Khamis, 3 November 2016

6:136-137 Tafsir Surah Al An’am, ayat 136-137.

وَجَعَلُوا لِلَّهِ مِمَّا ذَرَأَ مِنَ الْحَرْثِ وَالأنْعَامِ نَصِيبًا فَقَالُوا هَذَا لِلَّهِ بِزَعْمِهِمْ وَهَذَا لِشُرَكَائِنَا فَمَا كَانَ لِشُرَكَائِهِمْ فَلا يَصِلُ إِلَى اللَّهِ وَمَا كَانَ لِلَّهِ فَهُوَ يَصِلُ إِلَى شُرَكَائِهِمْ سَاءَ مَا يَحْكُمُونَ (١٣٦)وَكَذَلِكَ زَيَّنَ لِكَثِيرٍ مِنَ الْمُشْرِكِينَ قَتْلَ أَوْلادِهِمْ شُرَكَاؤُهُمْ لِيُرْدُوهُمْ وَلِيَلْبِسُوا عَلَيْهِمْ دِينَهُمْ وَلَوْ شَاءَ اللَّهُ مَا فَعَلُوهُ فَذَرْهُمْ وَمَا يَفْتَرُونَ (١٣٧) 

Allah s.w.t. berfirman memberitakan, mencela dan mencemuh kaum musyrik yang mendustakan Nabi s.a.w.

"136. Dan mereka menjadikan bagi Allah dari apa yang Dia telah ciptakan dari ladang dan binatang ternak bahagian," 

Mereka telah banyak membuat-buat bid'ah, kekufuran, dan kemusyrikan. Mereka menjadikan bagi Allah sekutu dan bahagian dari makhlukNya, padahal Dia adalah Pencipta segala sesuatu; Mahasuci Allah lagi Mahatinggi.

Mereka memperuntukkan bagi Allah dari apa yang telah diciptakan, dijadikan dan diadakan olehNya iaitu hasil tanaman, buah-buahan dan ternakan suatu bahagian tertentu untuk memberi makanan orang-orang fakir, orang-orang miskin, dan berbagai amal sosial.

"maka mereka berkata, "Ini untuk Allah" menurut anggapan mereka, "dan ini untuk berhala-berhala kami.""

Sebahagian dari hasil itu mereka peruntukkan bagi berhala-berhala, diberikan kepada penjaga berhala itu.

Perhatian dan penghormatan mereka begitu dalam kepada berhala, hingga apa yang disediakan untuk berhala-berhala tidak boleh diberikan kepada fakir miskin dan amal sosial. Sedangkan apa yang diperuntukkan bagi Allah mereka kurang peduli dan boleh diberikan kepada berhala-berhala itu. Adat seperti ini dikutuk oleh Allah.

"Maka apa yang ada untuk sekutu mereka maka tidak sampai kepada Allah, dan apa yang ada bagi Allah, maka ia sampai kepada berhala mereka." 

Apa yang mereka peruntukkan kepada sesembahan selain Allah merupakan taqarrub (pendekatan) murni untuk selain Allah; tidak ada sedikit pun untuk Allah di sana.

Begitu juga apa yang mereka peruntukkan untuk Allah (menurut persangkaan mereka) maka tidak akan sampai kepadaNya kerana hal tersebut mengandungi syirik, bahkan ditujukan murni kepada sekutu dan tandingan tersebut.

Apabila mereka menanam tanaman, lalu mereka menghasilkan buahnya dari tanaman mereka itu, maka mereka menjadikan bagi Allah dari hasil itu suatu bahagian tertentu dan bagi berhala sembahan mereka satu bahagian lainnya.

Kemudian hasil tanaman atau buah-buahan atau sesuatu lainnya yang menjadi bahagian berhala-berhala mereka itu mereka simpan dan mereka hitung-hitung. Jika ada sesuatu darinya yang terjatuh, yang menurut peristilahan mereka disebut untuk samad, maka mereka mengembalikannya kepada bahagian yang diperuntukkan bagi berhala.

Jika ada sesuatu yang gugur dari hasil tanaman dan buah-buahan yang mereka jadikan untuk Allah, hingga bercampur baur dengan bahagian yang diperuntukkan buat berhala, maka mereka mengatakan, "Ini miskin," lalu mereka tidak mengembalikannya kepada bahagian yang diperuntukkan buat Allah.

Apabila mereka kedahuluan oleh air yang sedianya mereka akan gunakan untuk mengairi bahagian untuk berhala, lalu air itu mengairi sesuatu dari bahagian yang diperuntukkan buat Allah, maka mereka menjadikannya untuk berhala.

Apabila mereka kedahuluan oleh air yang sedianya mereka akan menggunakannya buat mengairi bahagian Allah, lalu air itu mengairi bahagian yang diperuntukkan buat berhala, maka mereka membiarkannya untuk berhala mereka.

Mereka mengharamkan sebahagian dari harta (ternak) mereka yang disebutkan oleh peristilahan mereka dengan nama bahirah, saibah, wasilah, dan ham. Mereka memperuntukkan hal tersebut bagi berhala-berhala mereka, dengan sangkaan bahawa mereka mengharamkannya sebagai amal pendekatan diri kepada Allah.

Segala sembelihan yang mereka peruntukkan bagi Allah, mereka tidak memakannya selama-lamanya kecuali jika mereka menyebutkan nama Allah bersama nama berhala-berhala mereka semasa menyembelihnya.

Sedangkan sembelihan yang mereka peruntukkan bagi berhala-berhala mereka, mereka sama sekali tidak mahu menyebut nama Allah bersama nama berhala mereka semasa menyembelihnya. Allah Mahakaya. Dia tidak menerima amal yang diikutsertakan dengan yang lain.

Rasulullah s.a.w. bersabda, "Allah s.w.t. berfirman, “Aku paling tidak perlu kepada sekutu. Barang siapa beramal suatu amalan yang di sana ia menyekutukan sesuatu denganKu, maka Aku akan tinggalkan Dia dan syiriknya.”

"Amat buruk apa yang mereka tetapkan." 

Apabila mereka melakukan pembahagian, kerosakanlah yang dilakukannya, kerana keliru, bodoh, sesat, menurut hawa nafsu, tidak adil, berbuat aniaya dan melampaui batas dalam pembahagian tersebut.

"137. Dan demikian itu telah dihiasi bagi kebanyakan dari orang-orang musyrik membunuh anak-anak mereka sekutu-sekutu mereka" 

Para pemimpin (syaitan-syaitan) mereka telah menghiaskan kepada kebanyakan dari orang-orang yang musyrik itu memandang baik membunuh anak-anak mereka sendiri sehingga menurut mereka termasuk perbuatan yang baik dan perkara yang bagus.

Dahulu mereka sering menguburkan hidup-hidup anak perempuan kerana malu, dan menguburkan hidup-hidup anak lelaki kerana takut kelaparan, takut miskin atau takut harta mereka menjadi hancur.

"untuk membinasakan mereka dan untuk mencampurkan atas mereka agama mereka." 

Syaitan menjerumuskan mereka ke dalam kebinasaan, mengaburkan pandangan mereka terhadap agama mereka, sehingga fikiran mereka terhadap agama menjadi kacau; atau kerana faktor lainnya.

"Dan jika Allah menghendaki, tidaklah mereka mengerjakannya," 

Jika Allah menghendaki, Dia mampu menghalangi mereka melakukan perbuatan itu. Semuanya itu terjadi kerana kehendak dan pilihan Allah s.w.t. yang mengandungi hikmah (kebijaksanaan)Nya yang sempurna. Hanya Dia saja yang mengetahuinya.

Allah tidak ditanya tentang apa yang telah diperbuatNya, sedangkan mereka pasti akan dimintai pertanggung-jawabannya. Dia membiarkan mereka melakukannya sebagai istidraj (penundaan azab) bagi mereka.

"maka tinggalkanlah mereka dan apa yang mereka ada-adakan."

Biarkanlah, tinggalkanlah, janganlah bersedih, jauhilah mereka dan perbuatan mereka. Mereka tidak dapat memadharratkan Allah sedikit pun. Kelak Allah akan memutuskan perkaranya antara kamu dan mereka.

Tiada ulasan:

KANDUNGAN.

JUZUK 1. Isti'adzah.    Al Fatihah 1 , 2 , 3 , 4 , 5 , 6 , 7 . Al Baqarah 1-5 , 6-7 , 8-9 , 10-16 , 17-20 , 21-25 , 26-27 , 28-29 , 3...