Isnin, 27 Julai 2020

24:11-18 Tafsir Surah An Nur, ayat 11-18.

Rasulullah s.a.w. apabila hendak keluar bepergian terlebih dahulu melakukan undian di antara isteri-isterinya. Nama siapa yang keluar, maka Rasulullah s.a.w. akan membawanya pergi bersamanya.

Lalu Rasulullah s.a.w. melakukan undian di antara mereka untuk menentukan siapa yang akan menemaninya dalam suatu perang yang akan dilakukannya. Nama ‘Aisyah r.a. keluar.

Lalu Beliau berangkat bersama Rasulullah s.a.w. Demikian itu terjadi setelah diturunkan ayat hijab. ‘Aisyah r.a. dibawa dalam sekedup (pelana atau tempat duduk kayu yang dipasang pada unta).

Setelah Rasulullah s.a.w. menyelesaikan tugasnya dalam perang itu, mereka pun kembali serta telah dekat ke Madinah. Ketika itu Beliau s.a.w. telah singgah dan berehat pada sebahagian malam.

Maka Beliau s.a.w. menyerukan kepada rombongan untuk meneruskan perjalanan di malam itu. Ketika seruan berangkat telah dikumandangkan, 'Aisyah r.a. berdiri dan berjalan melintasi barisan pasukan untuk memenuhi urusannya.

Setelah 'Aisyah r.a. memenuhi hajatnya, Beliau kembali ke sekedupnya. Beliau mendapati kalung maniknya telah terputus dan terjatuh. Maka Beliau kembali ke tempat Beliau buang hajat tadi untuk mencari kalung itu, sehingga Beliau terlambat kerana mencarinya.

Kemudian datanglah beberapa orang yang biasa mengangkut sekedupnya. Mereka mengangkat sekedupnya dan meletakkannya di atas unta. Mereka menyangka bahawa 'Aisyah r.a. sudah berada di dalamnya.

Kaum wanita waktu itu bertubuh kurus-kurus, tidak berat dan tidak gemuk. Mereka hanya makan sedikit. Sedang 'Aisyah r.a. adalah seorang wanita yang berusia sangat muda. Kerana itu mereka tidak merasa aneh dengan keringanan sekedupnya.

Mereka membangunkan untanya dan meneruskan perjalanan. 'Aisyah r.a. menjumpai kembali kalungnya setelah mereka semua pergi. Beliau mendatangi tempat mereka. Tempat itu telah kosong tiada seorang pun yang tinggal. Tidak ada yang memanggil maupun menyahut.

Maka 'Aisyah r.a. pergi ke tempat rehatnya dengan harapan bahawa kaum akan merasa kehilangannya lalu akan kembali mencarinya. Ketika Beliau duduk di tempatnya, matanya mengantuk akhirnya Beliau tertidur.

Ketika itu Safwan ibnul Mu'attal Az Zakwani berehat di belakang pasukan. Dia meneruskan perjalanannya di akhir malam setelah tertidur. Ketika tiba waktu Subuh dia sampai di tempat 'Aisyah r.a. Safwan nampak sosok manusia yang sedang tidur dalam kegelapan malam.

Safwan mendatangi 'Aisyah r.a. dan mengenalnya ketika dia melihatnya, kerana dia pernah melihat 'Aisyah r.a. sebelum diturunkan ayat yang memerintahkan berhijab. Safwan tidak berbicara satu kata pun kepada 'Aisyah r.a. kecuali dia mengucapkan kalimat istirja' (Inna lillahi wa inna ilaihi raji'un).

'Aisyah r.a. terjaga kerana mendengar istirja’nya. Maka dengan segera Beliau menutupi wajahnya dengan kain jilbabnya. Safwan menundukkan untanya dan menginjak kedua kaki depan untanya. Lalu 'Aisyah r.a. menaikinya. Safwan berangkat sambil menuntun untanya sampai ke tempat pasukan singgah berehat di waktu tengah hari.

Abdullah ibnu Ubay ibnu Salul, pemimpin kaum munafik menuduh dan menyiarkan berita bohong bahawa 'Aisyah r.a. telah berbuat serong. Dia menyebarkan isu dusta itu sehingga sebahagian dari kaum muslim termakan dan terhasut oleh isu yang disebarkannya, yang akhirnya menjadi bahan umpatan mereka. Sedangkan sebahagian kaum muslim lainnya tidak mempunyai tanggapan apa pun terhadap peristiwa itu.

Mereka pun tiba di Madinah. 'Aisyah r.a. sakit selama sebulan sejak tiba di Madinah. Sedangkan orang ramai sibuk membicarakan tentang berita dusta yang disebarkan. 'Aisyah r.a. tidak menyedari sedikit pun tentang hal itu.

Dalam sakit itu 'Aisyah r.a. merasakan bahawa Rasulullah s.a.w. berbeda dengan kebiasaannya. 'Aisyah r.a. tidak nampak lagi kelembutan dan kasih sayang Rasulullah s.a.w. Beliau hanya masuk, memberi salam dan mengucapkan, "Bagaimanakah keadaanmu?", Lalu pergi.

Sikap tersebut membuat 'Aisyah r.a. curiga dan gelisah. Beliau tidak merasakan, tidak menyedari dan belum mengetahui adanya berita buruk yang ditujukan terhadap dirinya.

Ketika 'Aisyah r.a. agak sembuh dari sakit, Beliau keluar bersama Ummu Mistah menuju ke arah Manasi, kawasan tinggi di luar Madinah yang menjadi tempat membuang hajat mereka. Mereka hanya keluar ke tempat itu pada malam hari.

Demikian itu sebelum mereka membuat tandas di rumah-rumah mereka. Kebiasaan mereka seperti kebiasaan kaum Arab dahulu, iaitu buang air jauh dari rumah dan keramaian manusia. Mereka merasa terganggu dengan adanya tandas di rumah mereka.

Maka 'Aisyah r.a. berangkat bersama Ummu Mistah. Dia adalah puteri Abu Rahm ibnul Muttalib ibnu Abdu Manaf. Sedangkan ibunya adalah puteri Sakhr ibnu Amir, makcik Abu Bakar As Siddiq r.a. Dia mempunyai seorang anak lelaki yang bernama Mistah ibnu Asasah ibnu Abbad ibnu Abdul Muttalib.

Ketika 'Aisyah r.a. kembali menuju ke rumahnya bersama Ummu Mistah, tiba-tiba kain tudung Ummu Mistah tersangkut dan berkata, "Celakalah Mistah (anaknya)." 'Aisyah r.a. berkata, "Alangkah buruknya ucapanmu itu, kamu berani mencaci seseorang yang menghadiri Perang Badar."

Ummu Mistah menjawab, "Wahai wanita yang tidak sedar, tidakkah kamu mendengar apa yang telah dikatakannya?" 'Aisyah r.a. bertanya, "Apakah yang telah dikatakan oleh Mistah?" Maka Ummu Mistah menceritakan isu yang disebarkan oleh para penyiar berita bohong itu.

Maka sakit 'Aisyah r.a. bertambah parah. Ketika di rumah, Rasulullah s.a.w. masuk, memberi salam dan mengucapkan, "Bagaimanakah keadaanmu?" 'Aisyah r.a. meminta izin untuk menemui ibu bapanya. Beliau ingin memastikan berita itu dari mereka. Rasulullah s.a.w. mengizinkannya.

Rasulullah s.a.w. mengirimkan 'Aisyah r.a.
bersama seorang hamba sebagai temannya. Ketika 'Aisyah r.a. masuk, Ummu Ruman (ibu 'Aisyah r.a.) berada di tingkat bawah, sedangkan Abu Bakar r.a. berada di tingkat atas sedang membaca Al Qur'an.

'Aisyah r.a. bertanya, “Wahai ibuku, apa yang sedang dibicarakan orang ramai?” Ummu Ruman berkata, "Wahai anakku, tenangkanlah dirimu. Demi Allah, tidak sekali-kali ada seorang wanita yang cantik menjadi isteri seorang lelaki yang sangat mencintainya, sedangkan lelaki itu mempunyai isteri-isteri yang lainnya, melainkan mereka iri terhadapnya dan selalu berkata buruk tentangnya."

'Aisyah r.a. berkata, “Subhanallah, nampaknya orang ramai membicarakannya.” Maka 'Aisyah r.a. bertanya, "Apakah ayahku telah mengetahui kisah ini?" Ummu Ruman menjawab, "Ya." 'Aisyah r.a. bertanya, "Begitu juga Rasulullah?" Ummu Ruman menjawab, "Ya."

Maka air mata 'Aisyah r.a. berkaca-kaca, lalu menangis. Abu Bakar r.a. mendengar suara tangisannya, lalu Beliau turun dan bertanya kepada Ummu Ruman, "Mengapa dia menangis?" Ummu Ruman menjawab, "Dia telah mendengar kisah dirinya yang menjadi buah bibir orang ramai."

'Aisyah r.a. menangis malam itu sampai pagi tanpa tidur. Air mata tidak berhenti mengucur. Pada pagi harinya Beliau menangis lagi.

Rasulullah s.a.w. bertanya kepada Zainab binti Jahsy tentang 'Aisyah r.a., "Wahai Zainab, apakah yang kamu ketahui dan yang kamu lihat?" Zainab menjawab, 'Wahai Rasulullah, aku memelihara pendengaran dan penglihatanku. Demi Allah, aku tidak mengetahui kecuali hanya kebaikan saja."

Padahal Zainablah di antara isteri Rasulullah s.a.w. yang bersaing dengan Aisyah r.a., maka Allah memeliharanya dengan sifat wara'.

Sedangkan saudara perempuannya Hamnah binti Jahsy bersikap bertentangan terhadap 'Aisyah r.a. Maka dia termasuk orang yang binasa di antara para pemikul berita dusta.

Rasulullah s.a.w. memanggil Ali ibnu Abu Talib dan Usamah ibnu Zaid ketika wahyu datang terlambat. Beliau s.a.w. bermusyawarah dengan mereka, adakah perlu menceraikan isterinya. Usamah ibnu Zaid menyerahkan kepada Rasulullah s.a.w., kerana Beliau yang mengetahui kebersihan keluarganya dan yang mengetahui sejauh mana rasa cinta Beliau kepada mereka.

Usamah berkata, “Wahai Rasulullah, keluargamu, kami tidak mengetahui tentangnya selain kebaikan.” Sedangkan Ali berkata, "Wahai Rasulullah, Allah tidak mempersempit dirimu, wanita selain dia ramai. Dan jika engkau tanyakan kepada wanita hamba (milik Aisyah) itu, tentulah dia akan membenarkan berita itu."

Maka Rasulullah s.a.w. memanggil Barirah dan bersabda, “Wahai Barirah, apakah kamu melihat sesuatu yang mencurigakan pada diri Aisyah?" Barirah menjawab, "Demi Tuhan yang mengutusmu dengan kebenaran, aku tidak mempunyai pendapat lain tentangnya yang aku sembunyikan, melainkan dia adalah seorang wanita muda yang masih berusia remaja, dia tertidur lelap melupakan adunan roti suaminya, lalu datanglah seseorang yang lapar dan memakannya."

Salah seorang sahabat Nabi s.a.w. mengherdiknya, "Berkata jujurlah kamu kepada Rasulullah!", hingga Barirah takut kerananya. Maka Barirah berkatalah, "Mahasuci Allah, demi Allah tiadalah yang kuketahui tentangnya melainkan seperti apa yang diketahui oleh seorang tukang kemasan tentang emas batangan merah (yang ada di hadapannya)."

Kisah tersebut sampai kepada lelaki yang dituduh terlibat dalam kejadian itu (Safwan ibnul Mu'atta). Dia berkata, "Mahasuci Allah. Demi Allah, aku tidak pernah membuka kemaluan seorang wanita pun."

Hari itu Rasulullah s.a.w. bangkit untuk menyangkal berita dari Abdullah ibnu Ubay ibnu Salul. Beliau bersabda di atas mimbar, "Wahai kaum muslim! Siapa yang mahu membelaku dari sikap seorang lelaki yang telah menyakiti diriku melalui isteriku? Demi Allah, aku tidak mengetahui perihal isteriku melainkan hanya baik-baik saja. Dan sesungguhnya mereka menyebutkan perihal seorang lelaki yang sepanjang pengetahuanku tiada lain dia adalah orang yang baik-baik saja; dia tidak pernah masuk menemui isteriku, melainkan selalu bersamaku."

Maka Sa'd ibnu Mu'az Al Ansari r.a. berdiri dan berkata, "Wahai Rasulullah, akulah yang membelamu terhadap dia. Jika dia dari kalangan kabilah Aus, kami akan penggal kepalanya. Dan jika dia dari kalangan saudara-saudara kami kabilah Khazraj, engkau perintahkan saja kepada kami, kami pasti melakukan apa yang engkau perintahkan."

Maka berdirilah Sa'd ibnu Ubadah, pemimpin orang-orang Khazraj. Dia adalah seorang yang soleh, tetapi kerana terdorong oleh rasa hamiyyah (fanatik)nya, maka dia berkata kepada Sa'd ibnu Mu'az, "Kamu dusta. Demi Allah kamu tidak akan dapat membunuhnya, dan kamu tidak akan mampu membunuhnya. Seandainya dia berasal dari golonganmu, aku tidak suka dia dibunuh."

Usaid ibnu Hudair (sepupu Sa'd ibnu Mu'az) berdiri, lalu berkata kepada Sa'd ibnu Ubadah, "Kamu dusta. Demi Allah, kami benar-benar akan membunuhnya, sesungguhnya kamu orang munafik yang membela orang munafik."

Kedua golongan besar Madinah itu, iaitu kabilah Aus dan kabilah Khazraj perang mulut, sehingga mereka hampir berperang fizikal, sedangkan Rasulullah s.a.w. berdiri di atas mimbarnya sambil terus-menerus melerai kedua golongan itu, hingga akhirnya mereka diam dan Rasulullah s.a.w. juga diam.

Pada hari itu sepenuhnya 'Aisyah r.a. menangis tanpa henti dan tanpa tidur, sehingga kedua orang tuanya yang sedang duduk dekatnya menyangka bahawa tangisannya akan menyebabkan hatinya pecah.

Tiba-tiba masuklah Rasulullah s.a.w. menemui mereka, lalu bersalam dan duduk. Sejak tersiarnya berita bohong itu Rasulullah s.a.w. tidak pernah duduk dekat 'Aisyah r.a., dan sudah selama sebulan wahyu tidak datang kepada Beliau tentang diri 'Aisyah r.a.

Rasulullah s.a.w. bersyahadat dan bersabda, "Amma ba'du. Wahai 'Aisyah, telah sampai kepadaku berita tentang kamu begini dan begitu. Jika kamu tidak bersalah, maka Allah akan membersihkan dirimu. Dan jika kamu merasa berbuat dosa, maka mohonlah ampun kepada Allah dan bertaubatlah kepadaNya. Kerana seorang hamba apabila mengakui dosanya dan bertaubat, maka Allah akan menerima taubatnya."

Berhentilah air mata 'Aisyah r.a. Beliau berkata kepada bapanya, "Jawablah Rasulullah sebagai ganti dariku." Bapanya berkata, "Demi Allah, aku tidak mengetahui apa yang harus kukatakan kepada Rasulullah." Beliau berkata kepada ibunya, "Jawablah Rasulullah sabagai ganti dariku." Ibunya menjawab, "Demi Allah, aku tidak mengetahui apa yang harus saya katakan kepada Rasulullah."

'Aisyah r.a. berkata, "Aku adalah seorang wanita yang berusia masih terlalu muda, dan masih banyak bahagian Al Qur'an yang belum kuhafal. Demi Allah, aku merasa yakin bahawa kalian telah mendengar berita tersebut, sehingga mempengaruhi diri kalian dan kalian mempercayainya. Jika aku katakan kepada kalian bahawa sesungguhnya diriku bersih dari berita bohong itu, dan Allah mengetahui bahawa diriku bersih, tentulah kalian tidak mempercayaiku. Dan seandainya aku mengakui sesuatu hal yang Allah mengetahui bahawa diriku bersih dari perbuatan tersebut, tentulah kalian akan mempercayainya. Demi Allah, aku tidak menemukan perumpamaan bagi diriku dan kalian kecuali perkataan bapa Yusuf iaitu, "Maka bersabarlah aku dengan sebaik-baiknya. Dan Allah jualah yang dimohon pertolonganNya terhadap apa yang kalian katakan itu.""

Kemudian 'Aisyah r.a. berbaring di atas peraduannya sambil memalingkan tubuhnya. Saat itu Beliau merasa yakin bahawa dirinya bersih dan Allah pasti akan membersihkan dirinya dari berita bohong itu.

Akan tetapi, 'Aisyah r.a. tidak berharap bahawa akan ada wahyu yang diturunkan mengenai dirinya, kerana Beliau merasa dirinya terlalu rendah untuk disebutkan oleh Allah s.w.t. dalam wahyu yang dibaca. Tetapi Beliau berharap Allah akan membersihkan dirinya dalam mimpi Rasulullah s.a.w.

Rasulullah s.a.w. masih belum meninggalkan tempat duduknya dan tiada seorang pun dari ahlul bait yang keluar dari rumahnya, hingga turunlah wahyu kepada Beliau. Maka Beliau s.a.w. kelihatan keberatan, payah, hingga tubuhnya mengucurkan peluh seperti mutiara, padahal waktu itu musim dingin, kerana beratnya wahyu yang sedang diturunkan kepada Beliau s.a.w.

Setelah wahyu selesai diturunkan, Rasulullah s.a.w. tersenyum. Kalimat yang mula-mula diucapkannya ialah, "Bergembiralah wahai Aisyah, sesungguhnya Allah telah membersihkan dirimu."

Ibu 'Aisyah r.a. berkata kepadanya, "Mendekatlah kamu kepadanya."  'Aisyah r.a. menjawab, "Demi Allah, aku tidak mahu mendekatiya dan aku tidak mahu memuji kecuali hanya kepada Allah s.w.t. yang telah menurunkan pembersihan diriku."

Peristiwa tersebut membuat Allah s.w.t. cemburu (murka) demi 'Aisyah r.a. dan NabiNya s.a.w. Maka Allah s.w.t. menurunkan wahyu yang membersihkan kehormatan Siti Aisyah demi memelihara kehormatan Rasulullah s.a.w.

Allah s.w.t. menurunkan firmanNya,

"11. Sesungguhnya orang-orang yang datang dengan berita bohong golongan di antara kalian." 

Sesungguhnya orang-orang yang membawa kedustaan, kebohongan dan berita rekaan itu adalah dari golongan kalian juga, golongan yang menisbatkan diri kepada kalian. Mereka sejumlah orang dari kalangan kalian sendiri; bukan satu atau dua orang, tetapi segolongan orang.

Di antara mereka ada yang mukmin namun tertipu oleh buaian kaum munafik. Di antara mereka juga ada orang-orang munafik. Berita bohong ini tertuju kepada isteri Rasulullah s.a.w. 'Aisyah r.a. Ummul Mu'minin, setelah perang dengan Bani Mushtaliq bulan Sya'ban 5 H.

"Kalian jangan mengiranya buruk bagi kalian, tetapi ia lebih baik bagi kalian." 

Janganlah kalian menyangka berita bohong itu buruk bagi kalian (wahai keluarga Abu Bakar). Sebenarnya berita bohong itu mengandung kebaikan bagi kalian di dunia dan akhirat. Di dunia ia membuktikan kejujuran lisan kalian. Di akhirat kalian akan memperoleh kedudukan yang tinggi.

Peristiwa itu menonjolkan kehormatan mereka kerana Aisyah r.a. mendapat perhatian dari Allah s.w.t. saat Allah menurunkan wahyu yang membersihkan dirinya di dalam Al Qur'an yang mulia, disebut tinggi namanya, sampai pujian itu mengena juga kepada semua ummahatul mukminin (isteri-isteri Nabi s.a.w. yang lain).

Di dalamnya juga terdapat penjelasan terhadap ayat-ayat yang diperlukan manusia, dan sentiasa diberlakukan sampai hari kiamat. Semuanya terdapat kebaikan yang besar, kalau tidak ada peristiwa itu, tentu tidak ada beberapa kebaikan ini.

"Tiap-tiap seorang dari mereka apa yang dia kerjakan dari dosa." 

Setiap orang dari mereka yang membawa kebohongan akan mendapat balasan dari dosa yang dikerjakannya. Mereka akan disiksa sesuai ucapannya.

Bagi setiap orang di antara mereka yang membicarakan peristiwa itu dan menuduh Ummul Mu’minin Siti Aisyah r.a. berbuat keji (zina) akan mendapat bahagian dari azabnya yang besar. Nabi s.a.w. pun menegakkan had terhadap mereka.

"Dan yang mengambil bahagian terbesarnya di antara mereka, baginya azab yang besar." 

Orang yang mengambil bahagian yang terbesar dari dosa yang dilakukannya dalam penyiaran berita bohong adalah orang yang pertama mencetuskan, membicarakan, menghimpun, menambah-nambah dan yang menyebarkan berita bohong.

Orang yang mengambil bahagian terbesar dalam kebohongan tentang 'Aisyah r.a. adalah Abdullah ibnu Ubay ibnu Salul, tokoh munafik. Maka orang-orang sepertinya akan mendapat azab yang besar sebagai pembalasan dari perbuatannya itu.

Abu Ayub Khalid ibnu Zaid Al Ansari ditanya oleh isterinya (Ummu Ayub), "Wahai Abu Ayub, tidakkah engkau mendengar apa yang dikatakan oleh orang ramai tentang Aisyah" Abu Ayub menjawab, "Ya, berita tersebut adalah dusta. Adakah engkau berani melakukan hal tersebut, wahai Ummu Ayub?" Ummu Ayub menjawab, "Tidak, demi Allah, aku benar-benar tidak akan melakukan hal tersebut." Maka Abu Ayub menjawab, "Aisyah, demi Allah, lebih baik daripada kamu."

Allah s.w.t. berfirman,

"12. Mengapa tidak ketika kalian mendengarnya menyangka orang-orang mukmin lelaki dan orang-orang mukmin perempuan terhadap diri mereka baik," 

Mengapa ketika orang-orang mukmin dan mukminat mendengar berita buruk itu, mereka tidak bersangka baik terhadap diri mereka sendiri? Sepatutnya mereka bersangka baik terhadap orang yang dituduhkan itu seperti yang dikatakan oleh Abu Ayub dan isterinya. Menurut pendapat yang lain, orang yang bersangka baik itu hanyalah Ubay ibnu Ka'b.

Terlebih lagi Ummul Mu’minin adalah orang yang ahli kebaikan dan lebih utama sebagai ahli kebaikan. Hal ini berkaitan dengan hati, iaitu batin orang berkenaan. Keimanan dalam diri mereka akan menolak berita dusta.

Disebut “terhadap diri mereka” kerana celaan yang ditujukan kepada orang mukmin yang lain sama saja mencela diri sendiri. Kaum mukmin seperti sebuah jasad, seperti sebuah bangunan, satu sama lain saling menguatkan.

Jika seseorang tidak bersikap seperti ini, maka yang demikian menunjukkan imannya lemah dan tidak memiliki sikap nasihah (tulus) terhadap kaum muslimin.

"dan mereka berkata, "Ini berita bohong yang nyata."" 

Sepatutnya ketika kalian mendengar berita bohong, lisan kalian berkata, "Ini adalah suatu berita dusta dan bohong belaka.” Tuduhan buruk yang mereka lontarkan terhadap 'Aisyah r.a. hanyalah bohong dan rekaan belaka, tuduhan keji dan transaksi yang merugikan pelakunya.

Sesungguhnya kejadian yang sebenarnya sama sekali tidak mengandungi hal yang mencurigakan, sebab 'Aisyah r.a. datang dengan mengenderai unta Safwan ibnul Mu'attal di waktu tengah hari, sedangkan semua pasukan menyaksikan kedatangan tersebut dan Rasulullah s.a.w. ada di antara mereka.

Seandainya hal tersebut mengandung kecurigaan, tentulah kedatangan tersebut tidak dilakukan secara terang-terangan. Tentu mereka dengan sembunyi-sembunyi agar tidak diketahui oleh orang lain.

"13. Mengapa tidak mereka mendatangkan atasnya empat saksi-saksi?"

Sepatutnya mereka yang menuduh itu membawa empat orang saksi yang adil lagi diridhai untuk membuktikan dan mempersaksikan kebenaran atas berita bohong yang mereka tuduhkan itu.

"Maka jika tidak mereka datang dengan saksi-saksi, maka mereka itu di sisi Allah mereka adalah orang-orang yang berdusta." 

Oleh kerana mereka tidak membawa saksi-saksi, maka mereka dalam pandangan Allah orang-orang yang berdusta lagi derhaka, walaupun mereka yakin bahawa diri mereka benar, namun di sisi Allah mereka berdusta. Hal ini kerana besarnya kehormatan seorang muslim. Tidak boleh asal menuduhnya tanpa ukuran persaksian yang dianggap benar, iaitu empat orang saksi.

"14. Dan kalau tidak kurnia Allah atas kalian dan RahmatNya di dunia dan akhirat, nescaya menimpa kalian di dalam apa yang kalian bicarakan padanya azab yang besar." 

Seandainya bukan kerana kurnia Allah dan rahmatNya kepada kalian semua di dunia dan di akhirat, tentu kalian ditimpa azab yang besar. Kalian berhak menerimanya kerana pembicaraan kalian tentang berita bohong itu.

Akan tetapi, Dia mensyariatkan kepada kalian taubat dan menjadikan hukuman sebagai penebus dosa. Taubat kalian dan permohonan ampun kalian kepadaNya diterima di dunia ini dan Dia memaaf kalian berkat iman kalian bila kalian telah berada di kampung akhirat nanti.

Hal ini berkenaan dengan orang yang memiliki iman. Berkat keimanannya itu Allah menerima taubatnya, seperti Mistah ibnu Asasah, Hassan ibnu Sabit, dan Hamnah binti Jahsy (saudara perempuan Zainab binti Jahsy).

Adapun orang-orang yang berkata buruk dari kalangan orang-orang munafik, seperti Abdullah ibnu Ubay ibnu Salul dan teman-temannya; maka mereka bukanlah termasuk orang-orang yang dimaksudkan dalam ayat ini kerana mereka tidak memiliki iman, amal soleh dan sesuatu yang dapat mengimbangi dan menghapus kesalahan mereka.

"15. Ketika kalian menerimanya dengan lisan kalian" 

Ingatlah, ketika kalian menerima berita bohong itu dari mulut ke mulut. Kalian membicarakan sesuatu yang batil. Sebahagian kalian membicarakannya dari sebahagian yang lain, seseorang mengatakan bahawa berita itu dia terima dari si Fulan, kemudian si pendengar menceritakannya lagi kepada orang lain hingga seterusnya, sampai berita itu menyebar.

"dan kalian mengatakan dengan mulut-mulut kalian apa yang tidak bagi kalian dengannya ilmu," 

Kalian berbicara tanpa ilmu. Kalian mengatakan apa yang tidak kalian ketahui sedikit pun. Membicarakan sesuatu yang batil dan berbicara tanpa ilmu, keduanya adalah perkara haram

"dan kalian mengiranya ringan. Dan itu di sisi Allah besar." 

Kalian menganggap perbuatan menyebarkan berita bohong, umpatan dan fitnah itu suatu yang remeh, ringan, tidak bererti dan tidak ada dosa di sana. Padahal pada pandangan Allah ia sebenarnya adalah soal besar.

Seandainya yang dijadikan bahan umpatan atau fitnah kalian itu bukan isteri Nabi s.a.w., maka hal tersebut tetap bukanlah merupakan hal yang ringan, terlebih lagi subjeknya adalah isteri Nabi.

Maka alangkah besar dosanya di sisi Allah bila ada sesuatu hal yang menyangkut diri isteri Nabi dan RasulNya dijadikan bahan fitnah dan umpatan. Sesungguhnya Allah s.w.t. cemburu dengan terjadinya hal tersebut, sangat jauh dari kemungkinan bila ada isteri seorang nabi yang melakukan hal tersebut.

Apabila disebutkan suatu hal yang tidak patut tentang diri orang-orang baik, maka tindakan yang paling baik ialah bersangka baik. Janganlah ada perasaan lain dalam diri kalian. Jika dalam diri kalian terpaut sesuatu kecurigaan, janganlah kalian membicarakannya. Simpanlah ia di dalam hati saja.

Rasulullah s.a.w. bersabda, "Sesungguhnya Allah s.w.t. memaaf umatku terhadap apa yang dibisikkan oleh hatinya, selagi dia tidak membicarakannya atau mengerjakannya."

"16. Dan mengapa tidak ketika kalian mendengarnya kalian katakan, "Tidak ada bagi kami untuk kami membicarakan dengan ini.""

Sepatutnya ketika kalian mendengar berita bohong itu, kalian berkata, "Tidak sepatutnya kita bercakap tentang hal ini dan tidak sepatutnya kita menceritakannya kepada orang lain."

"Mahasuci Engkau, ini dusta yang besar.""

Kalimat tasbih disunahkan diucapkan ketika kehairanan (takjub). Mahasuci Engkau Ya Allah Tuhan kami dari semua keburukan dan dari memberikan bala’ kepada hamba-hamba pilihanNya dengan menjadikan mereka mengerjakan perkara-perkara keji. Mahasuci Allah bila dikatakan hal ini terhadap isteri RasulNya yang paling dicintainya. Ini adalah kebohongan yang besar.

"17. Allah menasihati kalian agar kalian kembali seperti itu selamanya," 

Allah s.w.t. memperingatkan, melarang dan mengancam kalian agar tidak menuduh orang mukmin berbuat keji lagi di masa mendatang dan untuk selama-lamanya. Sebaik-baik nasihat adalah nasihat Allah, oleh kerana itu kita wajib menerima, tunduk dan bersyukur kepadaNya.

"jika kalian orang-orang yang beriman." 

Jika kalian benar-benar beriman kepada Allah dan syariatNya serta memuliakan RasulNya. Iman yang benar akan menghalangi pemiliknya dari mengerjakan perbuatan haram. Adapun mengenai orang yang dicap sebagai orang kafir, maka ada ketentuan hukum lain terhadapnya.

"18. Allah menjelaskan bagi kalian ayat-ayat." 

Allah menerangkan kepada kalian ayat-ayatNya yang mengandungi hukum-hukum syariat, hikmah-hikmah yang terkandung di dalam takdir, nasihat, larangan, targhib, tarhib dan sebagainya.

"Dan Allah Maha Mengetahui Maha Bijaksana." 

Allah Maha Mengetahui segala sesuatu yang bermaslahat bagi hamba-hambaNya. Dia Maha Mengetahui tentang apa yang perlu diperintahkan dan dilarang kepada kalian. Dia Mahabijaksana dalam menetapkan syariat dan takdirNya. Dia Mahabijaksana dalam perintah dan larangan itu.

Dia menerangkan hikmah dari perintah dengan menerangkan kebaikan yang ada di dalamnya, dan menerangkan hikmah dari larangan itu dengan menerangkan keburukan yang menghendaki untuk ditinggalkan.

Rabu, 22 Julai 2020

21:78-82 Tafsir Surah Al Anbiya, ayat 78-82.

وَدَاوُدَ وَسُلَيْمَانَ إِذْ يَحْكُمَانِ فِي الْحَرْثِ إِذْ نَفَشَتْ فِيهِ غَنَمُ الْقَوْمِ وَكُنَّا لِحُكْمِهِمْ شَاهِدِينَ (٧٨) فَفَهَّمْنَاهَا سُلَيْمَانَ وَكُلا آتَيْنَا حُكْمًا وَعِلْمًا وَسَخَّرْنَا مَعَ دَاوُدَ الْجِبَالَ يُسَبِّحْنَ وَالطَّيْرَ وَكُنَّا فَاعِلِينَ (٧٩) وَعَلَّمْنَاهُ صَنْعَةَ لَبُوسٍ لَكُمْ لِتُحْصِنَكُمْ مِنْ بَأْسِكُمْ فَهَلْ أَنْتُمْ شَاكِرُونَ (٨٠) وَلِسُلَيْمَانَ الرِّيحَ عَاصِفَةً تَجْرِي بِأَمْرِهِ إِلَى الأرْضِ الَّتِي بَارَكْنَا فِيهَا وَكُنَّا بِكُلِّ شَيْءٍ عَالِمِينَ (٨١) وَمِنَ الشَّيَاطِينِ مَنْ يَغُوصُونَ لَهُ وَيَعْمَلُونَ عَمَلا دُونَ ذَلِكَ وَكُنَّا لَهُمْ حَافِظِينَ (٨٢) 

Allah s.w.t. berfirman,

"78. Dan Daud, dan Sulaiman, ketika keduanya memutuskan dalam ladang, ketika merosak di dalamnya kambing kaum. Dan Kami pada keputusan mereka menyaksikan." 

Ingatlah kisah Daud a.s. dan Sulaiman a.s. Sebutkanlah peristiwa ketika tanaman seseorang telah dirosakkan oleh ternakan kambing seseorang yang lain. Tanaman tersebut adalah buah anggur yang buah-buahnya telah telah masak dan menjuntai ke bawah. Ada yang mengatakan bahawa tanaman itu adalah kurma. An nafsy ertinya dimakan oleh ternak gembalaan atau kerosakan yang dilakukan di malam hari. Kerosakan yang dilakukan di siang hari disebut al haml.

Semua daun dan buahnya dirosakkan dan dimakan oleh ternakan kambing itu. Maka pemilik kebun datang menghadap kepada Daud a.s. untuk mengadukan perkaranya. Daud a.s. memutuskan agar ternakan kambing itu diserahkan kepada pemilik kebun sebagai gantinya.

Maka para penggembala keluar dari majlis hakim bersama anjing-anjing penjaga ternakan kambing mereka. Lalu Sulaiman a.s. bertanya kepada mereka, "Apakah yang telah diputuskan di antara kalian?" Para penggembala menceritakan kepada Sulaiman a.s. apa yang telah diputuskan oleh Daud a.s.

Lalu Sulaiman a.s. berkata, "Seandainya aku diserahi tugas untuk memutuskan perkara kalian, tentulah aku akan memutuskan peradilan bukan dengan cara seperti itu." Maka perkataan Sulaiman a.s. itu sampai kepada Daud a.s., lalu Daud a.s. memanggilnya dan berkata kepadanya, "Bagaimanakah menurutmu keputusan di antara mereka?"

Sulaiman a.s. berkata, "Hendaknya ternakan kambing itu diserahkan kepada pemilik tanaman. Maka pemilik tanaman beroleh anak ternakan kambing itu, air susunya, bulunya dan manfaat lainnya. Hendaknya kebun itu diserahkan kepada pemilik ternakan kambing agar dia menanam benih tanaman yang sejenis dan mengurusnya sampai tanaman itu kembali berbuah seperti sediakala. Maka kebun diserahkan kembali kepada pemiliknya dan ternakan kambing diserahkan kembali kepada pemiliknya."

"79. Maka Kami memberi pengertian tentangnya Sulaiman," 

Allah s.w.t. telah memberikan pemahaman kepada Sulaiman a.s. tentang hukum yang lebih tepat. Keputusan Sulaiman a.s. itu adalah keputusan yang tepat. Namun kalimat ayat ini tidaklah menunjukkan bahawa Daud a.s. tidak diberikan kefahaman pada selain masalah ini. Hakim adakalanya benar dan adakalanya salah, dan dia tidaklah tercela apabila salah setelah mengeluarkan kesungguhannya dalam berijtihad.

Sesungguhnya para hakim diambil sumpahnya atas tiga perkara, iaitu hendaknya mereka tidak menjual keputusannya dengan harga yang sedikit (tidak boleh ditukar dengan harta duniawi), tidak boleh memperturutkan hawa nafsunya dalam memberikan keputusan hukum, dan janganlah merasa takut terhadap seseorang pun demi kebenaran dalam memutuskan hukum.

Allah s.w.t. memuji Sulaiman a.s., tetapi Allah s.w.t. tidak mencela Daud a.s. Para nabi itu adalah orang-orang yang dima'sum lagi mendapat bantuan dari Allah s.w.t. Adapun mengenai selain para nabi, Rasulullah s.a.w. bersabda, "Apabila seorang hakim berijtihad, lalu benar, maka ia memperoleh dua pahala. Dan apabila ia berijtihad, lalu keliru, maka baginya satu pahala."

Kadi itu ada tiga jenis, seorang di antaranya masuk syurga, sedangkan dua orang lainnya masuk neraka. Iaitu seorang lelaki yang mengetahui perkara yang hak, lalu ia memutuskan peradilan sesuai dengan kebenaran itu, maka dia masuk syurga. Dan seorang lelaki yang memutuskan hukum di antara manusia tanpa pengetahuan, maka ia masuk neraka. Dan seorang lelaki yang mengetahui perkara yang benar, tetapi ia memutuskan peradilan yang bertentangan dengan kebenaran itu, maka ia dimasukkan ke dalam neraka.

"dan masing-masing Kami telah memberikan hikmah dan ilmu" 

Hikmah ialah kenabian dan ilmu adalah pengetahuan tentang masalah-masalah agama.

"dan Kami telah menundukkan bersama Daud gunung-gunung, mereka bertasbih, dan burung-burung,"

Daud a.s. adalah di antara manusia yang paling banyak beribadah kepada Allah, zikir, tasbih dan tahmidnya. Allah s.w.t. memberikan suara yang merdu kepadanya. Apabila Daud a.s. bertasbih, bertahmid dan melagukan bacaan kitab Zaburnya, maka burung-burung yang ada di udara berhenti dan menjawabnya, gunung-gunung juga menjawab bacaannya dan mengikutinya.

"dan Kami berbuat." 

Hal ini merupakan kurnia Allah dan ihsanNya kepada Daud a.s. Allah s.w.t. yang menundukkan gunung-gunung dan burung-burung untuk bertasbih bersama Daud a.s. walaupun menurut kalian sebagai sesuatu yang aneh.

"80. Dan Kami telah mengajarkannya membuat baju besi untuk kalian, untuk melindungi kalian dari peperangan kalian." 

Allah s.w.t. ajarkan kepada Daud a.s. cara meleburkan, melembutkan besi dan membuat baju besi sebagai perisai diri semasa berperang. Sebelum itu baju perisai hanyalah lempengan atau kepingan. Beliau adalah orang pertama yang membuat baju besi dalam bentuk anyaman yang dianyam dalam bentuk bulatan yang kecil-kecil. Beliau kemudian mengajarkannya dan ilmu ini diajarkan turun temurun.

"Maka apakah kalian orang-orang yang bersyukur?" 

Bersyukurlah atas nikmat-nikmat Allah yang telah dilimpahkan kepada kalian melalui hambaNya Daud a.s. yang telah diajarkanNya cara membuat baju besi untuk kalian. Hendaklah kalian bersyukur kepada Allah dengan membenarkan atau beriman kepada rasulKu.

"81. Dan untuk Sulaiman angin kencang berhembus dengan perintahnya ke bumi yang Kami berkahi di dalamnya." 

Allah s.w.t. memerintahkan kepada angin yang sangat kencang tiupannya untuk tunduk kepada Sulaiman a.s. Beliau mempunyai hamparan yang dibuat dari kayu. Di atas hamparan itu diletakkan semua yang diperlukan oleh Sulaiman a.s. dalam urusan kerajaannya, seperti kuda-kuda dan unta-unta kendaraan serta khemah-khemah dan bala tenteranya.

Ada enam ratus ribu kursi yang diletakkan di atas hamparan Sulaiman a.s., maka duduklah di sekitarnya orang-orang mukmin dari kalangan manusia, kemudian di belakang mereka duduklah kaum jin yang beriman.

Kemudian Sulaiman a.s. memerintahkan kepada angin kencang untuk mengangkat hamparannya dan diletakkan di atas angin itu. Maka angin kencang berkumpul seperti gumpalan raksasa yang kelihatan bagaikan sebuah gunung, memasuki bahagian bawah hamparan itu dan berhembus dengan baik.

Kemudian Beliau memanggil kuda sembraninya (kuda bersayapnya), maka ia menaikinya dan kuda membawanya naik sampai ke tempat yang paling tinggi dari hamparannya. Sesudah itu Sulaiman a.s. memerintahkan kepada angin untuk membawa mereka terbang  terbang tinggi di atas semua dataran tinggi, tetapi masih di bawah langit dan ke arah mana saja yang dikehendakinya.

Sulaiman a.s. memerintahkan kepada burung-burung agar menaungi mereka. Maka burung-burung terbang menaunginya dari panasnya sinar matahari seiring dengan hamparan Sulaiman a.s. terbang menuju ke tempat yang dikehendakinya.

Apabila Sulaiman a.s. mengadakan perjalanan dari pagi sampai tengah hari, maka jarak yang ditempuhnya sama dengan jarak perjalanan unta yang cepat dalam sebulan. Begitu juga apabila ia mengadakan perjalanan dari tengah hari sampai petang, maka kecepatannya sama dengan perjalanan sebulan.

Sulaiman a.s. hanya menundukkan kepalanya, tidak berani menoleh ke arah kanan atau kirinya kerana mengagungkan Allah dan sebagai rasa syukur kepadaNya; ia mengetahui bahawa dirinya sangatlah kecil di dalam kerajaan Allah s.w.t. Kerana rasa rendah dirinya itu, angin menaatinya dan tunduk kepadanya; ia berhenti bila diperintahkan berhenti di tempat yang disukai Sulaiman a.s.

Bila telah sampai di tempat tujuan, maka turunlah Sulaiman a.s., semua peralatan dan juga orang-orangnya. Negeri yang telah Allah s.w.t. berkati adalah negeri Syam. Di sanalah Sulaiman a.s. menetap.

"Dan Kami dengan segala sesuatu Maha Mengetahui." 

Di antaranya adalah, Allah s.w.t. mengetahui bahawa pemberiannya kepada Sulaiman a.s. membuatnya semakin tunduk kepada Allah, maka Allah melakukannya menurut ilmuNya.

"82. Dan dari syaitan-syaitan ada yang menyelam untuknya" 

Termasuk keistimewaan Sulaiman a.s., Allah s.w.t. telah tundukkan kepada Sulaiman a.s. syaitan-syaitan dan jin-jin ifrit serta memberikan kekuasaan kepadanya terhadap mereka. Mereka bekerja untuk Beliau. Sebahagiannya menyelam ke dalam laut untuk mengambil mutiara-mutiara dan berbagai macam perhiasan lainnya untuknya.

"dan mengerjakan pekerjaan selain itu;" 

Sebahagian dari mereka diperintahkan membina bangunan-bangunan tinggi, patung-patung, piring-piring yang besarnya seperti kolam dan periuk yang tetap berada di atas tungku. Di antara mereka ada yang ditugaskan membangun Baitulmaqdis.

"dan Kami kepada mereka memelihara." 

Allah s.w.t. menjaga mereka dengan kekuatanNya, keperkasaanNya dan kekuasaanNya sehingga mereka tidak mampu menolak dan melanggar perintah Sulaiman a.s. Semua syaitan berada dalam genggaman kekuasaanNya dan tunduk di bawah keperkasaan Allah. Mereka tidak mampu menimpakan keburukan atau berbuat jahat terhadap Sulaiman a.s.

Tiada sesiapa pun dari mereka yang berani mendekati Sulaiman a.s., bahkan Sulaiman a.s. berkuasa penuh atas mereka. Sulaiman a.s. boleh menahan mereka dengan mengikat mereka dalam belenggu atau melepaskan siapa pun dari mereka yang dikehendakinya.

Ada yang berpendapat, bahawa Allah menjaga mereka daripada merosakkan pekerjaan yang telah mereka selesaikan, kerana biasanya mereka setelah mengerjakan sesuatu merosakkan kembali sebelum malam tiba jika tidak diberikan kesibukan yang lain.

Allah s.w.t. menetapkan wafatnya Sulaiman a.s., sedangkan ketika itu Beliau berpegangan dengan tongkatnya. Mereka masih tetap bekerja untuk Sulaiman a.s. selama setahun, kerana ketidaktahuan mereka bahawa Sulaiman a.s. telah wafat.

Syaitan-syaitan yang melintasi Beliau menyangka bahawa Beliau masih hidup kerana masih bersandar di atas tongkat. Tidak ada yang menunjukkan kepada mereka kematiannya itu kecuali rayap (anai-anai) yang memakan tongkatnya.

Setelah Beliau telah tersungkur. Ketika itu tahulah jin bahawa kalau sekiranya mereka mengetahui yang ghaib tentulah mereka tidak akan tetap dalam siksa yang menghinakan.

Sebelumnya para syaitan menipu manusia, bahawa mereka mengetahui yang ghaib, maka Allah s.w.t. tunjukkan ketidaktahuan mereka terhadap yang ghaib. Sekiranya mereka mengetahui yang ghaib tentulah mereka akan berhenti bekerja.

Ahad, 12 Julai 2020

1:0 Tafsir Surah Al Fatihah.


Menurut jumhur ulama bahawa isti’adzah dilakukan sebelum membaca Al Qur’an untuk mengusir godaan syaitan.

Allah s.w.t. berfirman, "Maka apabila engkau hendak membaca Al Quran, mohonlah perlindungan kepada Allah dari syaitan yang terkutuk. Sungguh, syaitan itu tidak akan berpengaruh terhadap orang yang beriman dan bertawakkal kepada Tuhannya. Pengaruhnya hanyalah terhadap orang yang menjadikannya pemimpin dan terhadap orang yang mempersekutukannya dengan Allah."
(An Nahl 16:98-100)

Ertinya jika kalian bermaksud membaca.

“Jika kamu hendak mendirikan solat, maka basuhlah wajah dan kedua tanganmu…….”)
(Al Maidah: 6)

Ertinya jika kalian bermaksud mendirikan solat.

Imam Ahmad meriwayatkan dari Abu Sa’id al-Khudri, katanya, jika Rasulullah s.a.w. hendak mendirikan solat malam, maka beliau membuka solatnya dan bertakbir seraya mengucapkan: "subhanakallahumma wa bihamdika, wa tabarakasmuka wa ta‘ala jadduka, wala ilaha ghairuka."

(“Mahasuci Engkau, ya Allah, dan segala puji bagiMu. Mahaagung namaMu dan Mahatinggi kemuliaanMu. Tidak ada ilah yang hak melainkan Engkau.”)

Kemudian beliau mengucapkan: "La ilaha illallah."

(“Tidak ada ilah yang hak selain Allah”) sebanyak tiga kali.

Setelah itu beliau mengucapkan: "A-‘uudzu billahis sami’il ‘alimi minasy syaithanir rajim, min hamzihi wa naf-khihi wa naftsihi."

(Aku berlindung kepada Allah yang Mahamendengar lagi Mahamengetahui dari syaitan yang terkutuk, dari godaan, tiupan dan hembusannya.”)

Hadis ini diriwayatkan juga oleh empat penyusun kitab as-Sunan dari riwayat Ja’far bin Sulaiman, dari ‘Ali bin ‘Ali ar-Rifa’i. At-Tirmidzi mengatakan bahawa hadis ini merupakan hadis yang paling masyhur dalam masalah ini. Dan kata al Hamz ditafsirkan sebagai cekikan (sampai mati), an Naf-kh sebagai kesombongan, dan an Nafts sebagai Sya’ir.

Al-Bukhari meriwayatkan dari Sulaiman bin Shurad ia berkata: “Ada dua orang yang saling mencela di hadapan Rasulullah s.a.w. sedang kami duduk di hadapan beliau.

Salah seorang dari keduanya mencela lainnya dalam keadaan marah dengan wajah yang merah padam.

Maka Rasulullah bersabda: “Sesungguhnya aku akan mengajarkan suatu kalimat yang jika ia mengucapkannya, nescaya akan hilang semua yang dirasakannya itu. Jika ia mengucapkan: a-‘udzu billahi minasy syaitanir rajiim.”

Kemudian para shahabat berkata kepada orang itu: “Tidakkah engkau mendengar apa yang disabdakan oleh Rasulullah s.a.w.?”

Orang itu menjawab: “Sesungguhnya aku bukanlah orang yang tidak waras.”

Hadis tersebut diriwayatkan oleh Imam Muslim, Abu Dawud, dan an Nasa-i, melalui beberapa jalur sanad dari al A’masy.

Jumhur ulama berpendapat bahawa isti’adzah itu sunnah hukumnya dan bukan suatu kewajiban sehingga berdosa bagi orang yang meninggalkannya. Diriwayatkan dari Imam Malik, bahwasannya ia tidak membaca ta’awudz dalam mengerjakan solat wajib.

Dalam kitab al Imla’, Imam asy Syafi’I mengatakan: "Dianjurkan membaca ta’awudz dengan jahr, tetapi jika membaca dengan sirri juga tidak apa-apa. Sedangkan dalam kitab al Umm, beliau mengatakan, diberikan pilihan, boleh membaca ta’awudz, boleh juga tidak. Dan jika orang yang memohon perlindungan itu membaca: "A‘uudzu billahi minasy syaitanir rajiim", maka cukuplah baginya.

Menurut Abu Hanifah dan Muhammad, ta’awudz itu dibaca dalam solat untuk membaca al-Qur’an. Sedangkan Abu Yusuf berpendapat, bahawa ta’awudz itu justeru dibaca untuk solat.

Berdasarkan hal ini, maka seorang makmum hendaklah membaca ta’awudz dalam solat ‘Ied. Dan menurut jumhur ulama, ta’awudz itu dibaca setelah takbir sebelum membaca al Fatihah atau surah al Qur’an.

Di antara manfaat ta’awudz adalah untuk mensucikan dan mengharumkan mulut dari kata-kata yang tidak mengandungi faedah dan buruk.

Ta’awudz ini digunakan untuk membaca firman-firman Allah. Ertinya memohon pertolongan kepada Allah sekaligus memberikan pengakuan atas kekuasaanNya, kelemahan dirinya sebagai hamba, dan ketidakberdayaannya dalam melawan musuh yang sesungguhnya (syaitan), yang bersifat bathiniyah, yang tak seorangpun mampu menolak dan mengusirnya kecuali Allah yang telah menciptakannya.

Allah s.w.t berfirman, “Sesungguhnya hamba-hambaKu, kamu tidak dapat berkuasa atas mereka. Dan cukuplah Rabbmu sebagai penjaga.”
(Al Isra’ 17:65)

Dan para malaikat telah turun untuk memerangi musuh dari kalangan manusia.

Barangsiapa dibunuh oleh musuh yang bersifat lahiriyah yang berasal dari kalangan manusia, maka ia meninggal syahid.

Barangsiapa dibunuh oleh musuh yang bersifat bathiniyah, maka mati sebagai tharid (terusir).

Dan barangsiapa dikalahkan oleh musuh manusia biasa, maka ia mendapatkan pahala, dan barangsiapa dikalahkan oleh musuh batini (syaitan) maka ia tertipu atau menanggung dosa.

Kerana syaitan dapat melihat manusia dan manusia tidak dapat melihatnya, maka ia memohon perlindungan kepada Allah yang melihat syaitan sedangkan syaitan tidak melihatNya.

Isti-‘adzah bererti permohonan perlindungan kepada Allah dari kejahatan setiap yang jahat.

Al ‘ayaadzah (permohonan pertolongan) dalam usaha menolak kejahatan.

Sedangkan Allayaadzu (permohonan pertolongan) dalam upaya memperoleh kebaikan.

"A‘udzu billahi minasy syaitanir rajim" bermaksud, "Aku memohon perlindungan kepada Allah dari syaitan yang terkutuk" agar ia tidak membahayakan diriku dalam urusan agama dan duniaku, atau menghalangiku untuk mengerjakan apa yang telah Dia perintahkan. Atau agar ia tidak menyuruhku mengerjakan apa yang Dia larang, karena tidak ada yang mampu mencegah godaan syaitan itu kecuali Allah.

Oleh kerana itu Allah memerintahkan manusia agar menarik dan membujuk hati syaitan jenis manusia dengan cara menyodorkan sesuatu yang baik kepadanya hingga dapat berubah tabiat dari kebiasaannya yang mengganggu orang lain.

Selain itu, Allah juga memerintahkan untuk memohon perlindungan kepadaNya dari syaitan jenis jin, kerana dia tidak menerima pemberian dan tidak dapat dipengaruhi dengan kebaikan.

Tabiat mereka jahat dan tidak dapat dipengaruhi oleh kebaikan. Tabiat mereka jahat dan tidak ada yang dapat mencegahnya dari dirimu kecuali Rabb yang menciptakannya.

Inilah makna yang terkandung dalam tiga ayat al-Qur’an.

Pertama firmanNya dalam surat Al A’raf yang ertinya: “Jadilah engkau pemaaf dan suruhlah orang mengerjakan kebaikan dan berpaling dari orang-orang yang bodoh.” (Al-A’raaf 7:199)

Makna di atas berkenaan dengan mu’amalah terhadap musuh dari kalangan manusia.

Firman Allah, “Dan jika kamu ditimpa sesuatu godaan, maka berlindunglah kepada Allah. Sesungguhnya Allah Mahamendengar lagi Mahamengetahui.” (Al A’raaf 7:200)

Allah berfirman, “Tolaklah perbuatan buruk mereka dengan yang lebih baik. Kami lebih mengetahui apa yang mereka sifatkan. dan Katakanlah: “Ya Tuhanku aku berlindung kepada Engkau dari bisikan-bisikan syaitan. dan aku berlindung (pula) kepada Engkau Ya Tuhanku, dari kedatangan mereka kepadaku.”
(Al Mukminun 23:96-98)

“Dan tidaklah sama kebaikan dan kejahatan. Tolaklah (kejahatan itu) dengan cara yang lebih baik, Maka tiba-tiba orang yang antaramu dan antara dia ada permusuhan seolah-olah telah menjadi teman yang sangat setia. sifat-sifat yang baik itu tidak dianugerahkan melainkan kepada orang-orang yang sabar dan tidak dianugerahkan melainkan kepada orang-orang yang mempunyai Keuntungan yang besar. dan jika syaitan mengganggumu dengan suatu gangguan, Maka mohonlah perlindungan kepada Allah. Sesungguhnya Dialah yang Maha mendengar lagi Maha mengetahui.” (Fussilat 41:34-36)

Dalam bahasa Arab; kata syaitan berasal dari “syathana”, yang bererti jauh. Jadi tabiat syaitan itu sangat jauh dengan tabiat manusia, dan kerana kefasikannya dia sangat jauh dari segala macam kebaikan.

Ada juga yang mengatakan bahawa kata syaitan itu berasal dari kata “Syaatha” (terbakar), kerana ia diciptakan dari api.

Dan ada juga yang mengatakan bahawa kedua makna tersebut benar, tetapi makna pertama yang lebih benar.

Menurut Sibawaih, bangsa Arab biasa mengatakan: tasyaithana fulaanun; jika fulan itu berbuat seperti perbuatan syaithan.

Jika kata syaitan itu berasal dari kata “Syaatha”, tentu mereka mengatakan: “tasyaitha”.

Jadi menurut pendapat yang benar, kata syaitan itu berasal dari kata “syathana” yang bererti jauh.

Oleh kerana itu mereka menyebut syaitan untuk setiap pendurhaka, baik jin, manusia maupun haiwan.

Allah berfirman, “Dan demikianlah Kami jadikan bagi tiap-tiap nabi itu musuh, iaitu syaitan-syaitan (dari jenis) manusia dan (dari jenis) jin, sebahagian mereka membisikkan kepada sebahagian yang lain perkataan-perkataan yang indah-indah untuk menipu (manusia).”
(Al An’am 6:112)

Dalam kitab Musnad Imam Ahmad, disebutkan hadis dari Abu Dzarr r.a. bahawa Rasulullah s.a.w. bersabda: “Wahai Abu Dzarr, mohonlah perlindungan kepada Allah dari syaitan-syaitan jenis manusia dan jin.” Lalu aku bertanya: “Apakah ada syaitan dari jenis manusia?” “Ya.” Jawab beliau.

Sedangkan dalam sahih Muslim diriwayatkan dari Abu Dzarr, berkata, Rasulullah bersabda: “Yang dapat membatalkan solat itu adalah wanita, keldai, dan anjing hitam.” Kemudian kutanyakan: “Ya Rasulullah, mengapa anjing hitam dan bukan anjing merah atau kuning?” Beliau menjawab: “Anjing hitam itu adalah syaitan.”

Kata “arrajiim” berwazan “fa-‘iilun” (subjek) tetapi bermakna “maf-‘uulun”(objek) bererti bahawa syaitan itu terkutuk dan terusir dari semua kebaikan.

Firman Allah, “Sesungguhnya Kami telah menghiasi langit yang dekat dengan bintang-bintang dan Kami jadikan bintang-bintang itu alat-alat pelempar syaitan.”
(Al Mulk 67:5)

Khamis, 2 Julai 2020

11:29-35 Tafsir Surah Hud, ayat 29-35.

وَيَا قَوْمِ لا أَسْأَلُكُمْ عَلَيْهِ مَالا إِنْ أَجْرِيَ إِلا عَلَى اللَّهِ وَمَا أَنَا بِطَارِدِ الَّذِينَ آمَنُوا إِنَّهُمْ مُلاقُو رَبِّهِمْ وَلَكِنِّي أَرَاكُمْ قَوْمًا تَجْهَلُونَ (٢٩) وَيَا قَوْمِ مَنْ يَنْصُرُنِي مِنَ اللَّهِ إِنْ طَرَدْتُهُمْ أَفَلا تَذَكَّرُونَ (٣٠) وَلا أَقُولُ لَكُمْ عِنْدِي خَزَائِنُ اللَّهِ وَلا أَعْلَمُ الْغَيْبَ وَلا أَقُولُ إِنِّي مَلَكٌ وَلا أَقُولُ لِلَّذِينَ تَزْدَرِي أَعْيُنُكُمْ لَنْ يُؤْتِيَهُمُ اللَّهُ خَيْرًا اللَّهُ أَعْلَمُ بِمَا فِي أَنْفُسِهِمْ إِنِّي إِذًا لَمِنَ الظَّالِمِينَ (٣١) قَالُوا يَا نُوحُ قَدْ جَادَلْتَنَا فَأَكْثَرْتَ جِدَالَنَا فَأْتِنَا بِمَا تَعِدُنَا إِنْ كُنْتَ مِنَ الصَّادِقِينَ (٣٢) قَالَ إِنَّمَا يَأْتِيكُمْ بِهِ اللَّهُ إِنْ شَاءَ وَمَا أَنْتُمْ بِمُعْجِزِينَ (٣٣) وَلا يَنْفَعُكُمْ نُصْحِي إِنْ أَرَدْتُ أَنْ أَنْصَحَ لَكُمْ إِنْ كَانَ اللَّهُ يُرِيدُ أَنْ يُغْوِيَكُمْ هُوَ رَبُّكُمْ وَإِلَيْهِ تُرْجَعُونَ (٣٤) أَمْ يَقُولُونَ افْتَرَاهُ قُلْ إِنِ افْتَرَيْتُهُ فَعَلَيَّ إِجْرَامِي وَأَنَا بَرِيءٌ مِمَّا تُجْرِمُونَ (٣٥) 

Nuh a.s. memberitahukan kepada umatnya bahawa dirinya adalah utusan dari Allah yang menyeru mereka untuk menyembah Allah semata, tidak ada sekutu bagiNya, dengan izin dari Allah yang diberikan kepadanya untuk menyampaikan hal tersebut. Nuh a.s. berkata, 

"29. Dan wahai kaumku! Aku tidak meminta kepada kalian atasnya harta." 

Ini merupakan salah satu bukti kebenaran dakwah Beliau yang seharusnya mereka ikuti. Beliau tidak meminta harta benda kepada mereka sebagai imbalan bagi seruannya kepada mereka. Mereka boleh tidak mengikuti jika ada udang di balik batu dari seruan itu atau ada maksud tertentu yang Beliau inginkan dari mereka. Tetapi para nabi tidak demikian.

Bahkan Beliau menyeru setiap orang yang dijumpainya, baik dari kalangan orang yang terhormat maupun dari kalangan orang jelata. Maka barang siapa yang menerima seruannya, bererti dia telah selamat.

"Tidaklah ada upahku kecuali dari Allah dan tidaklah aku mengusir orang-orang yang beriman." 

Imbalanku hanyalah dari Allah s.w.t. Aku hanyalah menginginkan pahala dariNya. Dan aku sekali-kali tidak akan mengusir orang yang telah beriman sebagaimana yang kalian perintahkan, bahkan aku akan memuliakan mereka.

Seakan-akan mereka meminta kepada Nuh a.s. agar mengusir orang-orang yang telah beriman dari sisinya, kerana mereka malu dan sebagai tahan harga dari mereka bila mereka duduk bersamaan dengan orang-orang yang lemah pengikut Nuh a.s. itu.

"Sesungguhnya mereka menemui Tuhan mereka," 

Mereka akan bertemu dengan Tuhan mereka dengan dibangkitkan, lalu Dia memberikan balasan kepada mereka dan mengadili orang yang menzalimi dan mengusir mereka.

"akan tetapi aku memandang kalian kaum yang jahil." 

Sebaliknya aku memandang kalian sebagai kaum yang bodoh, iaitu tidak mengetahui akibat dari suatu perbuatan. Mereka tidak mengetahui akibat dari mengusir wali-wali Allah, menolak kebenaran hanya kerana pengikutnya orang-orang yang lemah, dan kerana alasan dibawa oleh manusia biasa serta tidak memiliki kelebihan apa-apa.

"30. Dan wahai kaumku! Siapa yang menolongku dari Allah jika aku mengusir mereka?" 

Siapakah yang akan menolongku dari azab Allah jika aku mengusir mereka? Kata-kata ini diucapkan oleh Nuh a.s. sewaktu dia didesak oleh golongan kafir yang kaya dari kaumnya agar mengusir golongan yang beriman yang miskin dan kekurangan.

"Maka apakah kalian tidak mengambil pelajaran?" 

Tidakkah kalian ingat sesuatu yang lebih bermanfaat dan lebih baik bagi kalian? 

"31. Dan aku tidak mengatakan kepada kalian, "Aku memiliki kekayaan Allah,""

Aku tidak mengatakan kepada kalian bahawa aku mempunyai gudang-gudang rezeki dan kekayaan dari Allah, sehingga aku memberikannya kepada orang yang aku kehendaki dan aku halangi orang yang aku kehendaki. Tidak ada kekuasaan bagiku untuk mengatur perbendaharaan kekayaan dari Allah. 

Aku hanyalah utusan Allah kepada kepada kalian. Tugasku hanya memberikan khabar gembira dan peringatan; tidak lebih.

"dan tidak aku mengetahui yang ghaib," 

Aku tidak mengetahui yang ghaib, kecuali sebatas apa yang diperlihatkan oleh Allah kepadaku. Aku tidak dapat memberitakan kepada kalian rahsia kalian dan apa yang kalian sembunyikan.

"dan aku tidak mengatakan sesungguhnya aku malaikat." 

Aku juga tidak mengatakan bahawa sesungguhnya aku adalah malaikat. Bahkan aku adalah manusia seperti kalian, yang diangkat menjadi rasul yang dikukuhkan dengan berbagai mukjizat dari sisiNya, dan aku tidak menempatkan diriku di atas posisi yang Allah berikan kepadaku.

"Dan aku tidak mengatakan kepada orang-orang yang rendah menurut pandangan kalian, tidak akan Allah mendatangkan kepada mereka kebaikan." 

Aku juga tidak mengatakan kepada orang-orang yang dipandang hina oleh penglihatan kalian, sehingga kalian remehkan mereka, iaitu kaum mukmin yang lemah, bahawa Allah tidak akan memberikan kebaikan kepada mereka, bahawa mereka tidak mempunyai pahala di sisi Allah sebagai balasan dari amal mereka.

"Allah lebih mengetahui dengan apa yang dalam diri mereka."

Allah lebih mengetahui apa yang terkandung dalam hati mereka. Jika iman mereka benar, maka mereka akan mendapatkan kebaikan yang banyak atau pahala yang baik, dan jika tidak demikian, maka hisab mereka terserah kepada Allah Azza wa Jalla.

"Sungguh aku, kalau begitu sungguh termasuk orang-orang yang zalim."

Sekiranya ada seseorang yang memastikan keburukan bagi mereka sesudah mereka beriman, nescaya dia adalah orang yang zalim, yang mengatakan apa yang tidak diketahuinya.

Kata-kata Nuh a.s. di atas merupakan cara bijaksana agar kaumnya tidak lagi mengusir atau membenci kaum mukmin yang fakir serta usaha agar mereka menerima pengikutnya itu. 

Mereka melihat Nuh a.s. tidak juga berhenti dari dakwahnya dan tidak mahu mengikuti tuntutan mereka. Mereka meminta agar siksa, azab, serta kemurkaan Allah segera ditimpakan kepada mereka, padahal malapetaka itu sumbernya dari ucapan (lisan).

"32. Mereka berkata, "Wahai Nuh! Sungguh kamu telah mendebat kami, maka kamu telah memperbanyak bantahan pada kami,""

Maksudnya, engkau telah banyak membantah kami, dan kami tetap tidak akan mengikutimu.

"maka datangkan pada kami dengan apa yang kamu ancam kami," 

Iaitu pembalasan Allah dan azabNya. Mereka berkata, "Serukanlah kepada Allah terhadap kami dengan doa yang kamu sukai, datangkanlah dengan segera apa yang engkau doakan itu agar menimpa kami."

"jika kamu termasuk orang-orang yang benar."

Alangkah jahil dan sesat mereka, kerana berkata seperti ini kepada nabi mereka yang begitu tulusnya kepada mereka. Tidakkah mereka mengatakan, “Wahai Nuh! Engkau telah menasihati kami, merasa kasihan kepada kami dan telah mengajak kami kepada suatu perkara yang belum begitu jelas bagi kami, kami ingin engkau lebih menjelaskan lagi kepada kami agar kami dapat mengikutimu. Kalau pun tidak, maka nasihatmu patut disyukuri.” Inilah jawaban yang baik. 

Akan tetapi mereka berdusta dalam kata-katanya dan bersikap berani terhadap nabi mereka. Mereka juga tidak membantahnya dengan syubhat yang kecil, apalagi dengan hujjah kerana kebenaran telah jelas bagi mereka dan mereka tidak mempunyai alasan lagi untuk menolaknya selain sikap keras, sehingga mereka beralih meminta disegerakan azab.

"33. Dia berkata, "Sungguh hanyalah mendatangkan pada kalian dengannya Allah jika Dia menghendaki"" 

Nuh a.s. menjawab, "Hanyalah Allah yang akan mendatangkan azab itu kepada kalian jika Dia menghendaki." Kerana urusan itu kembali kepadaNya; bukan kepadaku, Dia akan menurunkannya kepada kalian jika kehendak dan hikmahNya menetapkan demikian.

"dan tidaklah kalian melepaskan diri."

Kalian sekali-kali tidak dapat melepaskan diri, iaitu sesungguhnya yang akan mengazab kalian dan yang menyegerakannya atas kalian hanyalah Allah, tiada sesuatu pun yang dapat mengalahkanNya.

"34. Dan tidak berguna bagi kalian nasihatku jika aku hendak untuk memberi nasihat kepada kalian, jika Allah menghendaki untuk menyesatkan kalian." 

Tiada manfaatnya bagi kalian penyampaianku, peringatanku, dan nasihatku kepada kalian, sekiranya Allah hendak menyesatkan kalian dan membinasakan kalian.

"Dia Tuhan kalian, dan kepadaNya kalian dikembalikan." 

Dia adalah yang memiliki kendali semua urusan, Dialah Yang mengatur dan Hakim Yang Mahaadil yang tidak akan lalim. MilikNyalah semua makhluk dan urusan. Dialah yang memulai penciptaan dan yang mengembalikannya. Dia adalah Raja dunia dan akhirat.

Dia bertindak terhadap kalian sesuai kehendakNya dan memutuskan kalian dengan apa yang diinginkanNya. Dia akan membalas amal kalian.

"35. Ataukah mereka mengatakan, "Dia mengada-ada.""

Dhamir (kata ganti nama) “Dia” di sini boleh kembalinya kepada Nuh a.s., sebagaimana susunannya tentang kisah Nabi Nuh dengan kaumnya, sehingga maknanya adalah, bahawa kaum Nuh berkata, “Dia (Nuh) cuma membuat-buat nasihatnya saja.” 

Boleh juga kata “Dia” di sini kembalinya kepada Nabi Muhammad s.a.w., sehingga kalimat ini berada tengah-tengah kisah Nabi Nuh, di mana kisah-kisah tersebut termasuk perkara yang tidak diketahui kecuali oleh para nabi yang mendapatkan wahyu. 

Ketika Allah s.w.t. mengisahkannya kepada RasulNya, di mana hal itu termasuk ayat-ayat yang menunjukkan kebenaran risalah Nabi Muhammad s.a.w., maka Allah menyebutkan tentang pendustaan kaumnya terhadap Beliau, iaitu mereka malah berkata, bahawa Al Qur’an ini diada-ada sendiri oleh Muhammad. 

Hal ini termasuk perkataan yang paling aneh dan batil, kerana mereka mengetahui bahawa Beliau tidak dapat membaca dan menulis, dan tidak pergi belajar kepada Ahli Kitab. Apabila mereka tetap menganggap bahawa Muhammad mengada-ada padahal telah nyata tidak demikian. 

Maka dapat diketahui bahawa mereka hanya menentang, dan tidak ada faedahnya berdebat dengan mereka, sehingga sikap yang layak dilakukan terhadap mereka adalah berpaling dari mereka. 

"Katakanlah, "Jika aku membuat-buatnya, maka atasku dosaku, dan aku berlepas diri dari apa yang kalian berbuat dosa.""

Jika aku mengada-adakan nasihat itu, maka aku sendirilah yang memikul dosanya atau hukumannya. Hal tersebut bukanlah buat-buatan atau rekaan, kerana aku benar-benar mengetahui siksaan yang ada di sisi Allah bagi orang yang berdusta terhadapNya. Aku bebas dari dosa yang kalian perbuat, masing-masing menanggung dosanya sendiri.

KANDUNGAN.

JUZUK 1. Isti'adzah.    Al Fatihah 1 , 2 , 3 , 4 , 5 , 6 , 7 . Al Baqarah 1-5 , 6-7 , 8-9 , 10-16 , 17-20 , 21-25 , 26-27 , 28-29 , 3...