Jumaat, 9 November 2018

7:31-34 Tafsir Surah Al A’raf, ayat 31-34.

يَا بَنِي آدَمَ خُذُوا زِينَتَكُمْ عِنْدَ كُلِّ مَسْجِدٍ وَكُلُوا وَاشْرَبُوا وَلا تُسْرِفُوا إِنَّهُ لا يُحِبُّ الْمُسْرِفِينَ (٣١) قُلْ مَنْ حَرَّمَ زِينَةَ اللَّهِ الَّتِي أَخْرَجَ لِعِبَادِهِ وَالطَّيِّبَاتِ مِنَ الرِّزْقِ قُلْ هِيَ لِلَّذِينَ آمَنُوا فِي الْحَيَاةِ الدُّنْيَا خَالِصَةً يَوْمَ الْقِيَامَةِ كَذَلِكَ نُفَصِّلُ الآيَاتِ لِقَوْمٍ يَعْلَمُونَ (٣٢) قُلْ إِنَّمَا حَرَّمَ رَبِّيَ الْفَوَاحِشَ مَا ظَهَرَ مِنْهَا وَمَا بَطَنَ وَالإثْمَ وَالْبَغْيَ بِغَيْرِ الْحَقِّ وَأَنْ تُشْرِكُوا بِاللَّهِ مَا لَمْ يُنَزِّلْ بِهِ سُلْطَانًا وَأَنْ تَقُولُوا عَلَى اللَّهِ مَا لا تَعْلَمُونَ (٣٣) وَلِكُلِّ أُمَّةٍ أَجَلٌ فَإِذَا جَاءَ أَجَلُهُمْ لا يَسْتَأْخِرُونَ سَاعَةً وَلا يَسْتَقْدِمُونَ (٣٤)

Dahulu di masa Jahiliyah, kaum lelaki dan wanita musyrik melakukan tradisi tawaf di Baitullah dalam keadaan telanjang bulat sambil bersiul dan bertepuk tangan. Kaum lelaki melakukannya di siang hari, sedangkan kaum wanita pada malam harinya.

Salah seorang wanita dari mereka mengatakan dalam tawafnya, "Pada hari ini tampaklah sebahagiannya atau seluruhnya; dan apa yang tampak darinya, maka tidak akan saya halalkan." Maka Allah s.w.t. menurunkan firmanNya,

"31. Wahai anak Adam pakailah pakaian kalian yang bagus di setiap masjid"

Wahai anak cucu Adam, pakailah pakaian kalian yang baik-baik, yang indah-indah dan bersih dari kotoran dan najis untuk menutup aurat kalian di setiap memasuki masjid, iaitu di setiap akan mengerjakan solat, tawaf keliling ka'bah dan ibadah-ibadah yang lain.

Az zinatu di sini bermaksud pakaian, iaitu pakaian yang menutupi aurat, dibuat dari kain yang baik dan bahan lain yang dapat dijadikan pakaian. Menutup aurat menghiasi badan dan menanggalkannya menjadikan buruk bagi badan.

Kalian disunatkan memakai pakaian yang indah di saat hendak melakukan solat, terlebih lagi solat Jumaat dan solat Hari Raya. Pakaian yang paling utama ialah yang berwarna putih. Disunatkan juga memakai wewangian, kerana wewangian termasuk ke dalam pengertian perhiasan. Juga disunatkan bersiwak kerana siwak merupakan kesempurnaan bagi hal tersebut.

Rasulullah s.a.w. bersabda, "Pakailah pakaian kalian yang berwarna putih, kerana sesungguhnya pakaian putih adalah pakaian terbaik kalian, dan kafankanlah dengannya orang-orang mati kalian. Dan sesungguhnya sebaik-baik celak kalian memakai ismid, kerana sesungguhnya ismid itu dapat mencerahkan pandangan mata dan menumbuhkan rambut."

Dahulu di masa Jahiliah, orang-orang yang melakukan tawaf di Baitullah sambil telanjang bulat mengharamkan wadak (minyak samin) atas diri mereka sendiri selama mereka berada di musim haji. Maka Allah s.w.t. berfirman terhadap mereka,

"dan makanlah kalian dan minumlah kalian,"

Makan dan minumlah sesuka kalian segala sesuatu yang halal, yang direzekikan oleh Allah buat kalian. Begitu juga dalam hal berpakaian.

"dan janganlah kalian berlebihan."

Tetapi dalam hal makan, minum dan berpakaian, janganlah kalian berlebih-lebihan, melampaui batas dan sombong. Janganlah kalian melebihi keperluan, bermewah-mewahan, menghalalkan yang haram dan mengharamkan yang halal.

Rasulullah s.a.w. bersabda, "Makan, minum, berpakaian dan bersedekahlah kalian tanpa dengan kesombongan dan berlebih-lebihan, kerana sesungguhnya Allah suka bila melihat nikmatNya digunakan oleh hambaNya."

Rasulullah s.a.w. bersabda, "Tiada suatu wadah pun yang dipenuhi oleh anak Adam yang lebih jahat daripada perutnya. Cukuplah bagi anak Adam beberapa suap makanan untuk menegakkan tulang sulbinya. Dan jika dia terpaksa melakukannya, maka sepertiga untuk makanannya, sepertiga untuk minumannya, dan sepertiga lagi untuk nafasnya."

"Sungguh Dia tidak menyukai orang-orang yang berlebihan."

Sesungguhnya Allah membenci orang-orang yang melampaui batasanNya. Berlebih-lebihan adalah perkara yang dibenci Allah, membahayakan badan dan penghidupannya, bahkan akan membuatnya tidak mampu memenuhi kewajiban.

Allah menyukai sikap yang menghalalkan apa yang dihalalkanNya dan mengharamkan apa yang diharamkanNya, kerana yang demikian itulah sifat pertengahan (bersederhana) yang diperintahkan olehNya.

Orang-orang musyrik membebani diri sendiri dengan mengharamkan sebahagian makanan, minuman dan pakaian menurut kehendak hati, buat-buatan dan pendapat mereka sendiri yang rosak dan tanpa berdasarkan syariat dari Allah. Allah s.w.t. berfirman kepada Nabi Muhammad s.a.w.,

"32. Katakanlah, "Siapakah mengharamkan perhiasan Allah yang Dia keluarkan untuk hamba-hambaNya yang baik-baik dari rezeki?""

Siapakah yang mengharamkan pakaian yang telah Allah sediakan untuk hamba-hambaNya? Siapa pulakah yang mengharamkan rezeki yang baik-baik? Allah telah menciptakan semua itu untuk dimanfaatkan oleh semua manusia di dunia ini, baik yang beriman maupun yang kafir.

"Katakanlah, "Dia bagi orang-orang beriman dalam kehidupan dunia khusus pada hari kiamat.""

Akan tetapi, semuanya itu khusus hanya bagi orang-orang yang beriman kelak di hari kiamat. Tiada seorang pun dari kalangan orang-orang kafir bersama mereka dalam memanfaatkannya, kerana syurga diharamkan bagi orang-orang kafir.

Barang siapa tidak beriman kepada Allah dan menggunakan nikmat-nikmatNya untuk bermaksiat, maka dia tidak berhak menikmatinya, bahkan akan diberikan hukuman terhadapnya dan pada hari kiamat kenikmatan yang mereka rasakan akan ditanya.

"Demikianlah Kami jelaskan ayat-ayat bagi kaum mereka mengetahui."

Demikianlah Allah s.w.t. menjelaskan ayat-ayat itu bagi orang-orang yang mengetahui.

"33. Katakanlah, "Sungguh hanyalah mengharamkan Tuhanku perbuatan-perbuatan keji apa yang tampak darinya dan apa yang tersembunyi,""

Tuhanku hanya mengharamkan fawahisy (perbuatan-perbuatan yang keji), iaitu dosa-dosa besar seperti zina, liwat (homoseks) dan sebagainya, baik dengan anggota badan, maupun dengan hati seperti riya’, ujub, sombong, nifak dan sebagainya.

Rasulullah s.a.w. bersabda, "Tidak ada seorang pun yang lebih pencemburu daripada Allah, kerana itulah Dia mengharamkan perbuatan-perbuatan yang keji, baik yang kelihatan maupun yang tidak tampak. Dan tidak ada seorang pun yang lebih suka dipuji daripada Allah."

"dan maksiat"

Tuhanku mengharamkan al ismu (maksiat atau perbuatan dosa), iaitu yang berkaitan dengan hak Allah.

"dan melanggar hak orang lain tanpa hak"

Tuhanku mengharamkan al baghyu (perbuatan zalim atau melanggar hak manusia), iaitu yang berkaitan dengan hak mereka tanpa alasan yang benar.

"dan kalian menyekutukan Allah apa yang tidak Dia menurunkan dengannya alasan"

Tuhanku mengharamkan syirik (mempersekutukanNya dengan sesuatu). Dia tidak menurunkan hujah untuk itu. Apa yang Dia turunkan hanyalah tauhid (mengesakanNya dalam beribadah).

"dan kalian mengatakan atas Allah apa yang tidak kalian ketahui."

Tuhanku mengharamkan mengada-adakan terhadap Allah, berdusta atau membicarakan tentang Allah tanpa pengetahuan, baik dalam nama-namaNya, sifatNya, perbuatanNya atau dalam syari’atNya, seperti pengakuan bahawa Allah beranak, mengharamkan sesuatu yang tidak diharamkanNya dan sebagainya yang tiada pengetahuan bagi kalian mengenainya.

Dalam ayat ini, Allah melarang beberapa perkara, dari mulai yang ringan hingga yang besar, kerana di dalamnya terdapat kerosakan baik sifatnya khusus maupun umum, terdapat kezaliman dan sikap berani kepada Allah, menindas hamba-hamba Allah dan kerana di dalamnya terdapat perubahan agama Allah dan syari’atNya.

"34. Dan bagi tiap-tiap umat ajal."

Bagi setiap kurun dan generasi, ada batasan waktu yang ditetapkan. Allah s.w.t. telah mengeluarkan anak cucu Adam ke bumi dan menempatkan mereka di sana serta menentukan ajal yang tidak maju dan tidak mundur. Setiap bangsa mempunyai batas waktu kejayaan atau keruntuhan.

"Maka apabila telah datang ajal mereka, mereka tidak dapat mengundurkan sesaat dan mereka tidak dapat memajukan."

Apabila telah sampai waktu ajal yang telah ditakdirkan bagi mereka, mereka tidak dapat meminta penundaan atau percepatan sesaat pun.

Tiada ulasan:

KANDUNGAN.

JUZUK 1. Isti'adzah.    Al Fatihah 1 , 2 , 3 , 4 , 5 , 6 , 7 . Al Baqarah 1-5 , 6-7 , 8-9 , 10-16 , 17-20 , 21-25 , 26-27 , 28-29 , 3...