Rabu, 12 Oktober 2016

15:51-60 Tafsir Surah Al Hijr, ayat 51-60.

وَنَبِّئْهُمْ عَنْ ضَيْفِ إِبْرَاهِيمَ (٥١) إِذْ دَخَلُوا عَلَيْهِ فَقَالُوا سَلامًا قَالَ إِنَّا مِنْكُمْ وَجِلُونَ (٥٢) قَالُوا لا تَوْجَلْ إِنَّا نُبَشِّرُكَ بِغُلامٍ عَلِيمٍ (٥٣) قَالَ أَبَشَّرْتُمُونِي عَلَى أَنْ مَسَّنِيَ الْكِبَرُ فَبِمَ تُبَشِّرُونَ (٥٤) قَالُوا بَشَّرْنَاكَ بِالْحَقِّ فَلا تَكُنْ مِنَ الْقَانِطِينَ (٥٥) قَالَ وَمَنْ يَقْنَطُ مِنْ رَحْمَةِ رَبِّهِ إِلا الضَّالُّونَ (٥٦) قَالَ فَمَا خَطْبُكُمْ أَيُّهَا الْمُرْسَلُونَ (٥٧) قَالُوا إِنَّا أُرْسِلْنَا إِلَى قَوْمٍ مُجْرِمِينَ (٥٨) إِلا آلَ لُوطٍ إِنَّا لَمُنَجُّوهُمْ أَجْمَعِينَ (٥٩) إِلا امْرَأَتَهُ قَدَّرْنَا إِنَّهَا لَمِنَ الْغَابِرِينَ (٦٠)

Allah s.w.t. berfirman memerintahkan kepada Nabi Muhammad s.a.w.

"51. Dan beritakan kepada mereka tentang tetamu Ibrahim." 

Pada kisah tersebut terdapat pelajaran dan teladan, lebih-lebih lagi yang dikisahkan adalah tentang kekasih Allah iaitu Nabi Ibrahim a.s. yang kita diperintahkan untuk mengikuti agamanya. Tetamu itu adalah para malaikat Allah, termasuk di antaranya malaikat Jibril a.s.

"52. Ketika mereka masuk atasnya, lalu mereka berkata, "Salam.""

Ketika mereka masuk ke tempatnya, lalu mereka mengucapkan, "Selamat sejahtera." Ibrahim a.s. dan isterinya menjamu mereka daging anak lembu panggang. Tetapi Ibrahim a.s. melihat tangan mereka tidak mahu menyantap jamuan yang disediakan.

"Dia berkata, "Sungguh kami dari kalian khuatir.""

Para malaikat tidak makan dan tidak minum, Ibrahim a.s. benar-benar merasa takut kepada mereka.

"53. Mereka berkata, "Janganlah kamu takut, sungguh kami beri khabar gembira pada kamu dengan anak lelaki yang 'alim.""

Khabar gembira itu adalah Ibrahim a.s. akan mendapat seorang anak lelaki yang pandai dan berilmu iaitu Ishaq a.s. Beliau merasa hairan dan ingin agar janji tersebut segera diterangkan.

"54. Berkata, "Apakah kalian beri aku khabar gembira, padahal terjadi atas diriku tua, maka dengan apa yang kalian memberi khabar gembira?"" 

Sebab-sebab untuk mereka mendapat anak tidak ada, isterinya mandul, sedangkan Ibrahim a.s. sendiri sudah sangat tua.

"55. Mereka berkata, "Kami beri kamu khabar gembira dengan benar,""

Allah s.w.t. Maha Kuasa atas segala sesuatu. Lebih-lebih lagi yang mendapat khabar gembira ini adalah ahlul bait yang mendapat rahmat Allah dan berkahNya, sehingga tidak perlu merasa aneh terhadap kurnia dan ihsan Allah kepadanya.

"maka janganlah kamu termasuk orang-orang yang berputus asa."

Iaitu orang-orang yang menganggap tidak mungkin adanya kebaikan. Oleh kerana itu, tetaplah kamu mengharap kurnia Allah dan ihsanNya.

"56. Dia berkata, "Dan tidak berputus asa dari rahmat Tuhannya, kecuali orang-orang yang sesat.""

Ibrahim a.s. tidaklah berputus asa. Beliau selalu berharap kepada Allah agar memberinya anak, walaupun usianya telah lanjut, begitu juga isterinya. Ibrahim a.s. mengetahui benar akan kekuasaan Allah dan rahmatNya yang jauh lebih besar dari hal tersebut.

Orang yang berputus asa hanyalah orang yang sesat, iaitu orang-orang yang tidak mengenal Tuhannya dan tidak mengetahui sempurnanya kekuasaanNya. Adapun orang yang diberi nikmat oleh Allah dengan hidayah dan ilmu, maka tidak akan berputus asa.

Ibrahim a.s. mengetahui bahawa mereka diutuskan oleh Allah untuk urusan yang penting.

"Dia berkata, "Maka apakah urusan kalian, wahai para utusan?"" 

Ibrahim a.s. bertanya kepada para utusan itu tentang latar belakang dan tujuan kedatangan mereka kepadanya.

"58. Mereka berkata, "Sungguh kami diutus kepada kaum yang berdosa." 

Mereka diutuskan untuk membinasakan kaum Lut a.s.

"59. Kecuali pengikut Lut. Sungguh kami benar-benar akan selamatkan mereka semuanya." 

Tetapi mereka akan menyelamatkan semua ahli keluarga Lut a.s. dan para pengikutnya kerana keimanan mereka.

"60. Kecuali isterinya, Kami telah menentukan, sungguh dia termasuk orang-orang yang tertinggal." 

Isterinya telah ditentukan oleh Allah termasuk orang-orang yang binasa bersama-sama kaumnya yang kafir.

Maka Ibrahim a.s. berdialog cukup lama dengan para malaikat, hingga akhirnya mereka berkata, “Wahai Ibrahim, tinggalkanlah soal jawab ini, sesungguhnya telah datang ketetapan Tuhanmu, dan Sesungguhnya mereka itu akan didatangi azab yang tidak dapat ditolak.”

Kemudian mereka pun pergi.

Tiada ulasan:

KANDUNGAN.

JUZUK 1. Isti'adzah.    Al Fatihah 1 , 2 , 3 , 4 , 5 , 6 , 7 . Al Baqarah 1-5 , 6-7 , 8-9 , 10-16 , 17-20 , 21-25 , 26-27 , 28-29 , 3...