Khamis, 14 Mei 2020

75:26-40 Tafsir Surah Al Qiyamah, ayat 26-40.

كَلا إِذَا بَلَغَتِ التَّرَاقِيَ (٢٦) وَقِيلَ مَنْ رَاقٍ (٢٧) وَظَنَّ أَنَّهُ الْفِرَاقُ (٢٨) وَالْتَفَّتِ السَّاقُ بِالسَّاقِ (٢٩) إِلَى رَبِّكَ يَوْمَئِذٍ الْمَسَاقُ (٣٠) فَلا صَدَّقَ وَلا صَلَّى (٣١) وَلَكِنْ كَذَّبَ وَتَوَلَّى (٣٢) ثُمَّ ذَهَبَ إِلَى أَهْلِهِ يَتَمَطَّى (٣٣) أَوْلَى لَكَ فَأَوْلَى (٣٤) ثُمَّ أَوْلَى لَكَ فَأَوْلَى (٣٥) أَيَحْسَبُ الإنْسَانُ أَنْ يُتْرَكَ سُدًى (٣٦) أَلَمْ يَكُ نُطْفَةً مِنْ مَنِيٍّ يُمْنَى (٣٧) ثُمَّ كَانَ عَلَقَةً فَخَلَقَ فَسَوَّى (٣٨) فَجَعَلَ مِنْهُ الزَّوْجَيْنِ الذَّكَرَ وَالأنْثَى (٣٩) أَلَيْسَ ذَلِكَ بِقَادِرٍ عَلَى أَنْ يُحْيِيَ الْمَوْتَى (٤٠)

Allah s.w.t. berfirman menceritakan keadaan saat meregang nyawa dan hal-hal mengerikan yang terjadi di dalamnya, semoga Allah meneguhkan kita dengan kalimah yang teguh. 

"26. Sekali-kali tidak! Apabila sampai kerongkongan." 

Sekali-kali jangan. Jika kalla dianggap sebagai kata sanggahan, bererti makna ayat ini ialah "Tiadalah engkau, hai anak Adam, di saat itu dapat mendustakan apa yang telah diberitakan kepadamu, bahkan hal itu dapat engkau saksikan dengan terang-terangan olehmu sendiri."

Jika kalla dianggap sebagai suatu pernyataan kebenaran, maka sudah jelas, iaitu benar apabila roh telah sampai di kerongkongan, iaitu rohmu dicabut dari jasadmu dan sampai di kerongkongan. Kalla di ayat ini boleh juga diertikan, ‘Ingatlah’. 

Apabila nafas atau nyawa seseorang telah mendesak sampai ke kerongkongan. At taraqi bermaksud kerongkongan. Ada yang mengatakan, taraqi bermaksud tulang rawan yang ada antara pangkal sampai hujung leher. 

"27. Dan dikatakan, "Siapa yang menjampi?""

Orang-orang yang mengelilinginya akan berkata, “Siapakah yang dapat menyembuhkannya?” Akan tetapi qadha’ dan qadar apabila datang maka tidak ada yang dapat menolaknya.

Ada yang menafsirkan bahawa ayat ini menceritakan ucapan para malaikat. Dikatakan bahawa siapakah yang akan membawa naik rohnya, adakah malaikat rahmat ataukah malaikat azab? 

"28. Dan dia mengira sungguh dia berpisah." 

Dia yakin bahawa sesungguhnya itulah waktu perpisahan dengan dunia. 

"29. Dan bertaut betis dengan betis." 

Bertaut betis kiri dengan betis kanan, iaitu merapat. Hal itu, kerana demikian dahsyat penderitaan ketika itu dan ruh yang biasa melekat di badan diminta keluar, kemudian dihalau menghadap Allah agar Dia membalas amalnya dan mereka mengakui perbuatannya.

Ada yang mengatakan, kedua kakinya telah mati dan tidak lagi mampu menahan dirinya, padahal sebelumnya dia banyak berjalan dengan keduanya. Ada yang mengatakan, apabila kedua betis itu ditautkan dan dibungkus dalam kain kafan. 

Ada yang menafsirkan, bertautlah baginya dunia dan akhirat. Akhir hari dunianya bertemu dengan awal hari akhiratnya, sehingga bertemulah keadaan yang sangat berat dengan keadaan sangat berat lainnya, kecuali bagi orang yang dirahmati oleh Allah s.w.t. (maka dia melaluinya dengan mudah dan tenang).

Ada yang mengatakan, perkara yang besar dengan perkara yang besar lainnya bertemu. Ada yang mengatakan, bencana bertemu dengan bencana lainnya. Ada yang mengatakan, terhimpunkan baginya dua perkara, manusia mempersiapkan jenazahnya, dan para malaikat mempersiapkan rohnya.

Peringatan dari Allah s.w.t. ini dapat membawa seseorang kepada keselamatan dan meninggalkan sesuatu yang dapat membinasakannya. Akan tetapi bagi orang yang membangkang tetap saja tidak bermanfaat peringatan dan ayat-ayat itu, bahkan dia senantiasa berada di atas kezalimannya, kekafirannya dan pembangkangannya sebagaimana yang diterangkan dalam ayat selanjutnya.

"30. Kepada Tuhanmu pada hari itu tempat kembali." 

Kepada Tuhanmulah pada hari itu kamu dihalau, iaitu dikembalikan dan dipulangkan. Demikian itu kerana roh dibawa naik ke langit, lalu Allah s.w.t. berfirman, "Kembalikanlah jasad hambaKu ke tanah, kerana sesungguhnya Aku menciptakan mereka dari tanah dan kepadanyalah Aku kembalikan mereka, dan darinyalah Aku keluarkan mereka di waktu yang lain (hari berbangkit)." 

"31. Maka dia tidak membenarkan dan tidak solat." 

Ketika di dunia dia tidak mahu beriman kepada Allah, malaikatNya, kitab-kitabNya, rasul-rasulNya, hari akhir dan qadarNya yang baik dan yang buruk, dan dia tidak mahu melaksanakan solat. 

"32. Akan tetapi dia mendustakan dan berpaling." 

Akan tetapi dia mendustakan Rasul dan berpaling dari kebenaran dengan tenang hatinya tanpa rasa takut kepada Tuhannya. Dia mendustakan perkara yang hak dan berpaling dari mengamalkannya, maka tiada kebaikan dalam dirinya zahir dan batinnya.

"33. Kemudian dia pergi kepada keluarganya dengan sombong." 

Kemudian dia pergi kepada keluarganya dengan berlagak sombong. Iaitu dengan langkah yang senang, angkuh, sombong, lagi malas, tiada keinginan dan tiada amal. 

Sa'id ibnu Jubair mengatakan bahawa dia pernah bertanya kepada Ibnu Abbas tentang firmanNya, "Celakalah bagi kamu celakalah. Kemudian celakalah bagi kamu celakalah." (Al Qiyamah 75:34-35) Ibnu Abbas menjawab bahawa itu dikatakan oleh Rasulullah s.a.w. kepada Abu Jahal, kemudian Allah s.w.t. menurunkan wahyu yang bersesuaian dengannya.

"34. Celakalah bagi kamu celakalah." 

Kecelakaanlah bagimu hai orang kafir dan kecelakaanlah bagimu! 

"35. Kemudian celakalah bagi kamu celakalah." 

Sekali lagi, kecelakaanlah bagimu hai orang kafir dan kecelakaanlah bagimu! 

Menurut suatu riwayat, Nabi s.a.w. memegang kerah (leher) baju musuh Allah (Abu Jahal), kemudian berkata kepadanya, "Celakalah bagi kamu celakalah. Kemudian celakalah bagi kamu celakalah." Maka musuh Allah, iaitu Abu Jahal menjawab, "Apakah engkau mengancamku, hai Muhammad? Demi Tuhan, kamu tidak akan mampu dan begitu pula Tuhanmu untuk berbuat sesuatu pun terhadap diriku, kerana sesungguhnya aku benar-benar orang yang paling perkasa yang menghuni lembah di antara kedua bukit ini."

Kutukan terhadap orang kafir ini diulang-ulang sampai empat kali: (1) Pada saat dia akan mati, (2) Ketika berada dalam kubur, (3) Pada waktu hari berbangkit, dan (4) Di dalam neraka Jahanam.

Ini merupakan ancaman yang keras dari Allah s.w.t., ditujukan kepada orang yang kafir kepadaNya lagi angkuh dalam berjalan. Sudah sepatutnya kamu berjalan demikian, kerana kamu kafir kepada Tuhan yang telah menciptakanmu. Ungkapan seperti ini mengandung nada cemuhan dan ancaman. 

"36. Apakah mengira manusia bahawa dia ditinggalkan begitu saja?" 

Adakah manusia menyangka bahawa dirinya tidak dibangkitkan hidup kembali? Adakah manusia menyangka bahawa dia tidak dikenakan perintah dan larangan? Adakah manusia menyangka bahawa dia akan dibiarkan begitu saja tanpa pertanggung-jawaban? Iaitu tidak dibebani dengan beban syariat (agama) dan tidak diberikan balasan.

Tidaklah dia dibiarkan begitu saja di dunia ini tanpa dikenakan perintah dan larangan, dan tidak juga dibiarkan di dalam kuburnya dengan sia-sia tanpa dibangkitkan kembali; bahkan dia dikenai perintah dan larangan di dunia ini, lalu digiring kembali kepada Allah di hari kemudian setelah dibangkitkan.

"37. Bukankah dia setitis dari nutfah ditumpahkan?" 

Bukankah dia dahulu hanya setitis mani yang ditumpahkan ke dalam rahim? Iaitu, tidakkah manusia ingat bahawa asal dirinya adalah nutfah yang lemah berupa air mani yang dipancarkan dari sulbi ke dalam rahim?

"38. Kemudian dia 'alaqah, lalu Dia menciptakan, lalu Dia sempurnakan." 

Kemudian mani itu menjadi sesuatu yang melekat atau segumpal darah, lalu Allah menciptakannya, dan menyempurnakannya. Iaitu lalu jadilah dia 'alaqah, kemudian diberi bentuk, lalu ditiupkan roh ke dalam tubuhnya. 

"39. Lalu Dia jadikan darinya sepasang lelaki dan perempuan." 

Lalu Allah menjadikan darinya sepasang lelaki dan perempuan. Iaitu jadilah dia makhluk lain yang sempurna dan memiliki anggota tubuh yang lengkap, apakah dia lelaki atau perempuan dengan izin Allah dan takdirnya. 

"40. Tidaklah itu berkuasa atas bahawa menghidupkan orang mati." 

Bukankah Allah Tuhan yang menciptakan makhluk yang sempurna ini dari nutfah yang lemah berkuasa juga untuk mengembalikannya hidup seperti semula ketika Dia menciptakannya? Dia Mahakuasa atas segala sesuatu.

Selesai tafsir surah Al Qiyamah dengan pertolongan Allah dan taufiqNya, walhamdulillahi Rabbil ‘aalamiin.

Tiada ulasan:

KANDUNGAN.

JUZUK 1. Isti'adzah.    Al Fatihah 1 , 2 , 3 , 4 , 5 , 6 , 7 . Al Baqarah 1-5 , 6-7 , 8-9 , 10-16 , 17-20 , 21-25 , 26-27 , 28-29 , 3...