Khamis, 25 Ogos 2016

6:128-129 Tafsir Surah Al An’am, ayat 128-129.

وَيَوْمَ يَحْشُرُهُمْ جَمِيعًا يَا مَعْشَرَ الْجِنِّ قَدِ اسْتَكْثَرْتُمْ مِنَ الإنْسِ وَقَالَ أَوْلِيَاؤُهُمْ مِنَ الإنْسِ رَبَّنَا اسْتَمْتَعَ بَعْضُنَا بِبَعْضٍ وَبَلَغْنَا أَجَلَنَا الَّذِي أَجَّلْتَ لَنَا قَالَ النَّارُ مَثْوَاكُمْ خَالِدِينَ فِيهَا إِلا مَا شَاءَ اللَّهُ إِنَّ رَبَّكَ حَكِيمٌ عَلِيمٌ (١٢٨) وَكَذَلِكَ نُوَلِّي بَعْضَ الظَّالِمِينَ بَعْضًا بِمَا كَانُوا يَكْسِبُونَ (١٢٩)

Allah s.w.t. berfirman mengingatkan keadaan di hari kiamat.

"128. Dan pada hari Dia mengumpulkan mereka semuanya,"

Pada hari di waktu Allah menghimpunkan jin dan teman-temannya dari kalangan manusia, iaitu mereka yang menyembahnya ketika di dunia, berlindung kepadanya serta taat kepadanya, dan sebahagian dari mereka membisikkan kepada sebahagian yang lain kata-kata yang indah untuk menipu.

Allah s.w.t. berfirman kepada syaitan,

"Wahai golongan jin! Sungguh kalian telah banyak dari manusia." 

Gologan syaitan telah banyak menipu dan menyesatkan ramai manusia. Sebahagian besar dari manusia telah menjadi pengikut mereka. Mereka telah meramaikan penghuni neraka.

"Dan berkata kawan-kawan mereka dari manusia, "Ya Tuhan kami, telah mendapat kesenangan sebahagian kami dengan sebahagian yang lain.""

Sewaktu di dunia mereka berpaling dari pengajaran Allah melalui kitab-kitabNya. Maka Allah adakan baginya syaitan atau jin yang zalim menjadi teman yang selalu bersamanya, menyesatkan dan berkuasa atas mereka.

Syaitan memerintahkan kepada teman-temannya dari kalangan manusia, lalu mereka mengamalkannya. Mereka telah mendapat hasil kelazatan-kelazatan duniawi kerana nafsu-nafsu yang dijadikan indah oleh syaitan atau kerana pelayanan jin kepada mereka seperti ditunjukkan hal-hal yang luar biasa dan sebagainya.

Dahulu di masa Jahiliah bila seorang lelaki singgah di suatu tempat, ia mengatakan, "Saya berlindung kepada penghuni lembah ini." Itulah antara kesenangan manusia yang akan mereka jadikan alasan di hari kiamat kelak.

Sedangkan jin mendapat kenikmatan atau kesenangan kerana ketundukan dan penghormatan manusia kepadanya apabila manusia meminta tolong kepada mereka. Lalu para jin mengatakan, "Kami telah menguasai manusia dan jin."

"Dan kami telah sampai ajal kami yang Engkau tentukan bagi kami." 

Masa yang dikurniakan Allah telah pun tamat. Mereka telah sampai kepada waktu yang telah Allah tentukan bagi mereka iaitu ajal kematian, hari kiamat atau waktu pembalasan. Ini merupakan penyesalan mereka, namun penyesalan ketika itu tidak berguna lagi.

"Dia berfirman, "Neraka tempat tinggal kalian, kekal di dalamnya""

Tempat menetap dan tempat tinggal semua jin dan manusia yang zalim adalah neraka. Mereka akan tinggal bersama-sama di dalamnya sebagai penghuni tetap untuk selama-lamanya.

"kecuali apa yang Allah kehendaki." 

Kecuali jika Allah menghendaki lain. Istisna atau pengecualian ini mengisyaratkan kepada alam barzakh, lamanya masa mereka tinggal di dunia atau selain itu.

"Sesungguhnya Tuhanmu Maha Bijaksana Maha Mengetahui." 

Tidak layak bagi seorang pun memutuskan terhadap Allah tentang masalah makhlukNya, tidak juga mengenai penempatan mereka ke dalam syurga atau ke dalam neraka olehNya.

"129. Dan demikianlah Kami jadikan pemimpin sebahagian orang-orang yang zalim terhadap sebahagian yang lain kerana apa yang mereka usahakan." 

Demikianlah Allah jadikan sebahagian orang-orang zalim berteman dengan sesamanya sesuai dengan apa yang mereka kerjakan. Sebagaimana Dia jadikan pelaku maksiat dari kalangan jin dan manusia saling bersenang-senang, Dia jadikan umat jin dan umat manusia yang zalim itu saling berteman.

Dan Allah jadikan orang-orang yang zalim itu menjadi teman bagi orang-orang yang zalim yang lain disebabkan perbuatan mereka sendiri. Mereka saling mendorong untuk tetap terus berbuat maksiat.

Allah mempertemankan manusia berdasarkan amal perbuatan mereka. Orang mukmin adalah teman orang mukmin lainnya di masa bila pun dan di mana saja. Orang kafir adalah teman orang kafir, di mana saja dan bila pun berada. Iman bukanlah hanya sekadar angan-angan dan perhiasan, ia harus disertai dengan amal perbuatan.

Apabila manusia banyak melakukan aniaya, kezaliman, kerosakan, kesesatan, tidak mengerjakan kewajiban, tidak memenuhi hak Allah dan hak hamba-hamba Allah, Dia akan membalas orang-orang zalim melalui orang-orang zalim yang lain.

Maka diangkat orang-orang zalim lain sebagai penguasa mereka, ia akan menimpakan kepada mereka siksaan yang buruk, menzalimi mereka akibat mereka  Sebaliknya, jika manusia baik dan istiqamah, maka Allah akan memperbaiki keadaan mereka, Allah angkat untuk mereka pemimpin-pemimpin yang adil dan tidak zalim.

Tiada ulasan:

KANDUNGAN.

JUZUK 1. Isti'adzah.    Al Fatihah 1 , 2 , 3 , 4 , 5 , 6 , 7 . Al Baqarah 1-5 , 6-7 , 8-9 , 10-16 , 17-20 , 21-25 , 26-27 , 28-29 , 3...