْضِ إِنَّهُ لَحَقٌّ مِثْلَ مَا أَنَّكُمْ تَنْطِقُونَ (٢٣)

Allah s.w.t. berfirman menyebutkan pahala orang-orang yang bertakwa dan menyebutkan amal mereka sehingga membawa mereka ke tempat yang menyenangkan itu.

"15. Sesungguhnya orang-orang yang bertakwa dalam syurga dan mata air." 

Sesungguhnya orang-orang yang takwa menjadi syiarnya dan taat kepada Allah menjadi selimutnya, di hari mereka dikembalikan kepada Allah dimasukkan ke dalam taman-taman syurga dan di mata air-mata air.

Syurga-syurga itu dipenuhi dengan berbagai macam pohon dan buah-buahan baik yang ada persamaannya dengan di dunia maupun yang tidak ada, dimana mata belum pernah melihatnya, telinga mereka belum pernah mendengarnya dan belum pernah terlintas di hati mereka.

"16. Mereka mengambil apa yang memberikan pada mereka Tuhan mereka." 

Mereka mengambil apa yang diberikan Tuhan kepada mereka. Boleh maksudnya, bahawa penghuni syurga telah diberikan oleh Allah s.w.t. semua yang mereka inginkan berupa aneka macam kenikmatan, lalu mereka mengambilnya dengan ridha, sejuk mata mereka, dan jiwa mereka bergembira. Mereka tidak meminta lagi gantinya dan tidak ingin pindah darinya.

Boleh juga maksudnya, bahawa itulah sifat orang-orang yang bertakwa di dunia, iaitu mereka mengambil apa yang diberikan Tuhan mereka berupa perintah dan larangan; mereka menerimanya dengan lapang dada dan senang sambil tunduk kepada perintah Allah dengan melaksanakannya secara sempurna dan menjauhi laranganNya secara sempurna. Beban perintah dan larangan adalah pemberian yang paling utama yang haknya adalah diterima dengan disyukuri dan ditaati.

Namun maksud pertama lebih dekat dengan susunan kalimatnya.

"Sungguh mereka, mereka sebelum itu berbuat baik." 

Sesungguhnya mereka sebelum masuk ke syurga, iaitu semasa di dunia adalah orang-orang yang berbuat baik. Mereka berbuat ihsan, baik dalam beribadah kepada Allah, maupun dalam bergaul dengan hamba-hamba Allah.

Ada yang menafsikan, sebelum diperintahkan untuk mengerjakan amal-amal fardu, mereka adalah orang-orang yang berbuat baik dalam amal perbuatannya.

"17. Mereka sedikit dari malam mereka tidur."

Mereka sedikit sekali tidur pada waktu malam. Mereka isi malam mereka dengan solat, membaca Al Qur’an, zikir, berdoa dan tadharru’ (bermohon dengan sungguh-sungguh sambil merendahkan diri kepada Allah s.w.t.).

"18. Dan pada akhir malam mereka memohon ampun." 

Pada akhir malam, iaitu pada waktu sahur; menjelang fajar, mereka memohon ampun kepada Allah. Mereka memanjangkan solat sunatnya sampai waktu sahur, lalu mereka duduk di akhir solat malam mereka dengan meminta ampunan kepada Allah Ta’ala atas dosa-dosanya.

Meminta ampunan kepada Allah s.w.t. di waktu sahur memiliki keutamaan daripada waktu selainnya sebagaimana Allah s.w.t. menyifati orang-orang yang beriman dan bertakwa itu dengan melakukan permohonan ampun di waktu sahur.

Rasulullah s.a.w. bersabda, "Sesungguhnya Allah s.w.t. turun di setiap malam ke langit yang paling dekat, hingga malam hari tersisa sepertiganya lagi, maka Allah s.w.t. berfirman, "Apakah ada orang yang bertaubat, maka Aku akan menerima taubatnya; apakah ada orang yang memohon ampun, maka Aku memberi ampun kepadanya; dan apakah ada orang yang meminta, maka Aku akan memberinya apa yang dimintanya?" Hingga fajar terbit (waktu subuh datang)."

"19. Dan dalam harta mereka hak bagi orang yang meminta dan orang yang tidak meminta." 

Pada harta benda mereka ada hak yang wajib maupun yang sunat, iaitu bahagian yang telah mereka pisahkan, sengaja disediakan, untuk diberikan kepada orang yang meminta-minta dan yang tidak mendapat bahagian kerana menjaga diri. Mereka selalu membayar zakat, bersedekah dan bersilaturahim.

"20. Dan di bumi ayat-ayat bagi orang-orang yang yakin." 

Di bumi itu, seperti gunung-gunung, daratan, lautan, sungai-sungai, pepohonan, haiwan-haiwan dan lain-lain, banyak terdapat tanda-tanda bagi orang-orang yang yakin. Iaitu tanda-tanda yang menunjukkan kebesaran penciptanya, kekuasaanNya yang mengagumkan dan keesaanNya.

Orang-orang yang memikirkan apa yang ada di bumi dan memperhatikannya dapat mengetahui keagungan Penciptanya, luasnya kekuasaanNya, meratanya ihsanNya, dan meliputnya pengetahuanNya terhadap yang tampak maupun yang tersembunyi.

"21. Dan dalam diri kalian." 

Dan juga pada diri kalian sendiri dari awal penciptaan kalian sampai akhirnya, serta pada susunan tubuh kalian yang menakjubkan. Di sana terdapat pelajaran, hikmah, dan rahmat yang menunjukkan bahawa Allah s.w.t. Mahaesa, Tuhan yang bergantung kepadaNya segala sesuatu, dan bahawa Dia tidak menciptakan makhluk secara percuma atau sia-sia.

"Maka apakah kalian tidak memperhatikan?" 

Maka perhatikanlah semua itu oleh kalian. Barang siapa yang memikirkan penciptaan dirinya, nescaya dia akan mengetahui bahawa sesungguhnya dirinya dan sendi-sendi tulang-tulangnya diciptakan hanyalah untuk beribadah.

"22. Dan di langit rezeki kalian dan apa yang kalian dijanjikan." 

Di langit terdapat sebab-sebab rezeki kalian, iaitu hujan yang dapat menyuburkan tanaman, dan terdapat juga apa yang dijanjikan kepada kalian, iaitu takdir Allah terhadap setiap manusia yang telah ditulis di Lauhul Mahfuz. Ada yang mengatakan syurga.

Allah s.w.t. bersumpah dengan menyebut ZatNya sendiri Yang Mahamulia,

"23. Maka demi Tuhan langit dan bumi, sungguh ia benar seperti apa yang bahawasanya kalian ucapkan." 

Maka demi Tuhan langit dan bumi, sesungguhnya apa yang dijanjikan itu pasti akan terjadi seperti apa yang kalian ucapkan. Iaitu sebagaimana kalian tidak ragu tentang ucapan kalian, maka begitu juga kalian tidak patut ragu-ragu terhadap kebangkitan setelah mati.

JanjiNya tentang hari kiamat, hari berbangkit, dan hari pembalasan pasti akan terjadi dan merupakan perkara yang hak yang tidak diragukan lagi. Kerana itu, janganlah kalian ragu-ragu, sebagaimana kalian tidak ragu bahawa manusia itu dapat berbicara.

Rasulullah s.a.w. bersabda, "Semoga Allah melaknat kaum-kaum yang Tuhan mereka bersumpah terhadap mereka, kemudian mereka masih juga tidak membenarkannya."

Tiada ulasan:

KANDUNGAN.

JUZUK 1. Isti'adzah.    Al Fatihah 1 , 2 , 3 , 4 , 5 , 6 , 7 . Al Baqarah 1-5 , 6-7 , 8-9 , 10-16 , 17-20 , 21-25 , 26-27 , 28-29 , 3...