Jumaat, 8 Mei 2020

96:6-19 Tafsir Surah Al ‘Alaq, ayat 6-19.

كَلَّآ إِنَّ الإنْسَانَ لَيَطْغَى (٦) أَنْ رَآهُ اسْتَغْنَى (٧) إِنَّ إِلَى رَبِّكَ الرُّجْعَى (٨) أَرَأَيْتَ الَّذِي يَنْهَى (٩) عَبْدًا إِذَا صَلَّى (١٠) أَرَأَيْتَ إِنْ كَانَ عَلَى الْهُدَى (١١) أَوْ أَمَرَ بِالتَّقْوَى (١٢) أَرَأَيْتَ إِنْ كَذَّبَ وَتَوَلَّى (١٣) أَلَمْ يَعْلَمْ بِأَنَّ اللَّهَ يَرَى (١٤) كَلا لَئِنْ لَمْ يَنْتَهِ لَنَسْفَعًا بِالنَّاصِيَةِ (١٥) نَاصِيَةٍ كَاذِبَةٍ خَاطِئَةٍ (١٦) فَلْيَدْعُ نَادِيَهُ (١٧) سَنَدْعُ الزَّبَانِيَةَ (١٨) كَلا لا تُطِعْهُ وَاسْجُدْ وَاقْتَرِبْ (١٩) 

Allah s.w.t. mengurniakan kepada manusia kekayaan dan kelapangan rezeki, akan tetapi mereka kerana kebodohan dan kezalimannya ketika merasa dirinya telah cukup, dia pun bertindak melampaui batas dan berbuat zalim serta bersikap sombong terhadap kebenaran.

Mereka lupa, bahawa tempat kembalinya adalah kepada Tuhannya, dan tidak takut kepada pembalasan yang akan diberikan kepadanya, bahkan keadaannya sampai meninggalkan petunjuk dengan keinginan sendiri dan mengajak manusia untuk meninggalkannya, dan sampai melarang orang lain menjalankan solat yang merupakan amal yang paling utama.

Allah s.w.t. berfirman,

"6. Sekali-kali tidak! Sungguh manusia benar-benar melampaui batas."

Ketahuilah! Sesungguhnya manusia benar-benar melampaui batas.

Imam Muslim meriwayatkan dengan sanadnya yang sampai kepada Abu Hurairah r.a. dia berkata, "Abu Jahal berkata, “Apakah (kalian biarkan) Muhammad menaruh wajahnya (bersujud) di tengah-tengah kalian?” Lalu dikatakan, “Ya.” Maka Abu Jahal berkata, “Demi Lata dan ‘Uzza, jika aku melihatnya sedang melakukan hal itu, maka aku akan injak lehernya atau aku lumuri mukanya dengan debu.” Abu Hurairah berkata, “Maka Abu Jahal mendatangi Rasulullah s.a.w. ketika Beliau sedang solat kerana menyangka akan dapat menginjak leher Beliau. Lalu dia (Abu Jahal) membuat mereka (kawan-kawannya) terkejut kerana mundur ke belakang dan menjaga dirinya dengan kedua tangannya. Dia pun ditanya, “Ada apa denganmu?” Abu Jahal berkata, “Sesungguhnya antara aku dengan dia (Nabi Muhammad s.a.w.) ada parit dari api, hal yang menakutkan, dan sayap-sayap.” Maka Rasulullah s.a.w. bersabda, “Kalau sekiranya dia mendekat kepadaku, tentu malaikat-malaikat akan merenggut anggota badannya sepotong demi sepotong.” Maka Allah ‘Azza wa Jalla menurunkan ayat - kami tidak mengetahui apakah dalam hadis Abu Hurairah atau sesuatu yang sampai kepadanya -, “Sekali-kali tidak! Sungguh manusia benar-benar melampaui batas." Sampai firmanNya, "Sekali-kali tidak! Janganlah kamu patuh kepadanya,…dan seterusnya.” (Al ‘Alaq 96:6-19)

"7. Kerana dia melihatnya serba cukup."

Apabila dia melihat dirinya serba cukup. Allah s.w.t. menceritakan perihal manusia, bahawa manusia itu adalah makhluk yang mempunyai kesenangan, jahat, angkuh, dan melampaui batas apabila dia melihat dirinya telah berkecukupan dan banyak hartanya. Kemudian Allah mengancamnya dan memperingatkan kepadanya,

"8. Sesungguhnya kepada Tuhanmu tempat kembali."

Sesungguhnya hanya kepada Tuhanmulah tempat kembalimu. Iaitu hanya kepada Allahlah kamu kembali dan berpulang, lalu Dia akan mengadakan perhitungan terhadap hartamu dari manakah kamu hasilkan dan ke manakah kamu belanjakan?

Ada dua jenis orang yang haus atau rakus, dan tidak pernah merasa kenyang, iaitu orang yang berilmu (penuntut ilmu) dan orang yang memiliki harta (pemburu duniawi); tetapi keduanya tidak sama.

Adapun orang yang berilmu, maka bertambahlah ridha Tuhan Yang Maha Pemurah kepadanya. Sedangkan orang yang berharta, maka dia makin tenggelam di dalam kesesatannya (sikap melampaui batasnya).

"9. Apakah kamu lihat orang yang melarang?"

Bagaimana pendapatmu tentang orang yang melarang, iaitu Abu Jahal?

"10. Seorang hamba ketika dia solat."

Seorang hamba, iaitu Nabi Muhammad s.a.w. ketika Beliau melaksanakan solat. Akan tetapi usaha ini tidak berhasil kerana Abu Jahal melihat sesuatu yang menakutkannya.

Abu Jahal laknatullah mengancam Nabi s.a.w. bila melakukan solat di Baitullah. Maka Allah s.w.t. pada mulanya menasihati Abu Jahal dengan cara yang terbaik, untuk itu Allah s.w.t. berfirman,

"11. Apakah kamu lihat jika dia berada pada petunjuk?"

Bagaimana pendapatmu jika orang yang dilarang solat itu berada di atas kebenaran, atau berada di jalan yang Iurus dalam tindakannya?

"12. Atau dia menyuruh dengan bertakwa."

Atau dia menyuruh bertakwa kepada Allah melalui ucapannya? Patutkah orang yang seperti ini keadaannya dilarang? Sedangkan kamu mengherdiknya dan mengancamnya bila dia mengerjakan solatnya.

Bukankah melarangnya merupakan penentangan yang besar kepada Allah dan kepada kebenaran? Kerana yang berhak dilarang adalah orang yang tidak di atas petunjuk atau memerintahkan orang lain mengerjakan hal yang bertentangan dengan ketakwaan.

"13. Apakah kamu lihat jika dia mendustakan dan berpaling?"

Bagaimana pendapatmu jika orang yang melarang itu mendustakan dan berpaling dari iman?

"14. Apakah tidak dia tahu bahawa sungguh Allah Dia melihat?"

Tidakkah orang yang melarang orang yang mendapat petunjuk itu mengetahui bahawa Allah melihatnya dan mendengar pembicaraannya, dan kelak Dia akan membalas perbuatannya itu dengan balasan yang setimpal? Selanjutnya Allah s.w.t. memperingatkan dan mengancam dengan ancaman yang keras,

"15. Sekali-kali tidak! Sungguh jika tidak dia berhenti, pasti kami tarik dengan ubun-ubunnya."

Ketahuilah, sesungguhnya jika dia tidak menghentikan perbuatannya yang selalu bermusuhan dan ingkar, nescaya kami tarik ubun-ubunnya ke dalam neraka. Iaitu memasukkannya ke dalam neraka dengan menarik kepalanya dengan keras. Kami benar-benar akan memberinya tanda hitam kelak di hari kiamat.

"16. Ubun-ubun pendusta derhaka."

Iaitu ubun-ubun orang yang mendustakan lagi derhaka. Iaitu ubun-ubun Abu Jahal yang pendusta dalam ucapannya lagi derhaka dalam perbuatannya. Boleh juga diertikan, ubun-ubun orang yang dusta ucapannya dan salah perbuatannya.

Dahulu Rasulullah s.a.w. sering melakukan solat di dekat maqam Ibrahim. Maka lintaslah kepadanya Abu Jahal ibnu Hisyam, lalu berkata, "Hai Muhammad, dengan apakah engkau mengancamku? Ketahuilah, demi Allah, sesungguhnya aku adalah penduduk lembah ini yang paling banyak pendukungnya." Maka Allah s.w.t. menurunkan firmanNya, "Maka biarkan dia memanggil kaumnya. Kelak Kami memanggil Zabaniyyah." (Al 'Alaq 96:17-18)

"17. Maka biarkan dia memanggil kaumnya."

Maka biarlah orang yang berhak mendapat azab itu memanggil golongannya, kaumnya dan kerabatnya untuk menolongnya.

"18. Kelak Kami memanggil Zabaniyyah."

Kelak Kami akan memanggil Malaikat Zabaniyah, iaitu malaikat juru siksa orang-orang yang berdosa di dalam neraka, mereka adalah malaikat yang kasar dan keras, dan sebagai malaikat yang kuat dan berkuasa. Kelak dia akan mengetahui, adakah golongan Kami atau golongannya yang akan menang?

"19. Sekali-kali tidak! Janganlah kamu patuh kepadanya," 

Sekali-kali jangan! Janganlah kamu mempedulikannya dan menaatinya dengan meninggalkan solat, kerana dia hanyalah memerintahkan kepada yang terdapat kerugian di dunia dan akhirat. Teruskanlah solatmu menurut yang kamu sukai. Sesungguhnya Allahlah yang memeliharamu dan menolongmu, dan Dia akan memelihara kamu dari gangguan orang lain.

"dan bersujudlah, dan dekatkanlah."

Sujudlah, iaitu solatlah kerana Allah s.w.t., dan dekatkanlah dirimu kepadaNya dengan bersujud dan dengan menaatiNya, kerana semua itu dapat mendekatkan kamu kepadaNya.

Ayat ini adalah umum berlaku pada orang yang melarang terhadap kebaikan dan dilarang dari melakukannya, walaupun berkenaan dengan Abu Jahal ketika melarang Rasulullah s.a.w. melakukan solat.

Rasulullah s.a.w. bersabda, "Tempat yang paling dekat bagi seorang hamba kepada Tuhannya ialah semasa dia sedang sujud, maka perbanyaklah berdoa (padanya)."

Rasulullah s.a.w. melakukan sujud tilawah pada surah Al 'Alaq.

Selesai tafsir surah Al ‘Alaq dengan pertolongan Allah dan taufiqNya, walhamdulillahi Rabbil ‘aalamiin.

Tiada ulasan:

KANDUNGAN.

JUZUK 1. Isti'adzah.    Al Fatihah 1 , 2 , 3 , 4 , 5 , 6 , 7 . Al Baqarah 1-5 , 6-7 , 8-9 , 10-16 , 17-20 , 21-25 , 26-27 , 28-29 , 3...