Sabtu, 29 Jun 2019

7:42-43 Tafsir Surah Al A’raf, ayat 42-43.

وَالَّذِينَ آمَنُوا وَعَمِلُوا الصَّالِحَاتِ لا نُكَلِّفُ نَفْسًا إِلا وُسْعَهَا أُولَئِكَ أَصْحَابُ الْجَنَّةِ هُمْ فِيهَا خَالِدُونَ (٤٢) وَنَزَعْنَا مَا فِي صُدُورِهِمْ مِنْ غِلٍّ تَجْرِي مِنْ تَحْتِهِمُ الأنْهَارُ وَقَالُوا الْحَمْدُ لِلَّهِ الَّذِي هَدَانَا لِهَذَا وَمَا كُنَّا لِنَهْتَدِيَ لَوْلا أَنْ هَدَانَا اللَّهُ لَقَدْ جَاءَتْ رُسُلُ رَبِّنَا بِالْحَقِّ وَنُودُوا أَنْ تِلْكُمُ الْجَنَّةُ أُورِثْتُمُوهَا بِمَا كُنْتُمْ تَعْمَلُونَ (٤٣)

Allah s.w.t. berfirman menceritakan keadaan orang-orang yang berbahagia,

"42. Dan orang-orang yang beriman dan mengerjakan amal-amal yang soleh"

Iaitu orang-orang yang hatinya beriman, dan seluruh anggota tubuhnya mengerjakan kebajikan-kebajikan. Mereka beriman dan beramal, baik yang nampak maupun yang tersembunyi, yang wajib maupun yang sunat. Mereka tidak mendustakan ayat-ayat Allah dan tidak menyombongkan diri terhadapnya.

"Kami tidak membebani seseorang kecuali sesuai kesanggupannya;"

Iman dan pengamatannya adalah mudah. Kami tidak akan memikulkan kewajiban kepada diri seseorang melainkan sekadar kesanggupannya. Di antara amal soleh, ada amal yang tidak disanggupi hamba, maka Allah s.w.t. tidak membebankan perkara yang tidak disanggupi tersebut.

Dalam keadaan seperti ini, seorang hamba mesti bertakwa kepada Allah sesuai kemampuannya. Oleh kerana itu, tidaklah wajib suatu perbuatan ketika tidak mampu dilaksanakan dan tidaklah haram ketika darurat.

"Mereka itu penghuni-penghuni syurga, mereka di dalamnya kekal."

Mereka tidak akan dipindahkan daripadanya dan mereka tidak akan meminta untuk pindah.

"43. Dan Kami telah mencabut apa yang dalam hati mereka dari kedengkian, mengalir dari bawah mereka sungai-sungai,"

Kami telah mencabut segala macam rasa dendam kesumat yang berada di dalam hati mereka sehingga mereka bersaudara dan saling cinta-mencintai. Di bawah mereka mengalir sungai-sungai. Mereka dapat memancarkannya ke tempat yang mereka inginkan.

Rasulullah s.a.w. bersabda, "Apabila orang-orang mukmin selamat dari neraka, mereka ditahan di atas sebuah jambatan yang terletak di antara syurga dan neraka. Lalu dilakukanlah hukuman qisas berkenaan dengan penganiayaan-penganiayaan yang terjadi di antara mereka ketika di dunia. Setelah mereka dibersihkan dan disepuh (dari hal tersebut), barulah mereka diizinkan untuk memasuki syurga. Demi Zat yang jiwaku berada di dalam genggaman kekuasaanNya, sesungguhnya seseorang di antara mereka terhadap suatu kedudukan di syurga, lebih dia ketahui berbanding tempat tinggalnya sewaktu di dunia."

Sesungguhnya ahli syurga itu apabila digiring masuk ke syurga, maka mereka menjumpai di dekat pintu syurga sebuah pohon yang pada akarnya terdapat dua mata air.

Kemudian mereka minum dari salah satunya, maka tercabutlah (terhapuslah) dari dada mereka semua dendam kesumat yang ada; minuman tersebut dinamakan minuman kesucian.

Kemudian mereka mandi dari mata air yang lainnya, maka mengalirlah ke dalam tubuh mereka kesegaran yang penuh dengan kenikmatan, sehingga diri mereka tidak awut-awutan (selekeh) dan tidak pucat lagi untuk selama-lamanya.

Mereka dapat mengalirkannya ke sela-sela istana, ke kebun-kebun dan ke lapisan atas, dan sungai-sungai tersebut mengalir tanpa ada parit (lubang galian). Mereka menempati tempatnya dan melihat kenikmatan yang Allah berikan.

"dan mereka berkata, "Segala puji bagi Allah yang telah menunjuki kami kepada ini.""

Allah telah memberi nikmat kepada kami, mengilhamkan hati kami, sehingga hati kami beriman dan sedia mengerjakan amalan yang menyampaikan kami ke tempat (syurga) ini. Allah juga yang menjaga iman dan amal kami hingga kami sampai ke tempat ini.

Maka segala puji bagi Allah yang telah memulai kami dengan nikmat dan terus melimpahkan kepada kami berbagai nikmat yang nampak maupun yang tersembunyi dalam jumlah yang tidak mampu kami hitung.

"Dan tidaklah kami akan dapat petunjuk jika tidak Allah memberi kami petunjuk." 

Kami tidak akan mendapat petunjuk sekiranya Allah tidak menunjukkan kami. Dalam hati kami tidak ada kesediaan menerima petunjuk, jika sekiranya Allah tidak mengurniakan kepada kami hidayahNya dan mengikuti rasulNya.

"Sungguh telah datang rasul-rasul Tuhan kami dengan kebenaran.”

Sesungguhnya telah datang rasul-rasul Allah dengan membawa kebenaran, dan kini terbuktilah bagi kami apa yang dijanjikan para rasul itu.

"Dan mereka diserukan bahawa itulah syurga yang telah diwariskan kepada kalian kerana apa yang kalian kerjakan."

Diserukan kepada mereka sebagai ucapan selamat dan penghormatan, "Itulah syurga yang diwariskan kepada kalian disebabkan apa yang kalian kerjakan dahulu."

Rasulullah s.a.w. bersabda, "Semua ahli syurga dapat melihat kedudukannya di neraka, lalu dia mengatakan, "Sekiranya Allah tidak memberikan petunjuk kepada saya," maka ucapan itu merupakan ungkapan rasa syukurnya. Dan semua ahli neraka dapat melihat kedudukannya di syurga, lalu dia mengatakan, "Sekiranya Allah memberikan petunjuk kepada saya," maka ucapan itu merupakan ungkapan rasa penyesalannya."

Kerana itulah ketika mereka tidak ditempatkan di neraka kerana dimasukkan ke dalam syurga, maka diserukan kepada mereka, "Apa yang kalian peroleh sekarang disebabkan amal perbuatan yang telah kalian kerjakan, iaitu berkat amal perbuatan soleh kalian akhirnya kalian mendapat rahmat dan dapat masuk syurga, kemudian kalian menempati kedudukan masing-masing sesuai dengan tingkatan amal perbuatan kalian."

Rasulullah s.a.w. bersabda, "Ketahuilah oleh kalian bahawa seseorang di antara kalian tidak dapat masuk syurga kerana amal perbuatannya." Mereka (para sahabat) bertanya, "Tidak juga engkau, wahai Rasulullah?" Rasulullah s.a.w. bersabda, "Begitu pula saya, terkecuali bila Allah melimpahkan rahmat dan kurniaNya kepada saya."

Sebahagian kaum salaf berkata, “Penghuni syurga selamat dari neraka kerana maaf dari Allah. Mereka dimasukkan ke syurga kerana rahmat Allah. Mereka mengambil bahagian tempat di syurga dan mewarisinya kerana amal soleh, dan itu pun termasuk rahmatNya, bahkan termasuk bentuk rahmat yang paling tinggi.”

Tiada ulasan:

KANDUNGAN.

JUZUK 1. Isti'adzah.    Al Fatihah 1 , 2 , 3 , 4 , 5 , 6 , 7 . Al Baqarah 1-5 , 6-7 , 8-9 , 10-16 , 17-20 , 21-25 , 26-27 , 28-29 , 3...