Jumaat, 8 Mei 2020

75:16-19 Tafsir Surah Al Qiyamah, ayat 16-19.

لا تُحَرِّكْ بِهِ لِسَانَكَ لِتَعْجَلَ بِهِ (١٦) إِنَّ عَلَيْنَا جَمْعَهُ وَقُرْآنَهُ (١٧) فَإِذَا قَرَأْنَاهُ فَاتَّبِعْ قُرْآنَهُ (١٨) ثُمَّ إِنَّ عَلَيْنَا بَيَانَهُ (١٩)

Imam Ahmad mengatakan, telah menceritakan kepada kami Abdur Rahman, dari Abu Uwwanah, dari Musa ibnu Abu Aisyah, dari Sa'id ibnu Jubair, dari Ibnu Abbas yang mengatakan bahawa Rasulullah s.a.w. pada asal mulanya merasa berat bila sedang menerima wahyu, dan Beliau menggerakkan kedua bibirnya (mengikuti bacaan malaikat). Sa'id ibnu Jubair melanjutkan kisahnya, bahawa lalu Ibnu Abbas berkata kepadanya, "Dan aku menggerakkan pula kedua bibirku sebagaimana Rasulullah s.a.w. menggerakkan kedua bibirnya." Musa ibnu Abu Aisyah mengatakan bahawa Sa'id berkata kepadanya, "Aku menggerakkan kedua bibirku sebagaimana Ibnu Abbas menggerakkan kedua bibirnya." Setelah itu Allah s.w.t. menurunkan firmanNya, "Jangan kamu gerakkan dengannya lidahmu kerana kamu segera dengannya. Sesungguhnya atas Kami mengumpulkannya dan membacanya." (Al Qiyamah 75:16-17) iaitu menghimpunkannya di dalam dadamu, kemudian kamu dapat membacanya. "Maka apabila Kami membacakannya, maka ikutilah bacaannya." (Al Qiyamah 75:18) Maksudnya, dengarkanlah terlebih dahulu dengan penuh perhatian dan diamlah. Kemudian sungguh atas Kami penjelasannya." (Al Qiyamah 75:19) Sesudah itu apabila Jibril berangkat, maka Nabi s.a.w. membacanya seperti apa yang dibacakan oleh Jibril kepadanya.

Menurut lafaz Imam Bukhari, disebutkan bahawa apabila Jibril datang, Beliau menundukkan kepalanya; dan apabila Jibril telah pergi, maka Beliau membacanya seperti apa yang telah dijanjikan oleh Allah s.w.t. kepadanya.

Ibnu Abbas mengatakan bahawa Rasulullah s.a.w. apabila wahyu diturunkan kepadanya, maka Beliau mengalami keadaan yang berat kerananya. Dan apabila wahyu sedang diturunkan kepadanya, hal itu dapat diketahui melalui gerakan kedua bibirnya. Kedua bibir beliau kelihatan bergerak sejak awal penurunan wahyu kerana khuatir bahagian permulaan wahyunya terlupakan sebelum bahagian yang terakhirnya selesai. Maka Allah s.w.t. menurunkan firmanNya, "Jangan kamu gerakkan dengannya lidahmu kerana kamu segera dengannya." (Al Qiyamah 75:16)

Allah s.w.t. berfirman mengajar RasulNya tentang bagaimana Beliau harus menerima wahyu dari malaikat yang ditugaskanNya,

"16. Jangan kamu gerakkan dengannya lidahmu kerana kamu segera dengannya." 

Janganlah kamu gerakkan lidahmu untuk membaca Al Qur’an kerana hendak cepat-cepat menguasai wahyu Al Qur'an yang diturunkan kepadamu.

Maksudnya, Nabi Muhammad s.a.w. dilarang Allah menirukan bacaan Jibril a.s. kalimat demi kalimat, sebelum Jibril a.s. selesai membacakannya, agar Beliau dapat menghafal dan memahami betul-betul ayat yang diturunkan itu. Beliau s.a.w. ikut menirukan bacaan JIbril a.s. ketika itu kerana takut bacaan itu hilang dari Beliau.

Selanjutnya Allah s.w.t. menjamin, bahawa Beliau akan dapat menghafal dan membacanya.

"17. Sesungguhnya atas Kami mengumpulkannya dan membacanya." 

Sesungguhnya atas tanggungan Kamilah menghimpunkannya di dalam dadamu, membuat kamu pandai membacanya dan memudahkan bagi kamu dalam menyampaikannya sesuai dengan apa yang  kamu terima dari malaikat. Oleh itu dengarkanlah terlebih dahulu sampai malaikat itu menyelesaikan penyampaiannya.

"18. Maka apabila Kami membacakannya, maka ikutilah bacaannya." 

Apabila Kami telah selesai membacakannya melalui bacaan malaikat Jibril a.s., iaitu apabila malaikat telah membacakannya kepadamu dari Allah s.w.t., maka ikutilah bacaannya itu sebagaimana yang telah diajarkannya kepadamu.

Maka Rasulullah s.a.w. melaksanakan adab yang diajarkan Allah, oleh kerana itu ketika malaikat Jibril membacakan Al Qur’an, Beliau pun diam memperhatikan, setelah itu Beliau membacanya.

Dalam ayat ini terdapat adab menimba ilmu, iaitu seorang pelajar hendaknya tidak segera bertanya kepada guru sebelum guru selesai menerangkan. Begitu juga ketika di awal ucapannya ada yang perlu dibetulkan atau dianggap bagus, dia pun tidak segera membetulkan atau menerimanya bahkan sampai ucapan itu selesai agar jelas yang hak dan yang batil dan agar dia memahami keadaan yang sebenarnya.

Selanjutnya Allah s.w.t. menjanjikan Beliau dapat menghafal maknanya setelah menghafal lafaznya.

"19. Kemudian sungguh atas Kami penjelasannya." 

Kemudian sesungguhnya Kami yang akan menjelaskannya dengan memahamkannya kepadamu. Iaitu sesudah kamu hafal dan kamu baca, maka Kami akan menafsirkan, menjelaskan dan menerangkannya kepadamu serta memberimu ilham mengenai maknanya sesuai dengan apa yang Kami kehendaki dan Kami tentukan.

Ada yang menafsirkan, kemudian sesungguhnya atas tanggungan Kamilah menjelaskan apa-apa yang dihalalkan dan apa-apa yang diharamkan.

Maka keadaan pertama ialah menghimpunkan wahyu di dalam dada Beliau, keadaan kedua cara membacanya, dan keadaan ketiga mengenai tafsir dan penjelasannya.

Dalam ayat ini terdapat dalil, bahawa Nabi s.a.w. sebagaimana menerangkan kepada umat lafaz-lafaz wahyu, maka Beliau juga menerangkan kepada umat makna atau kandungannya.

Tiada ulasan:

KANDUNGAN.

JUZUK 1. Isti'adzah.    Al Fatihah 1 , 2 , 3 , 4 , 5 , 6 , 7 . Al Baqarah 1-5 , 6-7 , 8-9 , 10-16 , 17-20 , 21-25 , 26-27 , 28-29 , 3...