Isnin, 11 Mei 2020

51:24-30 Tafsir Surah Az Zariyat, ayat 24-30.

هَلْ أَتَاكَ حَدِيثُ ضَيْفِ إِبْرَاهِيمَ الْمُكْرَمِينَ (٢٤) إِذْ دَخَلُوا عَلَيْهِ فَقَالُوا سَلامًا قَالَ سَلامٌ قَوْمٌ مُنْكَرُونَ (٢٥) فَرَاغَ إِلَى أَهْلِهِ فَجَاءَ بِعِجْلٍ سَمِينٍ (٢٦) فَقَرَّبَهُ إِلَيْهِمْ قَالَ أَلا تَأْكُلُونَ (٢٧) فَأَوْجَسَ مِنْهُمْ خِيفَةً قَالُوا لا تَخَفْ وَبَشَّرُوهُ بِغُلامٍ عَلِيمٍ (٢٨) فَأَقْبَلَتِ امْرَأَتُهُ فِي صَرَّةٍ فَصَكَّتْ وَجْهَهَا وَقَالَتْ عَجُوزٌ عَقِيمٌ (٢٩) قَالُوا كَذَلِكَ قَالَ رَبُّكِ إِنَّهُ هُوَ الْحَكِيمُ الْعَلِيمُ (٣٠)

Allah s.w.t. berfirman kepada Nabi Muhammad s.a.w.,

"24. Apakah telah sampai kepadamu cerita tetamu Ibrahim yang dimuliakan?"

Sudahkah sampai kepadamu cerita tentang tetamu Ibrahim yang kedatangannya harus dihormati dan berita mereka yang asing dan menakjubkan? Mereka adalah para malaikat yang diutus Allah untuk membinasakan kaum Lut, Allah memerintahkan mereka menyinggahi Ibrahim a.s. lebih dahulu dan mereka datang kepada Beliau sebagai tetamu.

"25. Ketika mereka masuk atasnya, lalu mereka berkata, "Salaaman." Dia berkata, "Salaamun." 

Ingatlah ketika para malaikat masuk ke tempat Ibrahim a.s., lalu mengucapkan salam, "Selamat.” Ibrahim a.s. menjawab salam, "Selamat." Sambil Beliau berkata dalam hatinya, 

"kaum yang tidak dikenal."

Kalian adalah orang-orang yang tidak dikenal. Demikian itu kerana Malaikat Jibril, Malaikat Mikail, dan Malaikat Israfil datang menemui Ibrahim a.s. dalam rupa para pemuda yang tampan-tampan disertai dengan wibawa yang sangat kuat.

Sejumlah ulama mengatakan bahawa wajib menjamu tetamu. Sunnah pun menganjurkan hal yang sama. 

"26. Lalu dia pergi diam-diam kepada keluarganya, lalu dia datang dengan anak lembu gemuk." 

Maka Ibrahim a.s. pergi dengan diam-diam dan cepat menemui keluarganya, kemudian dibawanya daging anak lembu gemuk yang dibakar. Iaitu dari ternak pilihannya yang merupakan hartanya di masa itu.

"27. Lalu didekatkannya kepada mereka. Dia berkata, "Mengapa tidak kalian makan?"

Ayat ini mengandung etika menjamu tetamu. Ibrahim a.s. menghidangkan makanan tanpa pengetahuan tetamunya itu dengan cepat dan tidak menawarkannya lebih dahulu kepada mereka, misalnya, "Mahu makan apa?"

Ibrahim a.s. datang dengan cepat dan tersembunyi menghidangkan makanannya yang paling enak dari hartanya yang paling berharga, iaitu lembu muda yang gemuk empuk dagingnya dalam keadaan telah dipanggang. 

Lalu Ibrahim a.s. meletakkannya langsung ke hadapan tetamunya, dan mengatakan kepada mereka, "Silakan kalian makan.” Beliau mempersilakan dan menawarkan dengan cara yang baik dan lemah lembut. Tetapi mereka tidak mahu makan.

"28. Maka dia merasa dari mereka takut." 

Kerana itu Ibrahim a.s. memandang aneh perbuatan mereka dan merasa takut terhadap mereka. Kerana hal tersebut tidak mungkin dengan adanya makanan yang terenak dan paling lazat, para tetamunya itu tidak mahu menyantapnya, bahkan memegangnya pun tidak. 

"Mereka berkata, "Janganlah kamu takut.""

Iaitu kami adalah para utusan Tuhanmu yang diutus kepada kaum Lut. Isterinya berdiri di balik tirai)m, lalu dia tersenyum. Iaitu merasa gembira dengan akan dibinasakannya kaum Lut kerana mereka membangkang dan bersikap ingkar terhadap Allah s.w.t.

"Dan mereka beri dia khabar gembira dengan seorang anak yang 'alim." 

Maka pada saat itu juga para malaikat tersebut menyampaikan berita gembira kepadanya dengan kelahiran seorang anak yang pandai atau berpengetahuan, iaitu Ishaq a.s. Dan di belakang Ishaq a.s. akan lahir Ya'qub a.s. sebagai cucunya.

Khabar gembira buat Ibrahim a.s. bererti sama juga khabar gembira bagi isterinya, kerana anak tersebut adalah milik keduanya dan lahir akibat hubungan keduanya. Maka keduanya mendapat berita gembira ini.

"29. Lalu datang isterinya memekik," 

Kemudian isterinya, iaitu Sarah datang memekik tercengang bercampur gembira, "Sungguh menghairankan, adakah aku akan melahirkan anak?" 

"lalu dia menepuk wajahnya" 

Lalu dia menepuk mukanya sendiri. Iaitu memukulkan telapak tangannya ke keningnya. Ada yang mengatakan, dia menamparkan tangannya ke mukanya. Inilah perkataan atau perbuatan yang biasa terjadi pada wanita ketika gembira.

"dan dia berkata, "Perempuan tua yang mandul."

Sambil dia berkata, "Aku ini adalah seorang perempuan tua yang mandul.” Iaitu bagaimana aku dapat melahirkan anak, sedangkan aku seorang perempuan yang mandul dan sudah lanjut usia. Di samping itu, suaminya (Ibrahim a.s.) juga seorang yang sudah tua.

Para malaikat itu berkata, "Adakah kamu merasa hairan tentang ketetapan Allah? Itu adalah rahmat Allah dan keberkatanNya, dicurahkan atas kalian, hai ahlul bait! Sesungguhnya Allah Maha Terpuji lagi Maha Pemurah."

"30. Mereka berkata, "Demikianlah berfirman Tuhanmu.""

Iaitu Allah s.w.t. yang menentukan hal itu dan memberlakukannya, sehingga tidak perlu hairan terhadap kekuasaan Allah s.w.t.

"Sungguh, Dia Mahabijaksana Maha Mengetahui."

Sesungguhnya Dialah Yang Mahabijaksana lagi Maha Mengetahui. Dia Maha Mengetahui siapa yang berhak mendapat kemuliaan dariNya lagi Mahabijaksana dalam semua firman dan perbuatanNya.

Dia meletakkan segala sesuatu pada tempatnya dan segala sesuatu telah diketahuiNya. Oleh kerana itu, terimalah keputusanNya dan bersyukurlah kepada Allah atas nikmatNya.

Akhir juz 26.

Tiada ulasan:

KANDUNGAN.

JUZUK 1. Isti'adzah.    Al Fatihah 1 , 2 , 3 , 4 , 5 , 6 , 7 . Al Baqarah 1-5 , 6-7 , 8-9 , 10-16 , 17-20 , 21-25 , 26-27 , 28-29 , 3...