Selasa, 12 Mei 2020

97:1-5 Tafsir Surah Al Qadar, ayat 1-5.

بِسْمِ اللَّهِ الرَّحْمَنِ الرَّحِيمِ

Dengan menyebut nama Allah Yang Maha Pemurah lagi Maha Penyayang.

إِنَّا أَنْزَلْنَاهُ فِي لَيْلَةِ الْقَدْرِ (١) وَمَا أَدْرَاكَ مَا لَيْلَةُ الْقَدْرِ (٢) لَيْلَةُ الْقَدْرِ خَيْرٌ مِنْ أَلْفِ شَهْرٍ (٣) تَنَزَّلُ الْمَلائِكَةُ وَالرُّوحُ فِيهَا بِإِذْنِ رَبِّهِمْ مِنْ كُلِّ أَمْرٍ (٤) سَلامٌ هِيَ حَتَّى مَطْلَعِ الْفَجْرِ (٥)

Allah s.w.t. berfirman menerangkan keutamaan Al Qur’an dan ketinggian kedudukannya.

"1. Sungguh Kami telah menurunkannya pada malam kemuliaan." 

Sesungguhnya Allah s.w.t. telah menurunkan Al Quran pada malam kemuliaan. Malam kemuliaan dikenal dengan malam Lailatul Qadar, iaitu suatu malam yang penuh kemuliaan, kebesaran dan keberkahan, kerana pada malam itu permulaan turunnya Al Quran. Lailatul Qadar terletak di dalam bulan Ramadan. 

Menurut Syaikh As Sa’diy, dinamakan Lailatul Qadar kerana besarnya kedudukannya dan keutamaannya di sisi Allah, juga kerana pada malam itu ditentukan apa yang akan terjadi dalam setahun berupa ajal, rezeki dan ketentuan-ketentuan takdir.

Ibnu Abbas berkata, "Allah s.w.t. menurunkan Al Qur'an sekaligus dari Lauh Mahfuz ke Baitul 'Izzah di langit yang terdekat. Kemudian diturunkan secara terpisah-pisah sesuai dengan kejadian-kejadian dalam masa dua puluh tiga tahun kepada Rasulullah s.a.w." 

Rasulullah s.a.w. bersabda, "Barang siapa yang melakukan qiyam (solat sunat) di malam Lailatul Qadar kerana iman dan mengharapkan pahala dan ridha Allah, maka diampunilah baginya semua dosanya yang terdahulu.

"2. Dan apakah kamu tahu apakah malam kemuliaan?"

Tahukah kamu apakah malam kemuliaan itu? Kalimat ini untuk membesarkan dan mengagungkan kedudukan malam Lailatul Qadar yang dikhususkan oleh Allah s.w.t. sebagai malam diturunkanNya Al Qur'an di dalamnya.

"3. Malam kemuliaan adalah lebih baik dari seribu bulan." 

Malam kemuliaan itu lebih baik daripada seribu bulan. Iaitu beramal soleh atau beribadah bertepatan dengan malam itu lebih baik baik daripada beribadah selama seribu bulan.

Syaikh As Sa’diy berkata, “Hal ini termasuk hal yang mencengangkan hati dan akal, kerana Allah Tabaaraka wa Ta'aala melimpahkan nikmat kepada umat yang lemah kekuatannya dengan malam yang beramal pada malam itu mengimbangi dan melebihi (beramal) selama seribu bulan; (seukuran) umur seseorang yang dipanjangkan umurnya selama 80 tahun lebih.”

Rasulullah s.a.w. bersabda, "Telah datang kepadamu bulan Ramadan, bulan yang diberkati, Allah telah memfardukan bagimu melakukan puasa padanya. Di dalamnya dibukakan semua pintu syurga dan ditutup rapat-rapat semua pintu neraka, dan syaitan-syaitan dibelenggu. Di dalamnya terdapat suatu malam yang lebih baik daripada seribu bulan. Barang siapa yang terhalang dari kebaikannya, bererti dia telah terhalang (dari semua kebaikan)."

"4. Turun malaikat dan Ruh pada malam itu dengan izin Tuhan mereka dari segala urusan." 

Pada malam itu turun para malaikat dan Malaikat Jibril dengan izin Tuhannya untuk mengatur segala urusan. Ar ruh dalam ayat ini adalah Jibril a.s. Menurut pendapat lain, ar ruh adalah sejenis malaikat tertentu. Hanya Allah sajalah Yang Maha Mengetahui.

Banyak malaikat turun di malam kemuliaan ini kerana berkahnya yang banyak. Para malaikat turun bersamaan dengan turunnya berkah dan rahmat, sebagaimana mereka juga turun ketika Al Qur'an dibacakan, (turun) mengelilingi halqah-halqah (majlis-majlis) zikir dan meletakkan sayap mereka menaungi penuntut ilmu dengan benar kerana menghormati atau memuliakannya. 

Rasulullah s.a.w. bersabda, "Sesungguhnya malam kemuliaan itu jatuh pada malam dua puluh tujuh atau dua puluh sembilan (Ramadan), dan sesungguhnya para malaikat di bumi pada malam itu jumlahnya lebih banyak daripada bilangan batu kerikil." 

Mujahid mengatakan bahawa selamatlah malam kemuliaan itu dari semua urusan. Qatadah dan yang lainnya mengatakan bahawa semua urusan ditetapkan di dalamnya dan semua ajal serta rezeki ditakdirkan, sebagaimana yang disebutkan dalam ayat lain melalui firmanNya, "Pada malam itu dijelaskan segala urusan yang penuh hikmah." (Ad Dukhan 44:4)

"5. Sejahtera ia hingga terbit fajar." 

Sejahteralah malam itu hingga terbit fajar. Iaitu malam itu penuh kesejahteraan sampai terbit fajar. Iaitu awalnya dari tenggelam matahari dan akhirnya sampai terbit fajar.

Sa'id ibnu Mansur berkata dari Asy Sya'bi tentang firmanNya, "dari segala urusan. Sejahtera ia hingga terbit fajar." (Al-Qadar 97:4-5) Maksudnya ialah salam para malaikat di malam Lailatul Qadar kepada orang-orang yang ada di dalam masjid sampai fajar terbit.

Sa'id ibnu Mansur berkata dari Mujahid tentang firmanNya, "Sejahtera ia hingga terbit fajar." (Al Qadar 97:5) Bahawa malam itu penuh keselamatan, syaitan tidak mampu berbuat keburukan padanya atau melakukan gangguan padanya.

Qatadah dan Ibnu Zaid berkata tentang firmanNya, "Sejahtera ia hingga terbit fajar." (Al Qadar 97:5) Iaitu semuanya baik belaka, tiada suatu keburukan pun yang terjadi di malam itu sampai matahari terbit.

Tentang tanda malam Lailatul Qadar, Rasulullah s.a.w. bersabda, “Malam Lailatul Qadar adalah malam yang terang, tidak panas dan tidak dingin, dan tidak dilepaskan bintang. Sedangkan di antara tanda pada siang harinya adalah terbitnya matahari tanpa ada syu’anya.”

Syu’a, menurut Imam Nawawi ertinya yang terlihat dari sinar matahari ketika baru muncul seperti gunung dan batang yang menghadap kepadamu ketika engkau melihatnya, iaitu sinar matahari yang berserakan.

Rasulullah s.a.w. bersabda sehubungan dengan malam Lailatul Qadar, "(Iaitu) malam yang sedang lagi terang, tidak panas dan tidak dingin, dan pada keesokan harinya cahaya mataharinya lemah kemerah-merahan." 

Rasulullah s.a.w. bersabda, "Sesungguhnya aku telah melihat malam Lailatul Qadar, lalu aku dijadikan lupa kepadanya; malam Lailatul Qadar itu ada pada sepuluh terakhir (bulan Ramadan), pertandanya ialah cerah dan terang, suhunya tidak panas dan tidak pula dingin, seakan-akan padanya terdapat rembulan; syaitan tidak dapat keluar di malam itu hingga pagi harinya."

Ibnu Katsir berkata, “Dan tanda malam Lailatul qadar adalah bahawa malam tersebut bersih, terang, seakan-akan ada bulan yang bersinar, tenang, tidak dingin dan tidak panas, sedangkan (pada pagi hari) matahari terbit dalam keadaan sedang tanpa ada sinar yang berserakan seperti bulan pada malam purnama.”

Lailatul qadar tidak terjadi pada malam tertentu secara khusus dalam setiap tahunnya, namun berubah-rubah, mungkin pada tahun sekarang malam ke 27, pada tahun depan malam ke 29 dan sebagainya. Dan sangat diharapkan terjadi pada malam ke 27. Mungkin hikmah mengapa malam Lailatul qadar disembunyikan oleh Allah s.w.t. adalah agar diketahui siapa yang sungguh-sungguh beribadah dan siapa yang bermalas-malasan.

Syaikh As Sa’diy berkata, “Telah mutawatir hadis-hadis tentang keutamaannya, dan bahawa hal itu terjadi pada bulan Ramadhan, iaitu pada sepuluh terakhir daripadanya, khususnya pada malam-malam ganjilnya, dan hal itu berlaku pada setiap tahun sampai hari Kiamat.

Oleh kerana itu, Nabi s.a.w. beri’tikaf dan memperbanyak ibadah pada sepuluh terakhir dari bulan Ramadhan kerana mengharapkan Lailatul Qadr, wallahu a’lam.”

Selesai tafsir surah Al Qadar dengan pertolongan Allah, taufiqNya dan kemudahanNya, walhamdulillahi Rabbil ‘aalamiin.


Tiada ulasan:

KANDUNGAN.

JUZUK 1. Isti'adzah.    Al Fatihah 1 , 2 , 3 , 4 , 5 , 6 , 7 . Al Baqarah 1-5 , 6-7 , 8-9 , 10-16 , 17-20 , 21-25 , 26-27 , 28-29 , 3...